KEDUDUKAN PEMBANTU RUMAH DALAM ISLAM

Hidup dalam zaman yang serba canggih dan serba mencabar ini membuatkan kita kekurangan waktu untuk mengurus hal-hal yang berkaitan dengan urusan rumah tangga dan penjagaan anak-anak. Kadangkala ada di antara kita yang bekerja suami isteri lalu menyerahkan urusan anak-anak kepada orang lain seperti menghantarnya ke rumah orang, ke pusat jagaan kanak-kanak atau mengambil pembantu rumah untuk memastikan jadual harian kita tidak terjejas. Inilah suasana hidup yang kita alami buat masa ini.

Sering juga kedengaran kepada kita tentang pembantu-pembantu rumah yang mengalami penderaan samada disakiti, dipukul, dikurung  tanpa makanan untuk beberapa hari dan berbagai masalah sosial yang berlaku ke atas mereka. Tambahan pula ada di antara mereka yang datang dari jauh untuk mencari sesuap nasi bagi menyambung hayat di samping belanja untuk anak-anak dan orang yang ditinggalkan semasa mereka berkelana di negara orang. Kenapakah terjadi demikian? Sedangkan kita adalah umat Islam dan mengaku pula sebagai di antara negara Islam yang terbaik dan termoden bahkan negara contoh bagi umat-umat Islam dari negara lain? Inilah sebenarnya satu masalah sosial yang jarang diperkatakan tentang bagaimana untuk mengatasinya selain apa yang dapat kita baca dalam akhbar-akhbar harian dan media elektronik bahawa aduan polis telah dibuat oleh pembantu-pembantu rumah dan tindakan-tindakan ke atas majikan yang tidak setimpal dengan apa yang mereka lakukan. 

Sebenarnya dalam Islam manusia ini sama sahaja nilainya kecuali mereka yang beriman dan bertakwa serta beramal solih. Kita tidaklah harus mendera pembantu-pembantu rumah itu kerana mereka juga adalah manusia yang mempunyai  perasaan dan jiwa raga yang perlu dijaga dan dibelai seperti manusia lainnya. Mereka juga adalah makhluk Allah yang hidup dan matinya adalah di tangan Allah. Mereka bukan dijadikan untuk diperhambakan, tetapi untuk membantu kita menyelesaikan kerja yang telah tidak dapat kita laksanakan dengan sempurna. Tanpa mereka perjalanan hidup kita mungkin pincang, kerana tiada siapa lagi yang dapat membantu kita. Bayangkan jikalau mereka tidak ada, bagaimanakah kita suami isteri ke luar rumah berkerja dan anak-anak pula belum cukup dewasa untuk mengurus diri meraka? Tentulah sukar bagi kita untuk mengatur jadual harian hidup kita!            

Sebab itu Islam menganggap pembantu rumah kita itu adalah saudara-saudara kita. Islam telah mengangkat taraf hidup mereka ke taraf yang sebenar. Dan kita pula haruslah melayani dan bersikap dengan mereka seolah-olah mereka adalah keluarga kita sendiri. Kita wajib memberi mereka makan apa yang kita makan, memberi pakaian seperti apa yang kita pakai. Sebab itu Islam menggalakkan agar mereka diberi makanan yang baik-baik, layanan yang sempurna dan bukan dengan mengherdik  mereka dengan kata-kata yang kesat dan menyinggung perasaan.

Sebagai umat Islam kita juga tidak harus membebankan mereka dengan kerja-kerja yang berat yang tidak dapat mereka laksanakan. Bahkan kita dituntut untuk menyuruh mereka dengan kerja-kerja yang yang boleh dilaksanakan dengan tidak memaksa-maksa, tidak menyusahkan dan tidak menyakiti mereka.

Dalam adab Islam, jika kita menyuruh mereka dengan sesuatu kerja, kita hendaklah sama-sama melaksanakannya. Ini bermakna kita menghormati pembantu rumah itu dengan perasaan belas kasihan dengan memberikan mereka kerja-kerja yang tidak merosakkan dan tidak melebihi kudrat mereka. Kita tidak harus menekan dan menzaliminya kerana mereka juga manusia seperti kita. Dengan bersikap demikian tentunya mereka akan lebih menghormati tuannya dan terjalinlah perasaan saling menghormati dan melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab serta kejujuran.

Dengan begitu tidaklah timbul masalah seperti pembantu rumah curi tulang, mencuri harta tuannya dan bahkan melarikan barang-barang kemas atau anak tuannya yang masih kecil. Inilah cara Islam dalam menangani masalah sosial yang berlaku sepanjang masa. Dan jika kita mempraktikkannya, kita tidak perlu mencari penawar yang lain bagi menangani masalah ini. Cukuplah dengan sebuah hadis dari Rasulallah saw yang bermaksud “ Sesungguhnya saudara-saudara kamu itu ialah khadam (pembantu) kamu. Mereka Allah jadikan di bawah kekuasaanmu. Maka barangsiapa yang ada khadam di bawah kuasanya, maka hendaklah dia memberi makan apa yang dimakannya, dan hendaklah memberikan pakaian apa yng dipakainya. Dan janganlah kamu bebankan mereka dengan perkara yang memberatkan mereka. Jika kamu membebankan mereka dengan suatu perkara yang berat, hendaklah kamu menolong mereka itu  (Hadis riwayat AlBukhari).”  

AlKundangi,
6.3.2001