Karpal Singh Vs. Negara Islam

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Apabila Karpal Singh menyuarakan pendiriannya menentang konsep perjuangan negara Islam yang dibawa oleh PAS, umat Islam tidaklah begitu mengambil hirau mengenainya. Ini  bukan sahaja kerana beliau seorang bukan Islam, malahan pendirian beliau itu sudah pun diketahui ramai sejak dulu lagi. Sudah lama umat Islam menjawab pendirian beliau itu.

Tetapi bayangkanlah sekiranya pendirian yang seumpama itu disuarakan oleh seorang yang beragama Islam, mahu dianggap beragama Islam atau diketahui umum sebagai beragama Islam. Siapa lagi kalau bukan pemimpin UMNO yang mengambil jalan selesa dengan menafikan mahu melaksanakan hukum Islam secara keseluruhan, mengakui mahu melaksanakan hukum Islam tetapi secara tadaruj atau step by step (walaupun sudah 50 tahun pun belum selesai lagi) atau mahu melaksanakan hukum Islam secara 'berhikmah'.

Walau apapun, tiada time-frame yang diberi oleh UMNO sehingga bilakah hukum Islam itu akan menjadi lengkap seluruhnya, sebagaimana time-frame yang diperuntukkan untuk DEB, contohnya. Ini kerana time-frame yang tidak formal yang sering dikemukakan oleh pencinta Islam pra era-Anwar dalam UMNO dahulu telah hancur berkecai dengan terkeluarnya Anwar daripada UMNO dan kabinet. Kalau sebelum ini, jikalau ada sesiapa yang mempersoalkan tentang hukum Islam oleh kerajaan, pastilah jawapannya, 'Tunggulah Anwar naik jadi PM', seolah-olah itulah jawapan yang Mahadey harapkan akan diucapkan oleh penyokong UMNO dan Anwar ketika itu.

Bukankah Mahadey dikatakan seorang pemimpin yang berjaya kekal lama di kerusi takhta kerana salah satu sebabnya ialah beliau berjaya mengekalkan suasana teka-teki dan harap-harap di kalangan rakyat. Namun bagi rakyat yang berpandangan jauh, mereka sudah lama membuang jauh-jauh harapan untuk Islam dilaksanakan walaupun sejak era pra-Anwar lagi. Bagi mereka ini, teka-teki Mahadey itu sudah terjawab sebelum era tersebut lagi.

Pihak kedua pula hanya membuang jauh harapan tersebut selepas Anwar menerima nasib 'malang'nya. Dan bolehlah dikatakan bahawa inilah golongan paling ramai di kalangan rakyat yang beragama Islam. Anwar bagi mereka adalah harapan terakhir di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO yang punya kredibiliti untuk membawa obor Islam melalui jalan dalam. Para pendokong Gerakan Islam samada dari PAS, ABIM, IRC dan tidak ketinggalan juga Tabligh yang nan-partisan itu, pemerhati GI, simpatisan GI, golongan tariqat yang berkecenderungan politik dan wartawan GI adalah di antara kalangan rakyat yang turut membuang harapan ini selepas nasib yang menimpa Anwar dalam UMNO.

Apabila golongan terakhir ini bertindak demikian, hancurlah sudah harapan UMNO dan Mahadey untuk terus mengekalkan suasana teka-teki dan menaruh harapan di kalangan golongan ini. Mahadey sudah kembali ke zaman sebelum Anwar masuk UMNO, iaitu zaman rakyat lebih percaya kepada pembangkang untuk melaksanakan Islam yang syumul, zaman gerakan pelajar yang pro-Islam dan demokrasi sudah putus-asa terhadap kerajaan.

Yang tinggal dalam UMNO sekarang hanyalah mereka yang mencari dan mahu mengekalkan periuk nasi sahaja. Mungkin di antara mereka terdiri daripada bekas-bekas ulamak PAS yang kecewa kerana pandangan bernas mereka ditolak parti dan pemburu tender dari ABIM. Ini adalah golongan yang tidak kreatif, pro-aktif dan kritikal. 'Wujuuduhum ka adamihim' - adanya mereka seperti tiada jua.

Mahadey sedar perkembangan terakhir ini tetapi tidak berdaya untuk menentang arus tersebut. Bukti kesedarannya ialah apabila beliau mengemukakan cadangan supaya pemimpin dan penyokong UMNO supaya belajar dan menguasai tiga bahasa, di antaranya bahasa Arab. Agaknya dengan hanya boleh bercakap Arab tanpa memiliki kualiti-kualiti lain, rakyat akan mudah tergoda dengan seruan Islam UMNO. Tetapi Mahadey mudah lupa.

Mahadey lupa bahawa beliau melamar Anwar dahulu masuk UMNO bukan kerana Anwar boleh berbahasa Arab. Anwar hanya boleh berbahawa Melayu dan Inggeris dengan fasih dan bolehlah mengucapkan beberapa kalimat Arab yang mempersonakan beliau. Tetapi Mahadey melamar Anwar itu ialah kerana kualiti lain yang ada pada diri Anwar, di antaranya yang terpenting, warak (mampu hidup sederhana) dan bebas rasuah (untuk standard UMNO).

Kini kualiti tersebut tiada lagi di kalangan pemimpin UMNO yang lain, dan untuk mewujudkan kualiti seumpama ini bukanlah memerlukan masa yang singkat. Kalau adapun peluang untuk UMNO melakukannya, peluang tersebut hanyalah terbuka apabila UMNO menjadi pembangkang, apabila projek dan tender sudah tiada lagi terbuka luas. Ketika itulah mereka 'terpaksa' jadi warak.

Tetapi kini, bukan UMNO yang mengekalkan suasana teka-teki itu, tetapi PAS. Semua mata tertumpu kepada PAS, khususnya orang seperti Karpal Singh. Cuma suasana teka-teki itu tidaklah serupa sebagaimana pada zaman pra Anwar. Kalau pada zaman itu, umat Islam berada dalam teka-teki buatan UMNO dengan Anwar menjadi alat Mahadey. Tetapi pada zaman ini umat Islam tidak lagi dalam teka-teki terhadap UMNO, tetapi Karpal dan Rakan-rakan pula yang dalam keadaan teka-teki samada PAS mahu meneruskan perancangan Islamnya yang syumul atau tidak.

Karpal tidak risaukan Mahadey dan UMNOnya kerana Karpal begitu yakin bahawa Mahadey tidak akan melakukannya. Karpal & Co. sendiri tahu Mahadey memang tiada niat langsung malah menentang perlaksanaan Islam yang syumul. Selagi PAS tidak menyuarakan sikap yang sama secara jelas dan direct seperti Mahadey, selagi itulah K & C akan terus berada dalam keadaan teka-teki dan menaruh harapan supaya PAS akan menggugurkan niat tersebut.

Persoalannya, apakah PAS akan mengkabulkan hajat K & C? Jawapannya, sekurang-kurangnya buat masa ini, masih tiada tanda-tanda bahawa PAS akan menggugurkan niatnya itu. Malahan niat itu menjadi semakin jelas dan di ambang perlaksanaan. Tiada lagi sebarang tembok yang boleh menghalang PAS meneruskan niatnya selepas tembok terbesar iaitu, kewujudan Anwar dalam UMNO, telah jatuh dan hancur. Kini peluang K & C untuk melihat niat itu digugurkan terus oleh mana-mana parti dan jamaah Islam menjadi semakin malap.

Apakah pintu itu sudah tertutup terus bagi K & C? Tidak. Peluang masih ada.

PAS hanya boleh melakukannya dengan bantuan parti KeADILan. Hanya PKN sahaja yang boleh menyampaikan niat PAS ini, sekurang-kurangnya untuk waktu terdekat ini. K & C nampak peluang ini dan bercadang mengeksploitasikannya seluas mungkin. Tetapi K & C tidak bercadang untuk mengusahakan supaya gabungan BA dileraikan. Beliau sedar itu mencari nahas namanya bagi pembangkang untuk menjatuhkan BN dan berkuasa. Apa yang boleh dilakukan olehnya ialah samada memaksa PAS supaya menggugurkan niat tersebut atau kalau PAS masih berdegil, keluarkan PAS daripada gabungan BA.

Kaedah terakhir ini boleh dilakukan dengan cara mewujudkan keadaan hostile dan serba-salah dalam PKN mengenai konsep negara Islam, samada versi PAS atau PKN, kalau ada. PKN akan diasak dengan soalan-soalan yang memerlukannya untuk menjelaskan kedudukannya dalam perkara ini. Stand PAS memang jelas lagi bersuluh, tetapi tidak demikian bagi PKN.

Delima tersebut kini telah berjaya diasak ke arah PKN pula. PKN pula tampaknya berada dalam keadaan yang serba-salah. Keadaan ini akan berterusan selagi PKN tidak keluar dengan satu jawapan yang berani dan jelas. Tetapi tidak semudah itu baginya untuk melakukannya atas sebab yang semua orang tahu, iaitu masalah keahliannya yang multiracial. K & C mungkin boleh memanfaatkan golongan bukan Muslim dalam PKN untuk tujuan ini, dan mungkin juga sebahagian Muslim di dalamnya.

PAS tidak akan berganjak dan PKN pula tidak boleh ditolak sangat ke depan atau ke belakang. Padang yang paling selesa bagi K & C ialah tentunya PKN.

BA telah pun mengambil inisiatif untuk menyelesaikan kemelut ini, di antaranya ialah dengan mengadakan perbincangan dan penjelasan isu di kalangan mereka. Tetapi nampaknya keadaan bukan menjadi semakin jelas bagi K & C, tetapi semakin kabur pula. Ini kerana K & C mempunyai definisi tersendiri terhadap kata-kata dan penjelasan daripada PKN atau Datin Seri Wan Azizah dalam isu ini. Ini ditambah pula dengan stand K & C dalam isu ini sejak dari awal lagi.

Mungkin benar dan mungkin tidak juga bahawa K & C melakukan semua ini untuk mencari lost ground mereka, iaitu sebagai hero rakyat, walaupun definisi hero di sini berbeza dengan sebahagian yang lain. Mereka punya definisi yang unik - penentang hukum Islam yang syumul dianggap hero kerana hukum Islam dianggap 'barbaric', tidak 'inteligen' dengan zaman ini dan bermacam-macam lagi. Lebih-lebih lagi Perlembagaan Malaysia dianggap tidak boleh menerima hukum Islam yang syumul.

Bukan K & C tidak tahu apa hujah dan alasan PAS. Tetapi mungkin sudah tiba masanya untuk PAS berdepan dengan K & C secara one by one - berhujah, berdebat dan kalau gagal selepas daripada beberapa peringkat perdebatan dan perbincangan, berikan pilihan satu antara dua. PAS tidak boleh selamanya berada dalam situasi yang semakin membarah ini. Barah boleh pecah dan meletup. Letupannya akan terasa di saat pilihanraya umum.

PAS juga tidak boleh selamanya bergantung kepada tali PKN. Sebab kalau lama sangat bergantung, tali pun boleh menjadi semakin reput dan putus. PKN tidak boleh terlalu lama diasak ke satu sudut. Lama-lama lemas juga ia. PAS tidak boleh mengharapkan PKN mencari, menganalisis dan merumuskan satu jawapan yang dapat memuaskan semua pihak. Semuanya kini perlu diselesaikan oleh PAS secara anak jantan.

PAS mungkin akhirnya tidak perlu memberi kata dua kepada K & C kalau perbincangan itu gagal. Tindakan K & C memberi reaksi mereka berdasarkan kepada laporan dalam akhbar perdana memang sangat dikesali. Mereka sudah kehilangan satu mata, atau merosot reputasi mereka dengan bertindak demikian. Semua orang tahu bahawa K & C sepatutnya 'clarify' dahulu perkara ini dengan bertemu sendiri dengan pemimpin yang tersebut.

Kalau benar peranan hero K & C kini semakin merosot di kalangan penyokong mereka sendiri, mereka juga akan pupus ditelan masa bersama kapal usang UMNO. PAS tidak perlu memberi kata dua kepada mereka ini. Biar rakyat sendiri menilai mereka. Teruskan penjelasan kepada rakyat, Muslim dan lainnya. Insya-Allah, perjuangan yang benar dan ikhlas pasti menang.

Salam,

HC 
honciv@yahoo.com

Nota webmaster: Benarlah  kata penulis bahawa jika penentangan untuk melaksanakan Islam itu datangnya dari golongan bukan Islam (di mana di sini difokuskan kepada K&C), maka itu semacam satu lumrah. Ini mungkin disebabkan oleh ketidakfahaman mereka mengenai kedudukan mereka dalam sistem pemerintahan dan perundangan Islam. Sebaliknya, jika mereka diberikan peluang belajar dan memahami istem pemerintahan Islam, kita amat yakin dan percayai golongan yang sekapal dengan K&C ini akan bersetuju dengan perlaksanaan negara Islam. Ini adalah kerana golongan bukan Islam adalah satu kelompok yang istimewa, malah jauh sekali dizalimi dalam sistem pemerintahan Islam yang maha adil dan saksama. Inilah janji Allah bahawa keistiewaan ini adalah untuk memikat mereka dan kecenderungan mereka terhadap agama Islam. Dan inilah yang menjadi perkara pokok dan amat ditakuti oleh Mahathir kerana jika kelompok bukan Islam (sebagaimana K&C) dapat menerima penjelasan dan faham akan kedudukan mereka dalam sistem pemerintahan Islam, maka sudah lama mereka mengucapkan sayonara kepada UMNO dan kerajaan BN. Apakah kelompok bukan Islam dalam MCA, MIC atau gerakan atau mereka nan-partisan hanya akan melihat DAP berpeluk erat dengan orang-orang PAS dalam pemerintahan Islam? ~ webmaster

Jumlah pengunjung:orang