MGG  5601  

(Artikel  asal terdapat  di  HARAKAH  yang bakal  muncul)

Lumba F1  Malaysia  Terkandas Sebelum Bermula
(Malaysian F2 Race  Crashes  Before  It  Starts)
 

Lumba   kereta Formula  One   yang  akan dilangsungkan  di  Malaysia  semakin  menunjukkan kegagalannya,  sebelum  ia  dimulakan  lagi.  Hanya  seminggu sahaja  lagi  sebelum  March  16   perlumbaan itu  akan  dimulakan,  hanya  30%  daripada  94,000 (sembilan  puluh  empat ribu) tiket    yang  sudah  terjual.  Hotel telah  menaikkan  harga  sewa  bilik  sehingga  tiga  kali  ganda, tanpa  mahu   memberikan  sebarang  diskaun  kepada   sebutan  harga tetap  itu. Nampaknya  ketegasan  pihak  hotel  dengan  kenaikan  harga  itu  telah  menaikkan  komplen  FIA.  Pihak  kerajaan  menyatakan  betapa  ia  tidak  mampu  melakukan  sesuatu  ke  arah  itu,  seperti  yang  pernah  dilakukannya  ketika hotel  di  Langkawi menaikkan harga  sewa setiap  kali  ada sahaja  persidangan  antarabangsa dilaksanakan  di  situ.  Tetapi, memang  ada  undang-undang mengenai  kenaikan  harga  dan  ada  sebuah  kementerian  yang   berkuasa akan  hal  itu.  Kenapakah  kementerian  ini tidak  berbuat sesuatu?

Pihak  hotel  pernah  berlagak seolah-olah  mereka  sedang   meraih keuntungan  sedangkan itu  adalah  satu  pembohongan  biasa.  Kerana  itu  mereka  memerlukan  upacara  seperti  F-1  untuk  menurunkan  kerugian  mereka. Pelanggan  hotel  yang  kerap  menggunakan  hotel  di  negara  ini  ketika  berurus  niaga, telah  menempah  bilik hotel   mereka enam bulan  dulu  ataupun  lebih awal   dari  itu.   Kini  mereka  diberitahu  bahawa  harga  sudah  naik  lebih  50%  daripada  harga  dulu. Yang  lebih  teruk  lagi, Kabinet  telah  memberi arahan  supaya  TV3   tidak membuat  lapuran  lintas  langsung supaya  rakyat  marhaen pergi  menonton  perlumbaan  itu.   Tetapi, apakah  adil  untuk  mendera  rakyat  Malaysia  kerana  kegagalan  pihak  penganjur  menjual  tiket?  Buat  masa  ini,  perlumbaan  itu  merupakan  lencongan yang  menarik  daripada  keadaan  hidup   yang  semakin  membosankan, teristimewa  sekali  kepada   rakyat  marhaen  di desa  dan  kampung.  Sudah  tentu ini   akan  menjadi  satu lagi  perkara dalam  senarai  panjang rintihan  rakyat  terhadap  kerajaan.

Memang  tidak  ada  kempen  di  peringkat  antarabangsa  untuk  memancing  penonton.  Terdapat  satu  pasukan  daripada   Malaysia yang  pergi  menjual  tiket  di  perlumbaan  Melbourne  F-1.  Inilah  perlumbaan  pusingan  pertama  pada  musim  ini. Pasukan penjual tiket  ini  mampu  menjual  hanya  sekitar 50  tiket sahaja,  menunjukkan  mereka  leka  menonton  perlumbaan  daripada menjual tiket.  Bayangkan mereka disediakan  dengan  140,000 penonton  di sana  yang  datang  daripada  merata  pelusuk  dunia.  Kalau  manusia  sanggup  terbang  jauh  daripada  Eropah  dan  Amerika  untuk  menyaksikan  perlumbaan itu  di  Australia,  tentu  sekali  mereka boleh  didesak   untuk  singgah  di  Malaysia  untuk  menonton  perlumbaan  itu,  dalam  perjalanan  mereka pulang.

Penganjur   tempatan  tidak mahu  berkongsi dengan  kelab  motor di rantau  ini  untuk  menjual  tiket  sebagai jualan  peket  pelancongan  yang  mengambil  kira  tiket, perjalanan  dan  kamar  penginapan. Ramai rakyat  Brunei  dan Singapura  yang  mengunjungi   Malaysia,  tetapi  tidak  ada  pun  usaha  berkempen  menjual  tiket  kepada  mereka. Hanya  baru  kini,  usaha  itu mahu dimulakan  dan sudah  tentu  akan  menemui  kegagalan.   Perjalanan jauh memerlukan  perancangan  awal, selalunya  beberapa  bulan  sebelum  melaksanakannya.  Nampaknya  para  penganjur  terpengaruh  kepada  kemudahan  rakyat  Malaysia  terutama sekali  yang  berpangkat  tinggi   dan pegawai  kerajaan  yang  boleh  melupakan  kerja  dan tugas dengan  semerta  untuk   pergi  bercuti; sedangkan  kemudahan itu bukannya  satu opsyen yang  boleh dinikmati  oleh semua  orang   di dunia ini.

Untuk  menarik  pembabitan   orang  tempatan,  Kabinet telah  mengarahkan  TV3 menghentikan  rancangan  lintas langsungnya.  ASTRO memberikan lapuran lintas langsung  menerusi  salah  satu  saluran  sukan, dan  ini   tidak  boleh disekat   kerana siaran  ke  negara  asing  adalah  mengikut  kontrak  dengan  FIA, yang  mengelolakan   perlumbaan itu. Sama   ada  lintas  langsung  disediakan   ataupun  tidak,  orang  yang mahu melihat  perlumbaan   itu sudah tentu  akan  pergi  jua. Tetapi, mereka  yang  tidak  mampu  membeli  tiketnya tentu  tidak  akan pergi.  Apabila  mereka  dinafikan siaran lintas langsung   yang disediakan oleh ASTRO, sudah tentu  mereka  akan  naik marah  lagi.

Bukan  mereka  sahaja  yang akan  naik  marah. Para  peminat yang  membeli  tiket  di  tahap  awalan  dulu  telah  diberikan diskaun  sebanyak  10 persen, kerana  membeli sebaik  sahaja   perlumbaan  tahun lalu  tamat. Kini, mereka  terkejut  kerana  diskaun  yang  diberikan  ialah  di  antara 40%  hingga  50%.  Tiket  RM1,000  yang  sama  harganya  dengan  nilai  pemberian  bantuan  yang  diberikan  oleh  Paklah  kepada   para  peneroka FELDA yang  dihenyak   kemiskinan, adalah  bersamaan  US$250 dan mungkin  lebih  rendah  lagi  (nilainya)  kepada  orang  lain. Harga  sebanyak  itu masih  murah  lagi  kepada  orang  barat,  warga  Singapura, Hong Kong,  Jepun malahan  Australia. Mereka  masih  mampu  terbang  ke sini  untuk  menyaksikan  perlumbaan itu. Tetapi,  tidak  pula  kepada  orang  Malaysia.

Tetapi,  sesiapa  yang  membeli  tiket  itu  tahun  yang  lalu  terpaksa  meletakkan  kereta di kawasan  masjid.  Bas  akan  memberikan  kemudahan  pengangkutan   untuk mereka  masuk  ke  ruang litar. Tetapi  kemudahan itu  tidak  akan  disediakan  selepas  tamat perlumbaan  dan  ada yang  terpaksa membayar  RM70  daripada  kawasan litar hingga  ke  tempat   letak  kereta.  Banyak  syarikat  dan  organisasi  yang  telah  dikerah  untuk  memberikan khidmat  dengan  membeli  tiket.  Ramai  yang  sudah  membelinya  tanpa  berniat menyaksikan  perlumbaan. Pembelian  dianggap  sebagai   belanja  syarikat sahaja. Tetapi, kesesakan   yang  kelam kabut itu  tidak  merangsang minat mereka  untuk  menyaksikan  perlumbaan  itu.

Malaysia  pada hari  ini  sedang dikabuti  keangkuhan  dan  anggapan  bahawa  wang  akan  dapat  disediakan  untuk membiayai  apa  juga  monumen dan projek  mega yang tidak ada maknanya.  Segala  kerja  pembikinan  monumen  ini  yang  kerap  dilakukan  dengan  penuh  misteri  dan tanpa   keizinan  parlimen, telah  membolehkan  kerajaan membelanjakan apa sahaja  mengikut  kemahuannya.  Sebuah  dewan  persidangan  yang  bernilai berbilion ringgit sedang  dibina dan harganya  yang sebenar tidakpun diketahui  oleh  rakyat marhaen. Seorang  arkitek yang bertanggungjawab dengan  projek itu  telah  diwawancara  baru-baru ini.  Beliau  enggan  menyebut   apa  jua  mengenai  projek  itu  kerana  telah  menandatangani  satu  perjanjian untuk  merahsiakan  butir-butir projek  itu.

Kerajaan  bertegas bahawa  “agensi  yang  tidak berbajet” -  seperti  Petronas – boleh  melakukan  apa  yang  disukainya  tanpa  campur tangan  parlimen. Kerana itu  Putrajaya dilaksanakan  dengan  segala rahsia.  Pembinaan  mahligai  air mata rakyat  dibina  dengan menuduh  Dato’ Seri  Anwar Ibrahim kerana segala  kemewahannya “disebabkan  dia  yang  akan  menghuni  mahligai  itu.”  Sebenarnya  mahligai  air mata  rakyat  itu adalah  rancangan  perdana menteri dan  dia telah menumpukan  perhatian  sepenuhnya  kepada  projek  itu,  mengambil  kira  setiap butir  pembinaan untuk  menyesuaikan  keperluan seorang ahli  keluarganya. Kini, mahligai  timbalan  perdana  menteri, walaupun  tidak  sebegitu gah  tetapi sesuai  untuk  dihuni oleh seorang raja,  sedang  dibina  pula. Rakyat  marhaen  hanya  sedar  akan  pembinaannya  apabila akhbar menyiarkan  satu lembaran  mengenai  Putra Jaya  baru-baru  ini.   Kita  sedang  dihantui  hutang negara  yang bergunung tingginya dan  yang  tidak terlarat dibayar  oleh  anak-cucu  kita.

Perlumbaan  formula-1minggu  hadapan  akan  menambahkan  lagi  hutang  berkarat  yang terpaksa  dipikul  oleh  Sepang International Circuit, sejak ia  dibina. Bagaimanakah  perkara  ini  boleh  berlaku?  Sejak  dua  tahun  yang lalu, satu syarikat  perhubungan  awam antarabangsa telah  melaksanakan  tugas  menjual  tiket.  Syarikat  ini  mempunyai  pelanggan  ternama  seperti Malaysian  Philharmonic  Orchestra (Orkestra Filharmoni  Negara) dan  telah  mendapatkan  bantuan beberapa  syarikat  di Eropah  dan  America untuk  turut  membantu.

Di  waktu  ini, semua  penjualan  tiket  dilakukan  oleh  rakyat Malaysia. Kerana   tidak   tahu  bagaimana merencana  tentulah  mereka  gagal   menjual tiket. Sepatutnya  penjualan  tiket  sudah  bermula enam  bulan   yang  lalu  di  lapangan  terbang  kita di waktu  penonton  asing  mahu pulang  ke  negara  mereka. Mereka sepatutnya  telah  melantik wakil  penjual di  seluruh  dunia. Syarikat tempatan  yang  berupaya  menjual tiket  untuk  mereka  tidak  diberikan  kebenaran kerana  pemegang  saham  syarikat tidak mempunyai hubungan  yang  baik  dengan  Darul Boleh.  Kebengapan   untuk  merancang  tugas seperti  ini  memang ketara kerana  organisasinya  yang  memang  haprak juga.

Ketua  perlumbaan (Head  of  Racing)  Petronas tidak  sedar rupanya, betapa  pasukannya  tidak  lagi  bergelar  ‘Red  Bull Petronas’ kerana  sudah bertukar  kepada  ‘Petronas Credit Suisse’. Perubahan ini  adalah  disebabkan pertukaran  pihak  penaja. Lagipun, lembu  tenusu  Malaysia,  Petronas  tidak  lagi larat  berbelanja  sakan dan  terpaksa  menangguh  pembayaran  tunai  dengan  cara  pembayaran  tertangguh.  Kerajaan  Terengganu  berkemungkinan  besar  menang kes  royalti  petroleum, tetapi  mungkin tidak  mampu mengutip royalti itu  kerana  tabung  wang  Petronas yang kering  kontang.

Warisan Petronas  memang  sedang dihantui risiko tinggi disebabkan  pembaziran  dalam pembinaan  projek  mega seperti KLCC, Putra  Jaya,  KLIA, Sepang International Circuit dan  Perlumbaan formula One.  Semua  ini  telah  menyedut  wang seolah-olah kerajaan telah mabuk dalam perbelanjaannya.  Oleh  kerana  rakyat  marhaen  tidak  pun  sedar  apakah  warisan mereka, sudah tentu  mereka akan  pengsan  apabila  kenyataan itu  menghempap mereka  ketika  mereka  tidak  bersedia mendengarnya. Perlumbaan  F-1  mempunyai  ramai  pakar  teknikal  untuk menjayakannya, sedangkan  Malaysia  tidak  pun  mempunyai kepakaran  itu.  Sayang,  Petronas  tidak mampu  untuk  menjayakannya  lagi  kerana kekurangan  wang.  Tetapi,  Malaysia  telah pun  menyambung hak  menguruskan  Formula  One  sehingga  tahun 2010 -  dengan  bayaran  yang  sungguh  tinggi  bernilai ratusan  juta  dollar untuk  mendapatkan  hak itu dan  tambahan  bayaran  US$50  juta setiap tahun  untuk  membuka  gelanggang perlumbaan. Pengeliruan tentang kebesaran  dan  gah ini  semakin  menekan  ekonomi  Malaysia  dan juga rakyatnya. 

-MGG Pillai-
pillai@mgg.pc.my

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>MT 12/3/2001<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<