DR MAHATHIR HARAP PERTEMUAN UMNO-PAS JADI KENYATAAN


JITRA, 4 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berharap Presiden PAS Datuk Fadzil Noor sedia menemuinya bagi membincangkan perpaduan orang Melayu sekembali daripada menunaikan ibadah haji nanti.

"Saya harap Fadzil apabila di hadapan Kaabah nanti membuka hatinya supaya menyertai pertemuan itu," kata Perdana Menteri.

Dr Mahathir yang juga presiden Umno dan Ketua Umno bahagian Kubang Pasu berkata demikian ketika merasmikan serentak mesyuarat agung 135 cawangan Umno termasuk pergerakan Pemuda dan Wanita di bawah bahagian itu di Dewan Jitra di sini.

"Lawan lawanlah.

Tapi apa salah duduk sama dan berbincang.

Ada (perkara) yang setuju.

Ada (perkara) yang tidak setuju.

Biasalah," katanya.

Fadzil dijangka pulang ke tanah air pada pertengahan bulan ini.

Perdana Menteri berkata orang Melayu sekarang menghadapi masalah perpecahan disebabkan kewujudan PAS. Ini kerana parti pembangkang itu sering mengugut kononnya seseorang itu akan masuk neraka jika tidak mengundi PAS, katanya. PAS, katanya, sering menabur fitnah dan memperalatkan agama untuk kepentingan politik mereka. (Ini semua fitnah Mahathir ~ Webmaster)

"Selepas ini, mungkin ada yang akan berkata kenapa tidak boleh diadakan pertemuan Umno-PAS apabila Umno pula asyik mengecam PAS. Tapi mereka tidak sedar PAS juga asyik hari-hari mengecam Umno.

Lawan lawanlah.

Apa salah duduk sama dan berbincang," katanya.

Dr Mahathir meminta semua pemimpin parti di peringkat cawangan menerangkan kepada orang ramai tentang asal usul penubuhan Umno dan perjuangannya yang berbeza dengan PAS.

Perdana Menteri berkata Umno ditubuhkan untuk menebus maruah bangsa dan negara akibat dijajah lebih 450 tahun dan perjuangannya adalah untuk agama, bangsa dan negara.

Keadaan ini berbeza dengan asal-usul penubuhan PAS oleh kumpulan ulamak yang meninggalkan Umno kerana khuatir tidak berpeluang menjadi calon pilihan raya lalu menubuhkan parti serpihan. (Inii juga fakta yang dilewengkan oleh Mahathir ~webmaster)

"PAS bukan memperjuangkan untuk agama dari awal lagi. Sebab tubuh PAS kerana mereka ingin jadi calon dan dapat duit. Untuk jadi Yang Berhormat dan dapat kereta," kata Dr Mahathir. (sebenarnya 'fitnah' Mahathir ~ webmaster)

Beliau berkata usaha menerangkan kepada orang ramai asal usul dan perjuangan Umno oleh pemimpin di peringkat cawangan penting agar mereka terus menyokong Umno dan kerajaan.

"Apabila Umno kuat dan kerajaan kuat, kedua-dua pihak itu boleh terus berjuang untuk memberi faedah kepada rakyat," katanya.

Dr Mahathir mengulangi kenyataannya mengenai kepentingan perpaduan orang Melayu agar bangsa itu boleh terus berjaya.

Orang Melayu boleh melawan kuasa besar seperti British dahulu walaupun mereka tidak mempunyai senjata moden dan lengkap sewaktu rancangan penubuhan Malayan Union disebabkan oleh perpaduan mereka.

"Akhirnya, British terpaksa iktiraf Umno dan gugurkan rancangan mereka itu.

"Apabila orang Melayu berdiri teguh di belakang pemimpin, pemimpin menjadi lebih kuat dan Umno menjadi lebih kuat untuk terus memperjuangkan nasib bangsa itu," katanya.

Beliau berkata kesan buruk akan wujud sekiranya pemimpin Umno di semua peringkat tidak mengetahui asal usul penubuhan dan perjuangan Umno.

-- BERNAMA