ANTARA MAHATHIR DAN PRAMOEDYA

Apakah perlunya wartawan RTM menemui Pramoedya Ananta Toer, seorang sasterawan terkenal negara seberang dan cuba mendapatkan justifikasi  ke atas tindakan-tindakan PM dalam memulihkan ekonomi negara dan mengajak Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 dengan acuan sendiri? Tentunya ada tujuan-tujuan khusus yang tidak dibicarakan oleh wartawan berkenaan dan juga oleh Pramoedya sendiri. Pram sendiri bukanlah calang-calang orang dan dia dijangka bakal dinobatkan menerima anugerah nobel dunia, tokoh yang pertama dicalunkan dari rantau sebelah sini.

Novelnya Keluarga Gerilya pernah menjadi teks sastera Enam di negara kita. Selain itu Achdiat juga pernah diambil novelnya di peringkat STP (HSC) suatu waktu dulu lewat novelnya Atheis. Kita mungkin menduga Pramoedya dibayar sekian-sekian jumlah wang untuk memuji segala tindakan Mahathir yang tidak dipuji oleh intelektual dalam negara kecuali oleh beberapa orang tokoh akademik penjilat seperti Mahathir Mohd Khir yang kini menjadi YB, saudara Dr.Firdaus Abdullah, seorang penyair tahun tujuh puluhan, beberapa tokoh kerabat Gapena dan beberapa orang tokoh sarjana pengampu yang memang dikenal sebagai pembodek Mahathir seperti Ramlah Adam dan sebagainya.

Mengapa pula Mahathir memilih Pramoedya untuk mengembalikan kredibiliti dirinya yang telah jatuh menjunam dengan teruknya? Pramoedya bukanlah seorang tokoh reformasi, juga bukan seorang tokoh politik dan bukan pula sarjana. Tetapi kebolehan semula jadinya mencipta novel yang berunsur sosialis-komunis menakutkan Sukarno dan memaksa Pramoedya dipenjarakan bertahun-tahun lamanya, satu hal yang tidak selayaknya ditanggung oleh sasterawan besar negara itu. Ya, bakat sasterawan yang ada pada Pram amat besar sehingga mampu melahirkan novel-novel yang mampu menggoncang regim Sukarno/Suharto kalau tidak ia dipenjarakan. Apa yang mungkin dapat dikatakan di sini adalah Mahathir sudah kehabisan modal, lalu mencari orang luar untuk memulihkan imejnya. Bapak Pramoedya mungkin tidak begitu peka dengan keadaan itu kerana menjadi penghuni Pulau Buru puluhan tahun lamanya. Tetapi namanya yang besar dalam kesusasteraan Indonesia menyebabkan PM Mahathir cuba menumpang nama demi menyambung kariernya sebagi ahli politik paling zalim dan paling korup di zaman ini. Nasibnya agak baik kerana bapak Pramoedya tidak menuduhnya korup juga.

Walau pun pujian Pramoedya itu mendapat sambutan di Perhimpunan Agung Umno hari ini, namun ia tidak pun menambahkan apa-apa pada Mahathir sendiri. Bahkan Mahathir kelihatan sudah kehilangan pedoman dan sanggup mencari sokongan luar untuk memulihkan imejnya. Walaupun dia menuduh Dato’Fadzil dan beberapa pemimpin Pas mencuba mencari sokongan luar di Australia, yang sebenarnya tujuannya lain dari yang dimaksudkan oleh diktator tua itu,  dia sendiri pun dalam waktu  yang sama cuba mencari sokongan dari luar dengan cara yang lebih jelik dan korup. Ibarat kata orang Melayu “menepok dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih.”  

AlKundangi,
21.6.2001

Jumlah pembaca:orang