BEBERAPA PERKARA YANG MEROSAKKAN AMALAN

Di dalam Islam, setiap ibadah mempunyai daya pendorongnya, atau tarikannya untuk kita melaksanakan sesuatu ibadah itu. Tetapi setiap iabdah itu ada pula yang merosakkannya, bahkan membatalkannya. Atau seperti orang yang sedang berpuasa, puasa itu sendiri boleh mendorong dirinya untuk berbuat baik, membaca Alquran, sembahyang tarawih, sembahyang witir dan sebagainya. Di samping itu seseorang yang sedang berpuasa akan menjaga tingkahlakunya yang baik dan sopan, tidak banyak bercakap,tidak mengumpat dan tidak melakukan perbuatan yang keji. Tetapi apabila ia membicarakan hal orang lain, istimewa keburukan seseorang, hal itu boleh mengurangi pahala puasa berkenaan. Bahkan dalam sesetengah keadaan, seseorang itu hanya memperolehi rasa lapar dan dahaga sahaja dalam tempuh dia berpuasa itu. Demikianlah dalam setiap amalan, ada yang menambahkan pahala dan ada pula yang menguranginya.

Demikianlah, jika amalan yang ikhlas itu mendapat ganjaran di sisi Allah, amalan yang tidak ikhlas, atau disertai dengan niat yang lain, atau kerana yang lain seperti manusia dan sebagainya, semuanya itu akan merosakkan amal itu sendiri. Perasaan ikhlas itu mungkin akan hilang jika ada tujuan atau motif-motif lain sewaktu melaksanakan sesuatu ibadah. Orang yang sedang berpuasa misalnya di samping menunaikan kewajiban sebagai individu Muslim, ia juga berhasrat untuk mendapatkan kesihatan tubuh badan. Sememangnya puasa diakui oleh pakar-pakar kesihatan bahawa ia boleh membantu dan menambahkan tahap kesihatan kita, tetapi jika niat kita itu bercampur di antara menunaikan kewajiban dan memperoleh kesihatan, dengan sendirinya keikhlasan dalam beramal itu akan hilang begitu sahaja.

Begitulah juga dengan seseorang yang menunaikan haji, di samping ia menunaikan ibadah, ia juga bertujuan untuk mengerakkan tubuh badannya untuk mendapatkan kecergasan. Seorang pelajar yang menuntut ilmu, di samping ilmu ia juga bertujuan untuk mendapat kesenangan dan keselesaan hidup, atau untuk menulis  buku-buku supaya menjadi terkenal atau bersedia berdebat dengan siapa sahaja dengan ilmunya itu. Kedua-dua jenis perbuatan yang bersifat ibadah itu telah hilanglah keikhlasannya bila ada unsur-unsur lain yang menyerap dalam tindakannya itu. Dengan begitu amalan sedemikian tidak bermakna apa-apa pada pelakunya dan tidak bernilai di sisi Allah ‘Azzawjalla. Menurut AlGhazali, keikhlasan itu jika disertai oleh sesuatu yang lain seperti pelajar dan orang yang menunaikan fardu haji itu, maka keikhlasan itu menjadi batal dengan sendirinya (Arbain fi Usuliddin).

Amal ibadah juga boleh rosak jika seseorang pelakunya dilanda oleh perasaan kekaguman dan kehairanan terhadap amal yang dilakukannya. Perasaan seperti itu boleh merosakkan keikhlasan dan memusnahkan amalnya walaupun pada zahirnya amalnya itu sempurna dari sudut rukun dan syaratnya.

Selain dari itu, terdapat satu lagi perasaan yang lebih merbahaya terhadap amal ibadah yang kita laksanakan setiap hari itu. Perasaan itu tidak dapat dipastikan bentuk dan keadaannya, tetapi kita seolah-olah merasa senang bila ada orang lain melihat kita beramal seperti sembahyang, membaca Alquran dan sebagainya. Bila tidak ada sesiapa pun yang melihatnya, maka kita pun cepat-cepat ingin menyudahkannya. Perasaan seperti itulah yang dipanggil riya’. Riya’ mencari kedudukan di hati manusia dengan cara melakukan ibadah dan amal-amal kebajikan. AlGhazali mengklasifikasikan riya’ kepada enam jenis, dan setiap jenis mempunyai pola dan ciri-cirinya yang tersendiri (Arbain fi Usuliddin).  

Riya’ yang pertama datang melalui anggota badan, iaitu dengan cara menampakkan kelansingan badan, agar orang menyangka seseorang itu kurang tidur (selalu berjaga malam kerana beribadat) dan banyak berpuasa, atau menampakkan rasa letih atau hiba dan sedih kerana risau terhadap urusan agama kononnya.  Kedua, riya’ yang datang melalui penampilan iaitu dengan cara mencukur kumis, menundukkan kepala ketika berjalan, sangat berhati-hati dalam setiap gerak gerinya, sengaja membiarkan bekas sujud dalam solat di dahinya, memejamkan mata ketika berbicara agar kelihatan wara’ dan sebagainya.

Jenis riya’ yang ketiga datang melalui pakaian, misalnya dengan memakai pakaian yang compang-camping dan lusuh supaya dikira sebagai orang yang tidak berpaling sedikit pun dari mengingat Allah. Ia juga boleh jadi mengenakan serban dan membawa sejadah sebagaimana orang-orang tasawuf dan tarikat. Pendek kata, ia kelihatan zuhud pada zahirnya.

Riya’ juga boleh lahir menerusi kata-kata, umpama seorang muballigh atau seorang pemidato handalan. Ia berkata-kata dengan gaya yang indah dan memikat. Selalu menyebut ayat-ayat Alquran dan hadis serta kata-kata ulama dalam ucapannya. Kadangkala ia menggerakkan bibirnya seolah-olah sedang berzikir, melakukan amal makruf di hadapan orang, tetapi di hatinya jauh dari usaha untuk menjauhkan maksiat.

Riya’ yang kelima adalah riya’ yang lahir melalui amalan, seperti melambatkan berdiri dan memanjangkan bacaan dalam solat, memperbagus cara ruku’ dan sujud, tidak menoleh ke kiri ke kanan, banyak bersedekah, berpuasa, berkali-kali menunaikan ibadah haji, berjalan dengan gaya penuh khusyu’, padahal Allah Mahatahu segala apa yang ada di dalam hatinya. Bahkan jika tidak dilihat orang, ia akan berjalan cepat-cepat, serta meremehkan solat. Jika ada orang melihat, ia akan kembali tenang agar disangka khusyu’.

Klasifikasi yang terakhir dari riya’ dalam pembicaraan  ini adalah riya’ kerana ramainya anak murid dan menyebut ramai guru agar dia disangka benar-benar bersahabat dengan sang guru itu. Ia juga merasa senang bila dikunjungi oleh para penguasa dan ulama, supaya dia disebut-sebut orang yang banyak barakahnya.

Semua jenis riya’ yang disebutkan di atas, adalah riya’ yang bertentangan dengan kehendak Islam, bahkan berdosa besar dan haram apabila ia bertopengkan agama dan mempunyai misi peribadi. Tetapi jika ia menyangkut tentang urusan dunia dan tidak memperalatkan agama untuk kepentingan peribadi, maka ia bukanlah tergolong dalam jenis riya’ yang dilarang, itu pun jika tidak ada unsur penipuan.Semuanya itu tidak di larang oleh agama jika bukan dengan perasaan takabur dan sifat-sifat tercela lainnya.   

Sesungguhnya riya’ itu adalah pemusnah amal ibadah yang kita laksanakan setiap hari tanpa sedar. Amal ibadah yang bercampur dengan riya’ bukanlah amal yang bersih, malah ia adalah amal yang menipu diri sendiri dan mengecewakan harapan. Bahkan Rasulallah Saw menamakan riya’ adalah sejenis syirik  yang paling halus dan ditakuti oleh para ulama. Sabda baginda,”yang amat aku takuti ke atas kamu ialah syirik yang paling kecil. Kemudian ditanya mengenainya, baginda pun menjawab, itulah riya’ (Riwayat Imam Ahmad).

Ibadah yang ikhlas,adalah ibadah yang bersih dari semua itu. Ianya bersih dari riya’,bersih dari ‘ujub dan bersih dari takabur dan segala perasaan lainnya yang banyak dibicarakan di dalam kitab-kitab tasawuf. Sebab itu ikhlas  adalah penting bagi setiap amalan. Tanpa perasaan ikhlas, amal ibadah kita terumbang-ambing, kerana ia tidak pasti diterima atau ditolak oleh Allah ‘Azawajalla. Apa yang kita boleh lakukan ialah kita mesti terus berusaha mencapai keikhlasan dalam amal ibadah sesuci mungkin, sesudah itu barulah kita bertawakal kepada Allah, mudah-mudahan dia akan menerima segala penat lelah  dan jerih payah kita. Wallahu a’lam.

AlKundangi,
5.3.2001