Siapa Dalang Gagalkan Pertemuan PAS UMNO?

Assalamualaikum,

Minggu ini minggu akhir bulan Feb 2001; tak banyak isu menarik untuk diperkatakan selain daripada isu penangguhan pertemuan PAS-UMNO yang kini sedang mula dicanang oleh pemimpin-pemimpin UMNO merata kampung kononnya  PAS memang tak mahukan perpaduan.

Dr Mahathir pula nampaknya beliau mengambil jalan selamat untuk tidak mahu mengulas lebih-lebih mengenai penangguhan ini cuma berulang kali menyatakan bahawa UMNO tetap bersedia untuk meneruskan perjumpaan tersebut.

Saya, buat pertama kalinya merasakan bahawa Dr Mahathir yang pernah saya hormati suatu ketika dulu, kali ini setelah kesekian lamanya, saya dapat merasakan semacam ada rasa kesungguhan di dada beliau, saya merasakan beliau memang betul-betul ingin melihat Perjumpaan ini menjadi. Menulis dari dalam diri, tanpa mewakili pendapat mana-mana parti atau pun organisasi; saya merasakan bahawa Dr Mahathir memang sudah dapat menjangka masa beliau untuk berundur sudah terlalu hampir tiba; kalau pun kejatuhan Estrada dan Fujimori mungkin tidak begitu merisaukan beliau kerana secara tradisinya rata-rata rakyat Malaysia masih lagi percayakan kepada sistem demokrasi berpilihanraya, tetapi perkembangan terbaru di mana munculnya suara-suara sumbang di dalam UMNO yang dimulai dengan serangan melalui internet oleh Datuk Shahrir yg sudah tentunya mendapat bantuan daripada politikus-politikus bayangan dalam UMNO, dan dikuti pula oleh serangan secara terbuka oleh BBM dalam bangunan milik UMNO sendiri tempoh hari membuatkan Dr Mahathir memang tak senang duduk; adalah dirasakan beliau kini sudah dapat membaca signal yang pernah suatu ketika dulu cuma menjadi kata-kata politik yang sering bermain di bibir beliau.

"Saya akan berundur apabila saya sudah dapat baca signal/petandanya"

Kalau saya jadi Dr Mahathir; dalam keadaan yang runcing ini; dengan ekonomi negara sedang bergelut dengan ancaman kemelesetan serantau, dengan pasaran saham yang hidup segan mati tak mahu, dengan AFTA yang sedang mengetuk muka pintu di kala syarikat2 gergasi yang dididik dan dibela selama ini tiba-tiba mula tumbang satu demi satu, dan di kala suara rakyat yang mahukan beliau berundur bukan sahaja sudah menjalar masuk ke bangunan milik UMNO itu, tapi juga sudah pun mula melepasi sempadan Kuala Lumpur dan melewati ras bangsa; maka di kala itu, tidak ada jalan yang lebih baik, selain merencanakan suatu master plan agar pengunduran beliau itu nanti akan memungkinkan beliau menikmati kehidupan yang aman di luar sana.

ITULAH YANG SAYA RASA APA YANG DR MAHATHIR TENGAH FIKIRKAN SEKARANG.

Lantas itu, apabila berlakunya penangguhan ini, Dr Mahathir nampak begitu kecewa sekali. Pun begitu, di celah-celah kekecewaannya itu, beliau cuba sedaya upaya untuk tidak melahirkan secara terbuka sepertimana yang dilakukannya dalam kes Sekolah Wawasan tempoh hari sehingga beliau ter-celupar menuduh aktivis-aktivis Cina sebagai Kominis kerana menentang usaha kerajaan untuk menyatukan rakyat Malaysia melalui apa yang dikatakan sebagai Sekolah Wawasan. Dr Mahathir tentunya sudah pun belajar daripada kesilapannya itu.

Dalam isu penangguhan perjumpaan PAS UMNO ini, beliau dilihat cuba untuk tidak mengeruhkan keadaan, mungkin kerana beliau cukup desperate mahukan perjumpaan ini menjadi agar apabila beliau berundur nanti, di celah-celah gelaran Mahazalim dan Mahafiraun yang diterimanya itu,  beliau akan juga dikenang orang sebagai seorang pemimpin Melayu yang bertanggungjawab dan berjasa besar dalam merintis jalan ke arah penyatuan Melayu melalui pertemuan PAS-UMNO ini. Sikap berhati-hati Dr Mahathir ini boleh dilihat dari jawapan balas beliau kepada seorang wartawan apabila ditanya apakah kemungkinan Ustaz  Fadzil Noor sengaja berlepas ke Mekah mengambil haji kerana sengaja untuk tidak bertemu muka dengan beliau yang dijangka akan bersembahyang raya di Masjid Baru di Alor Malai, Kedah iaitu di kawasan kampung Ustaz Fadzil. Jawab Dr Mahathir kepada wartawan tersebut:

"Itu kamu yang cakap, bukan saya yang cakap!!"  [The STAR: 26/2/01]

Dr Mahathir boleh kata: "No komen"

Tapi beliau memilih untuk menempelak wartawan tersebut. Ini membuktikan bahawa Dr Mahathir memang desperate mahukan perjumpaan PAS dan UMNO itu berjaya. Jadi, siapakah dalang yang menyebabkan perjumpaan yang sepatutnya berlangsung pada 19 hb Feb 2001 itu tiba-tiba ditangguhkan begitu saja?

Jika dikatakan bahawa PASlah yang menyebabkan perjumpaan itu tidak menjadi; itu tidak benar kerana sedari awal PAS telah komited untuk menjayakan pertemuan tersebut dengan perlantikan Jawatankuasa Teknikal Khas yang diketuai sendiri oleh Setiausaha Kerja Pusatnya. Jika PAS memang tidak mahukan pertemuan ini menjadi, PAS tidak perlu bersusah payah membentuk Jawatankuasa berkenaan, dan pemimpin2 PAS tidak perlu bersusah payah memberikan penerangan kepada ahli-ahlinya yang terkenal dengan sikap anti-sekular mereka dulu kini dan selama-lamanya. Ustaz Fadzil Noor sendiri terpaksa masuk ke kampung kampung untuk menyakinkan ahli-ahli PAS tentang peri pentingnya pertemuan ini kepada perjuangan. PAS sanggup berdepan dengan fitnah demi fitnah daripada media massa media massa tempatan yang cuba melaga-lagakan pucuk pimpinan dan pihak pemudanya dan juga antara parti PAS dan parti KeADILan dalam kemelut parti PAS menghadapi pertemuan ini. Setiausaha PAS Pusat, Ustaz Nasharudin Mat Isa sendiri sanggup menghadapi risiko dipandang serong oleh pengikut PAS dengan bergambar live bersalaman secara terbuka dengan Datuk Khalil Yaakob; untuk apa kalau bukan untuk menjadikan Pertemuan itu berjaya seperti yang dirancangkan.

Maka itu, sesiapa yang mengatakan bahawa PAS tidak berminat dengan pertemuan itu, kenyataan tersebut adalah tidak benar sama sekali. PAS tidak akan pergi sejauh itu jika benar-benar mereka tidak berminat dengan pertemuan tersebut.

Jadi, siapakah dalangnya yang menyebabkan Pertemuan ini tidak menjadi?

Saya melihat bahawa ada dalang dalam UMNO yang memang tidak mahu pertemuan tersebut menjadi kenyataan. Saya cuba menganalisis komen-komen yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin UMNO berkenaan setelah pertemuan tersebut tidak menjadi kenyataan; dan saya merasakan bahawa ada sekumpulan manusia-manusia tertentu dalam UMNO ini yang memang sejak azali lagi tidak mahu pertemuan ini berjalan seperti yang dirancang.

Mereka tahu bahawa Dr Mahathir memang desperate sangat mahukan pertemuan ini berlangsung, dan di kala yang sama juga mereka tahu dan menyedari bahawa jangka hayat Dr Mahathir bersama UMNO cuma boleh dibilang dengan jari sahaja; dan mereka juga melihat bahawa kesediaan Dr Mahathir yang berlebih-lebihan dalam menjadikan pertemuan ini menjadi realiti menyebabkan UMNO kini sudah tidak dipandang gah seperti dulu, kesediaan UMNO yang berlebih-lebihan ini menunjukkan bahawa UMNO sudah terlalu lemah dari sudut politik hingga sanggup tunduk, merayu dan merengek meminta musuh politik no wahidnya itu agar dapat duduk semeja berunding, seolah-olah menyatakan bahawa UMNO kini sudah pun tewas di medan pertempuran.

Mereka-mereka inilah yang saya lihat beria-ria benar mahukan pertemuan itu tidak menjadi. Maka di kala pertemuan itu hampir menjadi realiti, kita dapat lihat bagaimana secara tiba-tiba FRU dan pihak keselamatan yang selama ini kita tahu cuma bersikap keras terhadap ceramah KeADILan dek dendam kesumat peribadi antara pemimpin UMNO dan DSAI; dan tidak pernah bersikap kasar terhadap ceramah-ceramah PAS terutama apabila ada dalam barisan penceramah itu tokoh2 PAS yang disegani seperti TG Haji Hadi misalnya; tapi kali ini tiba-tiba - di kala pertemuan PAS UMNO hampir menjadi realiti - pasukan FRU dan Polisi bagaikan diarah telah bertindak kasar dalam ceramah PAS di markasnya sendiri di Sabak Bernam yang dihadiri oleh YAB TG Menteri Besar Terengganu Tg Haji Hadi dan Ahli Parlimen Kuala Kedah YB Mat Sabu.

Saya mendapat berita bahawa setelah majlis itu diganggu dan diperlakukan secara kasar oleh pihak polis/FRU; TG Haji Hadi telah memberi amaran, atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden PAS seMalaysia bahawa beliau akan mengusulkan agar PAS membatalkan pertemuan itu jika sekiranya majlis beliau itu terus dikasari.

NAH! APA LAGI PUCUK DICITA, ULAM MENDATANG - MEMANG ITU PUN YANG "BIG BOSS" MEREKA DI KUALA LUMPUR SANA MAHUKAN!!

Selepas itu, kita pun tahu, tindakan kasar pihak keselamatan mula merebak semacam wabak; di sana-sini, orang mula bercerita mengenai tindakan ganas Polis/FRU di Kulim, di Kubang Pasu, di Bukit Selambau, di Tanjung Karang, di Balai Polis Dang Wangi dan lain-lain tempat yang mungkin sudah pun disekat jalannya sebelum ceramah itu menjadi.

Apabila keadaan ini menjadi-jadi, maka ahli PAS peringkat bawahan dan juga rakan2 mereka dari BA mula jadi resah; macam mana pula pemimpin kita di atas sana boleh senang-senang berjabat tangan berdamai dengan mereka, sedangkan kita kat bawah ini tak habis-habis bermandikan hujan asid dan kepulan bom asap?

Maka apabila dihujani dengan pertanyaan dan aduan yang sedemikian, pucuk pimpinan PAS tiada pilihan melainkan terpaksa menangguhkan pertemuan tersebut sehingga keadaan "aman" dapat dipulihkan. Adapun berkenaan dengan isu  royalti minyak, harakah dan nama Islam; itu sudah perkara no-2 kerana seperti yang dinyatakan oleh Ustaz Nasharudin, Jawatankuasa Teknikal UMNO sudah pun tahu dan sudah pun dimaklumkan perkara tersebut pada hari pertama pertemuan mereka lagi. Lihat kenyataan YB Nasharudin Mat Isa dalam akhbar the STAR ini.

PAS: Umno aware of preconditions   from first meeting "JITRA: PAS has revealed that its preconditions for the proposed Malay unity talks were "submitted'' at the first technical committee meeting with Umno. "Umno secretary-general Tan Sri Khalil Yaakob knew it and so did the   other three in the (Umno) team,'' PAS secretary-general Nasharudin Mat Isa said after opening the PAS information and trade exposition at Kampung Padang Tok Kesop, Kubang Pasu, on Monday night.  [The STAR 28/2/01].

Maka seperti yang saya katakan, ketiga-tiga isu tersebut bukanlah perkara baru. Permintaan tersebut sudah pun diajukan kpd Datuk Khalil Yaakob di hari pertama pertemuan itu lagi; dan sengaja PAS membuat permintaan tersebut kerana PAS tahu bahawa ketiga-tiga perkara itu boleh diluluskan dengan mudah hanya melalui satu tandatangan sahaja dan tidak perlu ke parlimen untuk membuat sebarang pindaan perlembagaan.

Jika PAS sungguh-sungguh ingin menyusahkan UMNO; PAS boleh minta supaya perkara lain yang amat mustahil pada pandangan UMNO; misalnya meminta supaya membenarkan Kelantan dan Terengganu melaksanakan hudud. Apabila ini berlaku; maka memanglah benar bahawa UMNO tidak punya kuasa tetapi terpaksa membawa isu ini ke Parlimen kerana ianya melibatkan pindaan perlembagaan negara.

Antaranya ialah Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan: "Jika mana-mana undang-undang Negeri berlawanan dengan sesuatu undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Persekutuan itu hendaklah  dipakai  dan undang-undang Negeri itu hendaklah terbatal, setakat mana ianya berlawanan dengan undang-undang Persekutuan itu" dan juga Bahagian Satu Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan (ii)  Perkara  76- Membolehkan Parlimen membuat undang-undang di atas perkara yang di dalam senarai Negeri di atas  tujuan tertentu, di antaranya ialah bagi mengadakan persamaan undang-udang di antara dua buah negeri atau lebih.  Perkara 71(4) - Perkara ini ialah mengenai "peruntukan-peruntukan perlu" yang patut ada di dalam tiap-tiap Perlembagaan Negeri dan perkara-perkara perlu dimaksudkan itu terkandung di dalam Bahagian Satu Jadual Kelapan (di antaranya kuasa-kuasa Raja, Dewan Perundangan Negeri dan sebagainya). Perkara  ini menegaskan bahawa, Parlimen boleh dengan kuasa undang-undang  membuat peruntukan-peruntukan bagi menguatkuasakan dalam Negeri itu peruntukan-peruntukan perlu itu atau bagi membuangkan peruntukan-peruntukan yang berlawanan itu.

TU DIA - SIKIT PUNYA COMPLICATED KA UNDANG2 PERSEKUTUAN! PAS BOLEH MINTA KALAU NAK, TAPI PAS TAHU ITU DI LUAR BIDANG KUASA UMNO KERANA IANYA PERLU DIBAWA SECARA TERANCANG KE SIDANG PARLIMEN TERLEBIH DAHULU!!

Lantas itu, 3 permintaan yang diminta oleh PAS tersebut hanyalah kacang jika nak dibandingkan dengan permintaan pindaan perlembagaan seperti yang dinyatakan di atas. PAS sudah pun lama dalam politik negara, PAS sudah pun masak dan faham dengan susur galur perlembagaan negara, mereka tahu yang mana kacang yang mana saga!

Okay, berbalik kepada isu asal; 3 permintaan yang asalnya cuma menjadi sebahagian daripada agenda pertemuan, kini meletus di dada-dada akhbar dan dibincangkan secara luas setelah pertemuan tersebut tidak menjadi kenyataan. Kita balik kepada perkara pokok; kenapakah pertemuan tersebut tidak berlaku seperti yang dirancang sedangkan berdasarkan hujjah-hujjah saya di atas tadi, kedua-dua pucuk pimpinan UMNO dan PAS memang sudah komited semenjak awal untuk menjadikan pertemuaan ini suatu realiti.

Apakah yang berlaku sebenarnya?

Apa yang berlaku ialah ada dalang dalam pucuk pimpinan UMNO di atas sana yang saya gelar ia sebagai "BIG BOSS" kepada pasukan FRU dan pasukan keselamatan ini yang percaturan politiknya menggunakan FRU dan pasukan polis mengganggu majlis-majlis  PAS dan BA, jika dihalusi secara terperinci membuatkan kita merasakan beliau memang tidak mahukan pertemuan tersebut berlangsung seperti yang dirancang; siapa lagi kalau bukan Menteri Dalam Negeri YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dan, saya juga sudah menganalisis kenyataan ketiga-tiga Naib Presiden UMNO, Datuk Najib, Tan Seri Muhyideen dan Mat Taib [rujuk the STAR 19/2/01] ; dan saya dapati mereka ini antara rela, tetap mahukan pertemuan itu menjadi kenyataan. Tapi Timbalan Presiden mereka tidak begitu ghairah mahukan pertemuan ini menjadi realiti.

Apabila kelihatan pertemuan itu tidak menjadi kenyataan, Pak Lah saya lihat dalam nada yang tak berapa serius berkata:

"Syarat-syarat yang dikemukakan Pas sebelum adakan pertemuan dengan UMNO, MANA BOLEH diselesaikan secara perbincangan di peringkat jawatankuasa teknikal sahaja" [Bernama 25/2/01]

Dan dengar pula apa kata kuncunya ini:

KOTA BARU: Umno information chief Datuk Mustapa Mohamed said that judging from its actions and statements, PAS has closed the door to the planned unity talks with Umno. [The STAR 25/2/01]

(Terjemahan: Ketua Penerangan UMNO, Datuk Mustapha Mohamed berkata berdasarkan kenyataan dan sikap PAS, maka bolehlah disimpulkan bahawa PAS telah menutup pintunya untuk berbincang agenda Perpaduan dengan UMNO)

TU DIA - PANDAINYA ANAK MURID PAK LAH INI MEMBUAT KESIMPULAN!!

Menyelami pemikiran Pak Lah, beliau sememangnya tahu bahawa Dr Mahathir cuma menunggu masa sahaja untuk berundur; jika pertemuaan PAS dan UMNO ini menjadi, maka Dr Mahathirlah yang akan mendapat kreditnya tapi yang bakal menanggung bala ialah Pak Lah sendiri.  Sebagai bakal Presiden UMNO kelak; Pak Lah akan terpaksa berhadapan dengan satu suasana baru di mana masyarakat sudah tidak pandang gah lagi kepada UMNO; UMNO pada ketika itu nanti akan dilihat sama baris atau lebih rendah daripada itu apabila dibandingkan dengan PAS, KeADILan dan PRM. Tidak ada apa yang istimewa lagi pada UMNO kerana setelah berpuluh tahun berjuang, UMNO akhirnya akur kepada musuh politiknya PAS yang selama ini dianggap parti nyamuk dan diwar-warkan sebagai parti pemecah belah masyarakat.

Jika pertemuan ini tidak menjadi, maka ianya akan menjadi satu senjata politik yang cukup stategik dan cukup berkesan kepada Pak Lah sebagai bakal Presiden UMNO kelak; kerana kengganan PAS meneruskan pertemuan itu akan dicanangkan sebagai bukti jitu bahawa PAS memang tidak mahukan perpaduan; PAS cakap saja lebih, kononnya nakkan muzakarah tapi bila UMNO ajak berjumpa dan berbincang, mereka berikan 1001 alasan untuk tidak bertemu. Kenyataan awal orang-orang Pak Lah seperti Datuk Mustapha Mohamed ini adalah bukti yang nyata.

Patutlah pun ada orang Pulau Pinang, penyokong setia DSAI menyatakan kepada saya yang Pak Lah ini walau pun nampak senyap, tapi dalam senyap tu jenis makan dalam. No wonder lah orang kata Datuk Najib dapat undi nyawa-nyawa ikan di Pekan hari tu sebab utamanya adalah kerana kerja orang dalam!

Hidup Pak Lah!!

Wassalam, 
Ahmad Baharudin Kasbi