UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO PADA
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
21 JUN, 2001 DI PWTC

1. Lautan politik dan ekonomi yang bergelora di rantau ini, Malaysia masih tenang dan dapat mengatasi serangan bertubi-tubi terhadap politik dan ekonominya, dari luar dan juga sahabat mereka dari dalam.

CUBAAN ADAKAN REFORMASI

2. Tidak berapa lama dahulu ramai juga daripada rakyat Malaysia yang teringin mengadakan apa yang mereka namakan Reformasi, kononnya untuk membetulkan keadaan di Malaysia. Mereka mendapat ilham daripada apa yang berlaku di negara lain. Tanpa mengambil kira situasi yang berlainan di negara berkenaan, mereka cuba melaksanakan pendekatan yang tidak bertanggungjawab untuk memaksa Kerajaan tunduk kepada kehendak mereka, malah untuk mengguling Kerajaan pun.

3. Pemimpin mereka telah pergi ke negara asing untuk mendapat bantuan supaya keganasan jalanan yang mereka rancang dapat diadakan. Mereka tahu bahawa rakyat Malaysia sendiri tidak berminat bertindak ganas walau pun diupah. Sebab itu rakyat asing diperlukan.

4. Malang bagi perancang keganasan jalanan ini kepimpinan negara asing berkenaan berpendapat memadailah huru-hara berlaku di negaranya sahaja. Mereka tidak ingin melihat huru-hara merebak ke Malaysia. Mereka tidak pun nampak kebaikan daripada huru-hara yang terdapat di negara mereka. Justeru itu, mereka tidak menggalakkan sebarang bantuan kepada orang yang merancang untuk mencetus huru-hara di Malaysia. Alhamdulillah. Kita menghargai sikap dan pendirian pemimpin asing ini.

5. Keadaan di Malaysia bukanlah terlalu baik, dan ini perlu kita akui. Kerajaan juga mengakuinya. Tetapi kita harus menghargai sebarang nikmat yang kita terima. Kita harus bersyukur kepada Allah S.W.T. Ramai orang asing yang memandang kita begitu bernasib baik dan bertuah sehingga ramai yang sanggup bermati-matian untuk berhijrah ke negara kita.

6. Negara lain mungkin memerlukan reformasi dan pertukaran sistem politik dan Kerajaan. Apakah kerana orang lain perlu mengadakan reformasi maka kita juga perlu kepada reformasi? Sebenarnya perubahan yang baru hendak dibuat di negara lain sudah pun berada di Malaysia sejak kita mencapai kemerdekaan. Negara ini tidak pernah ditadbir secara otokratik ataupun oleh tentera. Hanya pada tahun 1969 sahaja kita terpaksa mengadakan pemerintahan darurat. Tetapi dalam jangkamasa yang singkat kita telah kembali kepada sistem demokrasi dan mengadakan pilihanraya mengikut jadual pada tahun 1974. Sejak merdeka kita telah mengadakan 10 kali pilihanraya dalam jangkamasa 43 tahun. Rakyat Malaysia bebas memilih siapa sahaja dan bukan hanya calon daripada parti Kerajaan seperti yang berlaku di sesetengah negara lain. Parti lawan juga dapat memenangi pilihanraya dan pernah mendirikan Kerajaan di empat buah negeri. Dan ini telah berlaku berkali-kali. Tidak ada tindakan undang-undang diambil untuk menyekat wakil rakyat daripada parti pembangkang mengambil tempat dalam dewan seperti yang berlaku di negara lain.

7. Justeru itu, apa perlunya reformasi kepada sistem pemerintahan demokratik kita? Apa perlunya demonstrasi di jalan-jalan yang hanya merugikan peniaga, terutama peniaga kecil yang kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang?

8. Kononnya mereka ingin melihat pemerintahan mengikut undang-undang – ‘the rule of law’. Apakah untuk mendaulatkan pemerintahan mengikut undang-undang, maka mereka perlu bertindak menyalahi undang-undang dengan merusuh di jalan-jalan, menyekat perjalanan kereta, memaksa kedai-kedai ditutup dan mengganggu keamanan rakyat? Orang yang berhasrat mendaulatkan undang-undang tidak harus mencabul undang-undang. Mereka sepatutnya menggunakan proses undang-undang untuk menghalang pencabulan undang-undang oleh mana-mana pihak, termasuk Kerajaan. Kita tahu di Malaysia tidak semua kes dimenangi oleh Kerajaan. Dan tidak semua calon parti Kerajaan menang pilihanraya. Demikian kadang-kadang, kerana ingin membuktikan kebebasan, Kerajaan tidak mendapat keadilan, menjadi mangsa. Jika Kerajaan berani membantah, tekanan ke atasnya ditingkatkan. Ada pihak luar yang bersedia untuk mengutuk Kerajaan jika tersilap sedikit. Pihak tertentu tahu dan menjadi lebih berani. Keadilan pun terpesong.

HASIL REFORMASI MENGECEWAKAN

9. Hari ini mereka dapat lihat bahawa hasil reformasi yang mereka begitu kagumkan di negara berkenaan tidaklah begitu menarik. Yang ternampak jelas ialah pemerintahan mengikut undang-undang tidak dapat diadakan kerana pihak yang ditugaskan untuk menguatkuasakan undang-undang sudah tidak berwibawa lagi. Rakyat tidak lagi selamat. Di tempat-tempat tertentu rakyat merusuh, mengganas dan membunuh dengan sewenang-wenangnya. Jauh daripada menikmati proses demokrasi, yang ternampak sebagai hasil reformasi ialah ‘mob-rule’, pemerintahan tanpa undang-undang oleh perusuh jalanan. Keadaan tidak menjadi lebih baik daripada apa yang terdapat semasa pemerintahan otokratik dahulu.

10. Yang anehnya ialah mereka yang ingin kepada reformasi, pemerintahan mengikut undang-undang dan begitu mendukung hak asasi manusia adalah orang yang dahulu dengan senang hati menyertai Kerajaan. Kenapakah mereka tidak mendakwa Kerajaan yang mereka menyertai tidak demokratik dan mencabul hak asasi semasa mereka berada dalam Kerajaan? Sebenarnya yang mengecewakan mereka bukan sistem pemerintahan tetapi kerana cita-cita besar mereka tidak tercapai. Mereka suka membodek orang putih dan begitu gembira jika dicampakkan gula-gula oleh ‘Mat Salleh’. Sebenarnya mereka yang haprak ini tidak ada apa-apa pun selain daripada yang kita anugerahkan kepada mereka. Malangnya mereka tidak biasa dengan sedikit kuasa. Apabila terdapat sahaja sedikit tempat, kepala mereka menjadi besar, maka berkokoklah mereka mengikut rentak tuan mereka.

11. Mereka yang cuba memperjuangkan reformasi sudah tertipu dan diperalatkan oleh orang tertentu. Sementara tidak ada sesuatu apa pun yang diperolehi oleh mereka, orang yang memperalatkan mereka mendapat keuntungan besar dengan berpura-pura bersimpati dengan idola mereka. Sampai bilakah mereka akan terus bodoh?

12. Apabila budaya ‘mob-rule’ sudah diterima oleh negara kegemaran mereka, pemerintahan tidak dapat membuat apa-apa untuk memulihkan ekonomi. Tiap suatu yang dibuat ada sahaja yang tidak bersetuju. Mereka merusuh dan rusuhan itu sendiri menyebabkan usaha pemerintah gagal mencapai matlamatnya. Kata pepatah Inggeris, “Those who live by the sword, shall die by the sword”. Mereka yang menjadi pemerintah melalui rusuhan jalanan akan jatuh melalui rusuhan jalanan.

13. Pemerintahan menjadi lemah dan tidak dapat bertindak dengan tegas. Tekanan ke atas pemerintah boleh dibuat oleh siapa sahaja, termasuk orang asing. Dengan itu bukan sahaja pemulihan ekonomi tidak dapat dijayakan tetapi kebebasan yang begitu dibanggakan dahulu pun hampir tidak ada lagi. Inilah hasil daripada reformasi dan demonstrasi jalanan. Apakah kita hendak melihat semua ini dibawa ke negara kita oleh puak reformasi ini?

EKONOMI NEGARA KITA SENDIRI KUASAI

14. Ekonomi Malaysia sudah pulih walaupun belum sepenuhnya. Ini bukanlah kerana pendekatan kita kurang baik tetapi kerana kemerosotan ekonomi di negara lain.

15. Kita telah mengalami tekanan ekonomi sama seperti yang dialami oleh negara-negara lain di Asia Timur. Kita tidak dapat menentukan sama ada serangan serentak ke atas matawang negara-negara Timur yang dahulu dikenali sebagai ekonomi harimau, dirancang atau tidak. Tetapi yang nyata ialah kerosakan yang teruk berlaku kepada ekonomi negara-negara ini dan mereka tidak lagi mungkin mencabar ekonomi Barat. Lebih daripada itu kuasa asing mengambil peluang untuk menguasai urusan ekonomi mereka melalui agensi antarabangsa seperti Dana Wang Antarabangsa dan Bank Dunia.

16. Terpaksanya negara-negara yang diserang tunduk kepada kuasa asing bukanlah semata-mata kerana kegawatan ekonomi tetapi kerana rakyat bertindak secara tidak bertanggungjawab. Kerana ada rakyat yang ingin menjatuhkan pemerintah, kegawatan ekonomi yang diusahakan oleh musuh asing digunakan sehingga ketahanan ekonomi negara menjadi lemah. Dan akibatnya kebebasan negara terhakis.

17. Jika Malaysia hari ini tetap bebas dan ekonominya dikuasai sepenuhnya oleh kita sendiri, sebabnya ialah kerana tidak ramai rakyat yang belot yang secara langsung atau tidak langsung bersubahat dengan orang asing. Kerana ini kita dapat memulihkan ekonomi negara jauh lebih baik daripada negara-negara yang mendapat pinjaman dan “bantuan” daripada pihak asing. Dunia sekarang, termasuk pengkritik yang mencemuh kita, terpaksa akui hakikat ini. Cuma ada segelintir orang di Malaysia yang buta hati kerana benci dan tidak dapat melihat kenyataan di depan mata.

18. Kita yakin dengan kestabilan dan ketenteraman yang terdapat di Malaysia, pemulihan ekonomi negara akan berjalan dengan baik. Pemulihan ekonomi negara juga membuktikan pengurusan ekonomi dan wang di negara ini memang baik. Mustahil kita akan dapat memulihkan ekonomi jika benar kononnya Kerajaan membazir wang negara dengan projek mega. Sebenarnya kedudukan kewangan negara amat kukuh. Semasa kegawatan, duit kita disedut ke luar negara kerana tawaran faedah yang amat tinggi. Buat beberapa bulan bank-bank Malaysia kekeringan modal. Tetapi Kerajaan berjaya menyekat pengaliran Ringgit ke luar negeri dan memaksa ringgit kita kembali ke tanahair. Sejak itu kedudukan kewangan kita menjadi begitu kukuh, dan ekonomi dipulihkan dengan cepat.

19. Sesungguhnya rakyat Malaysia amat bertuah. Yang perlu lebih bersyukur dengan tuah ini ialah orang Melayu. Tetapi ramai yang tidak tahu bersyukur yang mengharapkan rezeki datang bergolek dengan sendirinya tanpa sebarang usaha oleh mereka. Dalam pilihanraya 1999 ternampak jelas betapa ramai orang Melayu tidak bersyukur dan cuba menjatuhkan Kerajaan yang menyelamatkan negara dan orang Melayu sendiri. Yang menghargai kebolehan Kerajaan Malaysia ialah bukan Melayu.

20. Semasa kita berjuang untuk kemerdekaan kita percaya bahawa dengan adanya kuasa di tangan kita maka dapatlah kita pulihkan keadaan orang Melayu yang serba daif. Mereka miskin, tidak berpelajaran dan ketinggalan dalam semua bidang. Di negeri-negeri mereka sendiri mereka menjadi kuli orang asing yang mereka pertuankan.

21. Tetapi kuasa di tangan semata-mata tidak akan menjayakan kita. Kuasa sebenarnya boleh merosakkan kita. Dan hari ini kita lihat bagaimana kuasa kita menjadikan ramai daripada kita begitu tidak bertanggungjawab, begitu tamak sehingga matlamat yang kita harapkan semasa berjuang untuk kemerdekaan dilupakan.

22. Dalam bidang pelajaran umpamanya masalah kita dahulu ialah kurang peluang dan kemampuan untuk belajar hingga ke peringkat tinggi. Hari ini peluang bercambah dan biasiswa untuk anak Melayu tidak sukar diperolehi. Tetapi kita dapati ramai daripada anak-anak kita tidak berminat untuk mengejar ilmu.

23. Dengan begitu banyak sekolah dan guru, dengan peruntukan wang dan alatan yang lebih daripada mencukupi, amatlah menyedihkan melihat anak Melayu mendapat kelulusan yang begitu rendah sehingga tanpa kuota khas bagi mereka mungkin ramai daripada mereka tidak akan dapat memasuki universiti. Anak Melayu tidak kurang pandai tetapi tanpa rajin belajar, yang berotak geliga pun tidak akan dapat kelulusan yang tinggi. Yang kita tahu ialah ramai anak Melayu yang malas dan tidak berminat untuk belajar. Mereka lebih suka melepak dan berfoya-foya. Mereka amat marah jika kebenaran ini disebut. Sama ada disebut atau tidak kebenaran tetap kebenaran.

24. Hari ini kita dapati lebih ramai penuntut wanita Melayu yang diterima masuk ke universiti berbanding dengan penuntut lelaki. Mereka pergi ke sekolah yang sama tetapi sementara penuntut lelaki tidak serius belajar, penuntut wanita lebih tekun belajar. Mereka tidak merayau-rayau. Mereka lebih bertanggungjawab. Alhamdulillah. Jika tidak kerana penuntut wanita, jumlah penuntut Melayu di universiti akan tinggal hanya separuh.

25. Tidak ada bukti yang penuntut wanita lebih pandai daripada penuntut lelaki. Kebolehan mereka lebih kurang sama. Tetapi prestasi kurang baik penuntut lelaki ini sudah sampai kepada nisbah 20 lelaki berbanding dengan 80 wanita. Jika kita terima bahawa tidak ada perbezaan yang ketara di antara lelaki dan wanita daripada segi kecerdasan otak, maka sudah tentu jika penuntut lelaki berusaha dan tekun mengejar ilmu, mereka juga boleh mencapai kejayaan cemerlang seperti wanita. Kita kagum melihat sementara bilangan penuntut lelaki Melayu tidak ramai dan kelulusan mereka tidak baik, tetapi kepimpinan persatuan penuntut semuanya dibolot oleh mereka. Bilakah anak lelaki Melayu akan sedar akan tanggungjawab mereka terhadap diri mereka, jika pun tidak kepada bangsa, agama dan tanahair? Apakah mereka fikir masyarakat mesti dukung mereka sepanjang masa?

26. Sebenarnya kecerdasan otak orang Melayu tidak kurang daripada kaum-kaum lain. Yang menyebabkan kita perlu mengadakan kuota untuk penuntut Melayu ke universiti adalah juga kerana sikap kita berkenaan dengan menuntut ilmu. Bukan Melayu menganggap menuntut ilmu sebagai sesuatu yang mulia dan masyarakat memandang tinggi mereka yang berilmu. Dengan itu ibu bapa dan guru-guru mereka memberi perhatian yang serius terhadap penerapan ilmu oleh anak-anak dan orang muda. Bahkan mereka meneruskan tuntutan ilmu sepanjang hayat.

PENGUASAAN SEMUA ILMU PENTING

27. Orang Melayu tidak begitu menitikberatkan penguasaan ilmu. Ibu bapa tidak mendesak anak supaya belajar. Ada yang berpendapat bahawa oleh kerana kuota disediakan untuk penuntut Melayu, kelulusan yang sederhana pun mencukupi untuk ke universiti. Kerajaan akan tentukan kemasukan penuntut Melayu ke dalam IPTA. Ini adalah tanggungjawab Kerajaan. Mana-mana Kerajaan pun akan membuat demikian. Ini adalah hak keistimewaan orang Melayu yang terjamin sehingga akhir zaman.

28. Ada pula yang dipengaruhi oleh parti PAS bahawa pelajaran yang harus dituntut oleh anak Melayu sebagai orang Islam hanyalah pelajaran agama. Ilmu-ilmu lain adalah sekular dan tidak penting. Jika dipelajari sekali pun, masa yang lebih patut diberi kepada acara dan kegiatan agama tambahan yang diwajibkan oleh orang yang anti ilmu ini selain daripada fardu ‘ain dan ibadat-ibadat yang wajib. Tidak menghadiri qiamulail dan kuliah subuh dan aktiviti-aktiviti lain akan menyebabkan penuntut berkenaan dicemuh kerana kononnya mereka kurang Islam. Yang lebih menyedihkan ialah yang diajar semasa kuliah-kuliah ini bukan ajaran Islam yang sebenar, yang sudah tentu akan memberangsangkan penuntut supaya mengejar ilmu dengan bersungguh-sungguh. Yang disampaikan kepada penuntut ialah politik menentang Kerajaan, dengan diselit berbagai-bagai hadis dan firman yang ditafsir mengikut kepentingan politik pihak ini. Biarlah anak Melayu gagal asalkan mereka dapat diperalatkan oleh parti ini.

29. Sebenarnya usaha memesongkan anak Melayu daripada menuntut ilmu bermula dari tadika yang diadakan oleh PAS. Di peringkat ini kanak-kanak yang masih mentah sudah pun diajar membenci UMNO, supaya mereka akan menjadi penyokong PAS seumur hidup. Bagi PAS ilmu tidak penting. Agama juga tidak penting. Yang penting hanyalah kemenangan PAS dalam pilihanraya.

30. Apabila dijelaskan bahawa ilmu-ilmu lain tidak kurang penting dalam Islam dan memang pun Islam mewajibkan penguasaannya kerana ia berkaitan dengan menjamin kesejahteraan dan keselamatan umat Islam, membebaskan mereka daripada cengkaman musuh-musuh Islam dan memang pun dituntut oleh agama Islam, seperti yang terdapat dalam surah Al-Ghaasyiyah ayat 17 hingga 20, yang bermaksud:

“(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat), tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan? Dan keadaan gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?”

-- memerhati bagaimana sesuatu dicipta bermakna mendapat sesuatu pengajaran daripadanya. Bagaimanapun, pihak PAS dan penyokong mereka masih menuduh orang yang merujuk kepada ayat ini sebagai sekular dan mengutamakan dunia dan tidak akhirat. Walaupun dijelaskan bahawa Islam mementingkan perimbangan di antara dunia dengan akhirat, seperti dalam doa yang dibacakan setiap hari dalam surah Al-Baqarah Ayat 201, yang bermaksud:

“Berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat”

pihak ini masih mendakwa tumpuan kepada ilmu lain walaupun tanpa membelakangkan agama masih bermakna mengenepikan akhirat, bermakna sekular. Ayat Quran pun mereka tidak terima.

31. Seperti biasa polemik berkenaan dengan soal dunia dan akhirat ini akan berpanjangan tanpa apa-apa keputusan. Hasilnya ialah penuntut akan begitu keliru dan akan ragu-ragu tentang perlunya menuntut ilmu yang bukan khusus berkenaan agama. Ibu bapa juga demikian. Dengan itu prestasi penuntut Melayu lelaki terutamanya dalam ilmu-ilmu sains dan teknologi yang begitu penting untuk menangkis percubaan untuk menjajah orang Islam semula, terus berada di tahap yang rendah.

32. Orang Melayu perlu tentukan sama ada mereka percaya ilmu-ilmu selain daripada yang khusus berkenaan dengan agama Islam penting atau tidak bagi mereka sebagai orang Islam dan bagi agama Islam itu sendiri. Jika kita percaya ilmu-ilmu lain ini tidak penting adalah lebih baik Kerajaan tidak memberi tempat kepada penuntut Melayu di IPTA dalam bidang-bidang ini. Tidak perlulah kita adakan kuota bagi penuntut Melayu dengan menidakkan peluang bagi penuntut bukan Melayu. Janganlah kita marah atau kecewa jika bilangan doktor, jurutera, saintis, arkitek, akauntan, peguam, doktor veterinar dan doktor gigi Melayu begitu berkurangan. Janganlah kita marah apabila kita sakit tidak ada doktor Melayu yang merawat kita.

33. Jika kita percaya bahawa ilmu-ilmu sains dan teknologi, yang sedang berkembang pesat sekarang ini amat penting bagi kita orang Melayu sebagai orang Islam maka kita tidak harus bergantung kepada kuota sahaja. Pelajar-pelajar Melayu di sekolah hendaklah betul-betul bertekun mengejar ilmu-ilmu ini supaya kelulusan mereka begitu tinggi sehingga kemasukan ke universiti melebihi kuota untuk kita. Mereka tidak perlu membelakangkan segala ibadat yang wajib semasa mengejar ilmu. Tetapi janganlah menambah dan mewajibkan yang tidak wajib sehingga tidak ada masa untuk ilmu yang dituntut. Ingatlah ilmu-ilmu ini tidak kurang pentingnya kepada agama Islam dan orang Islam. Anggaplah orang yang mengganggu penuntut Melayu kerana kepentingan politik mereka sebagai pengkhianat kepada agama Islam dan bangsa Melayu.

JANGAN TERLEPAS ZAMAN I.T.

34. Kita sekarang sudah memasuki zaman teknologi maklumat -- Information Age. Kita bersama dengan negara-negara Islam lain telah terlepas dan tidak terlibat dengan Revolusi Industri dan Zaman Industri. Dengan itu kita jauh tertinggal di belakang daripada segi menguasai ilmu yang menjadi pemangkin kepada proses industrialisasi. Soalnya ialah apakah kita juga akan terlepas dalam perkembangan zaman teknologi maklumat yang akan menukar secara radikal cara hidup manusia, termasuk juga kita orang Melayu di Malaysia?

35. Jika kita tidak hendak terlepas, tertinggal dan menjadi mangsa perkembangan teknologi maklumat, kita perlu secara serius dan bersungguh-sungguh mempelajari ilmu yang baru ini. Untuk menguasai ilmu ini satu daripada syaratnya ialah penguasaan bahasa Inggeris.

36. Penguasaan bahasa Inggeris tidak akan menjadikan kita kurang Melayu atau kurang Islam. Sebenarnya perkembangan bahasa Melayu bukan bergantung kepada penolakan bahasa lain, tetapi melalui penguasaan bahasa asing. Bahasa Melayu diperkayakan dengan penerapan bahasa Sanskrit, Arab, Parsi, bahasa Cina pun dan sudah tentu bahasa Inggeris. Kenapa kita serapkan bahasa-bahasa ini? Sebabnya ialah kerana bangsa-bangsa ini adalah bangsa yang bertamadun tinggi, yang menjelajah ke negara kita dan memiliki banyak ilmu.

37. Untuk mengembangkan bahasa Melayu, orang Melayu sendiri mestilah menjadi bangsa yang berjaya, berilmu dan di zaman ini memiliki daya beli atau ‘purchasing power’ yang tinggi (dengan perkataan harian Melayu mesti ‘kaya’). Tidak ada bahasa bangsa yang mundur dan miskin yang berkembang maju di dunia ini.

38. Maklumat di zaman maklumat ini tidak datang dari punca orang Melayu. Sembilan puluh sembilan peratus daripada maklumat yang kita perlukan akan datang daripada bangsa-bangsa asing dalam Bahasa Inggeris. Demikian juga teknologi untuk ‘hardware’ dan ‘software’ diterokai dan diedarkan dalam bahasa Inggeris. Tidak mungkin maklumat ini diterjemahkan kepada bahasa Melayu untuk kita menggunakannya -- walaupun akan ada alat penterjemahan yang canggih. Lagipun kita tidak boleh tugaskan hanya beberapa kerat orang Melayu yang terlatih dalam bidang I.T. untuk membuat penterjemahan yang begitu banyak. Kita perlu tenaga mereka untuk menangani maklumat dan teknologi yang bercambah yang akan datang untuk kegunaan kita.

39. Adalah lebih praktikal bagi kita mempelajari bahasa Inggeris yang sekarang sudah menjadi bahasa antarabangsa. Tidak usahlah kita memberi alasan bahawa kita sayang kepada bahasa kita, kita adalah nasionalis bahasa dan kita hendak kembangkan bahasa kita. Nasionalis yang sebenar ialah orang Melayu yang menjayakan bangsanya dengan menguasai ilmu dan memperolehi kejayaan sehingga ramai ingin belajar bahasa bangsa yang berjaya ini. Di zaman teknologi maklumat ini hanya mereka yang menguasai bahasa Inggeris sahaja yang akan maju dan berjaya. Orang Jepun, orang Peranchis dan orang China pun mengakui hakikat ini dan sedang giat mempelajarinya.

40. Janganlah kerana pandangan yang sempit terhadap bahasa Melayu maka orang Melayu sekali lagi terlepas revolusi zaman maklumat, menjadi bangsa yang mundur, dihina dan diperbodoh oleh orang lain. Janganlah orang Melayu sekali lagi “beli di kedai Cina” kerana buta maklumat. Percayalah kita akan dijajah semula jika tidak menguasai bahasa ilmu ini. PAS yang akan memutarbelitkan ucapan ini untuk memburukkan UMNO adalah pengkhianat kepada bahasa, bangsa dan agama.

EKONOMI MELAYU SEBELUM MERDEKA

41. Seperti juga dengan bidang pelajaran tinggi, keadaan orang Melayu dalam bidang ekonomi sebelum merdeka tertinggal jauh berbanding dengan kaum-kaum lain. Penjajah membolot 60 peratus daripada kekayaan negara sementara yang baki dimiliki oleh bukan Melayu. Mengikut perhitungan kasar yang dibuat, hanya satu peratus sahaja daripada kekayaan ekonomi negara yang berada di tangan orang Melayu di zaman penjajah. Di bandar-bandar biasanya tidak ada kedai yang dimiliki oleh orang Melayu. Semua perniagaan dimiliki dan diusahakan oleh orang bukan Melayu. Pekerja, selain daripada pemandu kereta dan ‘orderly’ atau budak pejabat, semuanya terdiri daripada bukan Melayu.

42. Di negeri-negeri yang tidak bersekutu di mana Kerajaan tidak dikuasai sepenuhnya oleh Inggeris, terdapat ramai juga pegawai pentadbiran dan kerani Melayu. Mereka ini tinggal di bandar. Di negara bersekutu iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan pegawai British mengepalai semua jabatan dan ramai daripada pegawai rendah dan kerani terdiri daripada orang India dan Ceylon.

43. Majoriti orang Melayu menjadi penanam padi atau nelayan kecil dengan pendapatan yang amat rendah sekali.

44. Jika kemerdekaan hendak dijadikan sesuatu yang bermakna kepada orang Melayu, penyertaan mereka dalam bidang ekonomi mestilah dipertingkatkan. Mereka perlu diberi kesempatan berniaga dan meraih kekayaan yang seimbang dengan kaum-kaum lain.

45. Pada mulanya Kerajaan Malaysia yang merdeka memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar kerana ramai daripada orang Melayu hanya tahu bercucuk tanam. Tetapi ini hanya mengekalkan perpisahan orang Melayu dari bandar dan tidak memberi mereka bahagian yang berpatutan daripada kekayaan negara.

PELANCARAN DASAR EKONOMI BARU

46. Usaha untuk mengagihkan peluang untuk perniagaan bagi Bumiputera tidak bermula secara bersungguh-sungguh sehinggalah berlaku rusuhan kaum pada 1969. Apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) dibentuk barulah terdapat peluang yang berpatutan untuk orang Melayu menyertai dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

47. Untuk maksud ini lesen, permit, kontrak Kerajaan, kedai, kawasan hutan dan kawasan perniagaan, modal, berbagai-bagai dana diadakan. Saham dari syarikat-syarikat yang tersenarai dan syarikat baru diagihkan kepada Bumiputera untuk menaikkan bahagian mereka dalam perniagaan dan perusahaan. Latihan dan pelajaran pengurusan diberi kepada yang berminat berniaga. Kakitangan Kerajaan pun dibenarkan bersara lebih awal dan kemudian diberi latihan dan peluang untuk menyertai bidang perniagaan dan perusahaan.

48. Sepatutnya dengan bantuan Kerajaan yang begitu besar, matlamat meningkatkan bahagian Bumiputera kepada 30 peratus daripada ekonomi negara tercapai. Malangnya orang Melayu dan Bumiputera lain tidak mempunyai budaya perniagaan. Walaupun ada yang berjaya sehingga dapat memiliki perniagaan dan perusahaan yang agak besar, tetapi majoriti daripada orang Melayu gagal mengekal dan membesarkan perniagaan mereka. Segala bantuan dan peluang gagal menjayakan matlamat sepenuhnya DEB.

49. Satu kelemahan yang ada pada peniaga Melayu ialah mereka tidak sabar untuk menjadi kaya. Dengan itu mereka menjual apa sahaja peluang dan peruntukan yang diberi kepada mereka. Saham, lesen, permit, kontrak dan lain-lain yang dikhaskan kepada mereka dijual terus kepada orang lain untuk mendapat keuntungan serta-merta. Selepas itu mereka memohon lagi. Dengan itu perniagaan yang disertai oleh Bumiputera hanyalah penjualan keistimewaan mereka. Selagi ini berlaku, tidak mungkin Bumiputera mendapat bahagian mereka dalam ekonomi.

50. Untuk saham yang diagih kepada Bumiputera terus kekal di tangan mereka Kerajaan terpaksa menubuhkan saham-saham amanah dan pelbagai agensi Bumiputera. Alhamdulillah melalui cara ini bukan sahaja saham-saham kekal di tangan Bumiputera dan menyumbang kepada peratusan ekonomi yang dikhaskan bagi mereka, tetapi lebih ramai Bumiputera dapat memiliki saham dalam syarikat-syarikat besar. Daripada 12 juta Bumiputera, tujuh juta lebih memiliki saham dalam syarikat besar melalui saham amanah. Jelaslah bahawa tuduhan yang DEB menguntungkan beberapa kroni Kerajaan sahaja adalah tidak benar. Jika kita hendak memperkayakan kroni adalah mudah bagi kita mengagihkan semua saham kepada mereka sahaja dan tidak kepada tujuh juta Bumiputera lain.

51. Tetapi cara ini tidak memberi peluang kepada Bumiputera melibatkan diri secara langsung dalam pengurusan perniagaan. Mereka akan hanya menjadi ‘sleeping partner’ sahaja yang jahil dalam pengurusan perniagaan. Lagipun banyak daripada syarikat yang pemilik terbesar ialah PNB tidak cergas kerana PNB juga tidak dapat mengambil bahagian secara langsung dalam pengurusan kebanyakan syarikat yang disertainya. Ini bermakna sampai bila-bila pun orang Melayu akan jahil dalam bidang perniagaan. Ini tidak akan menepati DEB.

52. Oleh sebab itu Kerajaan telah mengenalpasti tokoh-tokoh perniagaan Bumiputera yang telah mencapai kejayaan dalam pengurusan syarikat sendirian atau awam. Bilangan mereka tidaklah ramai. Mereka ini diberi peluang untuk membeli jumlah saham yang lebih besar atau diberi projek-projek Kerajaan yang hendak diswastakan. Sesiapa sahaja yang berbakat diberi peluang.

53. Umumnya mereka ini berjaya dalam mengendali dan menguruskan perniagaan yang besar ini. Kejayaan mereka ini tidak disenangi oleh orang asing dan oleh beberapa kerat orang Melayu sendiri. Tuduhan dibuat oleh media asing bahawa semua mereka yang diberi peluang adalah kroni Kerajaan, tanpa mengambilkira siapa mereka. Ini bermakna tidak akan ada sesiapa pun daripada Bumiputera yang boleh diberi peluang tanpa dituduh menjadi kroni Kerajaan. Jika Kerajaan tidak hendak dituduh maka individu Bumiputera tidak boleh diberi peluang sama sekali dalam bidang korporat. Jika kita puas hati melihat tidak adanya Bumiputera di peringkat perniagaan besar dalam negara, tidak perlulah Kerajaan mendedahkan diri kepada bermacam fitnah dan tohmahan dengan memberi peluang kepada tokoh perniagaan Melayu. Jualkan sahaja segala-galanya kepada orang asing dan mereka tidak lagi akan tuduh Kerajaan mengamal kronisme. Atau jangan ada penswastaan dan teruskan dengan pemilikan oleh Kerajaan. Sila tanya pekerja telekom sama ada mereka sanggup kembali menjadi pekerja Kerajaan dan dibayar gaji Kerajaan. Lagipun kita tahu semua syarikat milik Kerajaan tidak pernah maju.

54. DEB dan bermacam-macam usaha lain telah dibuat oleh Kerajaan untuk mendapat penyertaan yang bermakna oleh orang Melayu. Malangnya setelah mencuba lebih dari 30 tahun kita tidak juga mencapai 30 peratus daripada ekonomi/kekayaan negara bagi Bumiputera. Desakan akan dibuat untuk Kerajaan berusaha lagi, mengadakan pelbagai rancangan, menubuhkan berbagai-bagai dana lagi untuk tujuan itu dan ini. Mungkin juga kita akan mengadakan kongres ekonomi Bumiputera berkali-kali untuk membuat berbagai-bagai resolusi bagi Kerajaan melaksanakannya. Desakan akan dibuat untuk Kerajaan mengambil tindakan terhadap resolusi-resolusi yang dirumuskan.

PENCAPAIAN MELAYU MASIH RENDAH

55. Setelah 43 tahun berusaha, setelah berbilion ringgit diperuntukkan, setelah beberapa bank dan pelbagai dana ditubuhkan, hari ini pencapaian orang Melayu dalam bidang perniagaan dan perusahaan masih rendah. Kita masih berniaga di gerai tepi jalan dan belum pun masuk ke kedai batu. Bandar-bandar baru di Malaysia tidak mencerminkan penduduk berbilang kaum di Malaysia. Di bandar-bandar lama kebanyakan warga kota Melayu hanya terdiri daripada setinggan.

56. Apakah ini disebabkan Kerajaan tidak berusaha? Kaum yang tidak diberi bantuan oleh Kerajaan jelas berjaya. Kenapakah orang Melayu yang diberi bermacam-macam bantuan tidak berjaya?

57. Selagi orang Melayu tidak mahu mengaku bahawa kelemahan yang sebenar berada pada diri mereka sendiri, selagi mereka tidak sanggup membetulkan kesalahan mereka, selama itulah mereka akan gagal dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Apa dianya kelemahan ini tidak perlu saya sebutkan di sini. Hanya yang saya ingin perkatakan ialah mereka yang ingin kaya cepat akan miskin cepat. Dalam dunia dan di akhirat juga tidak ada yang mudah, tidak ada yang percuma. Hanya mereka yang rajin, tekun, sabar dan jujur sahaja yang akan berjaya baik dalam bidang ekonomi ataupun dalam apa juga bidang.

MELAYU DI ZAMAN PENJAJAH


58. Penubuhan UMNO sebagai parti politik pada tahun 1946 menandakan tamatnya hampir 450 tahun bangsa Melayu dan negeri-negeri Melayu dijajah. Sebelum ini siapa sahaja boleh menjajah orang Melayu. Mereka tunduk kepada sesiapa sahaja. Portugis, Belanda, British, Jepun dan Siam pun semuanya diterima dan dihormati oleh orang Melayu sebagai tuan kepada mereka.

59. Orang Melayu di zaman penjajah tidak bermaruah dan tidak bersemangat. Mereka anggap diri mereka sebagai manusia kelas dua dan mereka sedia menyerah apa sahaja kepada orang lain yang mereka percaya lebih berkebolehan daripada mereka. Pentadbiran negara, perniagaan dan perusahaan, kerja biasa pun semuanya diserah kepada orang asing.

60. Dengan itu pada satu masa awal abad ke-20 jumlah orang asing di negeri-negeri Melayu melebihi jumlah orang Melayu. Jika tidak kerana resesi dunia yang teruk pada tahun tiga puluhan, hari ini orang Melayu mungkin menjadi kaum minoriti di Malaysia seperti di Singapura. Tetapi resesi 1930 telah menyebabkan ramai daripada orang Cina dan India balik ke negara mereka. Dengan itu jumlah orang Melayu melebihi sedikit daripada orang mendatang. Dengan itu yang menuntut kemerdekaan dan menerajui Kerajaan Malaysia yang merdeka ialah orang Melayu. Kita nyaris menjadi Melayu Singapura.

61. Inilah kesan daripada menyerah segala kerja dan urusan kepada orang lain. Inilah kesan daripada sikap tidak sanggup membuat kerja yang berat sedikit, yang susah sedikit, yang berbeza sedikit daripada kerja biasa -- iaitu menanam padi dan menangkap ikan. Orang Melayu tidak sanggup dan tidak mahu bekerja dalam kebun getah atau lombong bijih, atau belajar berniaga selain daripada membuka gerai di tepi jalan atau menghampar tikar di pasar dan duduk di tengah-tengah barangan yang hendak dijual. Perniagaan mereka tidak membesar dan peniaga Melayu biasanya tidak pindah ke kedai yang lebih sempurna, lebih besar. Rezeki secupak orang Melayu tidak pernah jadi segantang. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak ada esok bagi perniagaan orang Melayu.

62. Sesungguhnya keadaan ekonomi orang Melayu di zaman penjajah British amat buruk dan memalukan. Tetapi di zaman Jepun orang Melayu masih ingin mengalu-alukan kembalinya penjajah British.

63. Alangkah terkejutnya orang Melayu apabila mereka diberitahu British berhasrat menjadikan negeri-negeri Melayu sebagai milik mereka terus dan tidak lagi negeri Melayu yang dilindungi British. Buat kali pertama selama hampir 450 tahun mereka dijajah, orang Melayu berhadapan dengan kehilangan secara langsung negeri-negeri kerdil mereka, tanahair mereka. Mereka tidak lagi akan mempunyai taraf sebagai anak watan Bumiputera dalam sebuah negara mereka sendiri. Mereka akan menjadi satu daripada kaum yang setaraf dengan kaum mendatang. Lebih buruk lagi sementara mereka boleh memiliki kewarganegaraan Malayan Union sahaja, kaum pendatang boleh memiliki kewarganegaraan dua negara -- Malayan Union dan negara asal daripada mana mereka datang. Dalam Malayan Union ciptaan British, orang Melayu akan menjadi secara rasmi warganegara kelas dua.

64. Di zaman British politik dilarang bagi rakyat biasa. Politik hanya untuk raja-raja dengan pembesar mereka dan British. Dengan mudahnya British mengambilalih semua kegiatan pentadbiran yang penting. Raja-raja berkuasa secara terhad hanya dalam pentadbiran agama Islam dan adat-istiadat Melayu.

65. Alhamdulillah kuasa yang sedikit ini telah menyelamatkan orang Melayu daripada nasib yang menimpa penduduk tanah jajahan Barat yang lain. Dalam perjanjian dengan British yang berkuatkuasa selagi ada matahari, bulan dan bintang di langit, syarat yang penting ialah perkembangan agama Kristian di kalangan orang Melayu tidak dibenarkan. Dengan itu terselamatlah agama orang Melayu. Jika tidak, apa yang berlaku di Maluku akan terjadi di Malaysia hari ini.

66. Kerana politik ditegah di kalangan orang Melayu, dan tidak ada jawatan atau pangkat dalam pentadbiran yang dipertandingkan, tidak ada perebutan tempat oleh orang Melayu. Tokoh-tokoh agama memang ada dan mereka mendirikan sekolah-sekolah agama pondok di utara Semenanjung. Mereka juga tidak berpolitik dan mereka menerima pemerintahan British seperti orang Melayu lain. Dengan itu tidak ada persaingan antara orang yang terpelajar dalam bidang agama dengan orang daripada sekolah Melayu atau sekolah Inggeris. Perpecahan kerana agama tidak berlaku. Alhamdulillah.

67. Apabila gerakan menentang Malayan Union berlaku, tidak ada masalah bagi orang Melayu lulusan sekolah agama, sekolah Melayu dan sekolah Inggeris bekerjasama rapat untuk menentangnya. Semua orang Melayu menyertai UMNO dan semua sama-sama menyokong perjuangan orang Melayu melawan penjajah.

68. Berhadapan dengan bahaya negeri-negeri mereka dirampas oleh British, raja-raja Melayu juga menyertai secara tidak langsung gerakan menentang British. Dahulu raja-raja Melayu dan pembesar jajahan sering bertelingkah kerana perebutan tempat dan takhta. Perebutan ini memberi peluang kepada penjajah memihak kepada pihak tertentu untuk mengembangkan lagi pengaruh mereka. Tetapi setelah British berkuasa pewaris kepada takhta dan pembesar ditentukan oleh British dan perebutan tidak berlaku lagi.

PERPADUAN KUATKAN MELAYU

69. Dalam keadaan orang Melayu tertekan dan daif, dalam keadaan politik Melayu terhad dan tidak ada orang agama atau orang lain yang memecahbelahkan orang Melayu, dalam keadaan raja dan rakyat berhadapan dengan bahaya yang sama, seruan kepada perpaduan menarik ‘response’ yang menggalakkan. Tidak ada sesuatu yang lebih berkesan menyatupadukan orang Melayu daripada percubaan merampas negeri-negeri mereka oleh penjajah. Walaupun mereka serba daif, tidak mempunyai kewangan, tidak berpelajaran dan berilmu, tidak mempunyai senjata, namun perpaduan yang kukuh telah menyelamatkan mereka.

70. British, satu kuasa besar dunia, yang baru menang perang, yang begitu pintar dan cekap, terpaksa tunduk kepada Melayu yang bersatu dalam sebuah parti politik yang baru sahaja ditubuhkan oleh mereka. UMNO, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, di bawah pimpinan seorang anak Johor telah menyatupadukan semua orang Melayu dan pertubuhan-pertubuhan mereka daripada semua lapisan dalam satu pertubuhan politik, iaitu UMNO. Pemimpin-pemimpin UMNO sahaja yang diberi mandat untuk memprotes dan menuntut balik hak orang Melayu ke atas negeri-negeri mereka.

71. Sebenarnya ini adalah kali pertama dalam sejarah orang Melayu sejak sebelum kesultanan Melayu Melaka yang orang Melayu sedar akan Kemelayuan mereka dan bersatu sebagai orang Melayu. Sebelum ini mereka menganggap diri mereka sebagai rakyat negeri masing-masing dan kesetiaan mereka adalah kepada raja-raja negeri mereka. Nasib yang malang yang menimpa sesuatu negeri Melayu tidak mengundang simpati dan pertolongan daripada orang Melayu negeri lain.

72. Terbahagi kepada negeri-negeri yang kecil, mereka amat lemah dan mudah diperkosa oleh sesiapa sahaja. Sebab itu satu demi satu daripada negeri-negeri ini menerima naungan atau ditakluk oleh bangsa-bangsa asing. Sejak kejatuhan kesultanan Melaka, di waktu mana hampir semua negeri Melayu dan orang Melayu menerima naungan Sultan Melaka; sejak itu negeri-negeri Melayu terpaksa mencari penaung dari negara-negara Barat dan negara jiran seperti Siam. Sejak kesultanan Melaka tidak ada suatu masa yang negeri-negeri Melayu betul-betul bebas dan merdeka, dan tidak pernah orang Melayu bersatu kerana Kemelayuan mereka.

73. Kejayaan UMNO yang tercemerlang sekali ialah penyatuan orang Melayu daripada semua negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Penyatuan ini memberi kekuatan kepada bangsa Melayu yang tidak pernah dirasai oleh orang Melayu selama 450 tahun.

PELAJARI SEJARAH

74. Kata George Santayana, seorang ahli fikir Barat, “Mereka yang tidak belajar daripada sejarah akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali”.

75. Apakah orang Melayu mendapat pelajaran daripada sejarah mereka, terutama sejarah 450 tahun mereka dijajah; lebih tepat lagi sejarah mereka dijajah oleh British? Apakah mereka belajar daripada sejarah politik mereka, daripada sejarah ekonomi mereka, daripada sejarah agama mereka dan sejarah keilmuan mereka?

76. Orang Melayu nampaknya tidak banyak mempelajari daripada sejarah mereka. Melayu mudah lupa sejarah mereka. Sebaliknya mereka amat gemar mewarnakan sejarah mereka dengan cerita dongeng untuk ego mereka, untuk menyedapkan hati dan berbangga dengan cerita-cerita dongeng yang mereka cipta.

77. Demikian mereka suka menyebut ungkapan Hang Tuah yang kononnya berkata, “Tak akan Melayu hilang di dunia”.

78. Sehingga hari ini benarlah kita tidak hilang. Tetapi apakah jenis Melayu yang tidak hilang ini. Selama 450 tahun mereka hidup di negeri mereka sendiri sebagai hamba bangsa-bangsa asing. Sekarang mereka sudah bebas dan dapat memerintah diri sendiri. Tetapi apakah mereka sudah menjadi bangsa yang berjaya dan bermaruah.

KEBIJAKSANAAN PEMIMPIN UMNO

79. Orang Melayu boleh dikatakan bijak juga dalam mentadbirkan sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan suku kaum. Umum mengetahui bahawa negara berbilang kaum biasanya diancam oleh permusuhan antara kaum yang kerapkali diikuti dengan peperangan yang tidak berhenti-henti. Jika tidak ada peperangan pun perhubungan antara kaum biasanya tegang.

80. Di Malaysia bukan sahaja terdapat kaum yang berlainan tetapi perbezaan ini ditokok-tambah dengan kelainan bahasa, budaya dan agama. Sesungguhnya campuran ini amat mudah meletup.

81. Tetapi pemimpin-pemimpin Melayu UMNO di waktu perjuangan untuk kemerdekaan telah menjalin satu sistem kerjasama antara kaum yang amat bijak dan istimewa. Sementara identiti kaum dikekalkan, kerjasama dalam satu parti campuran dicipta yang tidak membelakangkan kedudukan orang Melayu sebagai Bumiputera anak watan. Kejayaan sistem ciptaan Melayu UMNO ini lebih mengkagumkan kerana ianya dibentuk semasa pengganas yang majoritinya daripada keturunan Cina sedang melakukan serangan terhadap Kerajaan dengan tujuan mendirikan sebuah republik yang akan dikuasai oleh orang berketurunan Cina. Bahawa majoriti orang Cina sanggup menyokong sebuah parti campuran kepimpinan Melayu yang begitu keras menentang pengganas Cina adalah bukti kemampuan kepimpinan orang Melayu UMNO menangani masalah perkauman yang tebal di Malaysia; menanganinya dengan tidak menggadai hak bangsa Melayu. Tidak ada negara berbilang kaum yang lain yang berjaya mengatasi masalah perkauman seperti Malaysia di bawah pimpinan orang Melayu UMNO.

82. Inilah bukti kebijaksanaan orang Melayu dan pemimpin-pemimpin mereka, iaitu pemimpin UMNO yang menggunakan akal fikiran dan tidak nafsu dalam pengurusan negara yang baru sahaja merdeka. Walaupun ada saranan supaya orang Melayu merebut semua kuasa dan menidakkan hak penduduk bukan Melayu, yang mana ini sudah tentu akan memaksa orang Cina terutamanya menyokong perebutan kuasa oleh pengganas Cina, tetapi kepimpinan Melayu menolak desakan ini. Dengan itu akhirnya pengganas di bawah kepimpinan orang berketurunan Cina ditewaskan. Jika pada masa itu kita mempunyai pemimpin Melayu yang tamak yang cuba merebut semua untuk kita, hari ini Malaysia bukan sahaja tidak aman tetapi tetap mundur seperti kebanyakan negara membangun yang lain. Mungkin rusuhan berlaku sepanjang masa.

83. Demikian kebijaksanaan kepimpinan Melayu UMNO dalam politik dan pentadbiran. Dalam bidang pembangunan ekonomi negara juga prestasi pemerintahan yang diterajui Melayu UMNO jauh lebih baik daripada yang dijangka. Pertumbuhan ekonomi di Malaysia meningkat sepanjang masa, sehingga ia menjadi satu daripada ekonomi ajaib di Timur Asia.

KELEMAHAN MELAYU

84. Tetapi pencapaian orang Melayu sendiri tidak boleh dibanggakan. Ingatan mereka terlalu pendek. Selepas hanya dua generasi, pengajaran daripada sejarah lama dan baru sudah dilupakan atau tidak dapat difahami. Bagi generasi yang membesar atau dilahirkan selepas merdeka, kemerdekaan tidak mempunyai makna yang sama seperti kepada mereka yang dilahirkan dan membesar di zaman penjajah. Dan mereka tidak juga dapat mempercayai tentang kemungkinan mereka dijajah semula. Sekali merdeka, kononnya selama-lamanya merdeka, kata mereka. Amatlah sukar bagi mereka menerima konsep seperti neo-kolonialisme. Apakah orang putih yang memperjuangkan hak asasi manusia, keadilan, pemerintahan mengikut undang-undang, demokrasi; apakah orang ini berniat untuk menjajah mereka semula? Ini semua adalah helah Kerajaan UMNO untuk menakutkan orang Melayu supaya memberi sokongan kepada parti UMNO. Generasi muda tidak boleh ditipu dan ditakutkan. Kemerdekaan, kebebasan dan keselamatan orang Melayu adalah terjamin. Mana-mana Kerajaan di Malaysia pun akan menjamin keselamatan dan keselesaan hidup orang Melayu.

85. Dengan ini percubaan tidak dibuat untuk mengubah sikap dan mengatasi kelemahan-kelemahan yang dahulu telah menyebabkan negeri-negeri Melayu dijajah, dibanjiri oleh orang asing sehingga orang Melayu menjadi minoriti. Orang Melayu masih mudah bersengketa dan berpecah. Orang Melayu masih tidak sanggup mengejar ilmu, tidak sanggup bekerja kuat, tidak mahu belajar pengurusan perniagaan dan menghadapi risiko perniagaan. Orang Melayu masih mencari jalan yang mudah untuk cepat kaya. Dan ini termasuk menerima sogokan.

86. Oleh itu di hari ini orang Melayu masih lemah setelah 43 tahun bebas dan berkuasa di negeri sendiri. Tanpa Kerajaan yang memihak dan membantu mereka dalam semua segi, mereka akan jatuh tersungkur. Tanpa diskriminasi positif oleh Kerajaan hanya 20 peratus daripada kemasukan ke universiti akan terdiri daripada anak-anak Melayu. Dan mereka ini pun akan lulus dengan pangkat yang rendah, jika mereka lulus. Tanpa Kerajaan yang prihatin terhadap nasib orang Melayu Naib Canselor dan profesor, dan pensyarah akan terdiri daripada orang lain dan bukan dimonopoli oleh orang Melayu seperti sekarang.

87. Dalam Kerajaan pegawai tinggi dan pegawai profesional bukan Melayu akan menjadi majoriti yang terbesar. Kebanyakan Ketua Setiausaha Kementerian-Kementerian akan terdiri daripada bukan Melayu. Keadaan di mana hampir semua pejabat dipenuhi oleh pegawai dan kakitangan Melayu akan berubah. Mungkin juga orang yang hanya tahu bahasa Melayu akan menghadapi masalah semasa berurusan dengan Kerajaan.

88. Dalam bidang ekonomi perniagaan orang Melayu akan terhad kepada gerai-gerai yang berbumbung plastik biru di tepi-tepi jalan. Tidak akan ada kedai batu Melayu dalam bandar. Sudah tentu tidak akan ada bangunan pencakar langit milik ahli korporat Melayu, bahkan oleh dana-dana kepentingan Melayu.

89. Kerajaan yang tidak bersimpati dengan orang Melayu akan menswastakan semua perniagaan awam dan jabatan-jabatan kepada orang asing atau rakyat bukan Melayu. Di bawah mereka entiti yang diswastakan ini akan berkembang maju dan menjadi gergasi korporat. Mungkin ada beberapa kerat orang Melayu sahaja yang akan dilihat antara ramai pegawai lain.

MELAYU SUDAH LUPA PERJUANGAN

90. Sukar bagi kita menggambarkan keadaan seperti ini. Setelah merdeka 43 tahun sukar bagi orang Melayu hari ini memikir akan keadaan semasa kita dijajah dahulu. Yang kita tahu ialah hari ini kita merdeka, hari ini kita mempunyai Kerajaan yang dikuasai oleh kita, hari ini Kerajaan melindungi kita. Takkanlah Malaysia boleh mengadakan Kerajaan yang mengabaikan kepentingan Melayu. Apa juga yang dibuat oleh orang Melayu mereka tetap selamat. Jika mereka berpecah, berperang sesama sendiri pun mereka akan selamat. Bahawa mereka masih lemah dalam semua bidang, lemah daripada segi ekonomi, tidak berilmu, kurang cerdik, mudah disogok, menjadi penagih dadah, menghidap penyakit aids dan lain-lain; semua ini tidak mengapa kerana mereka tetap selamat, tetap akan mendapat perlindungan daripada Kerajaan Malaysia.

91. Yang ternampak oleh orang Melayu ialah politik demokrasi memberi jalan yang mudah untuk mendapat sesuatu bagi diri sendiri. Sedikit sahaja usaha yang perlu dibuat tetapi keuntungan yang akan didapati amat besar. Dalam parti pemerintah dan parti-parti Melayu lain, yang diutamakan ialah perebutan tempat. Keupayaan memberi khidmat atau menyumbang kepada kebaikan, kepada pembangunan orang Melayu dan negara Malaysia tidak penting.

92. Perebutan inilah yang membawa kepada keruntuhan akhlak sehingga kawan yang menolong kita pun sanggup kita caci, sanggup kita jatuhkan. Rasuah sanggup dihulur, agama sanggup diputarbelitkan dan bangsa dipecahbelahkan. Tidak ada langsung penghargaan kepada jasa dan bakti. Kita cantas, kita kebas, kita buat apa sahaja untuk mencapai cita-cita besar kita.

93. Parti yang begitu berjasa kepada bangsa, agama dan tanahair, bahkan kepada kita sendiri sanggup kita buruk dan lemahkan dalam usaha kita untuk mendapat sesuatu bagi diri kita. Perpaduan dalam parti, dan perpaduan orang Melayu sendiri sanggup kita tolak dan sanggup kita pecahkan.

94. Orang Melayu sudah lupa. Mereka sudah lupa bagaimana dahulu mereka dijajah dan dihina kerana mereka berpecah, tidak bersatupadu. Mereka sudah lupa akan kekuatan dan kejayaan mereka apabila mereka bersatu dan melawan British dan mencapai kemerdekaan.

95. Mereka sudah lupa akan tujuan sebenar perjuangan politik mereka. Apakah perlu bahasa Melayu sahaja dijadikan bahasa rasmi? Apakah taraf agama lain tidak boleh disamakan dengan taraf agama Islam? Apakah perlu ada perbezaan di antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera? Semua ini dilupakan. Dalam keghairahan untuk mendapat undi daripada pihak tertentu semua kepentingan Melayu yang diperjuangkan ini dijadikan tajuk untuk tawar-menawar. Bagi undi dan kami sanggup gugur apa sahaja yang dianggap hak orang Melayu.

96. Apakah perasaan orang Melayu terhadap penderhakaan kepada kepentingan Melayu oleh parti Melayu tertentu ini? Apakah mereka akan menyokong juga parti yang secara terang-terang menolak hak keistimewaan orang Melayu? Jawabnya “Ya”, mereka akan terus menyokong. Penyokong parti yang sanggup menggadai hak orang Melayu akan meyakinkan diri mereka bahawa pendirian pemimpin parti mereka hanyalah tipu helah untuk mendapat sokongan bukan Melayu. Kononnya pemimpin mereka begitu kuat pegangan kepada agama Islam dan tidak mungkin membenarkan hak orang Melayu Islam tergadai. Apabila sudah berjaya maka pemimpin dan parti mereka akan teruskan agenda Islam mereka dan menipu orang bukan Islam. Oleh itu penyokong mereka akan teruskan sokongan mereka secara fanatik.

97. Cuba hitung. Hari ini 72 daripada wakil rakyat Melayu adalah daripada parti Kerajaan dan 32 daripada parti lawan. Jika hanya 21 kerusi lagi dimenangi oleh parti lawan mereka akan dapat 53 dan UMNO dapat 51. Untuk mendapat 21 kerusi lagi tidak susah. Dalam kawasan yang mana UMNO menang sedikit sahaja, 200-300 undi daripada kaum lain akan memberi kemenangan kepada parti lawan. Oleh itu membelakangkan kepentingan Melayu untuk mendapat sokongan bukan Melayu memang bijak.

98. Tetapi untuk memerintah perlu ada sekurang-kurangnya 97 kerusi. Oleh itu jual-beli, tawar-menawar mesti diteruskan. Apakah yang hendak dijual jika tidak kepentingan Melayu? Kerajaan yang akan didirikan dengan parti-parti tertentu tetap lemah kerana siapa sahaja boleh menjatuhkannya. Jika parti yang berkongsi menarik diri, Kerajaan campuran PAS akan jatuh.

99. Apakah Kerajaan yang lemah seperti ini boleh memerintah dengan tegas? Apakah Kerajaan seperti ini boleh melindungi orang Melayu yang masih lemah? Sama-samalah kita renungkan.

DEMOKRASI ADA CACATNYA

100. Demokrasi adalah satu sistem politik yang terpaksa diterima pakai oleh seluruh dunia sekarang. Demokrat liberal Barat yang dikatakan percaya kepada kebebasan telah bersumpah tidak akan membenarkan sistem-sistem lain digunakan oleh mana-mana negara di dunia. Kebebasan hanyalah untuk memilih demokrasi. Inilah demokrasi dan kebebasan yang dimaksudkan oleh demokrat liberal Barat.

101. Kita akui demokrasi baik. Ia memberi hak kepada rakyat memilih orang yang terbaik untuk memerintah negara mereka. Tentulah majoriti rakyat tidak akan menganiaya diri mereka dengan memilih penyangak untuk mendirikan Kerajaan.

102. Tetapi kita sudah lihat bagaimana rakyat beberapa negara demokratik memilih orang yang tidak begitu lurus, tidak berkemampuan untuk mendirikan Kerajaan dan memerintah negara.

103. Rakyat mudah dipengaruhi. Jika rakyat begitu kuat pegangan kepada agama, agama boleh dijual, diputarbelitkan supaya majoriti rakyat tertipu dan menyokong parti yang salah. Rakyat takut neraka. Oleh itu beritahu mereka jika mereka ingin ke syurga sokonglah parti yang mempunyai nama Islam walaupun ia jelas mempermainkan Islam, bahkan menghina Tuhan. Jika rakyat takut menjadi kafir, kata pada mereka, walaupun kamu mengucap dua kalimah syahadat, kamu masih kafir jika tidak menyertai parti ‘Islam’, tidak mengundi parti Islam ini.

104. Hari ini orang Melayu sudah dibiasakan dengan rasuah, dengan sogokan. Mereka meyakinkan diri mereka bahawa perbuatan mereka seorang tidak akan menukar keputusan pilihanraya. Tetapi yang berfikiran demikian bukan seorang sahaja. Beratus dan beribu akan berfikir demikian. Dengan itu bangsa, agama dan negara boleh dijual kepada sesiapa yang menghulur wang dan lain-lain. Siapa yang menghulur lebih banyak akan menang. Jelaslah demokrasi tidak menjamin Kerajaan yang dipilih oleh majoriti rakyat tetap Kerajaan yang baik. Penyangak, ulama songsang, pengamal rasuah dan kaki maksiat juga boleh jadi pemimpin negara. Lihatlah negara-negara yang mempunyai penyangak sebagai pemimpin. Hancur negara dibuatnya, tetapi masih ramai yang menyokong dan tidak mudah untuk menyingkirkannya.

105. Penolakan perpaduan oleh orang Melayu, kecacatan dalam sistem demokrasi, putarbelit oleh ahli politik yang rakus yang sanggup jual apa sahaja termasuk agama, perasaan kebencian yang tidak berasas dan keruntuhan moral orang Melayu sendiri, kehilangan semangat kebangsaan -- semua ini boleh menyebabkan kuasa politik Melayu menjadi luntur dan terlepas daripada tangan mereka.

106. Apakah kita percaya apabila kita lemah orang lain akan memelihara kita, melindungi hak kita? Apakah mana-mana Kerajaan pun akan memberi layanan yang sama seperti yang kita dapati sekarang ini? Apakah kita berasa bangga apabila bangsa Melayu yang tak akan hilang di dunia ini terpaksa diberi lindungan seperti orang Red Indian di Amerika, disimpan dalam kawasan rizab, dan dijadikan produk pelancongan?

107. Kemungkinan-kemungkinan ini semuanya cerita dongeng untuk menakutkan orang Melayu supaya menyokong Kerajaan. Orang asing tidak seburuk yang digambarkan. Tidakkah mereka menunjuk simpati dan sokongan mereka apabila Kerajaan melakukan kezaliman? Mereka, orang asing, berperikemanusiaan. Mereka mendokong hak asasi manusia. Mereka prihatin dan ingin melihat manusia bebas. Mereka tidak akan menganiaya kita.

108. Apakah kita tidak lihat apa yang sedang berlaku di sekeliling kita. Kononnya untuk mendisiplinkan Kerajaan, penyangak matawang dilepaskan untuk menjatuhkan nilai matawang, merosakkan ekonomi dan memiskinkan negara yang sedang pesat membangun. Berjuta pekerja menganggur, merusuh di jalan raya, membakar kereta dan bangunan, merogol dan membunuh. Pemerintah dijatuhkan kerana kononnya akan diganti dengan pemerintah yang lebih adil dan demokratik. Apakah kita tidak percaya semua ini mungkin berlaku kepada kita apabila kita lemah dan kita memberi kesempatan kepada bekas-bekas penjajah? Apakah benar mereka ikhlas dan tidak akan menganiayakan kita? Sudah lupakah kita sejarah penjajah kita dahulu, kesan perpecahan di kalangan kita, kesan menyerah pemerintahan kepada orang lain, kesan menyerah semua pekerjaan dan perniagaan kepada orang lain.

109. Hanya yang buta dan yang pekak, atau yang celik tetapi tidak mahu lihat, atau yang suka menipu diri sahaja yang akan berkata semua yang diperkatakan ini adalah percubaan untuk menakutkan orang Melayu dan ahli UMNO supaya tidak menggunakan rasuah dan politik untuk kepentingan diri.

ORANG ASING BENCI MALAYSIA

110. Bangsa asing yang dahulu menjajah kita, yang tidak pernah menolong kita; bangsa asing ini tidak ada niat baik kepada kita. Ya, benar hari ini mereka mengecam Kerajaan Malaysia dan kepimpinannya kerana kononnya tidak berlaku adil kepada pihak tertentu, kerana tidak demokratik, kerana mengamalkan kapitalisme kroni dan lain-lain. Mereka nampak begitu simpati dengan puak yang kononnya ingin reformasi dan keadilan.

111. Ini adalah helah mereka sahaja. Kenapa mereka tidak menyelamatkan orang Islam Bosnia dan Kosovar daripada penjenayah Serb, kenapa biar sehingga 200,000 orang dibunuh, ramai dicederakan, dirogol sebelum bertindak? Kenapa tidak pertahankan orang Palestin daripada serangan Israel, yang membunuh kanak-kanak; kenapa sekat makanan dan ubat bagi rakyat Iraq sehingga ramai kanak-kanak lahir cacat dan ramai mati kelaparan dan kurang rawatan?

112. Orang Islam di mana-mana sahaja ditindas. Apakah mungkin di Malaysia mereka ini begitu bersimpati dengan pembangkang, dengan sebuah parti yang kononnya berjuang untuk mendirikan negara Islam? Islam bagi mereka adalah sinonim dengan pengganas.

113. Jawapannya “Tidak”. Tidak mungkin mereka hendakkan Kerajaan oleh orang yang mereka cap sebagai pengganas. Mereka hanya ingin menjatuhkan Kerajaan Malaysia, Kerajaan Barisan Nasional, Kerajaan yang sanggup mengkritik mereka apabila mereka mengganas, Kerajaan yang menolak nasihat mereka untuk menyerah pengurusan ekonomi negara kepada agen mereka, IMF dan Bank Dunia.

114. Mereka benci kepada Malaysia terutama kepimpinan yang ada sekarang, benci yang tidak terhingga, benci dan sakit hati yang amat sangat. Mereka lebih benci kerana Malaysia mampu menangkis serangan ekonomi dan kewangan yang dilancar oleh mereka, dan berjaya tanpa pertolongan sesiapa, berjaya dengan pendekatan sendiri, dengan duit ringgit sendiri. Mereka benci kerana setelah meramal Malaysia dan Kerajaannya akan jatuh tersungkur, hari ini amat jelas bahawa bencana yang mereka ramal tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya Malaysia dapat pulih ekonominya sehingga pada tahun 2000 tumbuh dengan pesat semula, lebih pesat dari negara-negara yang menerima ‘pertolongan’ mereka.

115. Mereka benci kepada Kerajaan Malaysia kerana mendedah niat jahat mereka apabila memperkenalkan konsep globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Malaysialah yang mula mencabar dan menentang konsep ini yang bertujuan menakluk dunia dengan kekuatan ekonomi, dengan manipulasi wang dan dengan syarikat-syarikat gergasi yang lebih besar dan lebih kaya daripada kebanyakan negara di dunia. Hanya haprak yang suka menjunjung orang putih sahaja yang tidak mengakui semua ini.

116. Ya, memang Malaysia dibenci amat sangat, dibenci dengan tidak terhingga, dibenci kerana bukan sahaja kita negara membangun yang dianggap besar kepala tetapi negara ini dipimpin oleh orang Islam dan negara ini adalah negara Islam -- negara ‘terrorist’, negara pengganas. Media merekalah yang amat benci sekali kerana segala-gala yang mereka ramal tidak berlaku. Mereka meramal perkauman akan menghalang pembangunan Malaysia setelah kita merdeka. Tetapi kita berjaya menangani perkauman dengan cara kita sendiri. Apabila berlaku peristiwa 1969 mereka begitu gembira kerana ramalan mereka ternampak telah menjadi kenyataan. Tetapi dalam masa yang pendek kita kembali tenang dan kita cipta ‘affirmative action’ yang berjaya mengendurkan ketegangan antara kaum dan memulihkan ekonomi negara.

117. Kita bukan sahaja pulih tetapi kita menjadi satu daripada harimau ekonomi Asia. Proses industrialisasi kita berjalan dengan lancar. Daripada negara pertanian yang bergantung hanya kepada getah dan timah kita berjaya menjadi negara industri pembuatan dan pedagang yang ke-17 terbesar di dunia.

118. Mereka serang Ringgit kita dan media mereka menanti-nanti kita mengemis kepada IMF dan Bank Dunia. Kita tidak mengemis. Kita pulih negara kita dengan usaha kita sendiri, dengan wang kita sendiri. Maka bertambah marahlah mereka. Dan ada tanda-tanda yang mereka sedang berusaha lagi untuk meruntuhkan ekonomi negara kita melalui laporan dan tulisan mereka supaya pelabur asing menolak Malaysia, pelancong tidak datang ke Malaysia, supaya pasaran saham kita jatuh, hutang tidak berbayar meningkat, bank dan syarikat menjadi tenat. Kita memerhati percubaan mereka ini dan kita menyediakan strategi pertahanan kita.

119. Orang asing dan media mereka tidak ada niat baik terhadap kita. Mereka bukan ingin tukar Kerajaan ini dengan Kerajaan yang lebih adil dan demokratik. Yang mereka ingin melihat ialah negara kita ini mengalami nasib buruk seperti yang berlaku kepada negara-negara tertentu, di mana Kerajaan tidak mampu menstabilkan negara, menjamin keselamatan dan memulihkan ekonomi. Mereka hanya ingin melihat kerosakan dan masalah yang menimpa negara lain menimpa negara kita juga. Mereka ingin kita menjadi ‘client state’ boneka mereka.

120. Mereka bukan sayang kepada parti lawan dan ingin melihat mereka mengambilalih Kerajaan Malaysia. Mereka hanya menggunakan parti lawan sebagai alat untuk menjayakan niat buruk mereka. Jika ada orang tertentu untuk ditonjolkan sebagai obor untuk mengumpul rakyat dan mempengaruhi dunia tentang keburukan Kerajaan yang mereka tidak suka maka nasib buruk orang itu akan dijaja di seluruh dunia. Kononnya layanan terhadap orang tertentu ini menunjuk betapa tidak adilnya negara tertentu, betapa tidak demokratik dan tidak berperikemanusiaan. Tetapi apabila beribu-ribu orang di Palestin, Bosnia, Kosovo dibunuh dengan kejam mereka tidak memburukkan Israel atau Serbia. Di negara mereka sendiri ketidakadilan yang ketara berlaku kerana sentimen perkauman kulit putih dan mahkamah mereka selalunya berat sebelah. Ini tidak pula menarik tuduhan oleh media mereka bahawa mereka tidak adil.

121. Mereka mendakwa tunjuk perasaan dan demonstrasi adalah hak asasi manusia dan demokratik. Tetapi apabila ini berlaku di negara mereka sendiri, mereka pukul, mereka tembak dan mereka tangkap pejuang-pejuang yang mengamalkan hak-hak ini. Cakap tak serupa bikin. Dua kali lima sahaja. Katakan orang kita yang lebih.

JANGAN BENAR DITIPU

122. Orang Melayu jangan benar diri ditipu oleh orang asing. Jangan menjadi alat orang asing untuk merosakkan negara sendiri. Jangan mengkhianati bangsa dan agama. Jangan menderhaka. Jangan lupa sejarah penindasan kita oleh penjajah dahulu.

123. Kita akui negara kita dan Kerajaan yang ada ini tidak bebas daripada kesalahan, daripada kecacatan. Sebagai bangsa yang bebas dan berdaulat kita harus selesaikan masalah kita dengan usaha kita sendiri. Proses demokrasi walaupun tidak boleh menjamin semua hasilnya baik, tetapi masih boleh diguna untuk mengatasi masalah-masalah sesama kita dan dalam negara kita. Jangan cepat lari untuk mencari pertolongan daripada ‘sherif’ bangsa lain.

124. Orang Melayu perlu berfikiran waras. Jangan benar nafsu mempengaruhi dan mengatasi akal fikiran. Jangan benar perasaan benci semata-mata menguasai pendirian kita. Jangan gemar dengan fitnah, kerana al-Quran jelas meletakkan fitnah sebagai lebih bahaya daripada membunuh, seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 191, yang bermaksud:

“Fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan”

Mereka yang melemparkan fitnah melakukan keburukan yang besar, lebih besar daripada keburukan membunuh. Mereka yang menolong menyebarkan fitnah, mereka juga bersalah. Takutlah kepada Tuhan, kepada Allah S.W.T. Jangan melempar fitnah, jangan menyebar fitnah dan jangan mempercayai fitnah. Demikian surah Al-Hujuraat ayat 6 dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”

125. Buatlah penilaian yang baik terhadap apa-apa tuduhan. Bukankah hampir semua daripada tuduhan yang dilempar terhadap Kerajaan tidak berasas. Rancangan Perairan Muda dikatakan menyeksa tanah, Jambatan Pulau Pinang membazir, Dasar Ekonomi Baru hanya menguntungkan beberapa kroni Kerajaan sahaja, kereta Proton tidak mungkin berjaya, penswastaan tidak menolong membangunkan negara, kawalan pengaliran modal tidak mungkin memulihkan ekonomi negara dan seribu satu lagi tuduhan, yang semuanya didapati tidak berasas. Demikian juga dakwaan kononnya Dr Mahathir buang suara ahli bawahan dalam bakul sampah, tidak percaya agama dan menggunakan perkhidmatan bomoh, tidak sembahyang subuh -- semuanya fitnah belaka.

126. Sila dapatkan bukti dan butiran yang jelas berkenaan dengan tuduhan dan dakwaan ini dan berkenaan projek-projek ini dan projek-projek lain dan dasar Kerajaan. Tidakkah DEB memberi peluang pelajaran tinggi kepada ratusan ribu anak Melayu termasuk anak orang PAS sehingga mereka hari ini berpendapatan berkali ganda lebih daripada ibu bapa dan keluarga asal mereka? Bukankah Proton satu perusahaan yang berjaya sehingga tiga per empat daripada kereta di jalanraya adalah Proton, dan mereka yang dahulu tidak mungkin memiliki kereta sekarang ke sana, ke sini dengan kereta Proton? Bukankah dunia hari ini terpaksa mengakui bahawa kawalan modal ala Malaysia mampu memulihkan ekonomi negara?

127. Kenapakah orang asing sanggup bermati-matian untuk datang ke Malaysia? Apakah kalau negara mereka lebih baik, lebih banyak peluang kerja, mereka akan datang ke sini?

128. Apakah Malaysia bukan negara Islam? Berapa banyakkah negara yang 40 peratus penduduknya menganuti pelbagai agama lain, tetapi Islam dapat dijadikan agama rasmi? Apakah ukuran yang dikehendaki sebelum negara ini boleh diakui sebagai negara Islam? Sila sebut dengan jelas dan terang. Apakah hanya setelah hukum hudud dilaksanakan baru pihak ini akan menerima Kerajaan ini bukan Kerajaan kafir, bukan sekular. Jika PAS berhasrat mengadakan Kerajaan Islam, apakah PAS mahu menolak parti-parti DAP dan Keadilan yang bukan Melayu dan bukan Islam yang sekarang menjadi rakan politik PAS?

PAS SANGGUP TIPU

129. PAS tidak mahu tipu orang Cina, kata pemimpin PAS. Tetapi PAS sanggup tipu orang Melayu dengan mendakwa masuk PAS masuk Islam, undi PAS masuk syurga, sembahyang imam UMNO tidak sah, sembelihan orang UMNO haram dan bermacam lagi. Sekarang beritahu apakah jenis Kerajaan yang tidak mengikut sistem Kerajaan UMNO yang dikatakan kafir yang hendak didirikan oleh PAS. Apakah Kerajaan itu demokratik jika segala-galanya mesti dirujuk kepada Dewan Ulama yang tidak dipilih oleh rakyat. Apakah PAS bercadang untuk melaksanakan hukum hudud ke atas orang bukan Islam? Apakah PAS akan menghapuskan Mahkamah Sivil dan hanya mengadakan Mahkamah Syariah sahaja untuk semua jenayah, termasuk kes liwat dan rogol? PAS harus terangkan secara jelas dan terperinci jenis Kerajaan yang dianggap oleh PAS tidak kafir dan tidak sekular yang PAS ingin jadikan sistem pemerintahan negara kita Malaysia. PAS sekarang pandai tulis sepanduk dalam bahasa Cina. Oleh itu, sediakanlah perlembagaan negara yang dirancang oleh PAS dalam bahasa Cina, jika PAS tidak berhajat menipu orang Cina seperti PAS menipu orang Melayu. Beritahu secara bertulis jenis Kerajaan yang akan didirikan oleh PAS kepada sahabat karib PAS dalam DAP dan Suqui.

130. PAS sudah janji ladang babi bagi orang Cina di Terengganu dan tanah simpanan Melayu di Kelantan untuk sekolah Cina. Sila beri maklumat berkenaan dengan dua janji ini. Kenapakah sementara orang Melayu dari negeri lain tidak boleh memiliki tanah di Kelantan, manakala orang Cina hendak diberi milik tanah?

SEBAGAI NEGARA ISLAM MALAYSIA DIIKTIRAF

131. Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam dan banyaklah kerajaan negara Islam lain yang menganggap Malaysia sebagai contoh negara Islam yang terbaik untuk mereka. Negara Islam dan institusi Islam memberi pelbagai anugerah kepada Malaysia kerana kagum dengan kemajuannya dan kemajuan agama Islam di Malaysia. Lebih seratus negara Islam dan bukan Islam menghantar penuntut mereka ke Universiti Islam Malaysia. Tetapi di Malaysia ada orang Islam yang mendakwa Malaysia bukan negara Islam dan pemerintahannya pemerintahan kafir dan sekular.

132. Kita ingin tentukan yang mana satu dari negara-negara yang dunia akui adalah negara Islam yang PAS terima sebagai Islam. Jika pelaksanaan hukum hudud menjadi kriteria untuk PAS akui sebagai negara Islam sila tunjukkan negara mana yang melaksanakan hukum hudud di zaman ini. Setakat yang kita dapat sahkan tidak ada satu pun negara yang menguatkuasakan hukum hudud, iaitu daripada cara pembicaraan sehingga ke pelaksanaan hukuman. Ini bukan bermakna mereka menolak hukum agama tetapi kerana masyarakat sekarang berbeza dengan masyarakat Islam di zaman Nabi. Tidak ada yang bebas daripada dosa besar yang sanggup memberi keterangan sebagai saksi. Namun jenayah tetap berlaku dan penghakiman terpaksa dibuat. Apakah ini bertentangan dengan agama Islam? Sila jelaskan.

KEJAYAAN KITA DIAKUI

133. Kita sudah merdeka 43 tahun dan dunia akui kejayaan dan kemajuan kita. Pendapatan per kapita meningkat daripada 300 Dolar Amerika setahun sebelum merdeka kepada 4000 Dolar Amerika setahun sekarang. Seluruh negara, bukan sahaja bandar, mempunyai bekalan elektrik dan air, mempunyai masjid, klinik, hospital dan sekolah, jalan raya, lebuh raya, jalan kampung bertar. Bukan sahaja semua rakyat mendapat upah bekerja tetapi dua juta orang asing menumpang peluang pekerjaan di negara ini. Tidak ada kekurangan makanan atau pakaian. Yang termiskin pun diberi rumah yang selesa.

134. Perhitungkan nikmat yang banyak yang kita terima di negara yang bertuah ini. Dan fikirkan bagaimana semua ini diadakan. Ia tidak datang bergolek, tidak datang melayang. Ia diusahakan oleh Kerajaan. Kerajaan pilihan rakyat, Kerajaan yang diterajui oleh UMNO, yang tetap memelihara dan melindungi hak orang Melayu di samping mengambilkira hak dan kepentingan kaum-kaum lain. Kita tidak rampas hak orang kaya untuk diberi kepada rakyat yang miskin. Kita besarkan kek ekonomi negara dan daripada yang besar ini kita agihkan secara saksama kepada semua kaum.

135. Hanya yang kita tidak senang hati ialah pencapaian orang Melayu sendiri. Mereka terlalu leka, terlalu yakin akan ada pihak yang akan menyelamat mereka, akan menolong mereka. Ramai daripada mereka yakin Kerajaan mana pun akan melayan semua kehendak mereka. Mereka yakin kuasa politik mereka akan kekal dan menentukan mereka terus berkuasa selama-lamanya.

MELAYU BOLEH

136. Justeru itu, apa perlunya mereka berusaha, mereka rajin dan kuat bekerja, mereka menguasai segala ilmu dan kecekapan supaya mereka tidak lagi perlu bergantung kepada kuota, kepada bantuan, kepada pilih kasih, kepada hak istimewa orang Melayu. Bodohlah jika kita boleh dapat dengan mudah, dengan percuma tetapi kita pilih untuk bersusah payah membuat sendiri, membeli dengan duit sendiri.

137. Kita tidak pun perlu berterima kasih kepada orang yang menolong kita, yang memberi sesuatu kepada kita, kerana apa yang kita dapat memang pun kita punya. Kita sebenarnya berhak menggigit tangan yang memberi kerana ada tok guru kita yang telah mengajar kita supaya jangan berterima kasih.

138. Orang Melayu bukan bodoh, bukan tidak cerdik, tidak cerdas otak. Mereka adalah sama dengan bangsa-bangsa lain. Apa bangsa lain boleh buat, orang Melayu boleh buat. Tetapi kalau kita tidak sanggup buat maka mustahil hasilnya akan menjelma dengan sendirinya.

139. Kita perlu berusaha, kita perlu rajin dan kuat bekerja, kuat menuntut ilmu dan segala kecekapan, kuat berpegang kepada nilai-nilai yang mulia, menolak segala kemungkaran dan mengamal yang makruf dan lain-lain yang boleh meningkatkan prestasi kita. Kita boleh. Orang Melayu boleh. Allah mengurniakan kepada kita apa yang dikurniakan kepada orang lain, kepada bangsa-bangsa yang maju di dunia. Allah S.W.T. telah tentukan apabila manusia membuat sesuatu berulang kali ia tetap menjadi cekap, menjadi pandai. Lebih daripada itu entah bagaimana, zuriat kita mewarisi kepandaian dan kecekapan itu. Jika bangsa Melayu sanggup bertekun, rajin dan tidak mudah bosan dengan mempelajari dan membuat sesuatu, insya-Allah mereka akan menguasai apa yang dituntut akhirnya, untuk dunia dan untuk akhirat juga.

UBAH SIKAP UNTUK SELAMAT

140. Tetapi permulaan mestilah dibuat. Permulaannya bermula dengan mengikis kepercayaan bahawa kita tetap akan selamat kerana Kerajaan mana pun akan menolong kita. Cuba fikir akan kemungkinan kita tidak akan dilindungi dan kita perlu berdikari, berdiri atas kaki sendiri. Orang yang selalu terlentang di atas tikar tidak mungkin berdiri kerana kakinya lemah dan kepalanya pening. Jika kita ingin berdikari, berdirilah atas kaki sendiri, jangan bergantung kepada orang lain, jangan meminta-minta. Seboleh-bolehnya jangan terima bantuan. Jika terima bayarlah harganya atau balas balik. Ini lebih mulia daripada selalu meminta-minta. Sudah tentu ini lebih mulia daripada sikap tidak bersyukur dengan pertolongan.

141. Orang Melayu yang tidak bergantung kepada hak istimewa mereka, yang tekun berusaha, yang sabar, dan tidak ingin cepat kaya melainkan dengan usaha sendiri, dengan cara yang halal, akan menjadi orang Melayu yang mampu bertahan dan berjaya. Masyarakat Melayu yang dipenuhi dengan Melayu seperti ini akan lebih selamat dan dapat bersaing dengan jayanya dengan sesiapa dalam apa juga keadaan.

142. Tak lama lagi, apabila globalisasi menjadi kenyataan orang Melayu tidak lagi dapat bersembunyi di belakang hak istimewa mereka, di belakang DEB, di belakang sempadan negara mereka. Apabila benteng negara kita dirobohkan oleh bangsa asing dengan globalisasi mereka, segala dasar mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu sebagai anak bumi Malaysia, akan dicabar. Demokrasi, hak sama rata, meritokrasi, hak asasi manusia; semua ini akan diguna untuk membelasah hak istimewa orang Melayu. Akan ada orang Melayu sendiri yang akan menjadi pengkhianat dan menyokong serangan orang asing ke atas orang Melayu. Mungkin orang ini berasa malu tetapi lebih mungkin mereka hendak bermuka-muka untuk dipuji oleh Tuan mereka. Ramai orang Melayu yang akan jadi kaki bodek orang asing, yang ingin dipuji kerana mereka kononnya begitu progresif dan ‘worldly’. Mereka lebih teruk daripada orang asing ini. Hari ini pun kita boleh kesan haprak ini.

143. Kita tidak boleh yakin kita dapat bertahan, kita dapat kekalkan hak kita jika kita tidak mempunyai kekuatan berdikari, tidak dapat hidup melainkan disuap oleh orang lain. Kemungkinannya ialah kita akan tinggal nama dalam sejarah sahaja. Tak akan Melayu hilang di dunia. Demikian kata Hang Tuah. Kata-kata keramat ini boleh kita ulangi, boleh kita bincang, boleh kita jadikan tajuk seminar. Tetapi jika orang Melayu masih tidak sanggup bekerja kuat, tidak sanggup mengejar ilmu dan kecekapan sezaman, kita masih boleh hilang atau kembali menjadi hamba orang seperti di zaman penjajah. Dan kemungkinan ini, menjadi lebih jelas dan nyata kerana orang Melayu sudah berpecah, sudah menolak perpaduan kerana ramai sudah menjadi terlalu tamak sehingga bangsa dan agama juga tidak lagi penting seperti perebutan kuasa oleh parti dan oleh orang tertentu.

144. Wahai bangsa Melayu, sudah lupakah kamu?