MGG5801

BAKUN: Untuk  mendapatkan  lebihan  8% tenaga, berbaloikah  projek itu?
(BAKUN:  For  an  extra 8% energy, is  it  worth it?)

Imbas kembali:  Kerajaan telah   menuduh  para  pengkritik sebagai tidak patriotik  dan  sebagai agen  asing.

Keputusan   Mahkamah  Tinggi  Kuala  Lumpur  pada  Jun 19, 1996; merupakan  satu  tamparan  hebat  kepada  kerajaan   Malaysia. Mahkamah  berpendirian  bahawa   projek Empangan  Bakun sebagai sesuatu  yang tidak  sah. Mahkamah  memutuskan  bahawa  keputusan  melaksanakan  projek bernilai  US$5bilion  itu tidak dicapai  melalui  apa  juga  bentuk  pembabitan  rakyat  jelata.  Tetapi,  reaksi kerajaan  kepada  keputusan ini memang  amat berbeza sekali. Tidak hairanlah  apabila  media  massa  digunakan  untuk  menyibarkan propaganda  kerajaan  mempertahankan  projek yang  sungguh  berguna itu  tanpa memberikan  sebarang  dalil yang  boleh  diterima akal.

Sekali  lagi kerajaan mempertontonkan   cara  memperlekehkan  rakyat  jelata  dan  pendapat  mereka.  Ketika Perdana  Menteri  tiba daripada  luar negara  pada  Jun  27 dulu,  dia  telah  mempertahankan  projek   itu  dan  bertegas bahawa   projek  itu  adalah  lambang  “bagaimana   kerajaan  membantu  golongan   yang  miskin.”  Dia mengutuk  para  pengkritik  projek  itu  dan  menuduh  mereka sebagai  tidak  patriotic  dan tidak bertanggungjawab,  sambil  mengungkit  cerita lama betapa adanya  ‘pembabitan  orang  asing.’   Dengan  lain  perkataan  dia  beranggapan  bahawa  rakyat  Malaysia   tidak mampu  berfikiran  sendirian  dan   tentunya  pandangan  itu  memperlekehkan kebijaksanaan rakyat  negara ini.  Mengikut  Mahathir,  kumpulan ‘ekstrim’  (Kumpulan  NGO  yang  menentang  projek  BAKUN )  memang  dibenci  di  merata dunia.  Dia  bertegas bahawa Bakun  adalah  satu  ‘projek nasional, yang dikendalikan  oleh  sector   swasta   kerana  kerajaan  tidak ada  cara  lain  untuk  membiayai   satu  projek  mega seperti  itu.   Dua  hari  kemudiannya,  menteri  hal  ehwal  dalam  negeri  yang  terkenal itu  telah  menyatakan  betapa  ia  sedang  ‘memantau  aktiviti  semua pihak  yang  menentang  projek  itu’.  Ini  bererti  kerajaan  mungkin   menggunakan kuasa  yang  tidak  terhad di bawah  ISA (Akta  Keselamatan  Negara)  untuk  menyekat  aktiviti  kumpulan NGO.   Tetapi, rakyat  marhaen  masih  lagi  samar dan  sangsi  bagaimanakah  empangan  itu  dapat  membantu  golongan  miskin  seperti  yang  didakwa  oleh  Mahathir selain  daripada  kos  letrik   masa  hadapan  menjadi  lebih  murah  sedikit  sahaja  daripada  harga  biasa. Para  kritik  pula  telah  mengemukakan  beberapa  dalil  yang  tidak boleh  dipertikaikan  untuk  membuktikan bahawa projek  itu pada  jangka panjangnya tidak  akan  menguntungkan.  Ini  bererti betapa  adanya  bekalan  yang  murah itu hanyalah  satu  andaian  sahaja.

Sebelum  itu, ketika berucap  di  Kucing yang merupakan ibu  negeri  Sarawak, di mana Empangan itu  direncanakan,  timbalan  Mahathir, Anwar  Ibrahim  telah  mencemuh  keputusan mahkamah itu sebagai  satu unsur  teknikal  dan  beliau  telah  menyatakan  betapa  projek  itu  akan diteruskan juga.  Kemudian,  Anwar   berkata  adalah  terserah  kepada pemborong utama  projek  itu  untuk menentukan  apakah  kerja-kerja  pembinaan itu  harus  dihentikan.  Ini  amat  bertentangan dengan  pendirian   pemborong  bahawa   sebarang keputusan untuk  menghentikan  projek itu terletak kepada  kerajaan. Kenyataan  berbeza  yang  muncul   berselang-seli itu  telah mencetuskan  persoalan  betapa perkataan  ‘construction’ (pembinaan)  tidak  diberikan  definisi  yang  jelas  dalam  keputusan  mahkamah   itu.   Pada  Jun  27,  pemborong  utama telah  mengisytiharkan  bahawa  semua  kerja-kerja  pembinaan  telah dihentikan.  Ketika  tulisan  ini  disediakan, pemborong  telah  dihadapkan ke mahkamah  sekali lagi kerana melakukan  perbuatan  yang menghina  mahkamah.

Projek  kontroversi Hidro  Bakun  itu  telah  dikritik  dengan hebatnya  oleh  kumpulan bukan  kerajaan (NGOs)   dan  pencinta alam.  Kumpulan  ini telah  mendesak  betapa  pentingnya  ditentukan  kesahihan  dan  keselamatan pembikinan projek  yang berbilion  harganya   itu.    Kerajaan  telah meluluskan  projek  itu pada    September  1993 dan  telah  memberikannya  kepada  Ekran  Berhad sebuah  syarikat yang  dipunyai   oleh  seorang  peniaga  Cina Malaysia  yang  amat  rapat  dengan  peneraju  politik  negara.    Cara  keputusan dibuat  untuk  melaksanakan  projek  itu   mencetuskan beberapa  soalan  yang membabitkan  hubungan di antara syarikat  besar  dengan  kerajaan,  penyertaan  rakyat  marhaen  dalam  proses  membuat  keputusan  itu  dan  percanggahan  di  antara   kepentingan  ekonomi  para  pemimpin  politik  dan kebertanggungjawaban  awam. Yang lebih  penting  lagi,  tanpa  mengambil  kira   impak  ekologi  yang  memusnahkan  itu, keputusan  melaksanakan  projek  tersebut  mendedahkan  tahap  kerakusan  komersial  dan kelunturan  nilai  hidup  para  pemimpin  UMNO  yang sedang memerintah.

Mahkamah  telah  disedarkan   kepada  isu  ini  oleh tiga  orang  pribumi  tempatan yang  merupakan mangsa   projek tersebut.  Para  analis  berkata  keputusan mahkamah  itu  telah mengesahkan  kebenaran para  pengkritik  betapa  kerajaan  telah  memutarbelit  laporan ‘Environment Impact  Assessment (EIA-  lapuran  taksiran  kesan persekitaran)  dengan  tujuan  menyembunyikan  impak sebenar  projek   itu daripada pengamatan  umum.   Dengan  mengeluarkan lapuran EIA  itu, kerajaan  beranggapan  bahawa  lapuran itu hanya  dapat  diperiksa  di  Kucing  sahaja dan  di dua buah  pekan kecil  yang berhampiran  dengan lokasi empangan  yang dirancang. Usaha para  penggiat  menentang  pembinaan  empangan  itu  menjadi  terbatas apa lagi dengan harga  lapuran itu yang sengaja diberikan nilai  yang  tinggi. Tidak ada  sebarang  sumbangan  pihak  awam kepada  keputusan  membina  projek mega itu,  tidak juga  sebarang pertimbangan diberikan  kepada  beberapa  tentangan terhadap  pembinaannya.

Sebaliknya,  kerajaan   telah  berbelanja  besar  untuk   melancarkan  kempen seranta  untuk  meyakinkan  orang  awam  terhadap   kebijaksanaan projek tersebut.

Projek Bakun itu  akan  menukarkan  seluruh kawasan hutan  menjadi  satu  kawasan yang mencemar persekitaran alam.  Apabila selesai, empangan  itu  akan  menakluki  satu  kawasan seluas  lebih  70,000 hektar - sebesar Pulau  Singapura. Hutan  dara  yang  telah   wujud  berjuta  tahun itu   akan ditebang  habis,  dibanjiri dan akan menjadikan  sekitar 10,000 penghuni  pribumi di  situ  menjadi orang  merempat  yang  terpaksa dipindahkan dan tinggal sebagai buruh  ladang   kelapa  sawit. Lebih  daripada  50 cubic meter  kawasan tumbuhan  akan luput. Aliran sungai  akan   dipesongkan, hingga  membawa kesan kepada  perubahan  iklim dan  mencetuskan  pelbagai  jenis penyakit di  kawasan  paya.  Para  pakar  berkata  empangan  itu  hanya  memberikan  lebihan  8% bekalan elektrik, dan  usia hayatnya tidak boleh bertahan  melebihi 50 tahun.   Ramai pakar yang telah  memberi  amaran akan  kesan  limpahan   gegaran gempa  bumi di kawasan  timur Semenanjung  Tanah  Melayu, yang  kini  merupakan kawasan bebas gempa bumi.

Di  waktu  yang sama, ada  pendapat  umum yang beranggapan bahawa Jabatan Alam Sekitar (DOE – Department   of  Environment)  akan   meluluskan  apa  jua  laporan    EIA yang akan dikemukakan  oleh   pihak  yang  terbabit.  “Kami fikir  DOE  itu  sudah  menjadi  seekor harimau  yang  tidak bertaring lagi’  kata seorang  jurucakap  kepada  jawatankuasa   menentang  projek  Bakun  ketika  berdemo di  hadapan  pejabat  timbalan  perdana  menteri pada Jun 25, (1996?).

Penduduk  pribumi  telah  mengemukakan kes  mereka di   mahkamah terhadap   pemborong  utama  kerana tidak menghentikan  kerja-kerja pembinaan  projek itu.  Pemborong telah  bertindak balas  dengan  mengugut  untuk  menuntut  kerugian  daripada  kerajaan.  “Saya akan  membuat   rayuan  dan  saya  akan   menang. Saya  akan  menuntut  ganti rugi    sebanyak  RM9.5 juta  (US$4 million) setiap  hari”, kata  tuan punya  Ekran.  Kerana terlalu  ghairah  mahu  melaksanakan projek  itu,  Ketua  Menteri Sarawak  telah  mengaibkan  para pribumi yang  menentang  projek  tersebut. “Orang-orang pribumi  ini  telah  dipergunakan  oleh   NGOs sedangkan mereka semua  adalah golongan  yang tidak  tahu-menahu  akan  projek  itu.  Mereka tidak pernah  belajar di  sekolah dan mungkin  juga  tidak tahu  apa sebenarnya  perkara  yang dicakapkan  itu,”  kata  beliau  kepada  pemberita.  Ketua  Menteri  itu  telah  melupakan  kebenaran betapa  penduduk  pribumi   di  situ tidak  ada  pilihan  selain  membangkitkan   isu  itu sendiri.  Bayangkan  apabila  kenyataan  yang sungguh angkuh  ini  mampu  dituturkan  oleh   seorang  ketua  menteri (Raja Penyamun Sarawak  -penterjemah).

Para analis memang berpendapat  projek yang  sungguh  besar bencananya  itu TIDAK akan  dihentikan.  ‘Kalau  kerajaan kata  ‘jadik’, maka  jadiklah  projek  ituk,’ kata seorang penduduk  tempatan.  Keputusan  mahkamah  itu  mungkin juga  mendedahkan  satu  perkara’;  ia  mungkin  mengembalikan  keyakinan  umum  kepada  sistem kehakiman  negara yang  selama  ini  memang  sudah  teruk  tercemar.  Beribu  surat  terbang berbisa yang  mengandungi   kisah bagaimana  pegawai kerajaan campur tangan dalam perihal  kehakiman  dan   para hakim  yang  korup  telah  merebak di seluruh  negara.

(kiriman aduru@pl.jaring.my)

Catatan: Penterjemah   meluangkan  masa menterjemahkan  artikel ini walaupun ia  berlaku pada  tahun 1996, sedangkan  usaha  menterjemahkan  karya  MGG Pillai hanya  bermula  awal  April  2000 sahaja.  Artikel  ini  mengesahkan ramalan  para analis  (1996) mengenai Bakun  yang  kini  mahu dibina semula.  Namun, penterjemah  berpendapat, kenyataan  kerajaan  untuk  menyambung  semula  empangan  itu adalah  satu  helah  sahaja    untuk  melambatkan   proses tuntutan  bank dan  pihak pemberi hutang  ke atas sekitar  2,000 syarikat  (besar, sederhana  dan kecilan)  yang  hampir  muflis  dan  sudah pun  gulung  tikar  sebaik  sahaja Bakun dihentikan. Pemborong utama telah diberikan   pampasan  dan  segala  bentuk  bantuan  untuk  menutup  segala kerugian. Malahan,  hasil  penjualan balak yang   dibalunnya  tidak  pun  diambil  kira  oleh  kerajaan.  Satu  perbelanjaan   yang  besar  telah  dikeluarkan  untuk   menempatkan  kumpulan  pribumi  ke perkampungan  lain.  Kini, kumpulan yang  sama telah pulang  kembali  ke kampung  halaman  mereka. Apakah kerajaan  akan  mengalihkan  mereka  sekali lagi dengan perbelanjaan yang lebih besar lagi?  Saya   menjangkakan, Empangan  Bakun  akan  menjadi  isu  penjerut  yang  akan  menumbangkan kerajaan  BN  di  Sarawak. –MT-