MEDIA - JANGAN PENGARUHI ATM

Dalam keluaran 07 Mac 2001, akhbar-akhbar perdana negara ini telah menyiarkan kenyataan Panglima ATM berhubung dengan isu yang dikatakan rusuhan dan penggulingan kerajaan melalui kekerasan. Sememangnya tujuan media-media pengampu ini untuk memerangkap pasukan keselamatan ini yang telah terbukti masih bersih dikacamata rakyat.

Saya amat bangga dengan ulasan oleh Panglima ATM yang ternyata tidak terperangkap dengan helah media-media massa pengampu ini. Kenyataan Panglima ATM yang menyatakan pihak tentera sedia membantu mempertahankan negara sekiranya terdapat usaha untuk menjatuhkan kerajaan `MELALUI KEKERASAN'. Ini jelas menunjukkan selama ini tidak ada pihak yang cuba untuk menjatuhkan kerajaan secara kekerasan, maka pihak tentera mengambil sikap tunggu dan lihat.  Ini amat berlainan sekali peranan yang dimainkan oleh PDRM yang banyak sekali mendatangkan tandatanya serta persoalan dari rakyat sehinggakan PDRM sendiri pernah di bawa ke Badan Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Imej PDRM mulai dipertikaikan semenjak peristiwa pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim di mana yang lebih malang lagi apabila Ketua Polis Negara sewaktu itu terlibat secara langsung mencederakan Bekas Timbalan Perdana Menteri ini.

Semenjak peristiwa hitam itu, ATM masih mempertahankan imej dan maruahnya samasekali tidak mahu dilibatkan dengan soal-soal politik. Memang tidak dinafikan ada di kalangan pegawai dan anggota-anggota tentera yang mungkin cenderong ke arah fahaman mana-mana parti politik, tapi mereka ini tidaklah mahu melibatkan soal fahaman mereka dengan bidang tugas dan tanggungjawab mereka mempertahankan negara tercinta. Saya yakin, ATM akan terus mencurahkan khidmat dan kesetiaan mereka kepada negara tidak kira parti politik mana yang memerintah. Sekiranya ini dipraktikkan oleh PDRM, sudah tentu imej pasukan keselamatan tersebut tidak teruk terjejas seperti sekarang.

Saya menasihatkan kepada mana-mana pemimpin atau individu serta media-media massa agar jangan cuba mengheret pasukan keselamatan ATM ke kancah politik sekarang. Sekiranya pasukan keselamatan ini digunakan untuk tujuan mempertahankan mana-mana kuasa politik, nescaya akibatnya lebih buruk dari demontrasi atau rusuhan. Rakyat kini hanya menaruh harapan besar kepada ATM bagi menentukan negara kita berada di dalam keadaan aman serta diperintah secara adil dan saksama.

Kita percaya, ATM mempunyai dasar serta undang-undangnya tersendiri bagi melindungi anggota-anggotanya agar tidak secara langsung melibatkan diri dalam soal politik kepartian. Adalah diharapkan agar dasar serta undang-undang ini tidak hanya semata-mata kepada peringkat bawahan sahaja bahkan di peringkat pegawai tertinggi ATM. Berdasarkan kenyataan Panglima ATM di dalam akhbar tersebut, ternyata ia merupakan satu amaran kepada mana-mana pihak agar jangan cuba mengheret ATM ke arah masalah `politiking' masing-masing. Janganlah setelah sesiapa yang "membuang najis merata-rata" sehingga mendatangkan kebusukan dan kebencian kepada rakyat, pihak ATM pula diminta untuk mencuci najis tersebut. Biarlah pihak-pihak lain yang sudi untuk mencuci najis tersebut.

Sekali lagi saya menghargai sepenuhnya peranan yang dimainkan oleh ATM sehingga kini dan semoga ianya berterusan. SYABAS KEPADA PANGLIMA ATM.

PEMINAT MAT TIARAP: 

MASSURIA NS