Utusan    Haprak   Raja  Penyangak?

Oleh: Tengku Mazlan

“Dalam  lautan  politik  dan ekonomi yang bergelora, Malaysia  masih  tenang. Serangan  bertubi-tubi  dari luar  dan  sokongan sahabat mereka  dari  dalam.....”  Demikianlah  dua  ayat  pertama  seorang  Raja  Penyangak  yang  mengepalai  sebuah  parti  Melayu  yang menciplak  nama  UMNO sedangkan  parti itu  didaftarkan pada  13.2.1988, kerana  UMNO (asal)  yang  ditubuhkan  pada  11 Mei,  1946  sudah  dibubarkan  pada  8.2.1988.

Tetapi, demikianlah  jalan  cerita sebuah  parti  Melayu  yang  dipimpin  oleh  seorang  penyangak  yang  terulung  bangsa  Melayu walaupun  dalam jiwanya  ada  “sesudu  dua  darah  Pakistan”  seperti suratnya  kepada  Tunku  Abdul  Rahman  Putra  dulu.

Saya  percaya  sebilangan besar   perwakilan  UMNO di PWTC  merasa  turut  malu  dengan  ucapan  ataupun  perutusan  yang  haprak  ini.  Sebenarnya perkataan  ‘haprak’  itu  telah  dirujukkan  kepada  Mahathir  oleh  ‘marhaintua’  dalam  satu  siri  tulisannya  yang bertajuk  “Utusan  haprak  Seorang  Penyangak”  dan perkataan  ‘haprak’  itu  semakin  subur  apabila  Musa  Hitam  menggunakannya  dalam  satu  ucapannya  yang  terbaru.   Kini, Mahathir  sendiri  telah menggunakan  perkataan itu lebih  daripada  lima kali  dalam perutusannya.

Alangkah  anihnya,  satu  ucapan  utama  seorang  presiden  parti yang dikatakan mempunyai  keahlian terkini melebihi  2.9 juta  dengan  cawangan  melebihi 18,000 banyaknya menggunakan  majlis itu  untuk  menghentam parti lawan;

a)   Parti    Keadilan  dihentam kerana reformasi jalanannya  dan  kerana bersekongkol dengan  kuasa  asing  untuk  menggulingkan  kerajaan.  

b)   PAS  dihentam  kerana  cuba memesongkan  pemikiran orang Melayu  sehinggakan  disebut  bertanggungjawab dengan  kegagalan  anak-anak   Melayu   mencapai  kecemerlangan  di  universiti dan pusat  pengajian  tinggi.

c)  Kuasa  asing  dihentam  kerana  cuba  menyogokkan  globalisasi  dan  menggalakkan  penyangak  matawang.

d)    Kaum pelajar  Melayu  dihina  kerana  lebih  mementingkan  amalan agama yang   sunat  dan  mengabaikan  mata  pelajaran  mereka.

e)      Masyarakat  Melayu  pada  keseluruhannya  disindir kerana  tidak  tahu  berterima kasih  kepada  UMNO  dan  kepimpinannya  hari  ini  kerana  segala  kemegahan yang  ada.

f)   Mahathir   menyentuh   wawasan  UMNO  selaras dengan  tujuan  sebenar  persidangan  tahunan itu  hanya  di  bahagian  akhir  ucapannya  itu  selepas  melihatkan  tepukan  yang  dingin  dan  semakin  banyak kerusi  yang dikosongkan  ataupun  setelah  melihat  semakin  ramai  perwakilan  yang  monyok  dan  melelapkan  mata.

Kerana   takutkan  bayang-bayang  sendiri?

Mahathir  telah  menggunakan  ‘mass-hypnotism’  dengan  memukau  minda  para  hadirin  dengan  baris-baris  terawal ucapannya  itu.  Dia telah  menghentam  parti  Keadilan  sebenarnya,  meneguhkan  pendapat  masyarakat  rakyat  yang  cintakan  harmoni  di  negara ini,  memang  Mahathir  terlalu  taksub  takutkan  kewujudan  Keadilan,  sehingga  sanggup  memenjarakan    para  pemimpinnya dengan   undang-undang  ISA  yang  zalim  dan berbisa.  Jika  tidak, masakan  dia  berkata;

-         Demonstrasi  jalanan  di  negara  asing  mahu  ditiru  dan dilaksana di  negara ini  oleh  pemimpin  tertentu  untuk  menggulingkan  negara.

-          Ada  pemimpin  ini  “yang   mencuba  mendapatkan  bantuan  pemimpin  negara lain  untuk  menyumbang  tenaga  perusuh  ketika  melakukan demonstrasi di jalanan”

-    “Ada  pemimpin negara asing  yang  sedar,  betapa  demonstrasi  jalanan  di  negara  mereka  tidak  dapat  membantu  membetulkan  keadaan  negara  mereka.  Dengan  itu  mereka  menolak  untuk  membantu   pemimpin tertentu  yang mahu  melaksanakan    reformasi  keganasan ini” 

Mahathir  menyindir  parti Keadilan kerana  mahu  menggalakkan  budaya  “mob rule”   yang  tidak  berlandaskan  kedaulatan  undang-undang.  Dia  menuduh  “pemimpin haprak”  ini  melakukan  segala  keganasan  “kerana mereka  gagal   mencapai  cita-cita sendiri.” 

"Perubahan yang baru  mahu  dibuat  di  negara  asing  itu    sudah  lama  dibuat  sejak  kemerdekaan  dicapai  di  negara  ini.”  Demikian  kata  Mahathir  ketika  memperlekehkan  sikap rakyat  yang  sedia  berdemo  di jalanan  untuk   menyanggah kerajaannya.  Cuma  Mahathir  tidak   menyebutkan betapa  di  semua  negara yang  kerap berdemonstrasi  ini tidak  pun  ada  akta  zalim  seperti    “Akta  ISA”.  Di  semua  negara  ini, rakyat  bebas  membaca  apa  akhbar  yang  ia  suka  dan  akhbar dan  majalah  tidak  perlu  permit  untuk  diterbitkan.  Malahan,  rakyat   mereka bebas mengendalikan  radio  awam.

PAS Yang Menakutkan

Pada  kali ini,  berbeza  dengan yang berlaku di waktu  lalu,  Mahathir  sudah berubah  menjadi seorang  ustaz  dengan  membaca  beberapa potong  ayat  Al Quran untuk  menegakkan  benang basah.  Demikianlah   cara beliau  memperlekehkan  PAS. Seperti  biasa, PAS  adalah  segala-galanya  yang  menyumbang  terhadap  kemunduran  pemikiran  orang  Melayu  di  waktu  ini  kerana  memberi  penekanan  terhadap  usaha  untuk  memburukkan  UMNO.

Demikianlah,  laksana  yang  dibuatnya  selama dua  puluh  tahun  menerajui  negara,  Mahathir  mengulang-ulang  segala  inti pati  ucapannya  yang lalu  itu  sambil  menuduh  sesiapa sahaja yang  bertanggungjawab  dengan  keadaan  negara  MELAINKAN  seorang  insan yang bernama Mahathir bin Mohammad.  

Menyentuh  dan menyeluruh  dalam ucapannya  itu  Mahathir ada  menyebut:

“Keadaan  di  Malaysia  bukanlah  terlalu  baik dan ini  perlu  kita  akui. Kita  harus menghargai  sebarang nikmat  yang  kita  terima.  Kita  harus  bersyukur  kerana  orang  asing  memandang  kita  bernasib baik  dan  bertuah  hingga ramai  yang  sanggup  bermati-matian  berhijrah  ke negara  kita .

Ekonomi Mahathir  yang  Sudah  Pulih

Mahathir  berkata  dengan  begitu  bersahaja:

“Ekonomi  sudah pulih  walaupun  belum  sepenuhnya. Bukan  kerana kekuatan  lama yang balik semula    tetapi  kerana   kemerosotan  ekonomi  lain,  di Asia  Timur.  Kita  tidak  dapat  menentukan  samada  serangan serentak  oleh  penyangak  matawang  dirancang ataupun  tidak.  Tetapi  yang  nyata  ialah  kerosakan yang  teruk  berlaku kerana   tidak lagi  dapat  mencabar  ekonomi  barat. Lebih  daripada  itu  kuasa asing    menguasai   melalui  dana antarabangsa  dan  bank  dunia. 

“Melayu  terlalu  leka  dalam  hidupnya  kerana adanya  kerajaan  dan kuasa  politik  yang  akan kekal. Justeru  itu  apa gunanya  berusaha  dan  rajin  kuat  bekerja.  Mereka  harus  menguasai ilmu  dan  kecekapan supaya  tidak  perlu  bergantung  kepada kuota.  Bodohlah  mencapai  semua  dengan  bersusah  payah.  Apa  perlu berterima kasih  kerana  apa  yang  didapati itu  adalah  hak  kita,  kerana  ada  tok  guru  yang  ajar  jangan  berterima kasih.  Orang  Melayu bukan  bodoh, tidak  cerdik.  Sama  bangsa  lain berusaha  lebih daripada  orang  Melayu Orang  Melayu perlu  berusaha, rajin,  kuat  bekerja dan  menuntut  ilmu, pegang kuat  kepada   beragama dan mengamalkan  yang baik-baik.”

“Kita  boleh...........  orang Melayu boleh,  Allah  kurniakan semuanya   sama  rata dan   telah tentukan  apabila  manusia  berbuat berulang kali  ia  akan  jadi cekap  dan pandai.  Zuriat  kita  akan  warisi  kepandaian  kita.  Jika  Melayu  tekun  dan  sabar  kita  akan berjaya. Permulaan  mesti  dibuat, mengikis  kepercayaan (betapa)    kita  akan  tetap  selamat, apa  juga  kerajaan yang   bertuan  di Malaysia. Orang selalu  telentang di atas tikar, tidak boleh  berdiri kerana  otak  lemah  dan pening. Jangan memintak-mintak. Jangan  terima bantuan.  Balas  balik  kerana  lebih  mulia.  Ini lebih  mulia  daripada  sikap tidak  bersyukur  dan  pertolongan.  Orang yang tidak bergantung kepada bantuan,  tekun  dan sabar dan tidak ingin cepat kaya,  adalah  orang Melayu  yang dapat    bertahan dan berjaya.  Masyarakat  Melayu  yang dipenuhi orang bersifat  begini   akan lebih selamat, dalam apa  juga  keadaan.  Tak  lama  lagi   apabila globalisasi, orang Melayu tidak boleh  bersembunyi di  belakang   hak  keistimewaan apabila  benteng   negara dirobohkan.  Segala  dasar  dan  pertahanan hak  akan  dicabar.

Demokrasi hak sama rata, meritokrasi, hak  asasi manusia, hak istimewa  orang  Melayu  akan dibelasah.  Orang Melayu  sendiri  akan menjadi pengkhianat kepada  konsep  globalisasi  ini. Mungkin orang  ini  merasa  malu  tetapi  mahu dipuji oleh tuan  mereka. Kaki bodek orang  asing dipuji kerana  “progressive  and worldly”.  Keadaan  Melayu  kan  datang  akan  menjadi lebih teruk  hari ini disebabkan  kesan  haprak  ini.

“Kita  tidak boleh yakin  jika  kita  mempunyai  kekuatan  melainkan  disuap oleh  orang lain,  kemungkinan  tinggal nama  ‘Takkan  Melayu  Hilang  di  Dunia.’  Kata-kata   sebutan  Hang Tuah  ini  boleh  ulangi  dan  jadikan  tajuk  seminar.  Tetapi  kalau  Melayu    tidak sanggup  mengejar  ilmu  sezaman,  kita  boleh hilang menjadi  hamba dan ini  akan  menjadi  lebih  jelas dan  nyata  kerana   orang  Melayu  sudah  terlalu tamak  sehingga bangsa dan agama  tidak jadi  penting oleh orang  parti dan parti

Masyarakat  Melayu yang  dihina  Oleh Raja  Penyangak

Semua  yang  berlaku  di  negara ini  adalah  kerana  orang  Melayu  yang  tidak  tahu  bersyukur,  mengikut   pendapat  si raja penyangak  .  Subsidi  UMNO  dikatakan  menjadi  senjata   kuasa  yang  meletakkan  orang  Melayu  menjadi  naib  chanselor  dan  dekan-dekan di  universiti.  Pelajar  Melayu  terutama  sekali kumpulan  lelaki  sudah  malas  belajar  sehinggakan  lebih  selesa   bergiat  dalam kesatuan  pelajar  dan  aktiviti  agama daripada  mentelaah  kajian  mereka.  “Nisbah  taburan pelajar  wanita dan  lelaki  ialah  20 persen  pelajar  lelaki  kepada  80  persen  pelajar  wanita  di  universiti.  Tetapi,  pelajar  lelaki  menguasai  semua  persatuan  pelajar  di  universiti.”

Ketika menghenyak  PAS,  Mahathir  telah  menyebut  beberapa    keratan  Ayat  Quran  untuk  menghina  orang  Melayu dan  bukannya  untuk menghina  PAS.

Apa juga  saranannya mengikut  ajaran  Al Quran  itu  merupakan  perbuatan  yang  diamalkannya.  Dia tidak mahu  orang  Melayu  menabur  fitnah  tetapi  bagaimana  dengan  tuduhannya  terhadap  Anwar  yang  berkelakuan  di  luar  tabii?  Apabila  dia  mahukan  ahli  UMNO  memerangi  rasuah,  bagaimana  pula  kisah  dia  membelanjakan  wang  royalti  petroleum  kepada  UMNO  yang  sudah  pun  hilang  kuasa  memerintah  kerajaan  Terengganu.  Apabila  dia  cakap  pemimpin PAS  yang  suka  berbohong,  bagaimana  pula  dia  boleh  menuduh  Anwar  tetapi  takut  menghadapi  mahkamah  yang  mengeluarkan   sapina  kepadanya?

Kita  mahu  tengok  apa  pemimpin  dan  perwakilan  UMNO  lakukan  selepas  ini  dan  selepas  mendengar  segala  kelentongan raja  penyangak  ini.  Kita  mahu  tahu  apa  yang  akan  mereka cakapkan   setelah  diberi  rayuan  dan ingatan  oleh Raja  Penyangak yang  menutup ucapannya  dengan  berkata:

“Wahai orang-orang Melayu,  wahai bangsa  Melayu......  sudah  lupakah  kamu....?”

Tengku Mazlan

Di luar  PWTC
21  Jun, 2001.

bersambung........ Bahagian Dua:  Kerajaan  Haprak Selama dua  Puluh Tahun

Jumlah pembaca:orang