PRM CABAR SUPAYA PM UMUMKAN SIAPA MENENTANG PERLEMBAGAAN

Parti Rakyat Malaysia (PRM) mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad supaya mengumumkan siapa dan golongan apakah yang menentang kedudukan istimewa Melayu, bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan raja-raja Melayu sebagai raja berperlembagaan, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dr Mahathir mendakwa bahawa apa yang disifatkannya sebagai penentang ini terdiri dari “golongan lain” daripada orang Cina dan India dalam Barisan Nasional (BN). Jikalau mereka wujud, siapakah mereka itu, Dr Mahathir? Dedahkanlah mereka dan apakah yang telah mereka lakukan. Seterusnya, Dr Mahathir mesti menjelaskan mengapakah pemerintah BN tidak berjaya mempertahankan peruntukan-peruntukan Perlembagaan daripada dicabar atau digugat oleh individu serta golongan yang didakwa beliau itu.

Dr Mahathir sudah terlalu gusar dan gelabah kerana sokongan orang Melayu terhadap beliau dan UMNO semakin terhakis. Percubaan David Chua mencabar kedudukan istimewa orang Melayu, ancaman Pemuda UMNO hendak membakar Dewan Perhimpunan Cina berhubung rayuan Suqiu dan perhimpunan haram di Putrajaya di mana Dr Mahathir berucap, semuanya telah digembar-gemburkan oleh media yang dikuasai UMNO untuk menarik sokongan orang Melayu. Segala tindakan ini gagal.

Akhir sekali, Dr Mahathir mencadangkan pertemuan di antara UMNO dengan PAS, selepas keADILan menolak pelawaan menyertainya. UMNO mahu membincangkan perpaduan Melayu saja, akan tetapi PAS mahu membincangkan perpaduan nasional. Kemudian Dr Mahathir berubah pendirian menyatakan bahawa apa perkara saja boleh dibincangkan, yang berkaitan dengan perpaduan orang Melayu, termasuk soal Anwar Ibrahim. Sekarang Dr Mahathir berubah pendirian lagi dengan menimbulkan empat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan ini pula.

Beberapa hari lalu, Dr Mahathir memberitahu media bahawa kemungkinan pertemuan itu berlaku tinggal 50 peratus saja. Mungkin sekarang ini Dr Mahathir beranggapan ia tidak akan jadi sama sekali. Itu sebab beliau secara “desperate” menimbulkan isu-isu Melayu ini untuk membuktikan beliau dan UMNO sebagai juara orang Melayu. Sekarang ini Dr Mahathir bercakap serta bertindak sebagai seorang yang sangat perkauman. Kami ingin mengingatkan Dr Mahathir bahawa walau apa pun yang beliau cuba, beliau tidak akan dapat menarik semula sebahagian besar orang Melayu yang telah hilang kepercayaan terhadapnya.

Barisan Alternatif (BA), yang turut dianggotai oleh PRM, mendukung prinsip-prinsip asas yang termaktub dalam Perlembagaan. Kami menyokong kedudukan istimewa untuk Melayu yang miskin terutamanya, akan tetapi menentang usaha tamak mengumpul kekayaan dalam tangan segelintir orang Melayu yang berkuasa serta kroni mereka, dengan menggunakan nama kedudukan istimewa orang Melayu. Kami mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan rasmi, tetapi pada masa yang sama kami mengakui hak mempelajari bahasa ibunda dan menggalakkan pembelajaran bahasa-bahasa tempatan serta bahasa-bahasa antarabangsa. Selanjutnya, kami mendukung kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, di samping menghormati hak menganuti agama-agama lain oleh bukan Islam, akan tetapi kami menentang cara pucuk pimpinan UMNO mempersenda-sendakan agama Islam dan tokoh-tokoh Islam tertentu. Akhirnya, kami mendukung kedudukan raja-raja Melayu sebagai raja berperlembagaan yang memainkan peranan simbolik saja, tanpa mempunyai kuasa dalam hal urusan politik dan ekonomi negeri. Kami menentang percubaan pucuk pimpinan UMNO (yang mencetuskan krisis perlembagaan pada awal tahun 1990-an dulu), yang sekarang ini cuba hendak meletakkan kedudukan dirinya lebih mulia daripada raja-raja, di samping memberikan kepada diri mereka sendiri keistimewaan lebih besar daripada yang diberikan kepada raja-raja (contohnya dengan mendirikan mahligai lebih hebat daripada yang didirikan untuk Agong).

PRM melihat bahawa nyata sekali Dr Mahathir dan UMNO mahu menggunakan isu pertemuan perpaduan Melayu itu untuk mengukuhkan kedudukan mereka di kalangan orang Melayu. Dalam bulan Jun, UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agungnya. Dr Mahathir bimbang akan dikritik dan dicabar lebih hebat lagi
daripada tahun lalu. Sekiranya beliau dapat bertemu dengan Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor, walaupun sebentar saja, beliau akan mempunyai asas untuk mendiayahkan dirinya sebagai pemimpin yang boleh menyatupadukan orang Melayu, dan sekaligus memperkukuh imejnya sebagai pemimpin Melayu.

Lagi pula, di penghujung hayatnya Dr Mahathir ingin dilihat sebagai tokoh yang hendak menyatupadukan orang Melayu, dan bukan sebagai pemimpin yang bertanggungjawab memecahbelahkan orang Melayu, sungguhpun beliau pernah memberitahu dalam satu temuramah dengan majalah Asiaweek bahawa beliau tidak peduli apa orang akan kata selepas beliau meninggalkan dunia yang fana ini.

Dr Mahathir sudah mulai sedar bahawa beliau tidak akan berjaya mencapai tujuan awalnya untuk memecahbelahkan BA dan PAS dengan menggunakan isu pertemuan perpaduan Melayu itu. Maka itulah beliau kini menimbulkan isu-isu perkauman yang sempit dengan harapan menarik minat orang Melayu. Perbuatan beliau yang tidak bertanggungjawab menimbulkan musuh bayang-bayang ini boleh mengakibatkan mala petaka yang tidak diingini berlaku di negeri ini. Kami meminta supaya Dr Mahathir berastaghafar.


Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM

9hb Mac 2001