Di Mana Wibawa Kerajaan BN Sabah".

UMNO/BN yang menguasai kerajaan negeri Sabah yang kini diketuai oleh KM Datuk Chong Kah Kiat dari LDP/BN telah membuat kenyataan terbarunya ekoran bantahan rakyat pelbagai peringkat terhadap langkah memindahkan penduduk Pulau Gaya ke Kg. Boronuon, Telipok. Kata KM Sabah, Datuk Chong, cadangan memindahkan setinggan Pulau Gaya ke tanah besar di Kg. Boronuon, Telipok akan diteruskan walaupun menerima bantahan dari pelbagai pihak.

Menurut KM, semua orang mempunyai pandangan berbeza, perpindahan itu tidak akan menjejaskan keselamatan dan sosial penduduk negeri Sabah, kerana kerajaan telah mengkaji terlebih dahulu, sebelum membuat keputusan. Tetapi sebagai rakyat, kita melihat kenyataan KM itu hanyalah cakap-cakap politik guna menyejukkan suasana ketidakselesaan pelbagai pihak termasuk rakan sekutu BN sendiri, apa lagi rakyat terbanyak khususnya penduduk tempatan dan rakyat Sabah di Telipok.

Kalau kerajaan telah membuat kajian, rakyat mempersoalkan sejauh mana kajian itu dilakukan, apakah ianya dibuat secara menyeluruh, oleh badan profesional atau oleh mereka yang berkepentingan politik dan ekonomi sahaja. Kenapa KM dan kerajaan negeri tidak mendengar dan menghalusi bantahan rakyat pelbagai pihak itu. Suara rakyat marhaen dan terbanyak boleh saja dimatikan oleh satu kuasa manusia yang rakus dengan kuasanya, itulah pembawaan kerajaan UMNO/BN sejak menguasai kerajaan negeri. Mereka akan mempergunakan kuasa untuk kepentingan diri, politik, mengaut kekayaan, harta dan mempertahan kuasa. Rintihan rakyat dibawah tidak mereka lihat lagi, kerana mereka sudah berada di atas. Mereka merasa rakyat tidak boleh menggugat mereka lagi.

Sebagai rakyat biasa, kami mengharap KM dan kerajaan negeri supaya dapat menilai semula setiap rancangan dan tindakan yang bakal diambil. Adalah tidak menjadi dosa kerajaan apabila menangguhkan atau membatalkan keputusan yang tidak realistik, tidak disukai majoriti rakyat, apa lagi keputusan itu boleh menyusahkan dan membahayakan rakyat serta mengancam keselamatan rakyat.

Dengan sikap ini, wibawa dan maruah kerajaan akan lebih tinggi dan mulia dipandang rakyat. Ini juga bermakna kerajaan lebih prihatin terhadap keluhan rakyat terbanyak, sekalipun kerajaan merasa sedikit kerugian mungkin. Tetapi sebenarnya itulah gambaran kerajaan rakyat. Penguasa atau pemerintah tidak angkuh dengan kuasa yang ada di dalam tangan mereka.

Kita sangat bimbang, bahawa pemindahan setinggan Pulau Gaya yang status kerakyatan mereka yang meragukan itu, akan berlarutan kepada kes-kes terdahulu pemalsuan kad pengenalan, sebagaimana terjadi di Kudat, Sabah ada warga asing/PTI berebut-rebut mencari peluang mendaftar diri menjadi warganegara atau mendapatkan kad pengenalan (dokumen kewarganegaraan). Kes ada KK, JKKK, KAN dan WKAN yang membantu warga asing/PTI mendapatkan kad pengenalan atau memberi sokongan memperolehi jalan mudah mendaftar dan perlindungan lain. Sebenarnya hal ini sudah lama terjadi, cuma tidak disiasat dan tidak dipedulikan. Sekarang kita ibarat "sudah terhantuk baru tengadah" atau "belum duduk sudah terlunjur".

Maknanya kerajaan sudah terlambat bertindak. Inilah akibat dari permainan politik yang tidak bijak, sistem dan undang-undang negara dicabuli semahunya oleh orang-orang politik, peraturan yang ada diketepikan, yang penting aku boleh berkuasa sekalipun salah dari segi undang-undang. Maka adanya pengundi hantu, pemegang IC palsu boleh mengundi, rakyat asing boleh mengundi dan sebagainya. Akhirnya, itulah rakyat melihat kepincangan dan kelemahan kerajaan yang ada. Wibawa kerajaan sangat rendah dimata rakyat. Bagaimana rakyat mahu hormat kerajaan kalau kerajaan yang ada tidak menjunjung undang-undang dan perlembagaan. Malah mereka dengan rakus mencabuli kedaulatan undang-undang dan rakyat dilihat sebagai pengacau apabila rakyat mengkritik kesilapan kerajaan.

Sekian, marilah kita rakyat Sabah dan Malaysia sama-sama berdoa, agar langkah kerajaan yang menyusahkan rakyat itu tidak menjadi kenyataan.

Ibn Sabah,
28.6.2001M

Jumlah pembaca:orang