Hakim Telah Melaksanakannya
(The judge did it)
http://202.56.157.37/Column/2001/06/2001062701.php3
MGG Pillai
- Artikel asal ada di Malaysiakini.

Tindakan Hakim Muhammad Kamil Awang membatalkan keputusan pemilu DUN Likas dan kemenangan mantan ketua menteri Yong Teck Lee, sebagi tidak sah, dia sebenarnya telah mencetuskan gegaran pada kerajaan negeri.

Apabila dia menyebut bahawa bekas Ketua Hakim Negara pernah cuba mempengaruhi agar mengenepikan petisyen itu, ia mendedahkan banyak perkara yang memang ramai orang yang sudah lama menjangkakannya. Para hakim kerap ditekan dan dipengaruhi untuk melaksanakan arahan terhadap kes-kes yang mereka hakimi.

Sudah jelas, betapa intipati penghakiman, yang membuktikan adanya daftar pengundi yang songsang, yang tidak mahu diperbetulkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SP) walaupun terdapat aduan mengenainya, malahan calon sendiri yang terlibat dengan kesalahan pilihanraya, telah diketepikan dengan sengaja.

Yang pentingnya beliau ada mengatakan bahawa masalah seperti itu merupakan aduan setiap parti pembangkang pada masa yang lalu. SP terlalu tidak berlaku adil kepada mereka itu. Inilah pertama kalinya seorang hakim mengatakan betapa wujudnya kesahihan dalam semua aduan itu.

Obiter dicta

Kini dia diperlekehkan kerana isu ‘obiter dicta’ kerana mengaitkan masalah peribadinya dalam memberikan penghakimannya itu. Dia menjawab, perkara itu sengaja didedahkannya dengan tujuan menyerlahkan betapa para hakimpun mudah dikotak-katikkan.Bagaimana pula gamaknya dengan rakyat marhaen? Namun demikian, seandainya kerajaan merasa tertekan dengan penghakiman itu, kerana memikirkan wujudnya dalil yang dianggap laku, kerajaan harus membatalkan penghakiman itu berasaskan sikap hakim yang cenderung berpihak dalam pengadilannya.

Adalah penting, untuk diterima setiap keputusan yang telah dihakimkan. Lainlah kalau keputusan itu dikira tidak sah. Mengutuk seseorang hakim tidak akan menjernihkan kekeruhan. Malahan, oleh kerana hakim itu sudahpun bersara, dia sepatutnya diam membisu dan biarkan keputusannya menjadi penentu.

Sebaliknya hakim itu sengaja mengundang masalah dengan menonjolkan muka di sidang akhbar untuk menjadikan isu itu semakin besar. Itu bukannya tugasnya lagi dan penghakimannya itu seharusnya dikira laku dan bukannya penjelasannya selepas itu.

Tetapi, kerajaanpun tidak merasa senang dengan keputusan itu. Menteri haprak kehakiman Rais Yatim, mahu mewujudkan mahkamah rayuan untuk kesalahan pilihanraya. Mahathir pula menyebut bahawa hakim berkenaan sepatutnya berjumpa beliau apabila ditekan oleh bekas ketua hakim negara itu. Takkan dua kesilapan boleh membetulkan keadaan.

Tidak ada Hak

Eusoff Chin memang sepatutnya tidak menghubungi hakim itu secara terus, kerana itu adalah di bawah bidang kuasa Ketua Hakim Sabah dan Sarawak (Hakim Besar Borneo). Apakah Mahathir kini memberi kiasan bahawa para hakim boleh mengenepikan ketua-ketua mereka dan berhubungan terus dengannya? Apakah dia akan melayan hakim yang berkenaan setelah mengambil kira keadaan sebenarnya?

Keresahan kerajaan itu bukannya disebabkan seorang hakim membabitkan masalah peribadi dalam penghakimannya. Ia lebih disebabkan sikap SP yang tidak berlaku adil dan menunjukkan sikap berkecuali dalam semua hal. Apabila daftar pengundi Likas boleh dipertikaikan, ia membawa makna semua daftar pengundi bagi kawasan pilihanraya yang lainpun boleh dipertikaikan juga. Parti pembangkang, Parti Bersatu Sabah (PBS), kini mempunyai satu senarai panjang yang mempersoalkan daftar pengundi yang akan dikemukakannya di mahkamah.

Permintaan agar pilihanraya kecil diadakan semula sebaik sahaja daftar pengundi diperbetulkan, adalah satu pertanda kepada masalah yang lain pula. Kalau Yong Teck Lee didapati bersalah di Likas, apakah ini akan menjejaskan kedudukannya sebagai ahli parlimen kerusi Gaya?

Likas ialah sebahagian wilayah parlimen Gaya, dan pilihanraya persekutuan dilaksanakan selepas selesainya pilihanraya peringkat negeri. Ini bermakna kedudukan beliau itu tergugat juga, tetapi bergantung kepada wujudnya satu bantahan terhadap pemilu itu dan kerusi itu dikira kosong semula.

Faktor KeCinaan

Kerajaan semakin gelabah kini kerana Likas ialah kawasan yang majoriti pengundinya adalah orang Cina. Kerajaan menjadi tertekan selepas tercetusnya kemelut Nanyang Press yang berkemungkinan mendorong pengundi Cina memilih pihak pembangkang. Persidangan UMNO minggu lalu menunjukkan betapa UMNO sudah kehilangan sokongan padu orang Melayu. Episod Nanyang Press menunjukkan tekanan yang serupa menghantui MCA pula.

Seperti yang dirasai oleh Sarawak, pendidikan Cina dan beberapa isu budaya yang lain menyebabkan kerajaan dihantui kerunsingan.

Satu pilihanraya kecil terpaksa dilaksanakan di Likas. Rais Yatim beranggapan perlu diwujudkan satu mahkamah rayuan untuk mengahalang keputusan yang berbahaya yang menghenyak martabat kerajaan. Yang lebih dipentingkannya ialah satu kod etika yang perlu dikenakan terhadap hakim yang mengadili kes pilihanraya. Mereka mesti mengadili rayuan dalam masa yang tertentu selepas petiseyn dikemukakan, dan membuat penghakiman dalam masa tiga bulan sahaja.

Tetapi kenapakah para hakim mesti dikhususkan kepada petisyen pilihanraya? Apakah kerja itu tidak boleh dibiarkan terbuka kepada semua hakim yang ada? Nampaknya sudah ada satu usaha untuk menyulitkan keadaan di sebalik pengalaman pahit masa yang lampau.

Hakim pilihanraya mengumumkah penghakiman mereka beberapa tahun selepas berlakunya pilihanraya itu, sehingga menjadikannya satu bahan lelucon semata. Harus diingatkan di sini, Hakim Kamal mengeluarkan penghakimannya dua tahun selepas berlangsungnya pilihanraya itu, walaupun pada dasarnya tindakannya itu masih boleh dikira cepat juga.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya mencadangkan agar mereka yang mencapai usia 21 tahun didaftarkan secara automatis. Ini bererti ada tambahan 500,000 pengundi baru setiap tahun dalam daftar pengundi.

Kerajaan menjadi runsing dengan tanda-tanda yang akan tercetus. Kemarahannya sudah dihalakan kepada kesan penghakiman yang ada dan bukannya kepada gelagat hakim yang mencetuskannya. Ia sudah nampak akan masalah yang perlu dihadapinya dan yang pasti tidak mudah dapat ditanganinya.



Tamat

Diterjemahkan oleh SPAR-01-024

Jumlah pembaca:orang