PAS Selangor Perlu Membersihkan Dirinya

Harapan yang besar diletakkan oleh rakyat agar Barisan Alternatif dapat menawan Selangor di dalam tahun 2004. Selepas Terengganu di tahun 1999 maka Kedah, Pahang dan Selangor dijangka jatuh ke tangan Barisan Alternatif dalam tahun tersebut.

Tidak dapat dinafikan gerak kerja untuk menawan Selangor ini bergantung kepada PAS yang menjadi tunggak Barisan Alternatif di negeri itu. Kalau mantap PAS maka mantaplah usaha-usaha untuk menumbangkan Barisan Nasional. Tetapi jika PAS di negeri itu kucar-kacir maka kucar-kacirlah juga Barisan Alternatif.

Walau bagaimanapun perkembangan terakhir yang didengari adalah tidak menyedapkan. Mungkin tidak kritikal seperti UMNO tetapi perlu perhatian semua. Pimpinan PAS di negeri tersebut mestilah memastikan budaya UMNO tidak menyerap ke dalam PAS.

Sejak tercetusnya Reformasi maka PAS dibanjiri oleh ramai ahli-ahli baru yang datang dari pelbagai latar-belakang. Yang UMNO dengan budaya UMNO, yang JIM dengan budaya JIM, yang ABIM dengan budaya ABIM dan yang IRC dengan budaya IRC. Penyerapan idea-idea baru adalah tidak salah malah dapat mengukuhkan PAS tetapi amatlah malang jika yang masuk itu adalah “opportunist-opportunist”. Para “opportunist” yang nampak Barisan Alternatif akan menang dan terus memasuki PAS supaya mereka tidak ketinggalan. Dan PAS Selangor yang paling ramai menerima ahli baru sedang merasakan kepanasan akibat dari elemen-elemen ini.

Walaupun tidak terdapat politik wang seperti UMNO tetapi lobi-melobi didakwa sudah berlaku. Yang sedih sekali dakwaan ini bukan sahaja di peringkat Kawasan malah ketika Presiden PAS hendak melantik Pesuruhjaya Selangor yang baru terdapat dakwaan bahawa telah berlaku melobi dengan menggunakan tokoh korporat hingga ke luar negara supaya “orang mereka” dilantik. Kita tidak tahu sama ada dakwaan ini benar atau tidak tetapi nampaknya tidak mencapai kejayaan.

Tetapi menurut satu sumber, lobi-melobi untuk jawatan-jawatan lain sedang berlaku. PAS Pusat perlu melakukan sesuatu kerana jika perkara yang sedemikan diteruskan maka hasrat PAS dan Barisan Alternatif untuk menawan Selangor akan tersungkur di tengah jalan.

Pastikan tidak ada lagi mereka yang merasakan kelompok mereka sebagai kelompok elit atau “qiyadatul sulbi” yang lebih dari orang lain dan dengan itu berhak menentukan hala-tuju PAS Selangor. Budaya ini telah dinyahkan dari PAS dalam tahun-tahun 80-an apabila PAS Selangor diresapi oleh IRC. Tetapi nampaknya ia hendak dihidupkan kembali. PAS di Selangor adalah milik ahli-ahlinya. Tidak sepatutnya ada golongan intelek, profesional atau korporat yang merasakan diri mereka lebih mulia dari ahli-ahli yang tidak mempunyai kelulusan tinggi. Tidak sepatutnya mereka yang baru terjun ke dalam perjuangan PAS tetapi mempunyai kelulusan tinggi memperlekehkan orang-orang lama kerana sudah terdapat mereka yang baru terjun dari perjuangan di kampus yang sanggup menidakkan sumbangan pemimpin-pemimpin lama.

Sumbangan diperlukan dari semua untuk menumbangkan Barisan Nasional, sama ada dari seorang lulusan Ph. D ataupun dari seorang buruh kasar.

Marilah kita kembali kepada perjuangan asal kita. Hidupkan semula semangat bersyura.

Black Flag 1422

NOta webmaster: Tulisan ini hendakah dibaca dalam ertikata muhasabah diri. Berwaspada sebelum terkena. Mencegah lebih baik dari mengubati...~webmaster

Jumlah pembaca:orang