KeAdilan kecam penahanan Ezam

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Parti Keadilan Nasional (keADILan) mengecam penahanan Ketua Pemudanya, Mohd Ezam Mohd Nor di bawah Akta Hasutan Isnin lepas.

Timbalan Presiden KeAdilan, Dr Chandra Muzaffar menyifatkan penahanan itu bertentangan sama sekali dengan lunas-lunas demokrasi kerana Ezam ditahan berdasarkan laporan akhbar yang kemudiannya dinafikan oleh beliau sebanyak tiga kali.

Menurutnya, pihak polis seharusnya menyoal siasat pengarang dan pemberita akhbar yang menerbitkan berita itu juga, lebih-lebih lagi kerana Ezam menafikan laporan itu.

"Selain itu, Ezam berhak diberikan akses terhadap peguamnya. Sekiranya beliau belum dapat berjumpa dengan peguamnya, keADILan meminta agar beliau diberikan akses kepada peguam pilihannya dengan segera," katanya dalam kenyataan berita di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Angkatan Pemuda Parti Rakyat Malaysia (APRM), Faizal Sanusi turut membantah penangkapan Ezam itu dan menyifatkannya tuduhan yang dibuat adalah tidak berasas sama sekali dan telah dinafikan oleh Ezam.

Manakala, Naib Presiden, PRM yang juga Pengerusi, Biro Media dan Penerangan, Barisan Alternatif (BA) Rustam A. Sani menyifatkan penahanan itu sebagai tindakan pilih kasih kerana puluhan laporan tentang salah laku dan rasuah para menteri kabinet sebahagian besarnya telah dikemukakan oleh Ezam sendiri, namun setelah berbulan-bulan berlalu tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak polis