RASIONALISASI DI SEBALIK PENJUALAN POS MALAYSIA

Tidak lama dulu kita dikejutkan oleh berita dunia korporat mengatakan bahawa Phileo Allied telah pun membeli Pos Malaysia dengan harga RM 800 juta. Tidak siapa pun menyangka berita seperti itu. Berita yang kerap kedengaran ialah PNB telah pun menjual balik sahamnya 60 % dalam Pos Malaysia kepada Kementerian Kewangan. Sejak Pengerusi Eksekutif Pos Malaysia, Tan Sri Zainol  yang menjadi proksi Mahathir meletakkan jawatan,  hanya itulah berita yang kedengaran. Selain itu kedengaran juga berita Pos Malaysia gagal diswastakan dan segala hasil mahsulnya telah pun habis dikikis oleh Zainol dan kuncu-kuncunya. Dengan itu Pos Malaysia akan dikembalikan kepada kerajaan dan akan menjadi sebahagian dari kerajaan. 

Tiba-tiba meletup berita yang menyebutkan Pos Malaysia dibeli oleh Phileo Allied.

Walau bagaimana pun ia bukanlah sesuatu yang luar biasa di zaman Mahathir. Apa pun boleh berlaku. Kalau Pos Malaysia dilelong kepada Phileo pun kita percaya, kerana tiada yang mustahil di sini, apalagi hasil Pos sudah kering kontang ditambah lagi dengan kegawatan dan kelembapan pasaran saham dunia. Soalnya mengapa Phileo yang membeli Pos Malaysia, tidak syarikat lain? Siapakah di belakang penjualan ini? Siapakah pemilik sebenar Phileo Allied. Yang kita tahu sebelum ini Phileo ada memiliki bank, Phileo Allied Bank Bhd. Tetapi Daim sudah pun menjual kepentingannya dalam bank tersebut, dan bank berkenaan telah dijual kepada Maybank dengan harga 1.3 billion. Kini Phileo tidak memilikki apa-apa perniagaan. Menurut peraturan BSKL  sebuah syarikat yang tersenarai di BSKL tetapi sudah tidak menjalankan apa-apa urusniaga akan digantung selama 6 bulan. Dalam keadaan seperti ini lebih baik Phileo membeli sebuah syarikat yang sedang beroperasi dan menjadikan miliknya supaya dapat mengelak dari digantung oleh BSKL. Pilihan yang ada adalah Pos Malaysia. 

Di pihak Pos Malaysia pula, ia sudah pun diperbadankan sejak 1.1.92 lagi. Tetapi sehingga kini Pos Malaysia masih gagal untuk menyenaraikan sahamnya di BSKL. Sudah sembilan tahun diperbadankan, orang ramai termasuk kakitangan Pos Malaysia tertanya-tanya bilakah saham Pos Malaysia akan diterbitkan? Tetapi menurut penganalisa pasaran saham, masakini bukanlah keadaan yang baik untuk membuat satu-satu saham terbitan awam bagi sesebuah syarikat. Keadaan adalah tidak menggalakkan. Pengalaman time.com adalah menarik untuk diperhatikan kerana ia baru sahaja disenaraikan di BSKL tetapi khabarnya tidak habis dilanggan. Harganya pun jatuh setelah ia disenaraikan. Dengan demikian apakah pilihan bagi Pos Malaysia? Cara yang terbaik ialah menumpang sebuah syarikat yang tersedia tersenarai di BSKL dan terus menggunaan kaunter syarikat berkenaan untuk urusniaga sahamnya. Tidak perlu kepada terbitan awam. Kebetulan Phileo Allied menawarkan kepada Kementerian Kewangan untuk membeli Pos Malaysia.

Dengan menerima tawaran jualbeli ini, Phileo Allied terselamat dari digantung dan Pos Malaysia boleh disenaraikan di BSKL tanpa perlu kepada saham terbitan awam. Kedua-duanya terselamat.

Tetapi satu hal yang menjadi masalahnya, apakah tidak terjadi pembuangan atau pengurangan pekerja setelah pembelian oleh Phileo itu? Inilah yang soalan yang sedang bermain di kepala warga Pos Malaysia, dan ianya agak meresahkan terutama  di zaman gawat ini. Menurut sumber-sumber perunding yang menghadiri jual beli ini, Phileo Allied membeli Pos Malaysia dengan harga RM 800 juta, dibayar tunai sebanyak  RM 550 juta secara beransur-ansur, sementara RM 250 juta lagi adalah milik kerajaan.Ini bermakna kerajaan masih mempunyai kepentingan dalam Pos Malaysia sebanyak 39.9 peratus. Kerajaan masih boleh memantau jika berlaku sebarang ketidakadilan yang mungkin berlaku. Lagi pun perjanjian jual beli ini adalah satu perjanjian bersyarat. Pertama Pos Malaysia mestilah berusaha mendapatkan hak milik tanah-tanah yang mana bangunan atau premis Pos Malaysia berada. Selama ini tanah-tanah berkenaan adalah tanah milik kerajaan negeri atau Persekutuan. Status tanah berkenaan mestilah milik Pos Malaysia. Syarat kedua lesen operasi Pos Malaysia mestilah ditambah 21 tahun lagi sejak ia diperbadankan, menjadikan jumlahnya sebanyak 42 tahun. Ini bermakna Pos Malaysia mestilah mendapatkan lesen operasinya sehingga tahun 2034.

Sehingga ini Pos Malaysia baru mengorak langkah untuk memenuhi kedua-dua syarat itu.

Dengan begitu penjualan Pos Malaysia kepada Phileo Allied belumlah lagi mutlak. Ia boleh dibatalkan bila-bila masa sahaja, ia juga boleh diteruskan jika ada kemahuan. Namun sehingga ini orang ramai masih lagi tertanya-tanya, siapakah sebenarnya di belakang Phileo Allied ini? Daimkah, Mahathirkah atau Mirzankah? Siapakah yang memainkan peranan di sebalik penjualan Pos Malaysia itu? Mahathirkah atau Daimkah?

Atau inikah manifestasi di sebalik perselisehan Mahathir-Daim? Harapan rakyat sebenarnya adalah tinggi terhadap Pos Malaysia, dan semoga ia akan memberikan perkhidmatannya yang terbaik, kerana ia adalah penyedia perkidmatan yang tidak di monopoli oleh syarikat lain.

Cucu Tok Batin,
24.6.2001

Jumlah pembaca:orang