Bailout korporat - suatu analisis
Demi kepentingan nasional atau kepentingan diri?

Oleh DR TERENCE GOMEZ

Apabila saham-saham ‘tawaran awam awal’ (IPO) Time dotCom tidak mendapat sambutan, dan apabila didedahkan bahawa kebanyakan ekuiti syarikat itu sekarang dimiliki oleh segelintir institusi awam, maka adalah dipercayai bahawa satu lagi bailout telah dilakukan oleh kerajaan.

Walau bagaimanapun, Time dotCom adalah sebuah syarikat yang mempunyai banyak potensi. Firma ini telah siap memasang satu rangkaian kabel fibre-optic yang merentasi Semenanjung. Ini memberikan ia peluang baik untuk menarik pelanggan yang ramai terhadap perkhidmatan telekomunikasinya.

Dengan demikian apabila teknologi komunikasi selular generasi ketiga diperkenalkan di Malaysia, Time dotCom sudah mempunyai beberapa kelebihan awal ke atas pesaing-pesaingnya. Ia juga mempunyai kapasiti untuk menawarkan talian tetap, selular, telefon bayar dan khidmat internet. Hanya Time dotCom dan Telekom sahaja yang dijangka dapat terus menjadi syarikat telekomunikasi bersepadu untuk jangka panjang.

Pemilikan Awam Time dotCom

Maka jika Time dotCom itu sebuah syarikat yang berpotensi membuat keuntungan, apakah masalahnya kalau KWSP dan lain-lain institusi milik kerajaan mengambil kepentingan dalam firma ini?
IPO Time dotCom berjumlah RM1.9 bilion itu kurang mendapat sambutan kerana syarikat itu dibebani hutang, sebuah perusahaan yang rugi, dan tidak ada pakar pengurusan yang diperlukan untuk memajukan potensinya dalam industri telekomunikasi.

Time dotCom adalah anak syarikat Time Engineering, iaitu syarikat awam tersenarai dari Kumpulan Renong, yang dikontrol oleh Halim Saad.

Time Engineering, Renong dan Halim semuanya berada dalam tekanan hutang yang berat, dan menghadapi masalah membayarnya. Renong mempunyai hubungan yang rapat dengan Umno, dan Halim pernah berkata dia adalah proksi untuk aset korporat Umno.

Di situlah terletaknya problem IPO Time dotCom: hubungan antara politik dengan bisnes, dan perlunya Time Engineering  menyenaraikan Time dotCom bagi menguruskan krisis hutang Kumpulan itu.

IPO Time dotCom adalah satu daripada elemen kunci dalam skim penstrukturan semula hutang Time Engineering dan Time dotCom, yang melibatkan pinjaman berjumlah RM5.37 bilion. Walau bagaimanapun, hanya 25 peratus sahaja daripada ekuiti itu yang dilanggan sewaktu IPO. Harga tawarannya sebanyak RM3.30 sesaham juga menjadi faktor kurang sambutan itu.

Kini pemegang utama saham Time dotCom termasuklah Time Engineering dan beberapa institusi yang mempunyai kaitan dengan kerajaan, seperti KWSP, Khazanah Nasional, Danaharta dan dana pencen.

Penanggung-penanggung (underwriters) IPO itu diberi jaminan bahawa semua ekuiti Time dotCom yang tak dilanggan akan diambil oleh institusi-institusi kerajaan. Barangkali inilah sebab utama mengapa peristiwa korporat itu dilihat sebagai suatu bailout.

Politik Perniagaan

Apa yang diperlihatkan oleh isu Time dotCom?

Pertama, ia menunjukkan bagaimana kuasa dalam kerajaan semakin bertumpu dalam tangan sekumpulan kecil ahli-ahli politik, terutamanya Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Daim Zainuddin. Dalam kata lain, IPO tersebut membuktikan benarnya pandangan bahawa semua jentera kerajaan dan institusi awam telah menjadi alat yang patuh kepada pihak eksekutif.
Kedua, memandangkan hubungan yang begitu rapat antara politik dan bisnes, dan penumpuan kuasa di dalam kerajaan, maka perlu dipersoalkan apakah kebanyakan dasar dan langkah yang diambil oleh kerajaan selama ini dibuat demi kepentingan nasional?

Ketiga, kerajaan tidak pernah belajar daripada sejarah, khususnya mengenai isu-isu ketelusan dan penanggungjawaban.

Krisis kewangan 1997 telah menarik perhatian kepada perkaitan antara ahli politik dengan ahli perniagaan, yang melahirkan beberapa syarikat besar, dengan menggunakan dan menyalahgunakan sektor kewangan domestik.

Krisis itu memperlihatkan bahawa institusi kewangan yang dikawal oleh kerajaan atau ahli perniagaan yang well connected, telah menyalurkan pinjaman kepada segelintir orang yang istimewa.

Misalnya, 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman bank di Malaysia diperolehi oleh hanya 15 kumpulan korporat. Daripada RM39 bilion pinjaman bank untuk pemilikan saham, hampir 45 peratus daripadanya diberi kepada individu. Sebuah syarikat, Renong, mempunyai hutang terkumpul lebih daripada 5 peratus dari jumlah keseluruhan pinjaman dalam sistem perbankan Malaysia.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pernah mendakwa bahawa pinjaman yang bernilai sekitar RM70 bilion telah diberikan kepada tidak sampai 10 orang yang berpengaruh di negara ini. Bank-bank yang mempunyai hutang tak berbayar paling banyak kebanyakannya adalah institusi-institusi milik kerajaan, termasuk Sime Bank dan Bank Bumiputra. Dalam bailout yang ketiga dalam sejarahnya, Bank Bumiputra memerlukan tambahan modal sebanyak RM1.1 bilion dan kerajaan telah mengambilalih hutang tak berbayarnya.

Sime Bank, yang dikontrol oleh bekas setiausaha politik Mahathir, Mohd Noor Yusof, sebelum dijual kepada Sime Darby, telah diambilalih oleh the well connected Kumpulan Rashid Hussain (RHB).


Krisis Kewangan semakin parah

Ketika krisis kewangan semakin parah, ramai ahli perniagaan yang well connected, termasuk Halim Saad dan Tajuddin Ramli (anak didik niaga Menteri Kewangan Daim), dan anak Perdana Menteri, Mirzan Mahathir, mendapati nilai saham korporat mereka telah mengecut secara drastik, dan meletakkan mereka dalam kancah hutang yang tenat.

Dalam tahun 1997, ketika harga saham Renong jatuh, KWSP terjebak dalam satu kontroversi apabila ia dilaporkan telah membuat pembelian saham-saham United Engineering Malaysia (UEM) dalam jumlah yang besar.

UEM merupakan salah satu firma Kumpulan Renong yang paling menguntungkan. Pengambilan ekuiti UEM oleh KWSP itu telah menimbulkan kemusykilan di kalangan rakyat yang bimbangkan KWSP mungkin digunakan secara tidak langsung untuk menyelamatkan Renong.

Kemudiannya, UEM yang sarat menanggung hutang itu mendapat pinjaman RM800 juta daripada Malayan Banking, Bank Bumiputra, Bank of Commerce dan RHB - semuanya milik kerajaan dan well connected - untuk melaksanakan pembelian ekuiti Renong daripada Halim.

Pembelian itu telah mengecewakan para pemegang saham minoriti UEM. Ia didakwa sebagai satu lagi bailout telah dilakukan, dan salahguna sektor kewangan domestik pun berterusan, demi kepentingan diri.

Bailout dan ‘Kepentingan Nasional’

Berlawanan dengan beberapa tanggapan yang salah, sebenarnya tidak banyak berlaku bailout. Tetapi jumlah wang yang terlibat dalam beberapa bailout itu tersangatlah besar, dan kebanyakannya diberi alasan 'demi kepentingan nasional'.

Proton telah terpaksa dibeli oleh Petronas daripada DRB-Hicom yang dilanda hutang, kerana syarikat pembuat kereta nasional itu telah ditubuhkan demi untuk memajukan perindustrian berat Malaysia.
Bank Bumiputra tidak boleh dibenarkan jatuh, kerana ia membantu pembangunan modal Bumiputra.
Renong sebuah syarikat yang penting, kerana ia mewakili syarikat-syarikat Bumiputera berskala besar yang hendak dimajukan oleh kerajaan.

Syarikat penerbangan negara yang diswastakan, MAS, yang menanggung rugi dan hutang besar itu, terpaksa dimiliknegarakan semula demi menyelamatkan ia daripada jatuh bankrap.

Oleh kerana pembinaan Empangan Bakun telah bermula sebelum krisis kewangan, kontraktornya Ekran terpaksa dibayar gantirugi terhadap kerja-kerja yang telah disiapkannya, sebelum projek penswastaan itu diambilalih oleh kerajaan.

Kriteria Bailout

Walau bagaimanapun, kriteria yang menentukan siapa patut dibailout adalah berdasarkan kepada beberapa pertimbangan.

Renong dan Proton nampaknya terpaksa diselamatkan demi menghalang tergelincirnya visi agung Mahathir untuk mencipta konglomerat Melayu dan membangunkan industri kereta Malaysia. Mungkin terdapat sebab-sebab peribadi di belakang beberapa bailout yang lain. Parti-parti pembangkang mengatakan kerajaan membeli ekuiti MAS pada harga yang tinggi kerana hendak menyelamatkan syarikat Tajudin.

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan elit-elit politik mengenai perlu atau tidaknya bailout. Pengambilalihan aset korporat kepunyaan firma Mirzan yang dibebani hutang itu, oleh kerajaan, melalui sebuah syarikat awam yang dikuasai Petronas, dilaporkan menjadi salah satu punca perbalahan antara Mahathir dengan Anwar.

Apabila beberapa bailout itu dilaksanakan, tidak ada orang yang nampaknya berminat untuk bertanya bagaimana projek-projek itu dimulakan, dan samada kontrak-kontraknya dikeluarkan secara terbuka dan telus. Daya maju (viability) rancangan perindustrian berat, khususnya projek kereta nasional, telah dipersoalkan secara meluas, malah oleh anggota kabinet Mahathir sendiri.  Penswastaan Empangan Bakun juga dibantah, antara sebabnya kerana Ekran tidak mempunyai pengalaman dalam pembinaan empangan. Begitu juga apabila MAS diswastakan kepada Tajudin, orang mengkritik, kerana Tajudin tidak pernah terlibat dalam industri penerbangan.

Ertinya, sebelum krisis kewangan 1997 lagi, pemberian projek-projek penswastaan yang mahal secara berpilih, tanpa tender terbuka, telah mencetuskan bantahan atas tuduhan pilih kasih dan kurangnya ketelusan dan pertanggungjawaban dalam pentadbiran Mahathir.

Memilih pemenang

Mahathir begitu yakin dengan kemampuannya ‘memilih pemenang’ yang akan membantu dia mencapai visinya untuk mencipta satu kelas kapitalis Melayu. Kemudian, dia juga memilih golongan kapitalis bukan Melayu.

Francis Yeoh dan Ananda Krishnan, contohnya, mendapat projek membekalkan tenaga dan lesen telekomunikasi, walaupun mereka tidak punyai pengalaman yang diperlukan dalam industri berkenaan. Namun mereka berjaya membina perusahaan mereka melalui usahasama dengan firma asing, dan dalam proses itu mereka memperoleh kepakaran.

Lain halnya dengan Renong, yang nampaknya kehilangan arah. Hutangnya yang bertimbun-timbun itu terjadi kerana ia mengambilalih banyak syarikat dari pelbagai bidang, iaitu hampir semua industri utama. Kerajaan akan berhujah mengatakan Renong dan Halim pernah memberi khidmat untuk ‘kepentingan nasional’. Menurut Asian Wall Street Journal (17 Mac 1999), Halim telah diarah oleh kerajaan supaya membeli National Steel Company (NSC) di Filipina, sebuah firma milik tokoh politik dan perniagaan serta bekas ahli Parlimen, Joseph Chong.

Halim bercadang untuk membawa masuk NSC ke dalam Renong, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tanggungan hutang Renong, dan diburukkan lagi oleh krisis kewangan.

Halim mungkin telah diarah untuk mengambilalih NSC, kononnya kerana ia selaras dengan hasrat Mahathir untuk melihat Renong mengembangkan aktivitinya ke seberang laut, dan mempelbagaikan kepentingannya. Tetapi apakah Renong layak menceburi perniagaan itu? Apakah daya maju perusahaan itu dinilai sewajarnya, memandangkan masalah yang sedang dihadapi oleh Perwaja Steel dalam industri yang sama di Malaysia?

Melihat pada cara pengambilalihannya yang berselindung, yang dibuat melalui sebuah syarikat yang berpusat di Hongkong, iaitu Hottick, dan melihat pada tanggungan Hottick yang bertambah dalam proses itu, jelaslah bahawa ‘kepentingan nasional’ itu hanyalah suatu penjelasan mudah bagi melindungi suatu kesilapan.

Untuk mengambil NSC, Hottick telah mendapat pinjaman tanpa kolateral daripada Malayan Banking dan Bank Bumiputra (milik kerajaan) serta RHB Bank dan Bank of Commerce.

Walaupun hutang Renong begitu besar, apabila kerajaan melaksanakan penggabungan Bank of Commerce dengan Bank Bumiputra, Renong mendapat kepentingan yang besar pula dalam perbankan baru yang diperbesarkan itu. Ini menimbulkan tandatanya tentang kemungkinan berlaku penyelewengan dalam perbankan yang digabungkan itu.

Sementara itu pinjaman Hottick berjumlah RM3.09 bilion telah diambilalih oleh Danaharta - sebuah agensi kerajaan.

Soalan-soalan penting

Soalan-soalan penting yang boleh ditimbulkan mengenai bailout untuk ‘kepentingan nasional’:
Apakah perlu untuk mempunyai sebuah syarikat yang bersaiz seperti Renong, sebagai simbol kemajuan modal Melayu, terutamanya apabila jelas bahawa firma persendirian itu tidak mewakili kepentingan semua Bumiputera?

Siapa yang bertanggungjawab terhadap pola pengembangan Renong yang menyumbangkan kepada masalah hutangnya?
Patutkah badan-badan dan institusi-institusi awam dan milik negara digunakan untuk menyelamatkan Renong?
Kenapa Renong tidak mengurangkan hutangnya dengan melepaskan kepentingan dalam syarikat-syarikat yang masih menguntungkan, terutama yang bukan merupakan teras perniagaannya? Itu akan memaksa Renong menjadi lebih fokus.

Lain-lain konglomerat di Asia, termasuk Samsung di Korea, CP Group di Thailand dan First Pacific di Hong Kong, telah dipaksa melepaskan aset-aset utama bagi mengurangkan hutang, dan menilai semula gaya mereka membuat bisnes serta merasionalkan operasi mereka.

Hasrat Mahathir mungkin mulia ketika dia mengagihkan konsesi kerajaan secara berpilih, untuk memajukan modal tempatan. Tetapi prosesnya ‘memilih pemenang’ itu adalah terlalu mahal untuk ditanggung oleh negara.

Hal itu tidak akan berlaku sekiranya proses pemilihan dilakukan secara telus, berasaskan kriteria yang bukan berdasarkan hubungan politik dan peribadi.

Kepentingan politik dan peribadi sebegitu dalam usahaniaga korporat sekarang menghalang kerajaan daripada memulakan reformasi korporat yang diperlukan.

- terjemahan oleh Dinsman dari Aliran Monthly

(Disiarkan oleh akhbar CABARAN, keluaran 1 Julai 2001. Dapatkan CABARAN di pasaran atau http://cabaran.daily.tripod.com/)

Jumlah pembaca:orang