Politikus Yang Menerankan Masalah Kehamilan Guru
(Politician goes into labour over pregnant teachers)
http://202.56.157.37/Column/2001/06/2001062601.php3

BN yang masih bertegas dengan projek MSC (Koridoraya Multimedia), kini mencari jalan yang lebih kreatif lagi untuk menunjukkan betapa manusia itu boleh dikotak-katikkannya. BN percaya tanpa proses regimentasi, tidak ada yang boleh dijayakannya. Inilah yang mahu dirodokkannya pada pemikiran rakyat dengan cara penderaan ini. Setidak-tidaknya inilah tanggapannya.

Kerana itu muka selamba seorang bekas guru yang kemudiannya menjadi setiausaha politik dan seterusnya dijentik ke atas lagi menjadi timbalan menteri pendidikan sedang cuba mempraktikkan pemikiran ini. Dia mahu menunjukkan betapa satu bentuk regimentasi boleh dilaksanakan, setidak-tidaknya di media massa. BN mahu menekankan betapa setiap cadangan harus dianggap serious tidak kiralah cadangan itu haprak bentuknya dan keluar daripada mulut seorang menteri, timbalannya setiausaha parlimen ataupun setiausaha politik parti.

Tidak berapa lama dulu setiausaha politik kepada Perdana Menteri telah mencadangkan satu kursus wajib untuk mengkaji ‘Pemikiran Mahathir’ di pusat pengajian tinggi Malaysia. Setelah melihatkan betapa pemikiran Mao Zedong berjaya merangsang China, dia mengharapkan ‘Pemikiran Mahathir’ akan menjadikan Malaysia menjadi begitu berdisiplin untuk menerima dengan penuh kerelaan segala sampah sarap karya itu.

Rakyat marhaen tentu masih ingat cerita purba betapa seorang maharajah yang tidak berpakaian seutas benangpun sehinggakan segala cadangan maharajah itu dibincangkan dengan penuh hilai ketawa dan sebarang keputusan diperlekehkan sahaja.

Kini, mantan setiausaha poltik Mahathir, Aziz Shamsuddin, sudahpun membuat cadangan yang difikirkannya bijaksana tetapi tongong dan haprak sahaja sebenarnya. Dia telah mencadangkan agar guru-guru melahirkan anak mereka hanya pada waktu cuti sekolah sebagai satu cara menyelesaikan masalah kekurangan guru. Jelas, kerajaan mahu mendalangi cara hidup guru-guru di negara ini.

Alangkah hapraknya cadangan itu

Alangkah hebat kenyataan itu yang datang daripada mulut seorang pegawai kerajaan. Apabila seorang timbalan menteri membuat kenyataan seperti ini, tentulah ramai yang beranggapan bahawa inilah satu dasar rasmi kerajaan. Dasar-dasar kerajaan memang selalu diumumkan secara bersahaja seperti yang dilaksanakan oleh Aziz Shamsuddin. Jika tidak, martabatnya sebagai timbalan menteri memang boleh diperlekehkan juga. Kerana itu tindakannya memang mendapat sokongan menterinya dan perdana menteri.

Aziz Shamsuddin seolah-olah mempunyai dalil yang besar dengan cadangannya itu. 65 peratus guru-guru terdiri daripada kaum wanita. Apabila ada yang mengambil cuti bersalin, dua bulan diperlukannya. Pengganti jawatannya semakin sukar untuk dicari hingga merumitkan masalah anak-anak sekolah. Dia tidak pula memanjangkan cadangannya yang haprak itu meminta guru-guru wanita menyatakan pada setiap awal tahun apakah mereka bercadang mengandung pada tahun itu ataupun memberitahu semua guru bila kandungannya itu dijangka akan keluar melihat dunia.

“Kita semakin sangsi apabila sesuatu sekolah menghadapi keadaan di mana terlalu ramai guru yang mengambil cuti bersalin pada sesuatu masa ataupun ada antara mereka yang kerap mengambil cuti bersalin.” Demikian kenyataannya menggambarkan betapa, kerana terlalu lama meninggalkan kerja perguruan itu membuatkan otaknya bergelumang dengan idea haprak sehingga tidak mampu berfikir kenapa kerjaya perguruan sudah lama terpinggir.

Cadangan yang bongok ini telah mencetuskan satu reaksi mendadak daripada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) yang tidak kurang lucunya juga. Setiausaha Agong kesatuan itu, N. Siva Subramaniam. berpendapat bahawa masalah kehamilan haruslah menjadi penentuan sesuatu keluarga dan bukan oleh Menteri Pendidikan.

Kekurangan Guru

Subramaniam bertegas Kementerian Pendidikan mestilah mengusahakan guru gantian seandainya berlaku cuti bersalin ini. Tambahnya lagi, guru-guru mesti diberi masa untuk menyusukan bayi-bayi mereka. Nampaknya sudah muncul satu lakonan di sini. Pihak kesatuan guru dan juga Jabatan Pendidikan, nampaknya tidak berapa berminat untuk menangani masalah yang dihadapi oleh guru-guru, termasuklah masalah guru cuti bersalin dan sebagainya.

Aziz Shamsuddin memang sudah tidak menonjol di dada akhbar untuk satu waktu yang agak lama. Adalah menjadi satu kemestian bagi sorang ahli politik, walaupun yang begitu berpengaruh seperti beliau, mendapat tempat di dada akhbar sentiasa untuk menentukan rakyat Malaysia menyedari yang dia masih lagi bernyawa.

Usaha besarnya untuk membebaskan tebusan Malaysia daripada pejuang Abu Sayaff di Mindanao dulu, menjadi begitu mencelaru sehinggakan dia tidak dapat menonjolkan dirinya seperti yang amat diingininya. Penyakit yang menyerangnya ketika berlangsungnya mesyuarat bahagian UMNO dulu, nyaris-nyaris menghumbankan ketokohannya.

Kekalahannya di pemilihan bahagian Gopeng dulu, menyebabkan UMNO cuba membetulkan keadaan dengan menangani politik wang sebagai satu alasan. Ramai orang kuat UMNO yang tergantung keahliannya ataupun disingkirkan daripada parti sebagai bahana untuk menentukan Aziz Shamsuddin menjadi ketua Bahagian Gopeng seperti yang sudahpun disapunya.

Inilah yang membuat UMNO kucar-kacir. Azia memang terlalu peka dengan keadaan ini kerana itulah caranya dia masih bernafas lagi. Tetapi, Aziz Sahamsuddin selalu sangat cuba menongkah arus. Apabila Perdana menteri terpaksa bersuara lantang selalu untuk berbincang dengan segala seteru Aziz itu, yang akan menjadi mangsa keadaan itu akhirnya ialah Aziz Shamsuddin sendiri.

Itu sebabnya Aziz cuba mengemukakan cadangan yang haprak dan dungu. Setidak-tidaknya Mahathir tidak akan melupakannya seandainya timbul isu yang lebih serius nanti.

Anak-anak yang dilahirkan untuk kepentingan negara:

Dengan adanya pengampu seperti Aziz, UMNO tidak perlu seteru lagi. Dia telah menyudikan isu politik yang hebat kepada PAS untuk berhujah betapa BN tidak menghormati budaya kekeluargaan; bahwasanya sesiapa juga yang mengahwini seorang guru, walaupun si suami itu bukannya seorang guru, mestilah menghormati kepentingan negara tajaan kerajaan. Ini memerlukan mereka merancang keluarganya mengikut agenda kebangsaan. Mengahwini seseorang guru sekarang ini mengharuskan satu peraturan hidup yang dikuasai oleh satu agenda yang lebih besar.

Ini memberi tanggapan bahawa keluarga yang kecil sudah menjadi agenda kerajaan dan dikiaskan untuk mereka di kawasan bandar. Baru-baru ini saya bertemu seorang sahabat lama yang merupakan seorang professional Melayu yang datang ke persidangan UMNO yang terkini. Dia merungut kerana harapannya untuk mempunyai sedozen anak tidak kesampaian. Walaupun mempunyai tiga orang isteri, harapannya tertahan pada lapan orang anak sahaja, sedangkan dia baru berusia 63 tahun sahaja.

Peraturan kerajaan mengenai hak guru wanita melahirkan anak-anak mereka, akan menjadi satu penghalang besar yang saya fikir menyebabkan kerjaya sebagai seorang guru dicemuh oleh kaum wanita. Bidang keguruan bukanlah disulitkan oleh kaum wanita yang menjadi bakal ibu, tetapi oleh pelbagai masalah yang lain. Dasar kerajaan yang tidak memberi kepentingan kepada bidang keguruan membuatkan banyak pihak merasa dingin terhadap kerjaya itu. Seperti dengan gelagat UMNO yang menyalahkan orang lain kerana masalahnya, Aziz telah menyalahkan kaum wanita kerana terdapatnya kekurangan warga keguruan.

Konsep ‘Pemikiran Mahathir’ dan rencana kelahiran mengikut agenda kebangsaan adalah petunjuk yang jelas betapa kerajaan sudah semakin haprak dalam perjalanannya. Mahathir telah berjaya menarik nafas yang panjang selepas berakhirnya persidangan UMNO. Namun, bahaya yang lebih besar yang menghantuinya ialah segala perlakonan para juak dan penyokongnya menjalankan tugasan mereka yang sungguh jelek dan haprak semuanya. Atas keangkuhan mereka itu, kini kita tambah satu lagi: kebiulan. Semua ini gara-gara betapa biulnya dan hapraknya si Aziz Shamsuddin.
Tamat.

Diterjemahkan oleh SPAR-01-022

 

Jumlah pembaca:orang