MENTERI BESAR KELANTAN DAN DEMONSTRASI JALANAN 

Pendapat dan pendirian Tuan Guru Menteri Besar Kelantan tentang demonstrasi jalanan boleh menggugat kestabilan politik dan kehidupan harian di negara ini, telah mendapat liputan meluas di media massa arus perdana yang pro Umno/BN. Tuan Guru itu selanjutnya mengatakan bahawa keadaan itu mungkin akan di ambil kesempatan oleh pihak lain untuk menghuru-harakan keadaan. Pandangan Tuan Guru itu tentulah dieksploit sedemikian rupa oleh media massa berkenaan kerana bunyinya yang agak senada dengan pendapat dan sikap pemimpin-pemimpin dari BN.  Isu demonstrasi jalanan kembali bergema bila Keadilan memulakannya semula di sekitar Ibu Negara dua tiga minggu yang lepas. Muka depan Mingguan Malaysia semalam (4 Mac) memaparkan pandangan Ketua Pemuda Keadilan mahu menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi sedemikian.  Isu ini tercetus sebenarnya bila Hishamuddin, Ketua Pemuda Umno membuat kenyataan bahawa Keadilan sedang merancang untuk mengadakan demonstrasi di Ibu Negara pada setiap petang sabtu seperti dahulu.

Kita tidaklah merasa hairan bila media massa arus perdana memberikan kredit kepada pendapat Tuan Guru Menteri Besar itu. Soalnya adakah benar pandangan TG Nik Aziz itu senada dengan pandangan pucuk pimpinan Umno/BN? Ataukah mereka sengaja mengeksploitasi kenyataan itu kerana ia dilihat menguntungkan Umno/BN? Memang kerajaan BN yang dikuasai oleh Umno itu tidak menyetujui demonstrasi sebagai satu cara untuk mendapatkan tujuan dan matlamat-matlamat politik. Paklah sendiri menekankan bahawa kita mengamalkan sistem demokrasi dan ada banyak cara untuk mengemukakan pandangan dan pendapat, bukan dengan cara berdemonstrasi. Sementara itu Hishamuddin Tun Hussein pula berpendapat bahawa kaedah berdemonstrasi untuk mencapai sesuatu tujuan memang popular, tetapi adakah dengan mengadakan segala rusuhan sahaja segala masalah dapat diatasi? Beliau selanjutnya berharap pihak berkuasa seperti polis dapat mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap perbuatan berkenaan (Berita Minggu,4 Mac). 

Kebimbangan para pemimpin Umno/BN terhadap isu demonstrasi adalah mudah difahami. Dua negara jiran terdekat kita telah melalui proses demonstrasi rakyat sebelum para pemimpinnya yang korup dan  tidak disukai rakyat dapat ditumbangkan. Kini Estrada dan Suharto sedang menghadapi tindakan mahkamah akibat ketidakadilan dan rasuah yang mereka lakukan sepanjang mereka berkuasa. Hal yang sama tidak terkecuali sebenarnya terhadap para pemimpin Umno/BN. Hanya senya kerana mereka masih berkuasa, maka tindakan terhadap mereka tidak dapat diambil sekalipun mereka telah menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan rasuah secara terang-terangan. Inilah yang dibimbangi oleh Umno/BN. 

Sebab itu apabila TG Nik Aziz berkata sebegitu terhadap isu demonstrasi ini, mereka lantas menyebarkannya melalui media yang mereka kuasai. Namun mereka sengaja menyalahtafsirkan pendapat TG Menteri Besar itu yang menyatakan bahawa pihak lain akan mengambil kesempatan bila kestabilan politik tergugat. Walhal apa yang dicanangkan selalu oleh diktator tua Mahathir Mohamed itu adalah untuk menakut-nakutkan rakyat marhaen supaya tidak menyertai demonstrasi.

Diktator tua itu sering mengulang-ngulang pandangannya bahawa apabila  ketidakstabilan politik berlaku kuasa asing akan mengambil peluang untuk menjajah semula negara ini. Inilah yang sebenarnya yang ingin ditanam ke dalam jiwa rakyat marhaen, iaitu kuasa asing (ciptaan Mahathir)  akan mengambil alih teraju negara bila keadaan negara tidak stabil. Sedangkan yang sebenarnya maksud TG Menteri Besar tentang pihak lain akan mengambil kesempatan itu jika keadaan negara tidak stabil adalah Umno dan BN sendiri. Umno/BN masih mampu untuk mengambil alih teraju negara seandainya keadaan kurang stabil melalui periystiharan darurat, misalnya. Inilah maksud Tuan Guru itu. Tetapi media-media rasmi kerajaan sengaja memutar-belitkan kenyataan-kenyataan sedemikian untuk meredakan keadaan dan mengambil peluang untuk melunturkan daya juang rakyat marhaen. Hal-hal seperti ini acapkali dilakukan oleh pimpinan Umno/BN bila yang bercakap itu seorang tokoh besar dari Barisan Alternatif.

Malangnya di zaman globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini mereka tidak lagi mampu menipu rakyat marhaen. Apa sahaja sandiwara yag mereka lakukan akan terdedah juga akhirnya, di mana inilah salah satu peranan yang dimainkan oleh laman-laman web pro reformasi yang haruslah dipandang penting dalam mencetuskan reformasi atau revolusi untuk mencapai cita-cita ke arah Malaysia yang lebih adil di masa hadapan.  

      

AlKundangi,
5.3.2001