Perjuangan Umno tersasar dari pengorbanan Nabi

Oleh Mazlan Jusoh

PASIR MAS, 12 Mac (Hrkh) - Umno diminta menilai tindak tanduk yang dilakukan mereka, sama ada bersamaan atau sebaliknya dengan pengorbanan dilakukan Nabi Ibrahim.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Zulkefli Yaakub berkata, Nabi Ibrahim berkorban kerana agama sehingga sanggup menunaikan mimpi yang mengarah menyembelih anaknya, Nabi Ismail.

"Umno perlu nilaikan sama ada parti itu berjuang selaras dengan apa yang dibuat Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail.

"Sekiranya parti itu mengakui berjuang selaras dengan apa yang dibuat Nabi Ibrahim, mengapa mereka tidak mengharamkan judi, arak dan banyak lagi tuntutan agama.

"Kalau sekadar alasan masyarakat majmuk ia tidak boleh diterima kerana nilai pengorbanan dalam Islam lebih tinggi dari segala-galanya," katanya pada ceramah di Bunut Susu, malam kelmarin.

Hadir sama, Naib Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Haji Ramli Abu Bakar, Adun Tendong, Haji Wan Othman Wan Yusof, anggota parlimen Tumpat, Dato' Kamaruddin Jaafar dan Pegawai Penerangan PAS, Ustaz Buniyamin Yaakub.

Ustaz Zulkefli berkata, begitu juga dengan perhimpunan jutaan umat Islam di Mekah sekarang adalah di atas nama Islam.

"Tidak wujud perhimpunan lebih dua juta umat Islam di Mekah atas nama Melayu, Cina atau India," katanya.

Sehubungan itu, beliau hairan mengapa Umno masih mencanang perpaduan Melayu sedangkan perkara itu adalah sempit dan berada di ruang lingkup terbatas.

Ustaz Buniyamin berkata, umat Islam di Mekah yang bersesak melakukan ibadat sehingga terlanggar di antara satu sama lain, namun mereka tidak pernah bertengkar atau bergaduh.

Katanya, umat Islam bersesak-sesak dengan keadaan tidak selesa hanya di atas nama Islam dan bukannya Melayu.

Beliau juga berkata, binatang ternakan yang disembelih umat Islam pada perayaan Hari Raya Korban tidak akan merelakan sekiranya orang Islam menyembelihnya tidak ikhlas kepada agama.

"Lembu yang disembelih akan menuntut semula di depan Allah di akhirat kelak sekiranya orang yang terbabit dengan sembelihannya pada setiap Hari Raya Korban tidak ikhlas dengan tuntutan agama.

"Lembu pun marah kepada orang Islam yang tidak menyokong perjuangan Islam, dan binatang itu akan menanduk orang berkenaan di akhirat kelak," tambahnya.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Hari Raya Korban lebih besar ertinya berbanding Hari Raya Aidil Fitri.

Katanya, perayaan Hari Raya Haji disambut sehingga empat hari, manakala Hari Raya Puasa hanya disambut sehari sahaja.

Namun katanya, apa yang berlaku sekarang adalah terbalik, kerana umat Islam di sesetengah negeri merayakan Hari Raya Aidil Fitri sehingga sebulan, sedangkan Hari Raya Haji hanya sehari.

Menurut beliau, sepatutnya umat Islam merayakan Hari Raya Aidil Adha dengan mengingatkan pengorbanan sebenar yang dilakukan Nabi Ibrahim terhadap anaknya Nabi Ismail.