Salah dorong  Bayangi  Perutusan  Raja  Penyangak?
(Abuses Overshadow  Mahathir’s Message)

Oleh: Gerald  Paul  McAlinn

Sunday  Editorial The  Japan Times  June 24, 2001-06-24

Baru-baru ini  Perdana  Menteri  Mahathir  Mohamad telah  memberikan  ucapan-tamanya pada siri  U Thant  Lecture   atas  tajuk  “Globalizatrion, Global Community and the United Nations”  (Globalisasi,  Masyarakat Sejagat  dan  Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu).  Hadirin yang  datang  telah memenuhi bilik  syarahan  di  United Nations University  di Tokyo, sehinggakan  ada  yang terpaksa berdiri..U Thant, adalah seorang  negarawan Myanmar  yang  pernah  berkhidmat  sebagai  setiausaha  agung  PBB  daripada  1961 hingga  1971.   Beliau  telah  bertanggungjawab  dengan  penubuhan  UN University itu. Sudah  tentu  dia tidak  berapa   selesa  mendengar  ucapan  Mahathir.

Mahathir telah  menjadi  perdana  menteri  Malaysia  sejak  1981. Ucapannya  menyerlahkan betapa  dia  tidak  menyenangi   globalisasi, setidak-tidaknya  dalam bentuk  yang  ada  sekarang  ini. Mahathir berpendapat  bahawa globalisasi adalah satu tanggapan  yang idealistik, yang pada tahap awalannya penuh dengan  janji-janji,  yang sudah pun  bertukar  menjadi basi. Usaha merangsang pasar  terbuka   adalah  satu  ancaman  kepada  kedaulatan  negara.  Segala  usaha  untuk diwujudkan  ketelusan  dan  pembubaran   peraturan  lama adalah  merupakan  kod  kapitalis  yang  tidak akan  menetapkan pentadbiran  yang  tegap. Jelas, Mahathir  sudah  semakin  bercelaru  disebabkan  masalah  ekonomi   yang menghenyak Malaysia dan  beliau  merasa  tergugat  oleh  kehendak dan  tekanan  agar  dia laksanakan reformasi  oleh  masyarakat  kewangan  sejagat.

Siapakah  petualang   yang  menghenyak Mahathir  itu? Kemarahannya  banyak ditumpukannya  terhadap   peniaga  matawang  yang  telah  menunjukkan  kuasa untuk  mengancam  ekonomi negara   dengan  membuat  spekulasi  serta  menghumbankan   matawang di pasaran  global. Mahathir  berpendapat,  gelagat  ini  dilaksanakan “untuk  mendera  kerajaan-kerajaan” yang telah  menentang aktiviti   aliran  modal tanpa  sempadan. Dengan  lain perkataan,  masalah  yang  dihadapi  oleh  negara membangun  bolehlah dikesan  kepada   para  kapitalis  dan  penguasa  yang berkemampuan  mengkotak-katikkan   ekonomi negara   hanya  melalui  aktiviti niaga mereka di meja  dan  bilik  mesyuarat  lembaga  pengarah  di New  York,  London  dan Tokyo.

Cara penyelesaian Mahathir  nampak mudah walaupun  kelihatan  keterlaluan. Kalau aliran  modal dibenarkan   tanpa  sempadan,  maka  seharusnya  begitu  jugalah  dengan aliran tenaga  manusia.  Negara-negara maju  yang  mendesak agar diberikan hak  menggerakkan  modal,  barangan dan  juga perkhidmatan  secara  bebas tentunya  tidak boleh  membangkang   apabila    negara  yang membangun   mendesak  hak  yang  sama  untuk mengekspot   rakyatnya  yang miskin  kerana  telah  tergugat oleh  proses   pensejagatan  itu. Mahathir memang  sudah faham  dan  tidak pernah  takut  untuk   mencari   kelemahan negara  yang kaya raya  itu. Namun,  dia tidak pula menafikan betapa  kritikan global yang sungguh  berbisa dan keras terhadap   salah  urus  pentadbiran,  korupsi dan kronisme. Pembetulan  memang  diperlukan,  tetapi  dia  mengsyorkan  cara-cara yang  tidak keras   dan  dalam bentuk  “berlembut dan  bertahap sedikit demi sedikit.”

Mahathir  adalah seorang  yang bijaksana dan pintar  berkata-kata. Kalau   tujuan utama  U.N.University  adalah untuk  mencetuskan  kontroversi,  memilih  Mahathir  untuk  memulakan ucaptama  itu adalah satu  pilihan  yang kena  pada  tempatnya. Namun,  adanya  sedikit  kesilapan  dalam  pendapatnya  itu   memang  tidak boleh  dinafikan. Sejarah  memang  dipenuhi   oleh pengajaran yang  mendukakan   yang ada kaitannya  dengan  kesan-kesan kepada  permodalan  yang  tidak diawasi. Pendapat Mahathir  itu,  telah  meninggalkan  kesan dalam bentuk satu   perasaan  betapa  sememangnya  ada  sesuatu di sini   yang  lebih  menekan daripada  impak  tekanan  sejagat  terhadap  ekonomi tempatan. Memang  ada  tersorok kenyataan betapa  pensejagatan membawa  bersamanya  tuntutan  yang  tidak mudah  disenangi   terhadap   kebebasan berpolitik dan  sosial.

Ekonomi yang bebas  mencuit harapan  kepada kewujudan  kebebasan pada     unsur  kemasyarakatan  yang lain  juga.  Apabila harapan yang  terbelenggu ini  dibebaskan ia tidak akan dapat dirantai kembali. Demikianlah,  kuasa  pasaran  memang diiktiraf oleh  masyarakat  hak  asasi  manusia sebagai   satu  jentera  yang  bertenaga   untuk  melaksanakan perubahan  sosial.  Pengistiharan  hak Asasi Manusia Sejagat telah  menyaring  hak-hak  ekonomi politik, sosial dan  budaya  menjadi  satu  rumpun  unsur-unsur  martabat  keinsanan  dan  pembangunannya. Lagipun   undang-undang  antarabangsa  memastikan  pengiktirafan  betapa  semua negara boleh  mendapatkan  bantuan  asing  sebagai satu  alat   untuk   memajukan hak-hak kemanusiaan.

Apabila pendapat  Mahathir  itu diamati secara terperinci, kecenderungannya  yang  negatif terhadap  globalisasi itu  menyerlahkan sesuatu  kebenaran.  Malaysia kerap  disebut oleh  penggerak   hak asasi  manusia   kerana  amalan  politiknya  yang  mendera.  Mantan timbalan perdana menteri  Malaysia,  Anwar  Ibrahim, telah  dipenjarakan    berasaskan  tuduhan  palsu  yang mempunyai  motif  politik dan  kesan  pengadilan  yang  dikatakan  oleh ramai  pemerhati sebagai  berat  sebelah.  Kesalahan beliau  sebenarnya  ialah  mencabar  kerajaan    Mahathir dengan  beraninya. Polis Malaysia  pula  memang  tidak pernah  berlengah untuk  menggunakan kekerasan  bagi tujuan  menghentikan   demonstrasi  aman  yang menyokong  Anwar  dan reformasi  politik   negara.

Kerajaan telah  menggunakan pelbagai  undang-undang  yang  zalim  seperti   Akta  Penerbitan  dan Percetakan dan  (ISA)  Akta Keselamatan  Negara untuk  menekan  pihak  yang  membangkang.  ISA memang kejam  kerana ia memberikan  kuasa   menahan tanpa  sebarang tuduhan ataupun  pengadilan.  Hampir  dua  bulan sebelum  Mahathir  berucap  di  U.N. Universiti, empat  orang  rakyat  Malaysia, termasuk  seorang pemimpin Parti  Keadilan dan seorang  wartawan  telah  dipenjarakan  untuk  dua  tahun  bawah  perintah  ISA itu.

Mahathir telah  mengakhiri  ucapannya  dulu  dengan  menggunakan  haknya  bersuara  bebas  untuk  menyelar  kuasa  jahat  dalam pensejagatan  itu  walaupun  pendapatnya berbentuk sesuatu  yang  tidak  popular. Kebebasannya  menggunakan   pentas  U.N. Universiti itu  untuk  bersuara  secara bebas  adalah satu ironi  memandangkan  wujudnya  rakyat Malaysia  yang terpenjara  kerana menuntut hak  asasi mereka pula, dan  ini  tidak  akan dilupakan  oleh  pendengar  ceramahnya  itu.  Saranan  Mahathir  yang  sahih  terhadap   globalisasi  yang  tidak berjadual tentu  dapat  membawa kesan  yang lebih  bertenaga  seandainya   pendapatnya itu  tidak  dicemari  oleh  usaha  kerajaannya   menekan  suara  rintihan rakyat  negaranya  sendiri.

Tamat.


Gerald  Paul  McAlinn   adalah  seorang professor  perundangan  di  Aoyama  Gakun  Universiti.

Jumlah pembaca:orang