Taksirul Ashnaam: Merobohkan berhala.

Akhbar-akhbar perdana tempatan menyiarkan pada 1 Mac lepas berita mengenai tindakan kerajaan Islam Taleban memecahkan berhala-berhala di negara yang dikuasai pergerakan itu, demi menghapuskan unsur-unsur yang bertentangan dengan Islam. Tindakan itu dikatakan mencetuskan bantahan negara-negara dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sendiri, atas alasan berhala-berhala yang dibina di zaman sebelum Islam memasuki Afghanistan itu mempunyai nilai sejarah yang tinggi, apatah lagi ada di antara berhala-berhala itu yang telah berusia lebih dua ribu tahun.

Tindakan akhbar-akhbar tersebut menyiar dan membesarkan berita-berita sedemikian dilihat oleh sesetengah masyarakat Islam yang memahami asas-asas agamanya sebagai satu usaha provokasi untuk memberikan gambaran "sekiranya Islam memerintah, penganut agama lain tidak akan dapat hidup dan tempat-tempat ibadatnya akan dihancurkan". Ini tidak jauh bezanya dengan penyiaran berita tanpa bukti kononnya wanita Islam di Afghanistan tidak dibenarkan belajar di peringkat yang lebih tinggi daripada pendidikan asas (difahami "wanita di bawah pemerintahan Islam ialah manusia yang tidak berpendidikan dan bodoh"), berita tanpa bukti kononnya wanita Afghanistan tidak dibenarkan keluar rumah tanpa cadur atau purdah (difahami "wanita di bawah kerajaan Islam mesti dibungkus sepenuhnya, kalau tidak mereka akan dihukum") dan berita tanpa bukti kononnya lelaki yang tidak menyimpan janggut akan dihukum sebat (difahami "pemerintahan Islam akan mendera orang yang tidak mengikut seratus peratus lunas agamanya, walaupun atas perkara yang kecil seperti tidak menyimpan janggut").

Cuba kita selidik dari mana sumber berita-berita sebegini, yang disiarkan oleh akhbar-akhbar perdana termasuk yang berbahasa Melayu dan dikendalikan oleh 'orang-orang Melayu' yang amat marah bila dipertikaikan keimanan dan keIslaman mereka. Dalam pada itu, mereka tidak menunjukkan bukti iman dan Islam mereka apabila mereka menjadi orang-orang fasiq yang menyebarkan berita buruk tentang saudara seIslam mereka, sedangkan al-Quran memperingatkan:

"Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya datang kepadamu orang fasiq yang membawa sesuatu berita, hendaklah kamu menyelidik terlebih dahulu (sebelum kamu mempercayai dan menyebarkannya), agar kamu tidak mengenakan (kezaliman) ke atas sesuatu kaum tanpa kamu sedari, lalu dengan perbuatan zalim  itu kamu akan menjadi orang-orang yang menyesal." (Surah al-Hujurat: 6)

Sumber berita yang mereka siarkan itu biasanya tidak lain daripada sumber-sumber Associate France Press (AFP) dan Reuters yang dikuasai Yahudi dan Kristian (Barat) yang sememangnya memusuhi Islam dan sentiasa berusaha menggambar burukkan Islam. Carilah, jarang ada berita luar negeri yang bersumberkan Bernama sendiri. Maksudnya, kerja kewartawanan mereka amat tidak profesional dengan menceduk bulat-bulat cerita orang lain.

Dari satu aspek, nampaknya mereka (yang turut sama mengaku sebagai umat Islam) amat gemar kepada berita yang merosakkan nama baik Islam, walaupun berita itu tidak terbukti kesahihannya. Inilah dia kelompok umat Islam sekular yang hanya mengambil lunas-lunas Islam yang menguntungkan dunia mereka sahaja (seperti ekonomi Islam, pembangunan material negara umat Islam, zakat dan seumpamanya). Pada masa yang sama mereka tidak membuktikan iman mereka dengan mengambil keseluruhan sistem Islam demi mendambakan keredhaan Allah s.w.t. Inilah antara sifat umat Islam sekular, seperti sekularnya sekelompok umat Islam di zaman Nabi s.a.w. yang bernama Abdullah bin Ubay dan pengikutnya. Tidak jauh bezanya dengan sekular umat Kristian di Barat, iaitu umat yang mengejar pembangunan dan kemajuan duniawi dengan sedikit tempelan agama, walaupun mungkin sekular Barat itu lebih tebal daripada sekular sekelompok umat Islam hari ini.

Bila kita merujuk kepada penyiaran berita pemusnahan berhala di Afghanistan (tanpa merujuk sedikit pun kepada asas akidah Islam terhadap kewujudan sebarang unsur berhala), ia lebih menampakkan lagi kedurjanaan pemberita dan wartawan 'Islam' terlibat terhadap akidah Islam dengan menfokuskan (highlighting) kepada tuntutan-tuntutan duniawi kaum kuffar seperti memelihara simbol-simbol sejarah atau atas alasan faktor tarikan pelancong. Ia juga dilihat sebagai usaha untuk menakut-nakutkan masyarakat pembaca kepada istilah-istilah phobia seperti "negara Islam", "kerajaan Islam" atau "pemerintahan Islam".

Tanpa menafikan kebenaran berita tentang tindakan kerajaan Islam Afghanistan untuk merobohkan berhala-berhala zaman Buddha itu, namun ia amatlah tidak adil kepada umat Islam apabila kepentingan duniawi dan tuntutan kaum kuffar diutamakan. Dalam masa yang sama, pemberita terlibat tidak sedikit pun menyiarkan rasional tindakan itu dari perspektif akidah Islam dan kehendak semasa umat Islam Afghanistan.

Bukankah menjadi hak kerajaan Islam Afghanistan untuk menghapuskan unsur-unsur syirik di negaranya, sedangkan rakyatnya tidak lagi memerlukan kewujudan berhala-berhala itu kerana hampir seratus peratus bangsa Afghan telah menganut Islam? Bukankah Rasulullah s.a.w. juga bertindak memecahkan berhala di sekitar Ka`bah selepas Pembukaan Kota Makkah pada tahun ke-8 Hijrah setelah hampir seratus peratus orang Quraisy telah menerima Islam?

Sudah hampir satu dekad Kerajaan Islam Afghanistan membiarkan kewujudan berhala-berhala yang diwarisi sejak zaman sebelum Islam itu. Yang pasti, berhala-berhala besar itu (ada yang mencecah 50 meter tinggi dan dikatakan sebagai berhala yang tertinggi di dunia) tidak sedikit pun mengkayakan atau memulihkan ekonomi Afghanistan. Tidakkah tempoh hampir sedekad itu dilihat sebagai tempoh untuk menilai setakat mana keperluan Afghanistan dan rakyatnya kepada berhala-berhala itu?

Terbukti bahawa Afghanistan dan rakyatnya tidak lagi memerlukan kesan sejarah zaman Buddha itu. Jadi apa gunanya ia disimpan dan dipelihara tanpa sebarang keuntungan, apatah lagi keuntungan akhirat, kerana ia adalah maksiat yang besar dan lambang keagungan masyarakat musyrikin. Apakah setiap bangsa itu mesti mengagungkan warisan nenek moyangnya, walaupun warisan itu mengaibkan mereka dan boleh dilihat sebagai mengagungkan perbuatan sesat dahulu kala?

Mungkin berdasarkan rasional-rasional di atas, maka kerajaan Islam Afghanistan bertindak demikian. Dan itu adalah hak sebuah kerajaan berdaulat tanpa boleh dipertikaikan.

Apakah itu boleh dikatakan penindasan ke atas orang bukan Islam atau pencabulan terhadap tempat-tempat suci mereka? Seperti dikatakan tadi, orang Afghan sudah tidak memerlukan berhala-berhala besar itu lagi. Kalau ada pun segelintir rakyatnya yang bukan Islam (masih beragama Buddha), mereka tiada hak lagi untuk menyimpan berhala-berhala mega itu sehingga umat Islam (yang majoritinya amat besar -hampir 100%) merasa terhina di negara sendiri. Bukankah kerajaan India merestui pencabulan dan pemusnahan Masjid Babri di negeri Ayodhya walau pun umat Islam di India tidak kurang 20%?

Sekiranya tindakan kerajaan Afghanistan itu dikatakan mencabul dan menindas orang bukan Islam, nescaya tindakan Nabi s.a.w. memecahkan berhala di Ka`bah juga boleh dikatakan begitu. Sedangkan baginda adalah orang paling kuat mempraktikkan ajaran al-Quran supaya tidak mencabul atau menzalimi manusia (walaupun bukan Islam). Bukan sahaja melarang pencabulan fizikal terhadap orang bukan Islam, bahkan al-Quran juga melarang pencabulan lisan terhadap mereka. Allah berfirman maksudnya:

"Dan janganlah kamu mencaci cela orang-orang yang menyeru selain Allah, (kerana dikhuatiri) mereka akan mencela Allah atas sebab permusuhan (dengan orang Islam yang mencela mereka) tanpa mereka ketahui (kebenaran dan kemurnian agama Islam)…" (Surah al-An`am:108)

Sebenarnya bukan Nabi s.a.w. yang memecahkan berhala-berhala di sekitar Ka`bah, tetapi orang yang memecahkannya ialah bekas para penyembah berhala itu sendiri yang telah menerima Islam sebagai satu cara hidup yang tiada kompromi dengan unsur-unsur syirik. Baginda hanyalah memimpin dan menunjuk ajar bangsa yang baru sedar daripada kejahilan mereka dahulu yang mengabdikan diri kepada batu yang tidak memberi manfaat atau mudharat. Walhasil, mereka sendiri menghancurkan lambang kebodohan mereka sebelum mendapat hidayat Allah s.w.t.

Demikianlah juga kerajaan Afghanistan. Kerajaan hanyalah memimpin rakyat yang telah sedar daripada kejahilan silam. Rakyat Afghanistan telah menyedari kebodohan mereka mengagungkan cara hidup syirik zaman silam, lalu mereka bertindak menghapuskan kebodohan itu dengan menyokong tindakan sebuah kerajaan yang menjaga kemaslahatan hidup dunia dan akhirat mereka.



Alimuda@hotmail.com