`PENGGULING KERAJAAN' DIBERI SAMBUTAN HANGAT DI KUANTAN

Terlebih dahulu kami penyokong-penyokong BA khususnya di kawasan Kuantan mengucapkan syabas kepada pihak Polis kerana memberikan kerjasama baik sewaktu program Ceramah Parti KeADILan di kawasan Paya Besar Kuantan pada 04 Mac 2001. Ceramah yang dihadiri oleh Pejuang Rakyat Sdr. Ezam (Ketua Pemuda KeADILan) telah mendapat sambutan hangat dari masyarakat di Paya Besar.  Meskipun baru sehari dua pihak media perdana pro kerajaan memberitahu rakyat bahawa Sdr. Ezam dan Parti KeADILan adalah mereka yang ingin menggulingkan kerajaan sekarang.

Lojiknya, memang tugas pembangkang adalah untuk menjatuh serta menggulingkan kerajaan kerana jika tidak lebih baik duduk dalam UMNO atau BN. Cuma, bagi pembangkang menjatuhkan kerajaan bukan bererti menggunakan senjata atau rusuhan bersenjata tetapi dengan kuasa dan hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun cara aman. Memandangkan sambutan hangat pada ceramah malam itu walaupun pada awalnya kelihatan hujan mulai turun renyai-renyai tetapi seolah-olah memberkati program tersebut dan mulai berhenti sehingga selesai ucapan Sdr. Ezam, tidak dapat tidak MB Pahang mulai merasa panas punggung. Negeri Pahang kini mulai merasa bahang reformasi rakyat seperti di Kelantan dan Terengganu.

Apa yang lebih menarik lagi, tanpa kehadiran FRU ceramah tersebut dijalankan dalam suasana aman bahkan pihak Polis yang bertugas pada malam tersebut diberikan tepukan gemuruh oleh hadirin kerana bertugas dengan begitu baik dan `Mesra Rakyat'. Kalau dilihat dengan lebel `Pengguling Kerajaan', sudah tentu ceramah malam itu mesti hangat dan huru-hara, tapi berlaku sebaliknya. Yang huru-hara adalah media pengampu dan UMNO sendiri. Kalau Sdr. Ezam boleh menggulingkan kerajaan dengan mudah, lojiknya tentulah Sdr. Ezam juga boleh bentuk kerajaan dengan mudah. Ini sudah kira hebat dan mengalahkan gurunya Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Begitulah keadaan orang yang gelabah. Ada yang dituduh berperang dengan agung, pengkhianat negara, ejen asing, kini pengguling kerajaan pula. Tapi, semuanya jadi bahan ketawa rakyat. Mungkin sehari dua ini nanti keluarlah muka-muka Profesor-Profesor murahan dan Mufti-Mufti Jualan untuk memberikan komen atau fatwa tentang `mengguling kerajaan'. Biar apapun lebel yang diberikan, kita telahpun berjaya menggulingkan kerajaan UMNO di Kelantan dan Terengganu dan `penggulingan' ini akan berterusan sehingga Islam dan keadilan ditegakkan, insyaalah.

MASSURIA NS