3 syarat PAS asas utama - Mursyidul Am

PENGKALAN CHEPA, 12 Mac (Hrkh) - Umno perlu menerima tiga syarat ditetapkan PAS bagi membolehkan pertemuan di antara pemimpin tertinggi dua parti berkenaan dapat dilangsungkan, kata Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Syarat yang dikenakan oleh PAS mesti diterima, selepas itu hendak bincang apa, bincanglah.

"Yakinlah nasihat ini boleh membawa kebaikan semua rakyat, kerana semua orang tahu belaka, royalti minyak perlu dipulangkan kepada rakyat Terengganu kerana ia adalah perkara wajib.

"Begitu juga cadangan Umno mahu membuang perkataan Islam pada nama pertubuhan adalah perkara yang tidak masuk akal dalam pemikiran umat Islam," katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Tanjung Baru, Pantai Cahaya Bulan, di sini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, "tiba-tiba kita hendak buang perkataan Islam, yakni serupa dengan perbuatan orang tidak Islam."

Semalam, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Umno meletakkan empat agenda mengenai kepentingan orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan untuk dibincangkan pada pertemuan Umno - PAS.

Empat syarat itu, ialah mengenai hak keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi dan status raja-raja Melayu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, PAS telah menetapkan tiga syarat terlebih awal yang mesti disempurnakan dahulu.

Bagaimanapun beliau turut melahirkan rasa sedih di atas perkembangan kebelakangan ini, di mana polis menahan pemimpin pembangkang yang dianggap tidak sesuai dengan zaman hendak bertenang dan mahu berunding di antara PAS - Umno.

"Pula tu....musim sambutan Hari Raya Korban pun ditangkap orang, kes ini adalah perkara yang luar biasa," tambahnya.

Menjelang sambutan Hari Raya Korban baru-baru ini, polis menahan reman Ketua Pergerakan Pemuda KeADILan Pusat, Mohd Ezzam Mohd Noor selama tiga hari berhubung kenyataan akhbarnya, kononnya dia mahu mengguling kerajaan melalui demontrasi secara besar-besaran.

Bagaimanapun Ezzam menafikan laporan akhbar berkenaan. Menteri Besar berkata, setiap perundingan perlu ada syarat, di mana semua perundingan di muka dunia ini ada syaratnya.

Ketika ditanyai pemberita mengenai syarat pakatan PAS dengan parti bukan Islam, katanya, DAP hendak masuk dengan pakatan bersama Barisan Alternatif (BA) berdasarkan syarat sebagaimana terdapat dalam manifesto.

Menurutnya, syarat dalam manifesto itu, sama ada DAP, PRM dan KeADILan mesti terima Islam.

"Manifesto BA kita boleh tengok, memberi ruang kepada gerakan Islam dengan baik, itu syarat kita," katanya.

Beliau juga berkata, sekiranya Umno tidak menunaikan tiga syarat ditetapkan PAS, pertemuan di antara kedua parti tidak mungkin berlaku.

"Masalah Umno tidak boleh terima syarat ditetapkan PAS sebab apa... tidak kah Umno sekarang memegang kerajaan.

"Apa yang tidak boleh, apa yang menyusahkan Umno, kalau zaman Tuanku Abdul Rahman dia sanggup meletak jawatan ekoran peristiwa 13 Mei 1969.

"Dia letak jawatan ekoran peristiwa itu, tak kan anak-anak murid Tuanku sekarang termasuk yang bergelar Perdana Menteri, bila benda dia buat salah... tak kan dia tidak boleh mengaku salah," katanya.

Menurutnya, sepatutnya Perdana Menteri mengaku bersalah kerana menafikan royalti petroleum hak rakyat Terengganu.

Begitu juga katanya, usaha Umno hendak menghapuskan perkataan Islam adalah jelas perkara yang salah di dunia dan akhirat.

"Begitu juga halangan menerbitkan Harakah dua kali seminggu adalah salah dari segi demokrasi. Ini kerana Harakah adalah perlu sebagai satu saluran untuk memaparkan segala penyelewengan yang dilakukan kerajaan.

"Kalau laporan Harakah salah, kerajaan boleh dakwa, lagipun media yang dipunyai kerajaan begitu banyak dan boleh menjawab balik setiap laporan Harakah," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar juga mengalu-alukan pemberian insentif RM500 juta kepada pekebun kecil sebagaimana diumumkan kerajaan semalam.

Katanya, sudah menjadi kewajiban kerajaan untuk membantu rakyat yang susah, "Bantu RM500 juta baguslah, kalau kerajaan tidak buat maka berdosa pula," katanya.