KISAH HAMAN DI NEGARA MAHAFIRAUN

Tersebutlah kisah sebuah negara yang diperintah oleh seorang diktator tua lagi nyanyok bernama MAHAFIRAUN. Satu ketika beliau mempunyai seorang menteri yang bernama HAMAN yang dipilih oleh beliau untuk menjaga hal ehwal agama di negaranya. Sebenarnya HAMAN ini bukanlah pakar atau mempunyai kelayakan dalam bidang agama kerana diberitakan orang semasa peperiksaan di sebuah universiti luar negara beliau gagal semua matapelajaran agama kecuali lulus satu subjek pelajaran sahaja iaitu Bab `Fardhu Kifayah.' Namun, oleh kerana baiknya dan kuat ampunya si HAMAN ini terhadap MAHAFIRAUN, maka dilantik jualah beliau di dalam kabinet MAHAFIRAUN.

Semenjak MAHAFIRAUN mula mendapat tentangan rakyat di negaranya sendiri iaitu selepas peristiwa MAHAFIRAUN memecat orang kanannya, HAMAN lah orang yang bersungguh-sungguh membela MAHAFIRAUN dengan memutar belitkan hukum agama sehinggakan apabila ditanya orang apakah hukumnya MAHAFIRAUN memecat orang kanannya serta menuduh musuhnya itu dengan perbuatan liwat tanpa 4 orang saksi yang adil, maka HAMAN pun menjawab, hukumnya `Fardhu Kifayah'. Maklumlah, itulah satu-satunya yang HAMAN faham. Rakyat tidak mempercayai HAMAN apatah lagi MAHAFIRAUN walaupun setiap kali MAHAFIRAUN berucap di khalayak ramai terdapat sekerat dua ayat kitab suci yang diajar oleh HAMAN diselitkan dalam ucapannya bagi meyakinkan rakyat bahawa MAHAFIRAUN juga berkebolehan berucap seperti bekas orang kanannya dahulu.

Memandangkan HAMAN tidak berupaya meyakinkan rakyat untuk kembali menyokong MAHAFIRAUN yang terus buta agama itu, maka HAMAN diminta untuk meletak jawatan menteri dan menawarkan jawatan lain iaitu Penasihat Agama kepada MAHAFIRAUN. Tugas beliau ialah sediakan doa pada pembuka dan penutup ucapan serta sepotong dua ayat kitab suci untuk diselitkan dalam ucapan MAHAFIRAUN. Apabila MAHAFIRAUN berucap dan membaca ayat yang disediakan, sungguh teruk bunyinya kerana al-maklumlah HAMAN menulis ayat tersebut dalam tulisan rumi kerana MAHAFIRAUN ni buta jawi. Tapi bagi HAMAN tidak mengapa kerana itu pada fahamannya `Fardhu Kifayah' sahaja. Justeru itu, beliau mendakwa beliau sanggup meletak jawatan menteri hanya untuk menunaikan Fardhu Kifayah dan kepentingan agama, kununnya.

MAHAFIRAUN amat terhutang budi dengan HAMAN iaitu Tok Gurunya itu lantas memberinya satu lagi jawatan iaitu Pengerusi Tabung untuk orang ke tanah suci. Mungkin kerana jahilnya MAHAFIRAUN dalam bab agama yang beranggapan menunaikan haji itu adalah Fardhu Kifayah, maka HAMAN lah orang yang sesuai untuk menjadi Pengerusi Tabung tersebut. HAMAN pun berterima kasih dengan MAHAFIRAUN kerana bertepatanlah dengan janjinya untuk menumpukan kepada perkara-perkara `Fardhu Kifayah'.

Terfikirlah dihati HAMAN, alangkah untungnya beliau yang hilang satu jawatan kini dapat dua jawatan iaitu Penasihat Agama MAHAFIRAUN dan Pengerusi Tabung untuk orang ke tanah suci. Bagi MAHAFIRAUN pula, beliau tidak rugi memelihara HAMAN kerana MAHAFIRAUN tahu HAMANlah seorang sahaja yang diharapkan untuk mengendalikan bangkainya nanti apabila dia mati kerana hukum menguruskan kematian itu Fardhu Kifayah. Haman sudah tentu pakar dalam bab ini. Lagipun, rakyat sudah tentu tidak mempedulikannya lagi termasuklah kaki-kaki ampu sewaktu beliau masih hidup dan berkuasa. Rakyat sekadar hanya ingin tahu di manakah nanti kubur MAHAFIRAUN bagi memudahkan mereka untuk berlumba-lumba kencing di atas kuburnya.

Sehingga kini rakyat di negara MAHAFIRAUN masih belum menerima jawapan, adakah MAHAFIRAUN beruntung memiliki HAMAN atau HAMAN beruntung memiliki MAHAFIRAUN. Tapi, apa yang pasti rakyat sendiri rugi kerana memiliki kedua-dua makhluk perosak ini.

Terpulanglah kepada pembaca sekeliannya untuk mempercayai kisah yang diceritakan ini kerana ia bukan Fardhu Kifayah. Cuma, kisah ini merupakan hikayat yang semestinya tidak ada kena mengena dengan yang dah mati tetapi mungkin ada kena mengena dengan yang akan mati.

MASSURIA NS