Kenapa KK, KAN, JKKK Dituduh Khianati Negara?".

Pemimpin masyarakat peringkat bawahan seperti Ketua Kampung, Ketua Anak Negeri dan JKKK di kampung-kampung di Sabah menjadi cemas terutama mereka yang terlibat secara langsung dengan kegiatan melindungi, membantu warga asing dan PTI (pendatang tanpa izin) bagi mendapatkan dokumen warganegara seperti IC, tapak tanah membina rumah, menyokong permohonan warga asing yang ingin mendapatkan dokumen sah, menyembunyikan PTI dan sebagainya.

Pengarah PPKP Sabah/Labuan, Datuk Abdul Talib Harun menegaskan, sikap seumpama itu bukan sahaja menyeleweng daripada tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat, malah menjejaskan usaha kerajaan persekutuan dalam menangani masalah kehadiran pendatang tanpa izin (PTI) di negeri ini. (Petikan dari Utusan Borneo, 27.6.2001, muka surat 3). Manakala Sabah Times 23.6.2001 dalam muka surat 1, tajuk besar "Pecat Mereka". Ini adalah ekoran terbongkarnya cerita ada ketua kampung di Kudat, Sabah yang terlibat membantu rakyat asing atau warga asing mendapatkan kad pengenalan.

Ekoran kejadian ini, tiga ketua kampung telah ditangkap di Banggi, Kudat. Kerana membantu rakyat asing untuk memohon kad pengenalan. Ketua Polis Daerah Kudat, DSP Abdul Majid Mahmud berkata, mereka juga menjumpai borang pendaftaran, yang disahkan oleh ketua-ketua kampung ini dan kad pengenalan kepunyaan orang lain. (Petikan dari Sabah Times, 23.6.2001, m.s. 1).

Kita mempersoalkan kenapa pemimpin masyarakat dibawah saja dikenakan tindakan? Kenapa tidak mereka yang lebih atas seperti pemimpin politik, pegawai/kakitangan kerajaan yang terlibat secara langsung serta agen asing diambil tindakan lebih tegas dan keras. Sebab setengah pemimpin masyarakat dikampung-kampung ini ada yang tidak tahu langsung peraturan dan juga undang-undang negara terutama berkaitan kerakyatan warga asing yang mahu menetap di kampung-kampung. Orang kampung mudah saja dikaburi mata mereka, apa lagi warga asing yang datang berjumpa mereka itu yang lebih berpengetahuan dan tahu selok-belok, ditambah pula dengan habuan RM kaburlah mata ketua kampung itu.

Jadi dalam soal ini, pemimpin politik, pegawai dan kakitangan kerajaan hendaklah turun ke padang untuk menjelaskan dan menyedarkan pemimpin masyarakat di kampung-kampung tentang peraturan dan undang-undang yang berkaitan langsung denga bidang tugas mereka. Memang tandatangan atau sokongan ketua kampung, ketua anak negeri dan juga pengerusi JKKK cukup mahal, apa lagi bila wujudnya jaringan politik dengan YB. Inilah suasananya sekarang. Selalunya pegawai/kakitangan kerajaan tidak banyak soal apabila ada tandatangan KK, Pengerusi JKKK serta ditambah lagi dengan sokongan YB atau orang politik, sebahagian pegawai/kakitangan kerajaan menjadi kabur mata, hilang pertimbangan, undang-undang yang ada ditangan menjadi hilang, kerana pengaruh politik, lebih-lebih lagi bila ada habuan RM dan sebagainya.

Apabila Ketua Kampung (KK), Ketua Anak Negeri (KAN) dan Pengerusi JKKK yang terbukti salah, adalah wajar dikenakan tindakan. Maka pemimpin politik dan pegawai/kakitangan kerajaan yang terlibat membantu, menyokong dan apa juga kerja melindungi warga asing/PTI di Sabah sama ada untuk mendapatkan IC, tapak tanah, bekerja, mengajar dan lain-lain tanpa mengikut peraturan da undang-undang negara ini, adalah wajar diambil tindakan yang sama sepertimana ketua kampung dan pengerusi JKKK itu.

Sebab amalan mereka itu adalah satu jenayah, pengkhianatan kepada rakyat, kerajaan dan negara. Lebih dahsyat satu pencabulan kepada kedaulatan rakyat dan undang-undang negara ini.

Sebenarnya, isu ini tidaklah begitu sukar untuk diatasi sekiranya semua pihak menjunjung undang-undang dan peraturan negara. Ketepikan kepentingan diri, wang ringgit, kebendaan serta tanamkan semangat jati diri bangsa ke dalam diri kita semua. Kemudian ikutilah segala peraturan dan sistem pentadbiran yang sedia ada. Selain itu, pemimpin masyarakat hendaklah sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan sebagai satu kekuatan diri. Kerana tanpa ilmu pengetahuan dan pengalaman kita tidak akan mampu untuk mengurus tadbir masyarakat dengan lebih baik dan teratur.

Akhirnya, kita mengharapkan episod IC palsu, pengundi hantu dan warga asing/PTI mudah mendapat peluang untuk menetap di Sabah tidak akan berulang lagi. Di sinilah pentingnya kerjasama dari puncak hingga ke akar umbi dilaksanakan secara lebih tersusun bagi membendung kemasukan warga asing, membendung talibarut atau agen yang sudah tahu lubuk mudah mereka memperkenalkan kawan, keluarga dan rakan mendapat IC, peluang berniaga, peluang menetap, mengajar dan sebagainya khususnya di Sabah.

Sekian, pemimpin politik Sabah, pegawai/kakitangan kerajaan, polis, Imigresen, pemimpin masyarakat di kampung-kampung dan lain-lain, marilah kita sedari dari sekarang akan bahayanya amalan melindungi, membantu dan menyokong warga asing/PTI mendapatkan apa-apa jua seperti IC, tempat tinggal dan sebagainya, kepada keselamatan, keharmonian dan kedaulatan rakyat, negeri dan negara ini. Daulatkanlah undang-undang/perlembagaan negara, kuatkanlah jati diri bangsa ini dan cintailah Malaysia.

Ibn Sabah,
28.6.2001

Jumlah pembaca:orang