Asal-usul April Fool-menjawab Dollah Badui

Saya tertarik dengan cerita asal usul April Fool oleh saudara Dollah Badui bertarikh 11 Mac 2001.

Kadangkala dalam keghairahan setengah2 orang Islam untuk membuang unsur2 bukan Islam dalam budaya dan aktiviti harian, ada yang mereka2 (fabricate) cerita untuk menguatkan hujah bahawa sesuatu aktiviti itu adalah tidak Islamik (contohnya asal-usul April Fools). Saya taklah ingin mengatakan bahawa cerita yang dibawa oleh saudara Dollah, adalah rekaan, cuma tidak ada bukti sejarahnya sebegitu. Kalau ada faktanya dalam penulisan2 sejarah, samada dari perspektif penulisan Islam atau bukan Islam, saya minta supaya dibawa ke sini.

Setahu saya, April Fool ini adalah berasal dari penukaran Tahun Baru kalendar Gregorian (Masihi) dari 1 April ke 1 Januari pada tahun 1564, manakala jatuhnya kerajaan Islam Granada ke tangan Kristian adalah pada 2 Januari 1492.

Oleh itu, dengan mewarwarkan cerita yang tidak diasaskan kepada fakta ini, niat baik untuk meningkatkan iman dan kualiti keIslaman seseorang Muslim itu, sebaliknya menyebabkan Islam makin dicurigai, ditertawakan dan diperlekehkan oleh masyarakat bukan Islam.

Bukti akan merbahayanya cerita-cerita sebegini ialah apabila Answering Islam, suatu laman web yang mempromosikan ajaran Kristian dan selalu memperperkecilkan ugama Islam, telah menggunakan cerita April Fool (versi Granada) ini untuk menguatkan hujahnya bahawa Islam itu adalah didokong oleh manusia-manusia yang paranoid (takut bayang-bayang sendiri) dan didirikan atas dasar kebencian dan permusuhan.

Saya tidaklah suka untuk rekomen laman web ni kepada pembaca semua kerana isinya adalah cukup mengelirukan dan kalau yang tidak kuat imannya boleh terpedaya, tapi kalau nak tengok bukti apa yang saya sebutkan di atas, bolehlah berkunjung sekejap ke:

http://www.answering-islam.org.uk/Hoaxes/aprilfool.html

Internet adalah suatu kuasa yang sangat kuat. Digunakan dengan bijak ia boleh menolong menyebarkan keindahan Islam kepada manusia sejagat, tetapi kalau digunakan untuk menyebarkan cerita-cerita separuh benar dan khabar-khabar  angin, ia boleh menjauhkan manusia dari Islam.

Nasihat saya kepada semua yang ghairah untuk memaklumkan umat manusia tentang Islam, berhati-hatilah. Jikalau berhadapan dengan cerita-cerita seperti asal-usul April Fool ini, periksalah dulu, tanyalah mereka yang lebih mengetahui misalnya pakar sejarah dan ustaz-ustaz, supaya kita sendiri tidak menjadi April Fools, menjadi bahan ketawa masyarakat bukan Islam. Janganlah menjadi sumber penyebaran pembohongan dan fitnah.

Walaubagaimanapun, hari April Fools tetap tidak boleh disambut atau dibesar-besarkan oleh orang-orang Islam, kerana ia mempunyai unsur- unsur tipuhelah, ketidakjujuran dan boleh merosakkan hubungan silaturahim sesama kita yang mana kesemuanya ini adalah bukan nilai Islam.

Wallahua'lam.

s.amar

Nota webmaster: Saya amat menghargai pandangan saudara tentang laman ini. Apa lagi tentang sanggahan saudara ke atas penulis Dollah Badui tentang asal usul April fool. Saya ingin mengingatkan anda (addinunasihah - agama adalah nasihat) supaya kita juga perlu berhati-hati menulis tentang pandangan kepada orang lain. Kebenaran sejarah tidak akan mampu tercatat oleh siapapun jua, melainkan sejarah yang tercatat dalam Al-Quran. Perincian sejarah yang diturunkan dalam ayat Al-Quran juga memerlukan kita merujuk kepada sumber seperti hadith. Ini bukan bermakna Al-Quran tidak lengkap. Ini menunjukkan betapa Allah mahukan manusia mencari ilmu itu dengan ketekunan dan daya usaha. Tiada siapa boleh mendabik dada bahawa mereka memiliki fakta sejarah yang paling tepat. Setahu saya selain dari dua sumber yang menjadi pegangan umat Islam itu, tiada lagi pegangan yang patut kita boleh percayai 100 peratus.

Dalam hal ini Dollah Badui mengemukakan satu fakta sejarah yang pastinya diambil dari daya usahanya dalam proses beliau mengejar ilmu. Saya juga tidak menerima seratus peratus tetapi sekurang-kurangnya fakta yang dikemukakan oleh penulis itu jauh lebih baik kerana ia ada unsur dakwah, yakni menolak maksiat dari berlaku. Apa lagi dihadapan kita penuh kekeliruan sehingga pihak berkuasa tidak mampu melaksanakan tugas memberikan kesedaran dan penerangan kerana mereka miliki agenda lain yang lebih penting.

Memang benar di negara kita begitu payah untuk mendapatkan cerita sebenar sesuatu itu, apa lagi jika ia dikaitkan dengan agama. Ini adalah kerana negara kita mengamalkan sekularisme. Saya masih ingat semasa di sekolah rendah dalam ilmu tawarikh yang diajar kita dipaksa menganjungi pemodenan Turki dan Bapa Turki Moden iaitu Mustafa Kamal Attaturk. Sedangkan kita tahu apa yang dilakukan oleh Mustapha Kamal hanyalah satu langkah mendurhakai Allah sehingga di akhir hayat beliau mendapat kesiksaan azab dan mayatnya tidak diterima oleh bumi sehingga beliau terpaksa ditindeh dengan batu seberat 40 tan. Itu terjadi selepas 15 tahun mayat Mustapha Kamal di simpan dalam muzium dan pelbagai cara mengekalkannya kerana bumi enggan menerima manusia yang durhaka ini.

Saya sangat tertarik apa yang saudara tuliskan bahawa tidak akan merekomen laman ini kepada pembaca lain. Terima kasih atas pengakuan saudara. Sebagai webmaster laman ini saya bertanggungjawab menjelaskan kepada saudara bahawa laman ini saya wujudkan setelah melihat fakta sejarah yang diselewengkan sehingga menjadi umat Islam terkeliru. Ini sebahagian jihad saya fisabililLah kerana usaha kita mengangkat martabat agama Islam di singgahsananya. (Semoga Allah menerimanya... amin!!) Perjuangan menegakkan keadilan dan melakukan kerja jihad bukan milik PAS atau ahlinya sahaja, tetapi juga anda seorang rakyat Malaysia, apalagi yang beragama Islam yang cintakan negaranya. Sejarah adalah milik masa. Mahathir kini dalam satu proses memutar sejarah supaya generasi akan datang percaya bahawa DSAI melakukan perbuatan salahlaku seks sebagaimana dakwaannya. Ini satu lagi fakta yang tidak akan tercatat dalam mana-mana buku sejarah kerana kepentingan politik. Bagaimana pun cukuplah dengan pengakuan ikhlas mereka yang terbabit secara langsung dengan pembikinan fitnah dan khabar angin sehingga menjejaskan reputasi saudara seagama kita iaitu seorang yang kita kasihi DSAI.

Akhirkata marilah kita bersama-sama dan khas saya mengajak saudara untuk meningkatkan jihad kita kepada Allah. Dalam hal ini adalah lebih baik kita yang terlibat dalam satu proses pembentukan sejarah itu mengeluarkan fakta kita di sini untuk menjadi rujukan kepada generasi kita dua puloh atau tiga puloh tahun lagi, mahupun seratus tahun lagi sehingga leburlah bumi ini sebagaimana dikehendaki oleh Allah s.w.t. Penulisan kita tentunya lebih tepat berbanding dengan kajian sejarah yang diolah semula atas kepentingan apapun jua yang pastinya menyebabkan kebenaran terlindung oleh nafsu rakus manusia. ~Webmaster