Mahathir ganyang masyarakat cina

oleh : aDlan_WaN_zuHairi


Perhimpunan agung burung kakaktua ke-55 baru-baru ini bukan sahaja menyaksikan kejayaan Mahathir mengalih para perwakilan membangkitkan isu-isu mengenai dirinya dan Daim, bahkan menggunakan medan yang ada untuk menyalahkan orang lain dan menyerang pihak pembangkang habis-habisan. Lebih menarik lagi, Mahathir bukan sahaja berani menghina bangsa Melayu, sebaliknya mengutuk dan mengugut kaum cina secara terbuka. Pertama kali dalam sejarah perhimpunan agung kakaktua, Mahathir berani mencerca kaum yang telah banyak memberikan kemenangan kepada partinya. Demi untuk menutup kelemahan dan kesalahannya, Mahathir ternyata berani bermain api dengan kaum cina. Mungkin isu bangsa melayu yang sudah basi dan tidak mampu lagi menjadi kontroversi memaksa Mahathir membangkitkan isu yang lebih panas berapi.

Bermula dengan penghinaan kepada suqiu, penutupan SJK (c) sampailah ke isu yang terbaru, pembelian saham Nanyang Press Holdings Bhd oleh sayap pelaburan parti itu, Huaren Holdings Bhd (Huaren), Mahathir tidak diam daripada menekan kaum cina supaya memberikan sokongan yang penuh kepadanya. Segala lubang kecil yang boleh ditembusi oleh pemikiran yang bersifat tidak pro-kerajaan hendaklah ditutup. Sebarang wasilah yang boleh menyalurkan kelemahan dan penipuan kerajaan BN tidak boleh dibiarkan hidup.

``Adalah tidak adil jika Utusan dikawal supaya tidak keterlaluan di dalam memainkan isu-isu perkauman tetapi akhbar-akhbar Cina dibiarkan membangkitkan perasaan kebencian terhadap orang Melayu.

``Kita tidak boleh ada satu kaum yang bebas untuk melemparkan bermacam-macam fitnah dan tuduhan memburukkan kerajaan dan satu kaum yang lain mesti ditarik tali ras (tali kawal kuda) supaya jangan bergerak.''

Menurutnya, penulis-penulis akhbar Cina ini mendakwa mereka bebas, tetapi mereka tidak pernah menyokong kerajaan dan pandangan yang ditimbulkan di dalam akhbar Nanyang dan China Press kerap antikerajaan. Diktator tua itu juga kesal kerana apabila dia menegur Suqiu iaitu satu kumpulan kecil orang Cina, dia ditakrifkan (oleh akhbar-akhbar itu) sebagai mengecam orang Cina keseluruhannya.

``Saya nak minta kepada surat khabar ini jangan main isu ini (perkauman). Jangan cuba libatkan saya dalam perkara ini.

``Surat khabar Cina bebas seperti surat khabar lain tetapi kalau kamu main isu perkauman...,'' tegasnya lantang tanpa menghabiskan ayat tersebut. Serentak itu juga, terdengar laungan `tangkap' dan `ISA' berkali-kali daripada beberapa perwakilan yang bodoh meminta supaya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap akhbar berkenaan.

Isu yang menjadi perbalahan di kalangan masyarakat Cina dan kepemimpinan MCA itu bermula dengan pembelian 41,840,902 saham biasa Nanyang Press daripada anak syarikat Kumpulan Hong Leong Bhd, Hume Industries (M) Bhd dan Hume Plastic Sdn Bhd dengan harga RM5.50 sesaham oleh anak syarikat Huaren, Huaren Management Sdn Bhd (HMSB) pada 28 Mei lalu.

Urus niaga itu selesai pada 31 Mei lalu apabila semua saham biasa Nanyang Press dipindah kepada Huaren pada pertimbangan RM230.1 juta secara tunai. Pada mesyuarat Majlis Presiden 23 Mei lalu, 12 ahli menyokong langkah pembelian itu, manakala tiga lagi iaitu Lim; Chan dan ahli CC, Datuk Fu Ah Kiow menentang. Pada mesyuarat CC 30 Mei lalu pula, 32 ahli menyokong sementara lapan orang menentang, termasuk Lim; Chan; Fu; Chua; Ketua Pemuda, Datuk Ong Tee Keat dan Naib Ketua Wanita, Datuk Paduka Tan Yee Kew.

Akhirnya campur tangan Mahathir memastikan kemenangan pihak Ling walaupun dengan majoriti yang sedikit.Menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA, sebanyak 1,176 atau 53.3 peratus daripada 2,216 anggota perwakilan yang hadir menyokong manakala 1,019 (46.2 peratus) menentang pengambilalihan Nanyang Press, yang menerbitkan akhbar harian Nanyang Siang Pau dan China Press. Terdapat 12 undi rosak manakala sembilan perwakilan tidak mengundi.

Kemenangan yang hanya bermajoritikan 157 undi itu, tidak akan dipandang remeh oleh Ling dan Mahathir lebih-lebih lagi apabila Dewan Lee San Choon menyaksikan pertikaman lidah dan ketegangan ahli sehingga mengundang kehadiran polis dan FRU, anjing-anjing keparat yang biasanya ditugaskan untuk menangkap dan membelasah reformis-reformis bangsa. Bermakna kemenangan ini bukanlah suatu kemenangan yang total dalam memastikan sokongan kaum cina kepada Mahathir, bahkan menambahkan ketidakpuashatian dan dendam masyarakat cina yang sudah pun sedar dengan politik kotor Mahathir.

Apatah lagi kekesalan ini turut diterjemahkan oleh tindakan Ketua Pemuda MCA, Datuk Ong Tee Keat, bahawa beliau tetap akan menyerahkan memorandum mesyuarat agung luar biasa pergerakan itu  walaupun tidak diterima oleh Dr Ling.Sementara itu, Naib Ketua Wanita, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, berkata walaupun beliau sedih dengan keputusan mesyuarat agung luar biasa itu, namun keputusan berkenaan tidak mengecewakan beliau kerana minoriti 46.2 peratus yang menentang bukanlah satu angka yang kecil. Menurutnya tindakan Kumpulan Lapan menentang pengambilalihan Nanyang Press mewakili aspirasi dan harapan masyarakat Cina secara keseluruhannya.

Chua pula ketika dipetik oleh agensi berita antarabangsa sebagai berkata tidak kurang daripada 80 peratus masyarakat Cina menentang rancangan ini . " Kami juga menerima nota bantahan daripada 500 kawan kawan lama kita', kata Chan .

"Kawan lama" disini bolehlah ditafsirkan sebagai penyokong kuat MCA samada individu atau persatuan. " Sejak bila kawan lama menjadi musuh kita ?", kata Chan.

"Apa yang perlu ialah hanya enam peratus masyarakat Cina beralih sokongan dan kerajaan kita ( BN ) akan tumbang seperti parti Kuomintang Taiwan ", kata Chua pula. Presiden Gerakan Dato Seri Lim Kheng Yaik juga menyedari hakikat ini.

Ahli CC, Datuk Fu Ah Kiow pula berpendapat bahawa bukan satu polisi bagi mana-mana parti politik di negara ini sama ada MCA atau BN mengusai sesebuah media. Naib Presiden MCA, Datuk Chan Kong Choy, berkata hasrat menentang pengambilalihan Nanyang Press bukan saja datang dari ahli MCA malah masyarakat Cina.

Kita bersyukur kerana masih ada pemimpin cina yang masih sedar kepentingan bangsanya dan berjuang demi suara kaumnya walaupun berada di dalam parti yang sudah hilang arah perjuangannya. Namun kita tidak dapat menafikan masih ada lagi yang 'kow tow' kepada Mahathir demi periuk nasi dan tembolok mereka. Namun kita tetap menantikan kesan akibat daripada natijah ketidakpuashatian ini kepada akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press khasnya dan Mahathir jua Ling amnya kerana apalah sangat undi 1176 ahli MCA jika dibandingkan dengan jumlah rakyat cina di Malaysia keseluruhannya.

Berdasarkan 4 versi kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahathir seperti yang telah diperjelas oleh Lim Kit Siang, kita dapat menentukan bahawa memang Mahathirlah dalang utama pembelian saham akhbar cina. Bahkan pengundian ahli MCA juga belum dijamin ketelusannya. Perancangan ini memang telah disusun seawal sebelum perhimpunan agung UMNO lagi bersama rancangan-rancangan yang lain agar perhatian semua rakyat marhaen dipesongkan daripada fokus utama supaya Mahathir dapat terus berkuasa di puncak singgahsana. Diserikan lagi dengan isu pergeseran Mahathir-Daim, Mahathir pastinya boleh ketawa melihat rakyat yang terlalu mudah diperdaya.

Biar apapun yang berlaku, kita tetap yakin bahawa Mahathir mula hilang arah apabila melihat perubahan yang melanda bangsa cina. Justeru segala anasir yang boleh menyemarakkan kebenaran perlu dicantas sementara unsur yang boleh melaga-lagakan pihak lawan dan mengurangkan sokongan kepada BA perlu dikembang biak. Melalui ucapan 3 jam 37 minitnya, Mahathir hanya menghina bangsa melayu, mencaci dan mengutuk PAS serta mengugut kaum cina.

Kita optimis, bahawa masyarakat cina hari ini akan lebih berwaspada daripada terus diperkotak-katikkan mengikut wewenang pemerintah yang zalim. Dan kita juga yakin bahawa Mahathir akan terus dan terus mengganyang bangsa cina dan memomokkan mereka dengan isu agama yang dibawa oleh PAS untuk memperoleh kembali sokongan seperti melalui pilihanraya '99 yang lalu. Apapun segalanya tergantung di pundak masyarakat cina sekarang. Samada untuk terus bersekongkol dengan kehaprakan Mahathir dan membiarkan bangsa anda terus dan terus dihina serta ditekan demi kepentingannya ataupun angkat kerusi, berjuang bersama-sama kami barisan BA, membela Malaysia yang dihuni bersama.

Jumlah pembaca:orang