KENAPA SAYA MENYOKONG PENGGABUNGAN KeADILan- PRM

BAHAGIAN II

2. PRM BUKAN KOMUNIS ATAU SOSIALIS- Kita tidak sepatutnya mengesahkan dakwaan UMNO dan BN bahawa PRM itu komunis atau sosialis . Sebagai rakan PRM dalam BA mestilah berusaha bersungguh – sungguh untuk membuang stigma tersebut dari PRM kerana sesungguhnya mereka bukan komunis atau sosialis.

Jika dikaji sejarah PRM, mereka berasal dari PSRM- Parti Sosialis Rakyat Malaysia. Apabila berlaku pertembungan antara antara golongan sosialis dan bukan sosialis ini yang mana membuatkan golongan bukan sosialis ini di bawah pimpinan Dr. Syed Hussin Ali berjaya menguasai PSRM dan seterusnya mengubah dasar ideologi sosialis kepada membela rakyat marhaen .Dipendekkan cerita PSRM bertukar menjadi PRM dan golongan sosialis dalam PSRM ini meninggalkan PRM secara beramai-ramai dan berusaha pula menubuhkan Partai Sosialis Malaysia dan ada antara mereka yang menyertai UMNO . Ini bermakna PRM sekarang ini telah pun bersih daripada elemen dan ideologi sosialis dan slogan sosialis itu hanyalah omongan kosong UMNO yang takut akan penggabungan ini. Malah UMNOlah yang boleh dilabelkan sebagai Sosialis kerana menerima bekas Presiden PSRM yang tidak diragui lagi anutannya. UMNO ini memang terkenal melabelkan golongan penentang mereka dengan pelbagai tuduhan sebagaimana PAS dilabel sebagai pelampau agama dan kita sebagai parti ganas atau jalanan.

Apa yang berlaku pada PSRM samalah seperti apa yang berlaku pada UMNO dan PAS . Iaitu berlaku pertembungan antara golongan Islamik dan golongan Nasionalis yang menyebabkan tertubuhnya PAS oleh golongan islamik ini. Sekiranya kita juga mengiakan PRM ini sebagai sosialis apalah bezanya kita dengan UMNO yang menyebarkan fitnah tersebut ?

3. PENGARUH PRM   - Kita telah sedia maklum  PRM hanya aktif di kawasan – kawasan tertentu sahaja dan tidak melata ke seluruh negara . Negeri – negeri di mana PRM ini bergiat cergas adalah di Pahang, Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja. Di negeri –negeri inilah ahli kita akan terlibat secara langsung dengan proses percantuman ini dan mereka telah pun menjalinkan kerjasama dengan PRM di peringkat masing – masing  samada melalui ceramah politik mau pun semasa kempen pilihanraya .Sekiranya penggabungan ini tidak menguntungkan kita mereka lah yang paling layak untuk menentang penggabungan ini tetapi sebaliknya perhubungan negeri semua yang dinyatakan tadi telah dengan jelas menyatakan sokongan terhadap penggabungan itu dan negeri – negeri yang menentang adalah yang tidak terlibat secara langsung dengan PRM ini kerana di negeri mereka PRM memang tidak wujud atau pun tidak aktif.Jadi apa perlu di bimbangkan  ?

4. FRAKSI KETIGA DALAM BA -  Kita juga akur bahawa kawasan majoriti pengundi Melayu menjangkau 80 % adalah milik PAS sebagai Fraksi pertama BA dan DAP pula sebagai Fraksi ke 2 yang akan bertanding di kawasan 80 % pengundi bukan Melayu.                   Jadi kawasan untuk kita sebagai Fraksi ke 3 adalah kawasan bercampur – campur dan terpaksa pula dikongsi bersama – sama PRM . Manakala di kawasan ini BN paling kuat. Tidak ada satu pun kawasan bercampur ini yang di menangi oleh BA dalam pilihanraya Umum 1999 yang lalu. Jadi untuk mempastikan kerajaan BN tumbang kita mesti tumbangkan BN di kawasan ini dan tugas itu terletak di bahu kita dan PRM. Jadi apa  perlu kita bertelagah dengan PRM dalam soal perebutan kerusi ? Bukankah lebih baik kita bergabung dan memberi sepenuh perhatian terhadap usaha – usaha menawan kerusi ini tanpa perlu memikirkan parti mana antara kita yang bakal bertanding kelak.

5. USUL OLEH MPT  - Sayugia diingatkan pada para perwakilan sekelian bahawa dalam perhimpunan agung yang lalu kita telah memberi mandat kepada MPT untuk membincang dan seterusnya membuat keputusan mengenai penggabungan ini. Nah !! sekarang MPT telah pun membuat keputusan maka sekiranya kita menolak usul ini bermakna kita telah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap MPT itu sendiri. Sekiranya dalam pengundian ini nanti kita menolak usul ini maka MPT sebagai mengambil sikap tanggung jawab moral terpaksalah meletak jawatan secara ‘ En Block ‘ . Adakah kita mahu perkara ini berlaku ? Tepuk dada tanya selera…..

Jadi secara kesimpulannya kita janganlah merasa gundah gulana kerana takut kehilangan jawatan atau terpaksa turun pangkat kerana yang penting pada kita adalah untuk merrealisasikan matlamat jangka pendek dan jangka panjang kita, pembebasan DS Anwar dan mengambil alih teraju pemerintahan negara ini.

YB Pengerusi Tetap , Saya mewakili Negeri Kedah dengan ini menyatakan sokongan seluruh KeADILan Nageri Kedah terhadap Penggabungan ini. Terima Kasih.

ZAINUDDIN BAKRIN ,
Ketua,
KeADILan,
Bahagian Padang Serai.

Jumlah pembaca:orang