MGG5301

Tugu  Buddha  di  Bamiyan  dan  Taleban 
(The  Bamiyan Buddhas  and  The  Taliban) 
Chiaroscuro  
Malaysiakini  Mach 5, 2001

Menteri  Penerangan  dan  Kebudayaan Afghan  Mawlawi  Qudratullah  Jamal,  telah memberikan  arahan  agar   semua  bentuk  budaya  pra Islam  dimusnahkan  dalam masa empat  hari; termasuk   beberapa  tugu  tegak   Buddha  yang  berusia  lebih 2,000 tahun. Sehingga  kini, (di waktu  anda  membaca  tulisan ini) besar kemungkinannya  semua tugu dan patung  itu  sudah  musnah  sama sekali. Beberapa  artifak  pameran  di Muzium Kabul  yang  merupakan  khazanah  sejarah  negara  yang  unggul  mungkin  sudah hancur menjadi  debu.  Apa  sebabnya  puak  Taleban  melakukan  satu  kerja yang sungguh  tidak berperikemanusiaan  ini?

Seluruh  dunia  dilanda  kejutan. Segala  cemuhan sejagat   telah mengenepikan kewarasan geo-politik  sebenarnya.  Ketika  Iraq   bergelora  dengan  ledakan bom yang turun daripada  angkasa, lambang  sejarah  silamnya  yang  gemilang  telah hancur menjadi debu  juga.  Tetapi  tindakan  itu  diterima pakai  kerana  ia   bersandarkan alasan mahu  mengnyahkan seorang  diktator  daripada  bumi  Iraq  itu. Oleh  kerana  semua rumah  ibadat  Islam tidak  terjejas segala  tindakan  mengebom  itu  dibiarkan begitu sahaja.    Kerja-kerja  mencemuh  Presiden  Saddam  Husein  difikirkan  lebih penting daripada  perbuatan  menenggelamkan  segala  lambang  warisan  sejarah negaranya. Tetapi, lebih banyak  lambang  sejarah  yang  dimusnahkan  di  Iraq  daripada apa  yang berlaku  di  Afghanistan. Seolah-olah  pemansuhan  yang dilakukan  daripada angkasa raya  adalah lebih mudah  dimaafkan  daripada  pemusnahan  yang dilakukan  di darat dengan  menggunakan meriam  dan dainamit.

Kuasa   yang  dirangkul oleh Taleban  itu adalah  kesan daripada  sokongan   kuasa barat   yang  mencabar   penaklukan  Soviet ke atas  negara  itu.   Negara barat, terutama  sekali  Amerika Syarikat telah  membekalkan   kelengkapan  perang kepada hanya  satu  kumpulan  pencabar  yang  mampu mengnyahkan  Soviet   Union -- itulah  dia hiraki  angkatan  Islam  yang mencetuskan  satu  kebangkitan  bersenjata  yang berakhir dengan  kejayaan  juga.

Setiap  revolusi  akan  menelan   para  pemimpinnya, dan  revolusi  pergerakan Islam  di Afghanistan  tidak  berkecuali  dengan  fenomena  ini.   Apa  yang  dimulakan oleh kebangkitan  pelajar menjadi  satu  angkatan  bersenjata yang  bergelar  Taleban dan kini berjaya  merangkul  kuasa.

Sebaik sahaja  mereka  merangkul kuasa  itu,  Afghanistan  pun dipulaukan. Pentadbiran Taleban  dianggap  seperti  masyarakat  kusta  oleh  masyarakat  sejagat . Mereka dianggap  tidak  setaraf  dengan tamadun dunia   yang  dipelopori  oleh Amerika Syarikat dan  United  Kingdom,  yang  beranggapan  hanya  mereka  yang  mempunyai  kuasa untuk menggugurkan  bom  ke atas  bumi  Iraq   dan  memusnahkan  warisan  sejarahnya.

Sepatutnya,   semua  ini  harus  dijadikan  sandaran kalau mahu  menilai  sikap Taleban menghancurkan  tugu  warisan  sejarah  mereka.  Apa   yang  dilakukan  oleh Taleban itu tidak banyak  bezanya  dengan  apa  yang  dilakukan  oleh  kerajaan  Mesir 30 tahun dulu  ketika  menenggelamkan   pelbagai  monumen  sejarahnya  dalam  pembikinan Empangan Aswan.  Kaherah  mempertahankan tindakannya itu dengan  bertegas  betapa  zaman silam tidak  seharusnya menjadi  penghalang   kepada  kehidupan   zaman  yang mendatang. Ketika  itu Perang  Dingin  sedang  memuncak dan  Soviet  Union  telah bertindak membina  empangan  itu sementara  dunia  barat  terus  mencemuhnya.

Di Afghanistan  kini, lebih  satu  juta  kanak-kanak,  bersamaan  seorang  bagi setiap enam  orang  rakyat  Afghan;  sedang  dihantui  kebuluran. Inilah  taksiran laporan Barat.  Seluruh  dunia  memandang  sepi  akan fenomena  ini. Apa  juga  bantuan yang termampu  menjenguk  fenomena  itu kerana  terhalang  oleh masalah  geo-politik. Banyak agensi  kemanusiaan  sejagat  yang telah  mengeluarkan  isyarat  itu tetapi semua itu diperlekehkan  sahaja. Rupa-rupanya   tugu  dan patung-patung  itu semua  adalah lebih penting  daripada   keadaan  anak-anak  yang kebuluran  dan  menderita.

Taleban mahu  mengembalikan  sejarah  silam  Afghanistan  untuk  membina sejarah  baru negara. Itulah  yang  dilaksanakan  oleh  Khmer Rouge di Cambodia  setelah berjaya mengalahkan  regim Presiden  Lon  Nol  pada  1975  dulu  yang  disokong  kuat oleh Amerika Syarikat. Seluruh   dunia  hanya  membiarkan  segala  tindakan mengganas,  dan segala  pemusnahan  berterusan sedangkan  seluruh  dunia  tidak  mampu menghalangnya. Itulah  juga  sikap  mereka terhadap  Kabul. Tidak ada  sebarang  usaha   yang dipelopori oleh  Pertubuhan  Bangsa-bangsa Bersatu  ataupun  institusi  sejagat   yang lain  untuk meredakan  kehancuran  itu  ataupun  mengurangkan  kebinasaan  yang dilancarkan. Sebuah museum  di Amerika  memang  bersedia  menunggu  untuk  membeli  segala artifak sebagai  langkah  mencegah  pemusnahan  itu.

Mungkin  difikirkan  ada gunanya  mengekang  Taleban itu dengan  menyedarkan mereka yang  telah  melanggari  norma “tamaddun”.  Kumpulan  Taleban terlalu  taksub kepada kod   etika  hidup warisan  kabilahnya   sehingga  sanggup  berdegil  dengan melindungi Osama  ben  Laden.  Samada   beliau sudah    dicop  sebagai  virus fundamentalis  yang paling  berbahaya  di  dunia  tidak  menjadi satu  isu  kepada  kumpulan Taleban. Puak Taleban  sanggup  melindunginya  dan  begitu  juga  sikap  Osama  terhadap mereka, tidak kiralah  berapa  pula  ganjarannya.  Sikap  ini dianggap  songsang  oleh seluruh dunia sejagat. Tetapi  puak  Taleban  hanya sibuk  dengan dunianya   sahaja.

Kini, seluruh  dunia  menjadi  gempar  kerana  sikap  Taleban  yang  sengaja memusnahkan tugu-tugu  Buddha, terutama  sekali  yang  tegak  berdiri  di Bamkiyan, sedangkan  dunia yang  sama  juga  yang  pernah  membisu melihatkan sikap  keganasan Khmer  Rouge   di Cambodia  dulu  ataupun  kebinatangan  askar  tentera  Belgian  di Kongo  di awal abad yang  lalu. Negara  Arab  dan juga  Islam  tidak pula  bertindak seperti gelagat mereka ketika  sebuah masjid  yang berusia  400 tahun di Babri, Ayodhya  India dimusnahkan oleh golongan  nasionalis  Hindu.  Namun  dunia  masih  berminat  dengan tugu-tugu  di Bamiyan  itu sambil  membiarkan  anak-anak  di Afghanistan  terus  kelaparan untuk menujui  akhir hayat  mereka.

Di  Malaysia,  kerajaan  memang  marah  dengan pemusnahan itu, tetapi tidak pula kepada keadaan anak-anak  yang kelaparan, sambil  memendam pendapatnya. Lagipun Malaysia adalah laksana  kumpulan Taleban di Afghanistan  itu, yang  mempunyai  masalah yang sama  dengan  sejarah  pra-Islam, dan kerap  bersedia  menafikannya  samada secara rasmi ataupun  sebaliknya.  Parlimen  India  turut  mengutuk  kumpulan  Taleban sambil menawarkan  khidmat untuk  memelihara  tugu-tugu  itu.  Bagaimanakah  caranya melakukan perkhidmatan itu tanpa  menjejaskan  kedaulatan  Afghanistan   tidak  pula dijelaskannya.

Iran  yang  memang  berbangga  dengan  pelbagai  lokasi  warisan pra Islam, memang  tidak sebulu  dengan   kumpulan  Taleban,  tetapi  kerana  fahaman syiahnya  sedangkan kumpulan Taleban  adalah  pengamal ajaran  Sunni. Saudi Arabia yang kerap memusnahkan buku  suci  ajaran agama  lain yang  cuba  dibawa  masuk ke negaranya,  ternyata membisu sahaja.  Malahan, Pakistan  yang mengepalai  kempen  sejagat   terhadap kumpulan militan  Hindu  berkaitan  Masjid  Babri  dulu, masih  diam  membisu  juga.

Islam   dan juga  apa  juga  agama  yang  lain, memperteguhkan  anggapan duniawinya dengan  sejarah  pra-Islam yang  diharunginya.  Mesir menjadi  satu  negara yang kaya raya  kerana  kewujudan  pyramid  dan juga  struktur  yang lain  yang  dibina beribu tahun  yang  lalu,  sebelum  munculnya  agama  Kristian  di situ. Iran, Iraq, Jordan, Syria, Lebanon dan beberapa  negara lain  di Asia  Barat  adalah  negara  Islam yang mempunyai  hubungan   sejarah  yang  hebat  dengan  tamaddun pra-Islam.

Di sinilah  wujudnya  peranan geo-politik. Negara-negara  yang  tidak mematuhi hukum  alam yang diaturkan itu  memang  mudah  disisihkan.  Negara  itu  dikira tidak  wujud lagi, dalam apa bentuk pun, seolah-olah  ada  satu kuasa  penghukum  yang  menentukan negara itu tidak berhak  hidup seragam dengan  dunia  yang  bertamadun.

Saudi Arabia  yang  berlakon seolah-olah ia bukannya  didalangi oleh Amerika Syarikat kerana  menjadi  penjaga  tanak suci  Mekah, boleh  dipinggirkan seperti mana dunia meminggirkan Afghanistan.  Disebabkan  adanya minyak  yang  banyak tidak kiralah negara itu memenggal  kepala  pesalahnya, ia masih  dianggap  sebagai  sahabat  yang dipertahankan  sehingga  mati.  Jika  tidak, dan tanpa  hasil bumi  yang  kaya raya itu,  Saudi Arabia  mungkin telah  lama  dikutuk  sebagai  melanggar  hak asasi manusia dan bermacam  tuduhan  lagi.

Puak  Taleban  mahu keluar  daripada  acuan  itu semuanya. Cuma  selepas memusnahkan segala  lambang  kepalsuan  yang  menjadikan  negara  itu sebagai penampan dalam satu permainan  politik  di antara  Great  Britian  dan  Russia  pada  abad  ke-19 hingga ke-20; dan pada   abad  ke-20  di antara  Russia  dengan  Amerika Syarikat. Penaklukan British  ke atas  India  adalah  satu  taktik untuk  menyekat  perkembangan kuasa Russia dalam bidang  penjajahan  dan  juga  perdagangan. Di sebalik segala  mainan politik inilah  Taleban  telah  melancarkan  satu  percaturan politik  yang menarik minat seluruh  dunia dengan  cara   pemusnahan  tugu dan patung  purba.

Orang  Afghan merupakan satu bangsa  yang megah dan bangga  kerana  berjaya bangkit daripada musibah  Percaturan Besar  Dunia  dan juga  Perang Dingin  yang  sudah pun reda. Kelompongan  kuasa  yang ditinggalkan  telah  mencetuskan satu pertelingkahan  di antara  kumpulan  tuan tanah  Pathan  dengan kumpulan  marhaen  yang  satu ketika  dulu merupakan  kumpulan  tukang  kebun  dan  tukang  masak.

Menerusi Taleban itulah  kumpulan  Pathan  cuba  menonjolkan  kuasanya  semula. Pakistan memang  berhati-hati  dengan mengirimkan para  dutanya  yang berkhidmat  di Afghanistan itu adalah  daripada  kaum Pathan  dan juga   mereka  yang dianggap  daripada puak  yang disenangi ataupun    ada  pertalian  darah  dengan  kumpulan  diraja yang  telah dibuang dulu.

Kebebasan  yang  diberikan  kepada  Taleban untuk   bertindak sesuka  hati itu adalah satu  gambaran  betapa  PBB tidak  mampu melaksanakan kuasanya  untuk membetulkan  dunia mengikut   kehendak  Washington. Amerika mahukan  pemerintahan  sesebuah  negara itu mengikut  rentak  gendang  yang dipalunya.  Dunia  masih  bangga  betapa beberapa panglima  perang  Serbia  dapat  dihadapkan  kepada  Mahkamah  Dunia  untuk dibicarakan.

Amerika dan  juga  dunia  boleh  menggertak dan  menentukan  berapa  banyak minyak  yang boleh dijual oleh Iraq agar  rakyat  yang  dideranya itu dapat  menyelamatkan anak-anak mereka  daripada mati kebuluran. Di sebalik segala  gah  dan kemampuan kuasa itu ia tidak pula berminta  mengenakan peraturan  kepada  kumpulan Taleban.  Beginilah, kalau kita  cuba  menukarkan satu bangsa  pahlawan  yang  mempunyai satu  sejarah yang gemilang  untuk  menjadi  pengemis yang papa  kedana,  tentu sekali ada ganjaran yang perlu dilunaskan.  Cuma,  bentuk  ganjaran  itu masih belum jelas  lagi.

Puak  Taleban  muncul  sebagai  hasil  penguasaan  dunia  yang  dimonopoli oleh satu kuasa  besar  sahaja. Bukan  semua  pihak  bersedia menerima gertakan  kuasa besar sejagat itu.  Seperti  juga  yang  berlaku dalam satu  institusi  yang  dikuasai oleh monopoli    pusat.  Pelbagai  bentuk  rekahan akan muncul  ditempat  yang tidak boleh ditonyoh oleh  kuasa, melainkan  kalau kuasa  itu  sanggup mengharungi bahananya.

Fenomena  gelagat  inilah  yang  menjadi  ragam  mainan  dalam  ura-ura memusnahkan tugu  purba  itu.  PBB tidak  mampu melakukan sesuatu untuk menghalangnya seperti  juga ia tidak mampu  melakukan  sesuatu untuk menghentikan  pembunuhan  longgokan di Yugoslavia  dulu. Amerika Syarikat  tidak boleh bertindak, tidak juga Masyarakat Persatuan   Eropah.  Russia  tidak  akan membantu. Setelah  tertipu  sekali dulu, ia tidak mahu tertipu  sekali lagi.

Puak Taleban sedang  menyakat  dunia  Barat  dan Barat  tidak  mampu melakukan sesuatu. Lagipun  dalam acahan  kali ini, bukannya  patung  purba  warisan Judah-Kristian   yang akan  menjadi  mangsa.  Tempat  itu bukan mudah  dimusnahkan sewenangnya tanpa melibatkan nyawa  orang  Amerika tergadai  sama.

-MGG Pillai- pillai@mgg.pc.my  
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>MT7/3/2001<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<

Nota webmaster:
Dalam hal Taleban ini, kita menghormati pendirian MGG Pillai dan pandangannya tentang bagaimana tindakan dibuat oleh puak Taleban memusnahkan tugu-tugu atau patung-patung Buddha tersebut. Walau pun diperlihatkan tindakan puak Taleban memusnahkan patung-patung Buddha sebagai tidak berperikemanusiaan, namun pemusnahan patung-patung yang berada dalam negara Isam (dengan majoriti penduduknya beragama Islam) adalah satu kewajipan dan tidak melampau. Jika masih terdapat golongan minoriti yang memerlukan patung-patung itu maka sebaiknya hanya ditinggalkan sedikit bagi golongan itu mengamalkan kepercayaannya dan ini tidak boleh diganggu. Kebebasan beragama tetap kita hormati, sebagai melaksanakan sebahagian dari ajaran Islam yang maha suci tetapi menyimpan patung-patung berhala melebihi dari yang sepatutnya dimiliki oleh golongan minoriti tersebut disifatkan sebagai 'melampau'. Pendirian Minda Rakyat dalam hal ini, adalah wajar golongan minoriti tersebut diserukan dakwah agar patung-patung berhala itu wajar dimusnahkan kesemuanya. Wallahu'alam ~ webmaster