Kerajaan   Haprak Selama  20 Tahun

(Untuk Melayu Yang Mudah  Lupa)

Sejarah  dunia telah banyak  merakamkan  apabila  pemimpin utama sesebuah  kerajaan  itu  dengan  angkuh dan  sombong mengatakan  bahawa  kerajaannya  itulah  yang  paling  terbaik berbanding  kerajaan lain  yang  sezaman  dengannya, bererti  kerajaannya itulah  yang  banyak  cacat  celanya. Demikian jugalah  yang  berlaku kepada  kerajaan  Malaysia  pimpinan  Mahathir  sejak  20 tahun  yang  lalu.  Selagi  Mahathir  terus  memperagakan segala  projek  mega  dan  keangkuhan  regimnya,  selagi terserlah  segala  kejijikan  dan  kebajingan yang  menyelatui  kerajaannya.  Sayang,  di  sebalik  segala  keangkuhan  dan riak  itu, rakyat marhaen juga  akan terus  merana dan tertipu. Generasi   bangsa  Malaysia  yang  masih  kecil kini  yang  akan  turut  terpalit  segala bebanan hutang  kerja-kerja  kebajingannya  itu. 

Penulisan ini  dicetuskan  oleh  ucapan dasar  presiden UMNO  ‘Raja  Penyangak’ yang terus  membohong  dan membuat  fitnah  dan kerja  kelentong  untuk  mengabui  masyarakat  Malaysia  seluruhnya. Barang  diingat apabila  Mahathir  berucap  di  PWTC  pada  perwakilan  berjumlah  2,027  orang  itu,  dia bukannya  mengabui  keseluruhan  ahli  UMNO  yang  dikatakannya  berjumlah  2,919,003   dan  yang  menganggotai  18,202 cawangan kesemuanya..  Yang lebih  penting lagi  ialah  kertas  ucapannya itu  akan  menjadi  satu  bahan  rujukan  para  pelajar  universiti  dan  penyelidik   negara  ini  di  masa  yang akan  datang. Adalah  menjadi  satu  tugas  untuk  kita  membetulkan  banyak   bahan kelentongan  ini  dengan harapan  para  perwakilan  yang  masih  berada  di  PWTC  itu  akan  sedar betapa   besarnya  dosa  bersekongkolan  dengan  si  bedebah  ini.  Kalau  dia  boleh  berkata  agar   ahli  UMNO  jangan  bersifat  suka memfitnah  dan  berbuat  bohong,  kita  boleh  katakan  kepada  dia  semua  sifat jijik itulah  yang  selama  ini  menjadi  penghayatannya  sehinggakan  negara  ini  kucar-kacir  dan  masyarakat  Melayu itu  menjadi  terumbang ambing  hidupnya. Sayang,  di sebalik  segala  retorik  Mahathir itu  negara sedang  dihenyak  bayangan  kemuflisan  kerana  kepimpinannya   yang  sungguh  haprak  sehinggakan negara  peninggalan   Tunku, Razak  dan  Hosing  sudah  menjadi  penghutang  tembaga keliling dunia.

Mahathir  dan  UMNO.

Kita  tidak seharusnya  terasa  berdosa  menggunakan  perkataan  kasar  terhadap  Mahathir  kerana  dia  yang  mengajar  kita  bersikap kurang  ajar. Dia  selalu  berbohong  dalam  ucapannya.  Malahan,  ramai  masyarakat  peniaga Cina yang berkata:  “Kalau  itu olang  buka  mulut,  semua  cakapnya bohong...” Namun,  kita  mesti  bersikap  rasional  mengamatinya  kerana  ini  adalah penting  untuk  bacaan  generasi  masa  depan  negara.

Salah  satu  rakaman  penglibatan  Mahathir  dalam  UMNO yang  terbaik,  pernah ditulis   oleh  Aziz Zaraiza  Ahmad  dalam bukunya  “Mahathir’s    Paradigm Shift” terbitan  Firma Malaysia Publishing.)  Penulis  itu  membahagikan  pentadbiran  Mahathir  kepada  dua  era,  di  mana  era  pertama  ialah  antara  1981-1987. Ini bererti  era  kedua  ialah  antara  1988  sehingga kini.  Kalau  era  pertama itu  memakan  masa  6  tahun,  era  kedua  sudah  pun  menjangkau  lebih  daripada dua kali ganda. Ini  juga  bererti  Mahathir  berjaya  mencengkam  kuasa  dengan  segala  tipu  muslihat  sehingga  dia  mampu  melepasi  tarikh  pupusnya.

Secara rasminya  Mahathir  memulakan tugas  sebagai  wakil rakyat  pada pemilu  1964  selepas memenangi   kawasan  parlimen  Kota Setar.  Dia  kalah pada  pemilu  berikutnya  di  tangan  Arwah  Haji  Yusuf  Rawa.  Itulah  yang  membuatkannya  menulis  satu  surat  ‘istimewa’  yang  mengutuk  Tunku Abdul  Rahman  Putra dengan  tuduhan  Tunku  memberikan   tumpuan  terhadap  sahabat Cina  beliau. Ketika  itu  bermulalah  satu  usaha  beliau  dan  satu  pergerakan  di  kalangan  segelintir  puak  melayu  yang berjaya  dipengaruhinya    mengkritik  kepimpinan  UMNO. Tidak  lama kemudian,  muncullah  satu buku istimewa  berjodol  “The  Malay  Dilemma”  yang  diilhamkannya  di  mana  dia  menyebut  dengan  panjang  lebar  betapa  kelemahan  Melayu  ketika  itu  adalah  disebabkan  unsur-unsur  genetik.  Sekaligus  Mahathir  dicop  sebagai  ‘The  Ultra  Malay’ kerana  keberaniannya.  Dia  disingkirkan  dan  digantung  keahliannya.

“The  Malay  Dilemma”  disebut  sebagai  pemangkin  yang menonjolkan  Mahathir ke  arena  global dan bukunya  dibaca oleh  pengamat  politik rantau  ini. Namun, Marhaintua  pernah  berkata,  penulisan itu  adalah satu  kelentongan  juga  kerana sebahagian  inti pati  is buku  itu  terdapat  dalam  artikel  terbitan  “Washington  Papers”.  Lagipun  mengikut  Marhaintua  kalau  Mahathir  betul-betul  ikhlas  mahu  menyedarkan orang  melayu dia  sudah  menulis  buku  itu  dalam Bahasa  Melayu  dan  bertajuk  ‘Dilema Melayu’.  Bagaimanakah  Mahathir  mahu  membawa  kesedaran  kepada  orang  melayu  kalau  ideanya  yang  dianggap  unggulan  itu  tidak dapat  dibaca oleh  majoriti orang  Melayu? 

Demikianlah  naiknya  Mahathir dalam arena  politik  dengan pengunduran  Tunku  Abdul Rahman, apabila  Tun  Razak  melantiknya  menjadi  seorang  senator  pada 1973. Perlantikan  itu  membantu  beliau  memenangi  semula  kerusi  parlimen  dalam pemilu  1974 dan  Razak  melantiknya  menjadi  Menteri  Pelajaran. Ketika  menjadi  menteri  pelajaran  itu, penggunaan  Bahasa  Melayu  sebagai  bahasa  pengantar  di  sekolah  menjadi  hebat  sehinggakan  kesannya  pada  hari  ini,  ramai  anak Melayu  yang kurang  fasih  dalam Bahasa  Inggeris.  Anihnya pada  ucapan dasar  beliau  pada  21 Jun 2001  (17  tahun  selepas  beliau  menjadi menteri  pelajaran)  Mahathir  mahukan  orang  Melayu  menguasai  Bahasa  Inggeris. Kenapakah dia  tidak sedarkan  perkara ini  ketika  menjadi  Menteri  Pelajaran  dulu?

Mahathir  naik  menonjol ketika  Tun Razak   menghadapi  masalah  kesihatan dan  suasana  politik  negara  dihantui  kemelut  rasuah  Bank Rakyat  yang  berputik  daripada  perlawanan  tinju  Mohamad  Ali-Joe Bugner.  Inilah  kemelut  yang  berakhir  dengan  Datuk  Harun  Idris  dipenjarakan. Dato’ Harun  Idris masih  bernyawa  lagi,  pergilah  tanya  beliau  kenapa beliau  boleh  masuk  penjara  sedangkan  apa  yang dilakukannya  adalah  usaha  untuk  memperkayakan  UMNO?  Jangan lupa tanya  beliau  siapakah  yang  memutarbelitkan fakta  untuk  di bawa  ke mahkamah.  Yang lebih penting  tanya  beliau  siapakah  yang  menyebabkan tercetusnya  peristiwa  Mei  13.

-         Naik Menjadi  Timbalan  Perdana  Menteri

Mahathir  menjadi  timbalan  perdana  menteri  kerana  dipilih oleh  Hussein Onn. Dalam  bukunya  bertajuk “The  Musa  Dilemma”  K Das  telah  memberikan  jawapan  bagaimana Hussein  Onn  melantik Mahathir sebagai timbalannya. Pada muka  surat  115  beliau menulis  (diterjemahkan  di  bawah ini

“Saya  teringat   jawapan  Hussein Onn pada  Disember 1978  ketika  saya bertanyakan  kenapa  dia  memilih  Mahathir  sebagai  timbalannya  pada  1976. Hussein  telah  memberikan  satu  jawapan yang  panjang  dan  meleret-leret. ‘Saya  terpaksa  memilih  salah  seorang  antara tiga orang yang  dipilih)  timbalan  presiden   UMNO’  katanya.   Saya  mencelah  dengan  mengatakan  betapa  Perlembagaan  negara  ataupun  Perlembagaan  UMNO  tidak  pun  memestikan  beliau  membuat  pemilihan serupa  itu. Dia tersenyum  dan berkata; ‘Tetapi UMNO  memang mahukan  perkara itu  berlaku  juga.’

Tetapi, kenapa  Mahathir?

‘Saya  terpaksa  memilih  seseorang  yang berpendidikan’.  Bererti  Ghafar  Baba  tersisih  kerana  tidak  ada  lulusan  tinggi.

‘Saya  terpaksa  memilih  seorang  yang  matang  fikirannya dan sudah  berumah  tangga.’   Ini mengenepikan  Tengku Razaleigh,  yang masih  bujang.”

Apa  yang ditulis  oleh K. Das  dalam buku itu  ialah  adanya  satu  pakatan antara  Mahathir  dengan  naib presiden parti UMNO  ketika  itu, seandainya  Hussein  tidak memilih salah  seorang  mereka, besar kemungkinannya mereka merencana  satu  bantahan  seluruh  negara. Yang  anihnya  apabila  Mahathir  menjadi  perdana menteri,   dia  memilih  Ghafar  Baba  sebagai  timbalannya, untuk menggantikan Musa Hitam yang  mengundurkan  diri.  Ghafar Baba  masih  bernyawa  lagi,  dan tanyalah  beliau kenapa  beliau  dipilih  dan  apa  janji-janji  manis  Mahathir  ketika membuat  pemilihan itu.  (Sejarah  merakamkan  betapa  Ghafar Baba  hampir  jatuh  bangkrap  dan  terpaksa  diselamatkan  dengan  membayar  tuntutan  hutang  yang   dihadapinya).

Mahathir  menjadi  Perdana  Menteri  Malaysia  secara  rasminya  pada  Julai  16,1981.

Kesilapan  Mahathir  yang  Paling Besar

Mahathir  mungkin  akan terus  bergaya  dan bersuara  lantang  dengan  segala  unsur  riak  dan takabur betapa  dia  sudah  berjaya   membawa Malaysia  ke  taraf  negara  maju. Sejarah  akan membuktikan  yang  sebaliknya.  Apa  yang digembar-gemburkan  sebagai kejayaan  kini  sebenarnya  dilindungi oleh pelbagai  tabir kepalsuan  yang  disuntik  dengan jutaan  wang  untuk  mengongkosi  rencana  iklan  dan  puji-puja  yang  diulang-tayang  bertubi-tubi  di  seluruh  dunia.  Ini bukan  masanya  untuk  menganalisa  kesilapan besar itu  secara  terperinci kerana itu kerja  analisis  yang  memerlukan  masa.  Memadai kita  bincangkan  beberapa contoh  sebagai  ilham  perdebatan  sahaja  yang difikirkan  boleh  menjadi renungan  orang  Melayu.

Silap  Rancangan  Mewarisi  Syurga  Dunia.

Ada  orang  kata,  ekonomi  Malaysia  di  saat  akhir  tempoh  pemerintahan  Hussein  Onn  sengaja ditekan  oleh  satu  kuasa  besar  yang  mahukan  Mahathir  naik  bergaya.  Ada  yang  menyebut  pembabitan  Freemason  dan segala  kumpulan  haram  Asia  seperti Yakuza, Triad  dan  juga  mafia  yang  aktif dalam  kegiatan  bajingan  haram  dan  matawang.

Apabila  Mahathir  naik ekonomi berubah  mengikut  edaran  pedati   ekonomi  sejagat  dan  Mahathir  cuba  menubuhkan  satu  firma  multinasional  setanding  dengan  Sogososha  Jepun.  Malangnya  orang  yang  disuruh  menerajui  sogososha  Malaysia itu  ialah  seorang  peniaga  Cina  haprak  sahaja. Kenapa  dia  tidak  pilih  orang Melayu  yang berpengalaman berniaga  dan yang lebih  tinggi  pendidikannya  daripada  Abdullah  Ang  adalah  satu  tanda tanya  juga. Maminco lingkup dan  harapan  rakyat  Malaysia  mahu  melihat  projek  itu terlungkup   sama. Tetapi, itu bukannya  kegagalan  pertama Mahathir  kerana  dia pernah  gagal  dengan  rencana   ‘Sate  Ria’  yang cuba  ditonjolkannya  untuk  menandingi  Kentucky  Fried Chicken  secara  francais   satu  ketika  dulu.  Sate Ria lingkup  tanpa  pusaranya. 

Pada Ogos 3  1981, Mahathir memperkenalkan   perakam waktu di  pejabat kerajaan.  Lima hari  kemudiannya  kerajaan  Mahathir  melalui Musa  Hitam  memastikan  setiap  pegawai   kerajaan  mengisytiharkan  harta  mereka.  Anihnya,  Mahathir  tidak  perlu  mengisytiharkan  harta  kepada  sesiapa.  Kalau  dia  betul-betul  ikhlas  dia  menyerahkan  senarai  hartanya  untuk  disimpan  oleh  parlimen  ataupun  pemegang mohor  besar  raja-raja. Sejak itu  bermulalah  satu  sejarah  panjang  antara  Mahathir  dengan  dunia luar  yang bermula dengan    keengganannya   menghadiri  persidangan ketua  negara Komanwel  di  Melbourne  pada  2  September,  dan  rancangan  ‘Buy  British  Last’   pada  10  Oktober  1981.  Pada  12  November  akta  Universiti  (AUKU)  diperketatkan  dan  pada  15 Disember 1981, dasar pandang ke Timur  (Look  East)  dimulakannya.

Dalam jangka enam  bulan  selepas  menerajui  kuasa  perdana  menteri  Mahathir  telah  melaksanakan  pelbagai  perubahan  yang  menyanggah  teori perubahan  (teory  of  change):  “A  sudden  change induces resistance to change”  (Perubahan  yang  Mendadak Selalunya  Mengundang  Tentangan).  Keghairahan  menunjuk-nunjuk  telah  mengabui   pemandangan  Mahathir  dan  menggelapkan  perencanaannya.

Sejarah  kepimpinan  negara  membangun  menunjukkan  seseorang pemimpin yang berjaya  melaksanakan  pembangunan  mengikut  perkara  yang  amat  difahaminya.  Tunku  Abdul  Rahman  menumpukan  pembangunan  sebuah  negara yang baru  merdeka  terhadap  ‘public relations’  yakni  hubungan sesama  manusia  untuk  menjadi  satu  teras  persemuafakatan serba  kaum  ke  hari ini.   Tun  Razak  menumpukan  kepada  pembangunan luar  bandar  kerana  dia mahu  merapatkan  jurang  perbezaan  ekonomi  antara  Melayu  dan  bukan Melayu.  Tun Hussein Onn  menghabiskan  banyak  masanya  untuk membetulkan masalah  perpecahan Melayu  di sebalik pemenjaraan  Dato Harun  Idris. Dato’  Harun  masih hidup  lagi, dan tanyalah  beliau  kenapa  dia dipenjarakan  sebenarnya.  Adakah  disebabkan  salah guna  kuasa  ataupun  penyelewengan wang  yang  kalau  dibandingkan  dengan  Episod Carrian  di  Hong Kong yang  meranapkan  Bank  Bumiputra.

Besarnya Sudu  Daripada Cawan.

Mahathir cuba  lebih  pandai daripada mereka semua dengan melaksanakan pelbagai usaha: (a) menjadi wira dunia ketiga  dengan  menyanggah  kuasa besar,  (b)  cuba menonjolkan  negara  menjadi  negara  maju  dengan  melangkau  era  perindustrian kecilan  dan  cuba  menerbus  terus  ke dalam  era  industri  berat;  (c)  menonjolkan  satu kumpulan  korporat Melayu  ke  taraf  antarabangsa dengan cara  sistem  ‘parachute’,  (d) menyamun khazanah  bangsa  untuk  menutup  segala  perancangan  yang  bercelaru  untuk  memuaskan  nafsu  serakahnya;  (e) berbohong  dan  menipu  bangsanya  kerana  kerugian  berbilion  ringgit  disebabkan  kegagalan  segala  projek besar itu; (f)   menekan  dan  memenjarakan  sesiapa  sahaja  yang  cuba  menyedarkan  kebajingannya  (g) memperlekehkan  sesiapa  sahaja  termasuk  agama anutannya  kerana  dianggapnya  sebagai penghalang  kepada  kerakusannya  itu. 

Tujuh  unsur  di atas  adalah  penghalang  kepada  kemajuan  Malaysia  untuk  membangun  secara  bersistem  memasuki gerbang  kemajuan  tamaddun dunia.  Semua ini  adalah  disebabkan kerakusan  seorang  pemimpin  penyangak  yang  berotak  haprak.  Kita  tidak mahu  mengulas  panjang  perkara  itu  untuk  membiarkan  para  perwakilan  UMNO  yang  bijaksana memikirkannya. Tetapi  kalau  kita  terima  falsafah  bahawa seseorang  pemimpin  politik  sepatutnya  melaksanakan pembangunan  yang  terdekat  dengan kepakarannya,  kita  akan  sebut  di  sini  perkataan ‘Medico-tourism’.  Sepatutnya  Mahathir  cuba  membangunkan  negara  ini  dulu  dengan  konsep ‘Medico-tourism’  sebagai  teras  pembangunannya.

Apakah Medico-tourism?

Kita  jawap  soalan  ini  dengan contohnya:

Di Lautan  Merah (melalui  Jordan  dan Israel)   air  masin yang  tinggi  kandungannya  menjadi  bahan  percutian  untuk  mereka  yang  berpenyakit  dan mahu berehat.  Kalau kita  pergi ke beberapa  bekas negara Blok  COMECON (Hungary,  Poland  dan Romania) kita dapat  lihat  betapa  perkhidmatan  cabut  gigi,  pembedahan   plastik (plastic surgery)  euro-acupuncture  dan  sebagainya disediakan  di  bangunan  hotel-hotel  utama. Di  Peranchis, Korea  Utara  dan  beberapa  negara Afrika timur,  air panas belerang, dan    air lata (air-terjun)  menjadi  tarikan pelancung  untuk  menerima rawatan. Di  situ  disediakan  tukang  urut  yang  pakar-pakar.  Di Cina dan Taiwan,  tempat  kesihatan  ini  (spa)  diutamakan  dan  masyarakat  buta dan  bisu  dilatih  untuk  menjadi  petugas  memberikan  rawatan  kepada  anggota  yang  lemah  dan  longlai. 

Bayangkan kalau  Mahathir dan  juga  Hasmah telah  memberikan  keutamaan  kepada  projek  ini  sudah  tentu  ia  mengembangkan  industri pelancungan yang  mampu  menjana pelbagai  industri  sampingan  yang  lain.  Oleh kerana tempat  medico-tourism  ini  boleh  diadakan  di  merata  negara, tanpa  bangunan  tinggi-tinggi  dan  keperluan  mengimpot  pokok dan rumput  rumpai  dari  negara  asing,  sudah  tentu  ia  pun  menjana  industri  pertanian  dan  penanaman  herba  yang luas kawasannya.  Sekaligus masyarakat  desa  menjadi pintar  bertutur pelbagai  bahasa  selaras  dengan  keperluan  komunikasi  dengan pelancung asing.  Secara tidak langsung  ia  memberi   ruang  kepada  industri  penerbangan pesawat  kecilan  yang  memberi  sokongan  kepada   sistem  perkhidmatan  penerbangan negara.  Apabila  ramai orang luar  yang  banyak   duit memasuki  kawasan  luar bandar,  ia menjana  satu  rangsangan  untuk  mendidik masyarakat  luar bandar  itu  menjadi  lebih  pintar. Semakin  selesa  orang  kaya  dan  tua  datang mendapatkan  rawatan  di sini semakin ramai  yang  sanggup terus  menetap  sehingga mati. Contoh  yang  terbaik  ialah  Taman  Nirwana di  Mantin  dan  Semenyih.  Apakah itu  projek  tajaan  kerajaan?

Sebaliknya,  kemajuan  negara  kepada  Mahathir  dan  Siti  Hasmah  ialah pembikinan  menara  kembar  yang  tertinggi  d  dunia  yang  tidak pun mampu mendapatkan  sewaan  hingga  ke hari  ini, pembikinan  lapangan terbang  terbesar  di  Asia  yang  kesepian  menantikan  pesawat  udara bersimpang siur,  litar lumba kereta  yang  hanya  menampung perlumbaan  hanya  sekali  setiap  tahun untuk  menghibur. Bayangkan  sahaja  bagaimana Sukan  Komanwel terbesar  di  negara ini  ditaja  sehinggakan  projek itu  tidak  mendatang keuntungannya.  Sehingga hari  ini banyak  projek infrastruktur  yang  dimaksudkan  untuk SUKOM  itu  masih  belum  lagi selesai  pembikinannya.  Apakah  Mahathir  fikir  rakyat  Malaysia  tidak  merasa aib  melihatkan  kereta lumba  F1  berlegar-legar  di litar  dunia  dengan logo ‘Petronas’ terpampang  dengan  terang   tetapi  kereta  lumba itu  dipandu  oleh  orang  asing?  Apakah  Mahathir  fikir  orang  Melayu  lupa betapa  Litar  Lumba  membayar  lima  juta  setiap  tahun  hanya  untuk  permit  mengadakan  lumba  kereta  setahun  sekali  di  Sepang?

Bayangkan  kalau  hanya  sepuluh   persen  wang  yang  dibazirkan  untuk  projek  mega  yang  membazirkan  wang  itu  digunakan  di merata  negara  di  daerah  desa  dan  perkampungan  untuk  mewujudkan  projek  ‘medico tourism’ betapakah  nikmat  dan  faedahnya  kepada  negara.  Di  Singapura  ada projek hanya  beberapa  ekar  sahaja untuk  memelihara  ikan  emas  jenis  ‘koi’  di mana yang  empunya ikan  boleh  datang  bermain-main dengan  ikan peliharaan untuk  kenikmatannya.  Bayangkan  kalau projek itu ada  di  Malaysia.

Bayangkan pula  kalau  setiap  bekas  lombong  bijih  di  Malaysia  dan  tasek   yang  besar-besar  dijadikan  tempat  para nelayan  pantai  berhijrah  setiap  kali  munculnya  musim  tengkujuh. Bagaimanakah agaknya  pendapatan  mereka  dengan  inovasi  begitu? 

Yang  Tergigit dan Tergugat

Projek mega yang dilaksanakan  tanpa  tender-terbuka  dan  tanpa perancangan  menyeluruh mengenai penggunaannya  menjadi  stail  pembangunan  negara  untuk  memuaskan nafsu  serakah Mahathir  Mohamad. Sesiapa  sahaja  yang  menentangnya  diaibkan  sehingga  ada  yang  terpenjara  akhirnya. Untuk  membina  semua  projek  mega  itu,  dia  memfaraidkan  segala  projek kepada  para  kroni,  suku-sakat,  para   pakpacak (meminjam  terma Shannon Ahmad  dalam  bukunya  ‘muntah’). Sesiapa yang  menolak  kerakusan itu  didera, ditahan  dan diaibkan.  Inilah  yang  berlaku  kepada  Anwar  Ibrahim sehingga  membabitkan  orang  luar  negara  seperti  Dr.  Munawar  Anis,  Sukma,  dan  sebagainya.  Begitu juga  dengan  pemimpin muda  dan  aktivis negara  seperti  Ezam,  Chian Tua, Gobalakrishna,  Badrul Hisham,  Shaari Sungip, Isyam  Rais   dan  banyak  lagi  yang  telah  ditahan  di  bawah  ISA  dan  dipenjarakan.

Mahathir  sudah  menjadi  buas  dan ganas.  Semua itu difikirkannya   perlu  untuk  mencapai cita-citanya   walaupun  rakyat  sudah  menggelarnya  ‘Maharfiraun’  dan ‘manusia  berhati  syaitan’.  Dia tidak kira  semua  itu  walaupun  ramai  orang  yang  dianggapnya  sahabat  bertukar  menjadi  seteru.

Mahathir  Yang Lupa  Daratan

Apakah  tujuan  sebenar  Mahathir  menuturkan ucapan dasar bertajuk  “Melayu  Yang  Mudah  Lupa?” sedangkan  sebahagian  ucapannya itu  ada  tersebut  di  bawah  tajuk  “Pengaruh  Keturunan  dan  Alam  Sekitar  Ke atas  Bangsa  melayu”  dalam ‘dilema  Melayu’  hasil terjemahan  Ibrahim bin Saad  daripada  bukunya  “The  Malay  Dilemma’. Bagaimanakah  tergamak  Mahathir   mengaibkan  anak-anak  Melayu  dan  cendikiawan Melayu  di  menara gading,  sedangkan  dia  sepatutnya  memikirkan  betapa  masih banyak  sekolah  menengah  di  pekan-pekan  yang  tidak  mempunyai  makmal  sains  dan  juga  perpustakaan  yang  lengkap.  Bagaimana  pula  dengan  guru  yang  berkelayakan dengan  setiap  mata-pelajaran yang  ada. Cuba  tanya  perwakilan  yang  datang  daripada  rancangan  tanah, berapakah belanja anak-anak  mereka di  sekolah  menengah? Apakah mereka  mampu  menghantar  anak-anak  ke  sekolah  tambahan  (tuition) dan mampukah  mereka  membawa  anak-anak menjelajah  negara  ketika  cuti sekolah?

Di manakah   terletaknya  keseronokan  Mahathir  mengkritik bangsa  sendiri  sehingga  sanggup  menghina  mereka, sambil  disaksikan perwakilan  asing?  . Apakah  dia  tidak  terasa  berdosa  bahawa  sebahagian  besar   kepincangan negara  dan  kekurangan  bangsanya  adalah  disebabkan pentadbiran  negara  yang  songsang  hanya  untuk  memuaskan  nafsu  serakahnya  yang  tidak  kenal kenyang?  Satu  contoh  yang  paling baik ialah  Terengganu.  Kenapakah  Mahathir  tidak bentangkan  jumlah  royalti  yang  ditelan  oleh  kerajaan  BN  dulu  dan  apakah  yang  dilaksanakan  di  situ? Kenapakah  selepas  kalah,  royalti  itu  dikira  tidak  sah?  Penyangak  kelas  manakah  Mahathir  ini   bersama  menteri  Melayu  dalam  kabinetnya?  Apakah  salah  kalau  dengan  ini  dia  diberikan  gelaran  politikus  haprak  berkelas  Raja  Penyangak?

Mahathir  harus  sedar  orang  Melayu  merasa  terhina  dengan  segala  gelagatnya  menghina  golongan  ulama seperti  Tuan Guru  Nik  Aziz  dan  Tuan  guru  haji  Awang  Hadi.  Memang  benar mereka berpolitik,  tetapi  mereka diterima oleh  masyarakat  Melayu  dan  mereka  diiktiraf  sebagai  orang-orang  yang  berilmu.  Kalau  mereka  memimpin parti  politik  jawatan  mereka itu  dipertandingkan dan bukan  dibrahminkan. Sekarang, semakin ramai  orang  Melayu sedar,  Mahathir  sengaja memperli mereka  kerana  kejayaan  mereka  mempengaruhi orang  Melayu, walaupun  berpendidikan di Timur  Tengah. Salahkah itu?  Lupakah  Mahathir  bahawa  Nabi  Mohammad  (saw), sebagai  insan  yang  paling  berjaya  di   dunia  ini    pun  berpendidikan  politik  Timur  Tengah?

Apakah  kesudahannya?

negara sudah  muflis  dan  rakyat  hidup  merintih. Pengangguran  semakin  menjadi  dan  pelabur  asing  semakin  meluat  hingga  menutup  kilang  mereka  dan  menarik  pelaburan. Oh....sungguh  dahsyat  bahana segala kerakusan  itu  kalau  diambil  kira   kehilangan  harta  warisan negara  terhakis  entah  kemana.  Mahathir tersilap besar apabila  cuba menjadi  “Sherif  Dunia”  melampaui  taraf  Wira  Dunia  Ketiga  yang  dianugerahkan  kepadanya  oleh  Ibrahim  Ali.  

Kalaulah  dana  yang  begitu banyak itu  dulu-dulu lagi   dicurahkan  untuk  “medico-tourism” dan  pendidikan tahap  unggulan  (educational excellence),  Malaysia  memang  mampu  betul-betul  menandingi kewibawaan negara  maju kerana  dua-dua  projek itu  pasti   menarik  pelancung tanpa  henti dan  sekaligus  membiakkan  pelbagai  projek  bertaraf  sejagat  yang  menguntungkan. Sebaliknya,  kita  masih  perlu  mengimpot  inai (hinai)  daripada  India  dan  Pakistan untuk kegunaan suri rumah dan  kaum  hawa.

Sebagai  bandingan  saya  mengajak pembaca  menyingkap  buku  tulisan  Dato’ Khoo  Kay  Kim  bertajuk  ‘The  Malay  Society’  terbitan  Pelanduk Publications.  Pada  muka  surat 70 ada  ditulisnya  (terjemahkan  di  sini):

"Daripada  pantai  timur  Semenanjung, Singapura  mengimpot  serbuk  (debu) emas (gold  dusts). Emas yang  dihasilkan di  Pahang  adalah lebih  bermutu  daripada  yang  dibawa  masuk  daripada  tempat  lain. Barangan lain  daripada  negeri-negeri  pantai  timur  itu  ialah   kain  tenun,  ‘black  pepper’  (lada  hitam) rotan,    garam, bijih,  dan  perkayuan.

Munsyi  Abdullah,  seorang  penulis  Melayu  yang  terkenal,  pernah  mengadakan  lawatan  pada  1838 sebagai  utusan khas  beberapa   pedagang  Cina  Singapura  dan  telah  merakamkan  beberapa  bentuk  perniagaan.  Pengeksportan  utama Pahang  ialah  emas dan  timah.  Ada juga  tenunan  kain  sutera,  perkayuan  rotan  dan  damar”

Demikianlah, keseluruhan  buku itu  menunjukan  barang-barang  bermutu  yang  dihasilkan oleh  orang  Melayu  yang  berniaga  dalam bidang  pengeluaran  emas,  bijih,  rotan dan  damar.  Semua  barangan ini  bukannya   diusahakan  oleh  projek  para  kroni  kepada  sultan-sultan.  Kebanyakan  hasil bumi  terpaksa  diterokai  dengan penuh  kesabaran. Hasil  tanaman pun  diusahakan  dengan  kepintaran  dan  kesabaran  juga. Dengan lain perkataan,  di awal  abad  ke  sembilan  belas   lagi  orang  Melayu  pintar  berniaga  hinggakan  mampu  menarik orang  asing  untuk  berhijrah  ke  negara  ini.  Di zaman itulah  pedagang asing  berulang alik  ke  negeri tanah  Melayu  sehinggakan  mereka  berusaha   mempelajari  Bahasa  Melayu. Kamus  Melayu  yang pertama dikeluarkan  oleh  Angkatan  Tentera  Amerika  dan bertarikh  1830.

Selagi Ada  Bulan  dan Matahari.

Mahathir  menyebut betapa  perjanjian  “Selagi  Ada  Bintang  Bulan  dan  Matahari”  kuasa  British   tidak  mengganggu  masyarakat  Melayu  dengan  fahaman  ajaran  Kristian.  Tetapi konsep yang  sama  diciplak  oleh  pedagang asing  terutama  sekali  orang Cina  dan  India  apabila  menyewa  bangunan  dan tanah orang  melayu  di  Kuala  Lumpur  dan  pekan-pekan  besar.  Inilah  perjanjian  yang  mencekik orang  Melayu sehinggakan  hampir  semua  mereka  menjual  rumah kedai  purba   itu  di Kuala  Lumpur. Hanya  lima  tahun  yang  lalu  barulah  konsep  ini  ditukarkan  untuk  membolehkan  harga  sewa  itu  ditukar  mengikut  keadaan  semasa.

Kalau  masalah  sewaan  yang  lapuk  dan  basi  itu  tidak  mampu  diubah suai oleh  UMNO di bawah  pentadbiran  seorang  wira  dunia  ketiga,  selepas Malaysia  merdeka lebih   empat  puluh empat   tahun, apakah  yang  dapat  diharapkan  kepada  cara  hidup  Melayu  dalam  bidang  yang  lain? 

Kenapakah  kita  mudah  mencemuh  orang  Melayu  kerana  kuota  masuk  universiti  yang  rendah?  Kenapakah  tidak  ditubuhkan  satu  suruhanjaya  penyiasat  untuk  mendapatkan  jawapan  sebenarnya?  Mampukah   seorang  peneroka  FELDA  yang  setiap  bulan  sain (menandatangani) daftar  gaji  kosong  tanpa  menerima  upah  kerana  harga  komoditi  yang  rendah  itu, menyediakan  dua  ribu  ringgit  yang diperlukan  oleh anaknya  untuk  masuk  universiti?   Kenapakah  kurang daya  peneroka  yang  dhaif  ini  tidak  dibantu  oleh Baitulmal  dan  Tabung  Zakat  ataupun Tabung  Haji?  Apa   jadinya  dengan  sumbangan  zakat  orang  Islam  dan Tabung  Haji? 

Kita dapat  melihat sekarang masalah  remaja  disebabkan  pengaruh  asing  di TV, Majalah dan  Radio. Kita kerap  mendengar  DJ  Melayu yang  beragama Islam yang berani  membincangkan  kisah  kahwin olok-olok jauh lebih  terdahulu  daripada debat olok-olok UMNO. Ramai masyarakat  muda  Melayu  yang  terjebak dalam budaya  bohsia  dan ‘redneck’  dengan  lambang salib di leher mereka. Kita  kerap   terdengar   ibubapa Melayu  yang  terkejut  menjumpai  kondom  dalam  tas  tangan  gadis  sunti  mereka  kerana  mungkin  terikut  gelagat  seorang  dara  sunti  yang  tidak   pernah  diterokai taman  nirwananya sehingga  seorang  Iban datang  menyondolnya. Siapakah  ratu  pengedar  kondom  terkenal  di  Malaysia?  Siapakah yang  mengajar mereka  mengkhianati perjanjian  selagi ada bulan bintang  dan  matahari ini  kalau  bukan  UMNO?

Demikianlah  orang  Melayu dengan  dilema modennya.  Inilah  dilema sebenarnya  orang UMNO  dan  juga  masyarakat luar bandar.  Mampukah  mereka merobah  semua  itu  kalau Raja  Penyangak  yang  memimpin  UMNO  masih mahu  menipu?  Apa  ada  pada satu  ucapan  dasar seorang  pemimpin  terutama sebuah  parti  Melayu  yang  dikatakan  sungguh  ramai  pengikutnya  kalau orang Melayu diajak  merenung  ke belakang  mengenang  sejarah, kerana  mereka dianggap  mudah  terlupa?  . Kenapa  tidak dibincangkan  wawasan  masa  depan  agar  Melayu  mampu  tegak  bergaya  dengan  beraninya  dengan  segala ilmu  di dada  dan  fikiran  terbuka  untuk  menakluki  dunia?

Apa  salahnya  kalau  disedarkan Melayu  menghadapi  globalisasi  dengan  berani  kerana  globalisasi  bukannya  satu  perkara  yang  baru.  Penganutan  Islam  oleh  orang  Melayu  adalah  sebaik  contoh  globalisasi.  Kenapakah  globalisasi  itu dikaitkan  dengan perangai  Melayu  yang  suka  subsidi  dan  berpoya-poya?  Budaya  siapakah  itu  kalau  Melayu  gemar  berpoya  dan  bergantung  harap  kepada  subsidi? Taktik siapakah itu  yang  menakutkan orang  Melayu  terhadap  kemajuan  kaum lain  di Malaysia  ini?  Siapakah  yang  mula-mula sekali  mencadangkan  kemungkinan  munculnya  perdana menteri  Malaysia  daripada  kaum  Cina?  Bolehkah Melayu  disedarkan kepada  segala  budaya  ugut mengugut  dan ketakutan yang  sengaja  dibuat-buat  kerana  ada  seorang diktator  tua mahu  terus berkuasa? Takutkah  Melayu  dengan  segala  kisah  itu?    Tidak....kerana  masalah  Melayu  masa kini  ialah  memikirkan  bagaimana  zuriat  mereka  mampu  membayar  hutang  bertapuk  yang  dibuat  oleh  seorang  diktator  tua.  

Inilah  muslihat  Mahathir sebenarnya  dan  inilah  yang  cuba  diselindunginya  sehinggakan  orang  Melayu  tidak  mampu  bertanya  apa  sudah  jadi  kepada  khazanah  bangsa?  Kenapa Daim  dibenarkan bersara sebelum  persidangan  UMNO?  Bagaimana  hutang  negara mahu  dibayar  setelah  kerja-kerja  menyelamatkan  para  kroni, pakpacak dan  suku sakat  semuanya?  Semua   ini  adalah lambang  pemerintahan  negara  yang  sungguh haprak selama  dua  puluh  tahun  yang  berlalu.

Tengku  Mazlan.
Jun 21, 2001.                                                        

 ....bersambung  Bhg.III. Sampai  Bila Mahu  Ditipu.....

Jumlah pembaca:orang