PEMUDA BERANI DI NEGARA MAHAFIRAUN

Terdengarlah sebuah kisah yang baru diceritakan, seorang pemuda berani yang telah memimpin rakyat jelata untuk menjatuhkan kerajaan MAHAFIRAUN telahpun ditangkap. Ini memang sudah dijangka oleh rakyat jelata malahan pemuda itu sendiripun. Alasan MAHAFIRAUN kini ialah pemuda itu cuba menggulingkannya melalui demontrasi. Beliau dituduh pengguling kerajaan serta menyebabkan ekonomi negara MAHAFIRAUN jatuh. Sebelum ini, beliau dituduh ejen negara asing, pengkhianat negara, samseng dan berbagai lagi tuduhan tetapi rakyat tidak percaya malahan Si Pemuda ini terus mendapat sokongan rakyat. Setiap kali pemuda ini berucap di khalayak ramai, sambutannya amat luar biasa sekali jauh berbanding dengan sambutan terhadap MAHAFIRAUN sendiri.

Pemuda ini bukanlah dari golongan berkuasa atau berpangkat jauh sekali dari golongan bangsawan, tetapi beliau berani mencabar MAHAFIRAUN agar berdepan dengannya meskipun di Mahkamah MAHAFIRAUN sendiri. Setiap kali pemuda ini berucap, berbuih mulutnya mencabar MAHAFIRAUN berdepan dengannya di Mahkamah atas laporan dan tuduhan-tuduhan rasuah dan salahguna kuasa oleh MAHAFIRAUN. Tapi, MAHAFIRAUN tidak berani dan mengharapkan MAHAFIRAUN memasuki Mahkamah samalah seperti mengharapkan kambing mandi pagi. Maka, MAHAFIRAUN sekali lagi menggunakan kuasanya untuk menangkap pemuda ini. Itulah modal terakhir MAHAFIRAUN setelah gagal melawan hujah pemuda itu meskipun beliau mempunyai pengampu-pengampu yang maha hebat serta media yang sentiasa mengipas beliau tapi gagal membantu beliau, akhirnya MAHAFIRAUN terpaksa mengerahkan `binatang-binatang' peliharaannya untuk menangkap pemuda tadi sebelum banyak lagi rahsia MAHAFIRAUN dibongkar oleh pemuda berani ini.

Jika hujah bahawa pemuda inilah penyebab utama perpecahan masyarakat dan kemelesetan ekonomi, rakyat akan menunggu selepas penahanan pemuda ini adakah rakyat kembali bersatu di bawah buntut MAHAFIRAUN dan adakah ekonomi dan saham negara MAHAFIRAUN akan naik? Apa yang pasti, rakyat akan bersatu apabila MAHAFIRAUN serta spesis-spesis seumpamanya itu tidak lagi wujud sebagai pemimpin negara. Zaman kekuasaan MAHAFIRAUN semakin hampir ke liang lahat. Tiada lagi orang yang berupaya mempertahankannya termasuklah seekor dua `menteri bonus' yang diharapkan untuk membelanya. Orang politik tidak lagi mampu melindungi kudis buta MAHAFIRAUN, cuma orang bukan politik seperti `binatang-binatang peliharaan'nya saja yang masih sanggup menjilat kudis-kudis buta beliau itu.

Semangat rakyat bertambah kuat dengan penahanan pemuda tersebut. Seorang pemuda pergi, seribu akan bakal lahir. Gerakan rakyat tidak lagi dapat dibendung dan masa saja yang akan menentukan kejatuhan MAHAFIRAUN yang paling hina dalam sejarah. Sejarah kematian Kamal An Tartuk di Turki kembali berulang dan MAHAFIRAUN semakin hampir untuk bersamanya di alam fana. Justeru itu, tanggungjawab rakyat hendaklah menyelamatkan iman dan akidah MAHAFIRAUN sebelum diktator tua ini dikencing kuburnya. Cara menyelamatkan MAHAFIRAUN yang zalim ini adalah menghentikan kezalimannya dengan cara menjatuhkannya.

Sekianlah kisah sebuah kerajaan MAHAFIRAUN yang menuju kehancurannya. Kisah ini tidak ada kena mengena dengan yang dah mati tapi mungkin kepada yang akan mati.

SEBUAH HIKAYAT OLEH: MASSURIA NS