Ketuanan  Melayu  dan Kepupusannya  Yang  Semakin  Hampir?
(Malay  dominance  and  the  half-way  house   to Valhalla)

- artikel   B.I.  ada  di  Malaysiakini

Persidangan  tahunan  UMNO  bermula  hari  ini  dan mencuba  melaksanakan sesuatu yang  hampir  mustahil:   Menarik kembali  sokongan  yang  sudah  hilang  untuk  terus  mengekalkan  kuasa yang  semakin  berkurang

MCA  yang selama ini dibayangi  UMNO,  sedang mengundang   kepupusan secara  besar-besaran  apabila  para  pemimpin  parti  itu  cuba  memuaskan   selera  presiden  UMNO berbanding keperluan  selera  masyarakat yang diwakilinya..

Gerakan, sebuah  parti  yang bernafas disebabkan  wujudnya  kerajaan negeri Pulau  Pinang, sedang  dirasuk  kemelut  yang  disebabkan  tekanan membarah daripada  UMNO  dan MCA.

Barisan  Nasional Sarawak  sedang  dihenyak  oleh  kemasukan  parti politik Semenanjung  yang  cuba  mengganggunya.  UMNO   muncul  melalui  seorang proksi  tempatan,  DAP, PAS, dan  Keadilan semuanya  cuba  datang bertandang    untuk  bergelumang  dengan   pilihanraya  yang  semakin  hampir  diadakan.

13 parti komponen  dalam Barisan  Nasional  (BN)  semakin  kecewa dengan  kekuatannya  yang  semakin  terserlah  rapuhnya. Malahan  hanya  MIC  yang  nampaknya  mampu  bersifat waras  tetapi  ia masih  merupakan  parti yang paling lemah  sekali.

BN  beranggapan  bahawa  negeri-negeri  di utara  Semenanjung   sudah  semakin  lemah  untuk  dipengaruhi  oleh PAS, bahagian tengah  pula berkemungkinan jatuh  kepada  PAS  dan  Keadilan, tinggallah  Johor,  Sarawak  dan Sabah  sebagai kubu  untuk bertahan. Dengan lain perkataan  sudah  nampak  kemungkinan   terlepas juga kuasa  yang  di tangan  itu  akhirnya.

Peranan  Pembantu

UMNO  sudah  menggigil ke akar  umbi  apabila  ia  membuat pendirian  selepas  meledaknya  rusuhan  Mei  13  dulu,  dan  diikuti  oleh  rampasan  kuasa  dalam  partinya,  betapa Malaysia yang  dihuni  oleh pelbagai kaum itu  mesti  memainkan  peranan pembantu   kepada ketuanan Melayu  yang cuba menonjolkan  dasar  ekonomi  baru  (DEB). Tetapi, inilah  dasar yang  kini  menghantui  UMNO di luar  jangkaannya   tiga  dekad yang lalu.

Kebangkitan  sanggahan Anwar   menjadi  kenyataan  hanya  disebabkan  beliau  dan konco-konconya,  yang merupakan  penikmat  DEP  itu  semua, tidak menyenangi  gelagat kumpulan  yang  kaya  raya membalun  segala  kenikmatan  dasar ekonomi  itu  dan tidak membenarkan  kumpulan yang  benar-benar  memerlukan  DEB  itu  merasakan  peluangnya. Kepincangan ini sengaja  diabaikan  kerana  kumpulan yang kaya  raya  itu  terus  mahu  memegang  kuasa dengan  apa  cara  sekali  pun. Keadaan berubah  hanya  apabila  tentangan  meledak untuk  menyedarkan  UMNO.

Malahan, Anwar  Ibrahim  kini  hanya  merupakan  satu  katalis  kepada  ledakan  itu  dan tercetuslah  kemarahan rakyat marhaen  secara  terbuka.  Perencanaan  mewujudkan  masyarakat kaya-raya  tanpa  rancangan  yang  jitu memang  berbahaya  kepada negara.

UMNO   bertindak balas  dengan  marahnya. Para  pemimpin  parti tidak  pula  tahu  apa perlu  dilaksanakannya  apabila  ketuanan Melayu  yang  tidak pernah  dibelainya  itu dan kumpulan oligarki  yang  memerintah  parti  telah  tercabar  kini.  Di  tahap  awal  mereka memikirkan  ledakan  rakyat  marhaen  itu  adalah mudah  dicantas sahaja,  tetapi  laksana  ‘hydra’,  sebaik satu kepalanya dicantas,  lagi satu   kepala menonjol  dengan  pantas.

Ini  membuatkan  UMNO  dan ketuanan  Melayu  terpaksa  mengambil  langkah berundur  dulu. Dengan itu  berundur  jugalah  gelagat  UMNO  yang  menguasai kehidupan   rakyat  itu  dan  sekaligus  menteri kabinet  yang bukan-Melayu  pun  kehilangan  suara  dalam  penentuan  kuasa.

Hamba abdi

Parti politik bukan-Melayu dalam BN  melambangkan  kewujudan satu  kerajaan pelbagai kaum, namun  mereka  seolah-olah selesa dibayangi oleh  UMNO,  liat menyanggahnya  apabila  kepentingan  masyarakat  yang  mereka wakili  itu  dikotak-katikkan  dan  sengaja  diketepikan.

Para  pemimpin  mereka mudah  mengaku  kalah, sanggup  terus  bertahan  mengekalkan  jawatan  untuk  kepentingan  diri  sendiri  dan  bukannya  masyarakat mereka dan parti   sehingga  sanggup  memainkan peranan laksana  hamba  abdi.

UMNO  yang menentukan  agenda  parti  mereka  semuanya,  termasuk  juga  parti  pembangkang yang terikut  sama.  Tetapi apabila orang Melayu  bangkit  kerana   disuntik  oleh  pengaiban dan  penyingkiran Anwar, alasan kebangkitan  itu  adalah amat  jauh  berbeza  daripada masalah  ketuanan  Melayu. 

Inilah  kebangkitan yang  mencemar  budaya  Melayu  disebabkan  kesedaran golongan  masyarakat marhaen  Melayu  yang berpendidikan  dan celik  mata hatinya    yang merasa telah dihina  untuk  bermandiri, disebabkan  budaya  kroni  yang  dicerna  oleh Mahathir, sehinggakan  ketuanan Melayu  itu pun  turut  tergugat  sama. 

Secara tidak langsung, tercetuslah  satu  bentuk kebangkitan revolusi  disebabkan  situasi  yang  menafikan  peluang  dan  rezeki  yang  diwujudkan tanpa  sebilangan  besar Melayu  menyedarinya. Sementara  itu  orang  Cina  yang  ‘tersisih’  daripada  DEB  itu  dan  terus  meneguhkan  tapak  budaya mereka  di negara ini  mula mencabar  tanggapan  Melayu  terhadap  mereka.

Episod  Suqui  yang boleh  diimbau  kembali  itu,  adalah  sama pentingnya  dengan  kemelut  yang menghantui  Anwar  untuk  menyanggah  UMNO  dan  ketuanan  Melayu. Tiba-tiba  UMNO  naik berang tanpa  keruan  melihatkan  peniaga  Cina yang sudah  tidak lagi  merelakan  ketuanan  Melayu  itu  mengikut  perangai  mereka  sebelum itu.

Apabila martabat  UMNO itu  disanggah  dan  semakin parah,  BN pun mula  gelabah. Namun  UMNO  masih  menaruh  harapan  agar keadaan akan  berubah semula  seperti  lama sedangkan masyarakat  Melayu  semakin  tidak yakin  dengan  harapan  itu.

UMNO  dan  rakan  parti  politiknya  memikirkan  semua  itu  dari  kaca mata  politik  mereka. Tetapi,  pandangan  begitu  tidak  dikongsi  sama  oleh  masyarakat  yang  mereka wakili. Semakin melebarlah  jurang  perbezaan pendapat  itu  sambil  persoalan    ketara meledak  suaranya   mahukan  jawapan  manakah  silapnya?

Ketuanan  Melayu  bertujuan  menyampaikan  sedikit  pengajaran  kepada    masyarakat  Cina  selepas 13 Mei dulu, ekoran  tercetusnya  episod  ‘hartal’ disebabkan   tindakan kerajaan   mengnyahkan  Bahasa  Inggeris  sebagai  bahasa  rasmi  negara  dan  rencana  mewujudkan  golongan  Melayu  yang  kaya  raya  untuk mengambil  alih  peranan  perniagaan  yang dikendalikan  oleh  masyarakat  Cina  yang kaya.

Itulah  dia  imbasan  kebangkitan aristokrasi  Melayu  yang tidak berapa  bersetuju dengan  tanggapan  ketuanan  bapa kemerdekaan Tunku Abdul  Rahman Putra.  Seperti  yang  dirakamkan  oleh   rekod sejarah  kerajaan  British,  memang banyak lagi  cerita sebalik tabir  yang  mencetuskan Mei 13, yang  belum  diketahui oleh  umum  setakat  ini.

Billionaer  ataupun  jutawan?

Pada waktu  itu  tercetus perdebatan hangat  dalam kerajaan   apakah  yang lebih  penting dalam mewujudkan  masyarakat   Melayu  yang  berada.  Adakah  mewujudkan  ratusan jutawan  melayu  yang  akan  mencetuskan  pula  kumpulan  billionaire  ataupun  memadaikah  dilahirkan hanya  segelintir billionaier   yang  dijangka  dapat  mewujudkan  pula  satu  kumpulan  jutawan  darinya?

Tun  Razak  dan  majoriti  Melayu  memilih  pilihan  pertama.  Mahathir  dan  penyokongnya  termasuk  Musa  Hitam  memilih   opsyen  kedua.

Apabila  Mahathir  menjadi  perdana  menteri  pada  1981, dia  bertukar  haluan,  memberi penekanan  kepada  pendapatnya  yang  dianggap  pendapat pihak  minoriti  di zaman Razak  dulu   untuk  diamalkan. Dia  mahu  mewujudkan  kumpulan  bilionaier   secara  mendadak. Kesannya  ramai  yang  jatuh  tercampak.  Sudah  menjadi  sesuatu  yang lumrah  betapa  keadaan  yang lompong  tidak  pernah  dapat  lama berkekalan   kosong. Daim  Zainuddin  yang  diberi peluang  untuk  menganggotai  kabinet dan terus  bebas  dalam   dunia  perniagaan  telah  mengambil kesempatan  dengan  rakusnya  untuk  mewujudkan  satu  empayar  korporat  perniagaan.

Namun,  ketuanan Melayu  telah  sengaja  dilupakan  kerana Mahathir  sudah  terlalu  taksub  mempercayai  bahawa kekayaan  akan  mewujudkan  gemanya.

Perkara itu  tidak  pun  berlaku.  Mahathir  telah  berdegil  mahu  mewujudkan kekayaaan disebabkan  kepentingan kekayaan itu; bukan  berasaskan    usaha  dan  kesabaran, tetapi  berasaskan tamak dan  haloba, mempertaruhkan segala perencanaannya itu  laksana agen komisyen dan  melupakan  segala  unsur-unsur pentadbiran  kerajaan  yang  dimestikan. Dia terus  berdegil mahu  terus  merangkul  kuasa  sedangkan dasar   pemerintahannya  terus  menyuburkan  cambahan  seterunya  yang  berbisa daripada  kalangan  masyarakat  yang telah  menikmati  kemewahan yang  tercetus itu.

Kejayaannya  dulu  telah  mencetuskan  gelagat  keangkuhan dan  riak    yang  menular  ke tahap  orang  bawahannya  sehinggalah  ke  luar  bandar. Inilah  yang  menghenyak  suasana  politik  yang bersih.  Korupsi  muncul  laksana bertih. Keangkuhan pun  bertahan  menjadi satu cara  hidup harian. Mahathir  telah  melahirkan  satu  masyarakat  Melayu  yang  kini   tersadai  di tengah-tengah  perjalanan  yang  keliru  dengan  budayanya  dan  semakin  menghampiri  ambang  keaiban  mereka.

Apabila  wang  menjadi  tiang  seri   pemerintahan  negara,  seperti  yang  diwujudkan  di  Malaysia,  korupsi  pun  membiak bermaharajakutty.  Apatah  lagi  apabila  diwujudkan  pula  undang-undang yang  menyulitkan  usaha  mendakwa  para   politikus  yang rakus  di  mahkamah  terbuka,  melainkan  pihak yang  berkuasa memang  merestuinya. 

Keizinan  mendakwa  itu  hanya  dimungkinkan  apabila  orang  yang  berkenaan mencabar  sesiapa  yang  sedang  memegang  kuasa. Inilah  yang  terus  menghenyak  garis pemisah  antara   pihak  yang  memerintah  dengan  masyarakat  yang  diperintah.

Negara  ataupun  kaum?

Yang menjadi kelam kabut  sekarang ialah  terjadinya  satu  perubahan  kepada  sebuah  negara yang  lahir  pada  1957  dulu dan yang layak  bersatu  padu, kini    berubah  menjadi  sebuah negara  yang mengandungi  pelbagai  kaum  yang  mempunyai  kesetiaan yang berunsur  perkauman.  Semua ini  berubah  daripada  nawaitu  asal  apabila  tercetusnya  rusuhan  1969 dulu.

Ketuanan  Melayu dilahirkan dengan  anggapan  parti bukan Melayu  mudah  menerimanya. Ia lupa,  selain  kaum Cina  masih  ramai  kaum  lain yang  turut  kecewa  terhadap  kesan-kesan  dasar amalan  dan  politik  seperti itu.

Sememangnya,  mereka ini lebih  tersusun  perancangan  menentangnya  daripada  sifat  UMNO  yang  menyukainya. Kini, suara   sanggahan ketuanan itu  sudah  semakin lantang  bunyinya.  Dulu,  BN berjaya  kerana  tidak ada kumpulan  Melayu  yang  menyaingi  UMNO   dengan penuh  cabaran  untuk  mengenepikannya.

Kini, saingan itu  bukan  datang  daripada  satu parti lain,  kerana  ada  dua  sebenarnya.  Ketuanan  Melayu  itu sudah  diserang daripada  dalaman  dan UMNO  sudah  semakin  gelabah  kerana  budaya  Melayu  yang  menyokongnya  sudah  berubah  menjadi taufan puting-beliung  yang  akan  menendangnya  laksana sampah. Cabaran  itu  jua  bukan  dicetuskan  lagi oleh  masyarakat Cina  tetapi  oleh   pribumi  di  Sabah  dan Sarawak  yang  lebih  dahsyat bisanya  daripada  kaum  Cina.

Kebangkitan  yang  menyergah  itu  sudah  muncul  di kalangan setiap  parti komponen  BN. Seandainya  UMNO   tidak  mampu  memperkuatkan  sokongan Melayu  terhadapnya, akan  pupuslah   parti itu  akhirnya  dan  terhumbanlah  BN  bersamanya.

Sudah  tiba masanya  generasi era  kemerdekaan  memberi  laluan  kepada  masyarakat  anak-anak mereka,  tetapi  mereka  sengaja  rakus  mahukan  terus berkuasa. Inilah  punca  kereputan UMNO  yang  akan  membiak  untuk  terus  pupus  dengan sendirinya.

MGG  Pillai.

Diterjemahkan  oleh  SPAR01

Jumlah pembaca:orang