KENYATAAN WEBMASTER

SATU HINAAN KE ATAS ULAMA

Rais Yatim dalam kenyataannya semalam memberikan amaran kepada para ulama bahawa tidak ada sebab dan 'pengecualian' diberikan kepada mereka daripada diambil tindakan di bawah akta drakonian ISA sekiranya tindakan para ulama itu boleh menjejaskan keselamatan, memecahbelah masyarakat dan faktor yang mensabotaj ekonomi.

Kita berasa kesal dengan kenyataan Rais kerana para ulama bererti 'pewaris Nabi' dan martabat ulama yang dipegang bererti mereka menjalankan titah perintah Allah dan kerja Rasul.  Justeru seorang pencuri, perompak atau penyamun tidak dipanggil ulama. Begitu juga dengan Perdana Menteri atau Menteri-menteri yang lain tidaklah tugasan mereka itu sama dengan kerja ulama. Kerana ulama adalah ulama selagi ia menjunjung titah perintah Allah dan melakukan kerja keNabian. Maka jika menyeleweng, tidaklah ia dipanggil ulama lagi, kecuali definisi 'ulama jahat' sebagaimana yang diberikan oleh masyarakat hari ini.

Tindakan ke atas ulama atau amaran ke atas ulama atas apa jua sebab bererti menghalang kerja ulama, mengancam mereka dengan ugutan. Ini sama bererti menghalang kerja keNabian (yakni amar makruf, nahi mungkar). Sifat atau kenyataan Rais Yatim samalah seperti kenyataan Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya yang memberikan ancaman kepada Nabi supaya jangan menyebarkan Islam di kota Mekah kerana perbuatan itu akan menyebabkan terjadinya perpecahan di kalangan masyarakat jahiliyah ketika itu yang berpegang kepada budaya maksiat dan keseronokan.

Kita ingin menyeru kepada masyarakat Malaysia supaya mengecam kenyataan Rais Yatim dan meminta beliau 'beristighfar' dan bertaubat serta meminta ampun kepada para ulama. Jika tidak kita akan melabelkan beliau sebagai 'Abu Jahal Pembakar Jambatan' dan Minda Rakyat meminta para netter melabelkan gelaran kehormat ini kerana perbuatannya menghina ulama. Kita hanya akan menghentiikannya setelah beliau memohon maaf terbuka kepada para ulama yang kita sanjungi.

Berikut adalah petikan berita BERNAMA tentang isu hinaan ke atas ulama berkenaan.


Ulama Tidak Terkecuali Daripada ISA
 

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Ulama tidak terkecuali daripada disiasat dan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekiranya tindakan mereka didapati menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Rais Yatim.

Beliau berkata tindakan mengikut ISA akan diambil ke atas individu atau kumpulan berdasarkan kepada tiga faktor iaitu tindakan mereka menjejaskan keselamatan, memecahbelahkan masyarakat dan faktor yang berkaitan dengan mensabotaj ekonomi.

"Oleh itu tidak kira imam, ulama atau menteri, sekiranya ketenteraman awam dan keselamatan dalam negeri terjejas, maka ia boleh disabitkan untuk disiasat dan ditahan di bawah ISA," katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Beliau berkata tindakan mengikut ISA pernah diambil ke atas pihak yang mempunyai kegiatan keagamaan tetapi sama ada mereka daripada kalangan "tok guru" atau imam, tidak dapat dipastikan.

Rais berkata demikian ketika diminta mengulas isu yang dibangkitkan oleh wakil Terengganu Datuk Abdul Rashid Ngah pada perbahasan, yang mencadangkan ISA dikenakan terhadap pihak yang menyalahgunakan agama bagi kepentingan politik mereka.

Menurut Rais polis harus menjalankan siasatan mengikut Seksyen 73 (1), jika yakin bahawa perbuatan ulama itu jelas memecahbelahkan masyarakat, menimbulkan risiko keselamatan serta ketenteraman awam.

"Ia perlu berdasarkan alasan yang jelas dan bukannya alasan politik, iaitu alasan yang boleh dibuktikan jika kes itu di bawa ke mahkamah," katanya.

Rais berkata penentuan kes itu bergantung kepada kriteria keselamatan dan kententeraman awam kerana tindakan untuk mengguling kerajaan secara paksa dan cadangan supaya kerajaan dijatuhkan secara demokrasi, adalah dua isu berbeza.

"Ia adalah dua bidang berbeza dan oleh itu saya mencadangkan supaya penentuan (kes) dilakukan oleh mereka yang biasa dengan isu-isu keselamatan dan kententeraman awam dan tidak bergantung semata-mata kepada pertimbangan politik," katanya.

Rais berkata berdasarkan keadaan keselamatan dan kententeraman awam di negara ini, ISA wajar dikekalkan.

Bagaimanapun katanya kerajaan tidak menolak kemungkinan bahagian tertentu ISA dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanannya.

ISA mesti dilihat sebagai alat yang menyokong keseimbangan di negara ini, katanya.

"Kemungkinan itu ada (kaji semua) dan saya tidak menidakkannya sama sekali, tetapi buat masa ini, ISA kekal seperti sedia ada dan keberkesanannya sudah diterima oleh orang ramai," katanya.

Katanya Malaysia tidak harus terperangkap seperti yang berlaku disesetengah negara jiran yang tidak ada penguatkuasaan undang-undang yang ketat.

"Pendapat peribadi tidak kena, apa yang penting ialah perlunya Malaysia dapat bertahan, memerintah sendiri mengikut cara yang telah dilakukan selama ini berdasarkan keputusan majoriti," katanya.

-- BERNAMA

Jumlah pembaca:orang