Kenyataan Media 5 Mac 2001

SATU LAGI RANCANGAN JAHAT MAHATHIR DAN UTUSAN MALAYSIA

Episod terbaru di akhbar tempatan khususnya Utusan Malaysia sekali lagi memperlihatkan bagaimana Mahathir Mohamad memperalatkan media untuk mewujudkan suasana tegang dan tidak tenteram di kalangan masyarakat.

Hampir setahun yang lalu Mahathir Mohamad menggunakan taktik yang sama. Utusan Malaysia digunakan untuk mewujudkan suasana tegang. Mahathir Mohamad sendiri mendakwa mempunyai maklumat kononnya perancangan telah dilakukan oleh Parti Keadilan Nasional untuk merusuh dan membuat huru-hara.

Saya dan beberapa pimpinan parti ditahan tetapi tidak seorangpun didakwa! Saya telah membuat laporan polis meminta polis menyiasat dakwaan Mahathir (laporan polis bertarikh 26 April 2000  dilampirkan) hampir setahun yang lalu tetapi tiada tindakan diambil.

Polis sepatutnya menyiasat dengan saksama kesemua laporan polis yang dibuat. Kenyataan Perdana Menteri setahun yang lalu merupakan satu perkara serius. Sekiranya Mahathir gagal membuktikan dakwaan beliau, tindakan mesti diambil kerana kenyataan beliau telah mewujudkan suasana tegang dan mengandungi elemen menghasut.  Ini adalah taktik seorang pemerintah yang gelabah dan sanggup menimbulkan suasana tegang untuk menakut-nakutkan rakyat supaya perhatian rakyat kepada isu besar rasuah dan penyelewangan dilupakan.

Taktik yang sama digunakan hari ini untuk mengalih pandangan rakyat daripada mempersoalkan penyelewengan wang rakyat yang berleluasa sekarang. Sekali lagi Mahathir menggunakan media dan polis untuk menyerang  pembangkang dan lari daripada menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat. Kesemua dakwaan pembangkang berhubung dengan penyelewengan wang rakyat dalam institusi seperti KWSP, LTH, Khazanah Malaysia, Tabung PNB, LTAT tidak dijawab oleh pemerintah. Sebaliknya mereka terus menggunakan polis untuk menakutkan rakyat dan memburu pemimpin pembangkang.

Saya sendiri diburu seperti seorang penjenayah hari ini. Jam 2.00 petang tadi sekumpulan 6 orang anggota polis masuk ke rumah saya tanpa kehadiran saya dan menggeledah seluruh pelosok rumah saya. Ianya berlaku hanya beberapa jam setelah laporan polis dibuat oleh Pemuda UMNO  hari ini. Laporan polis saya setahun yang lalu dengan bukti lengkap terhadap Mahathir tidak diendahkan sama sekali.

Mohamad Ezam Mohd Nor
Ketua Pemuda Keadilan Malaysia