PERTEMUAN UMNO-PAS UNTUK BINCANG KEPENTINGAN MELAYU, KATA DR MAHATHIR

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan bahawa apa yang ingin dibincang oleh Umno dalam pertemuannya dengan Pas ialah perkara-perkara yang menyentuh kepentingan Melayu seperti hak dan keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam dan bahasa kebangsaan serta status raja-raja Melayu.

Ini kerana ada usaha pihak tertentu untuk mencabar kepentingan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sepatutnya parti politik yang mewakili Melayu seperti Umno dan Pas mengetepikan perbezaan politik bagi mempertahankan peruntukan Perlembagaan, kata Perdana Menteri.

"Tujuan saya nak jumpa ialah bagi memperkatakan tentang perkara-perkara ini sahaja dan ia tak jejaskan perjuangan Pas kerana saya yakin Pas juga mahu pertahankannya," katanya pada sidang berita di Jabatan Perdana Menteri di sini.

-- BERNAMA