Kenyataan Media Biro Pekerja PRM

Di Mana Keadilan Untuk Kaum Pekerja?

Pembayaran dividen bagi wang simpanan pekerja semakin turun. Pengerusi KWSP, Tan Sri Abdul Halim Ali mengumumkan kadar pembayaran dividen bagi tahun 2000 sebanyak enam peratus. Ini lebih rendah berbanding 1999 pada kadar 6.84 peratus. Sebelum krisis ekonomi, kadar dividen KWSP ialah 8 peratus. Soalan-soalan yang perlu ditanya: Adilkah para pekerja menerima pembayaran dividen yang semakin rendah? Mengapa hal ini terjadi? Ke mana
perginya wang simpanan pekerja dilaburkan? Apakah pelaburan KWSP dilakukan secara berhemat? Teluskah pengurusan Lembaga Pengarah KWSP? Apakah wang KWSP juga digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat
kroni yang bermasalah dan projek-projek mewah?

Fakta-fakta berikut mungkin menjelaskan. Wang rakyat yang ada dalam perbendaharaan negara hasil dari cukai yang dipungut dari kaum pekerja, dan rakyat, juga wang dalam KWSP serta hasil-hasil sumber negara seperti minyak petrolum dan gas asli telah digunakan untuk perkara-perkara berikut:

1. Pada tahun 1999, sebanyak RM200 juta untuk membina mahligai Mahathir di Putrajaya;

2. Pada tahun 1999, sebanyak RM12 bilion untuk selamatkan syarikat Renong;

3. Pada tahun 1986 1999, sebanyak RM10.4 bilion untuk selamatkan Bank Bumiputra;

4. Pada tahun 1995, sebanyak RM10 bilion untuk selamatkan syarikat Perwaja;

5. Pada tahun 1992, hampir RM20 bilion diperjudikan oleh spekualsi Bank Negara dalam wang Sterling.

6. Khazanah Nasional Bhd, meminjam wang KWSP sebanyak RM2 bilion selama 5 tahun, pada kadar faedah 7.5% setahun;

7. Perwaja Trengganu Sdn Bhd, juga meminjam wang KWSP sebanyak RM710 juta selama 3 tahun, dengan kadar faedah 9.25% setahun;

8. KLIA Bhd, juga meminjam wang KWSP sebanyak RM1 bilion selama 16 tahun, pada kadar faedah 8% setahun.

Jelaslah bahawa wang simpanan pekerja dalam KWSP iaitu hasil dari titik peluh mereka serta hasil cukai dan sumber alam negara milik rakyat seluruhnya telah digunakan oleh kerajaan BN untuk membantu kapitalis-kapitalis kroni dan pembiayaan projek-projek mewah yang tidak produktif serta membazir. Jadi di mana keadilan bagi kaum pekerja?

Hassan Karim
Biro Pekerja PRM
28 Februari 2001