FRU DILARANG GUNA SENJATA IKUT BUDI BICARA SENDIRI WALAUPUN DARURAT

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Pegawai atau anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) tidak dibenarkan menggunakan sebarang senjata yang dibekalkan kepada mereka atas budi bicara sendiri walaupun ketika darurat, demikian siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) diberitahu hari ini.

Komandan Sekolah Latihan FRU Sungai Senam, Ipoh ASP Mohamad Fauzi Ismail berkata arahan itu turut melibatkan pegawai atau anggota yang dibekalkan dengan senapang gas dan raifal.

"Sepanjang sejarah FRU menyuraikan tunjuk perasaan dan perhimpunan haram di Malaysia, belum pernah satu peluru pun dilepaskan oleh pasukan pembawa raifal," katanya pada siasatan itu, yang dipengerusikan oleh anggota Suhakam Tan Sri Anuar Zainal Abidin dan dua yang lain iaitu Tan Sri Simon Sipaun dan Prof Mehrun Siraj, di sini.