PENYERAGAMAN PENGANGKUTAN AWAM:
       YANG TERTIPU & YANG DITIPU 

Kalau kita menaikki LRT Putra khususnya pada waktu-waktu sibuk seperti waktu warga kota pergi dan balik kerja, kita sukar untuk mendapatkan walaupun satu tempat duduk yang kosong. Itulah kenyataannya tentang pengangkutan awam yang dikatakan berada di kelas pertama itu. Jika kita menggunakan bas intrakota keadaan yang serupa akan kita temui. Dalam LRT Putra, jika kita mengambilnya dari Terminal Putra di Gombak, sampai di Wangsa Maju manusia sudah macam ikan sadin, bersesak-sesak. Bahkan sebahagiannya ada yang terpaksa menunggu giliran yang lain kerana ruang kosong untuk berdiri pun sudah tidak ada. Begitulah penganggkutan awam di Kuala Lumpur.

Di satu pihak kerajaan meminta para pengguna jalanraya mengurangkan jumlah kereta untuk memasukki bandaraya, yang kini dikatakan jumlah aliran keluar masuk ke bandaraya melebihi satu juta sehari. Siapakah yang sanggup menggunakan kenderaan awam kalau keadaan bersesak seperti yang digambarkan di atas? Apakah silapnya, di manakah puncanya semakin hari jalanraya semakin sesak, dan kita terpaksa keluar rumah lebih awal dari biasa.

Pembinaan jalanraya bertingkat sudah banyak yang selesai, meskipun jalan ke Kepong dijangka siapa hanya pada tahun 2002. Lingkaran Tengah, bulatan bertingkat juga sudah banyak yang selesai, cuma agak malang kutipan tol bertambah banyak. Dulu di zaman Tuanku Abd. Rahman tidak ada tol, di zaman Tun Razak dan Tun Hussein juga tidak ada tol. Kenapa di zaman Mahathir ini dalam bandar pun ada tol? Soalnya apabila pembinaan dan pengurusan jalanraya hanya diserahkan kepada orang-orang tertentu sahaja yang kerjanya hanya mengira berapa wang masuk dan berapa banyak pula wang keluar, semua kemudahan itu tadi tidak lagi berasaskan kepentingan rakyat dan negara, tetapi ia berasaskan kepada untung dan rugi. Penswastaan telah menimbulkan sikap untuk mengambil untung secara berlebihan, bukanlah sebenarnya untuk mengurangkan belanja kerajaan dan mengecilkan saiz perkhidmatan awam seperti mana yang diwar-warkan ketika mulanya projek penswastaan di awal dekad lapan puluhan dahulu.

Demikianlah juga apa yang terjadi dengan pengangkutan awam. Dahulu ada bas mini, meskipun bas mini banyak menimbulkan masalah di jalanraya terutama sikap pemandu-pemandunya yang tidak menghiraukn peraturan lalu lintas, tetapi bas mini tambangnya murah. Lima puluh sen sahaja cukup untuk ke serata ceruk bandaraya. Dan ia amat sesuai untuk golongan berpendapatan rendah. Kini bas intrakota kadangkala lebih mahal tambangnya dari LRT Putra.

Maka bersesak-sesaklah LRT yang dianggap sebagai pengangkutan kelas satu itu.Bas mini, walau pun ianya banyak, tetapi ia dimiliki oleh ramai orang. Ramai yang mendapat faedah darinya. Adakalanya satu tauke memiliki hanya dua tiga bas mini. Dengan demikian agihan pendapatan itu lebih merata sifatnya. Ia dirasai dan dinikmati oleh ramai orang.

Tetapi apabila pengangkutan awam Kuala Lumpur disatukan dan hanya diserahkan kepada golongan konglomerat tertentu sahaja yang mempunyai kaitan rapat dengan pihak berkuasa, maka keuntungan dan agihan ekonomi itu hanya berkisar kepada golongan itu itu juga. Usahawan-usahawan kecil bas mini dahulu terpaksa mencari peluang yang lain untuk hidup. Projek-projek besar cuma dikuasai oleh mereka yang ada wang, yang ada hubungan dengan pemerintah, atau anak beranak dan kroni mereka sahaja. Nampaknya rakyat biasa semakin susah untuk cari makan.

Rancangan terbaru kerajaan regim Mahathir ialah untuk menseragamkan pengangkutan awam di antara LRT Putra, LRT Star, KTM Komuter dan bas Intrakota. Semuanya akan menggunakan sistem tiket yang satu.Mungkin juga pentadbiran dan pengurusan yang satu. Atau ia diserahkan kepada sebuah syarikat besar untuk menguruskannya, di mana hak syarikat-syarikat kecil dinafikan. Maka terjadilah konsep monopoli sepenuhnya terhadap pengangkutan awam di Kuala Lumpur. Rancangan itu dijangka bermula dengan beroperasinya stesen KL Sentral yang mempertemukan sistem pengangkutan awam bandaraya itu dengan monorel yang beroperasi hingga ke Putrajaya. Siapa lagikah yang akan mengaut keuntungan berlipat kali ganda itu kalau tidak kaum kerabat dan kroni Mahathir sendiri?

Keadaan semakin bertambah buruk bila perkhidmatan yang penting ini hanya diserahkan kepada syarikat yang ingin mengaut untung semata-mata tanpa mempedulikan keselesaan pengguna, atau dalam istilah sekarang tidak mesra pengguna. Siapakah yang mengalami kesukaran di sini kalau tidak rakyat marhaen juga! Perkhidmatan yang tidak ada persaingan ini bertentangan dengan konsep kebebasan ekonomi seperti yang dilaung-laungkan oleh kerajaan. Siapakah yang ditipu dan siapakah yang tertipu dalam isu pengangkutan awam di bandaraya ini? Rakyat marhaen haruslah sedar bahawa Mahathir dan kuncu-kuncunya sedang menghimpunkan kekayaan seberapa banyak yang boleh termasuk melalui penyatuan pengangkutan awam ini, dan mengikis habis harta negara atas nama kemajuan dan perkhidmatan kelas pertama yang sebenarnya hanyalah menyusahkan rakyat terbanyak terutama yang berpendapatan kecil dan sederhana.

Begitulah juga apa yang telah terjadi kepada perkhidmatan Teksi KL suatu ketika dahulu. Apabila kerajaan BN mensyaratkan bahawa permit teksi KL haruslah diberikan kepada syarikat yang sekurang-kurangnya memilikki lima puluh buah teksi barulah permit dapat dikularkan, maka rakyat marhaen pun terpaksalah bergabung dengan syarikat yang besar-besar yang mengendalikan teksi KL. Kebanyakan syarikat itu pula ada hubungkaitnya dengan puak pemerintah atau orang yang berkuasa. Maka terpaksalah pemandu teksi yang sedia ada memperhambakan dirinya kepada syarikat-syarikat berkenaan demi untuk meneruskan kesinambungan hidup mereka. Yang dapat meraih keuntungan di sini adalah para puak dan kroni kepada regim pemerintah sendiri. Pernah suatu ketika penulis menaikki sebuah teksi dan berbual-bual dengan pemandunya. Pada suatu ketika sang pemandu pun menunjukkan geran teksinya yang dipunyai oleh para datuk dan datin yang hampir dengan PM sendiri kalau pun tidak kaum kerabatnya. Syarikat ini, kata sang pemandu berkenaan memilikki beratus-ratus buah teksi yang sedang beroperasi di sekitar bandaraya.      

Hal yang demikian menyebabkan pemupukan kekayaan hanyalah berkisar di kalangan tertentu sahaja. Sedangkan rakyat marhaen terpaksa berhempas pulas untuk menyambung rezeki di samping menghadapi kenaikan harga barang-barang keperluan yang seolah-olah tidak dapat disekat. Di manakah sebenarnya keadilan dalam pengagihan kek ekonomi seperti yang dilaung-laungkan oleh puak pemerintah pada setiapkali pembentangan belanjawan? Namun itulah yang terjadi. Rakyat bawahan terpaksa menghadapi putaran ganas kemiskinan semata-mata kerana sikap tamak haloba seorang diktator tua yang tidak sedarkan diri yang entah bila akan mati.  

Dan kita dan anak cucu kita tinggallah dalam negara yang hutangnya semakin bertapuk ini yang entah berapa generasi akan selesai. Mahathir dan kuncu-kuncunya mungkin akan meninggalkan negara ini bila mereka terdesak atau keadaan yang amat mendesak untuk mereka berbuat demikian. Apakah kita masih terus melihat sahaja segala perlakuan mereka tanpa berbuat apa-apa? Apakah kita rakyat Malaysia terlalu dayus sehingga hampir dua puluh tahun Mahathir berkuasa dan memperkuda kita semua, namun Mahathir masih tetap berada di tampuk kuasa seolah-olah negara ini adalah kepunyaannya. Tidak ada siapa pun yang dapat  menewaskannya setelah berkali-kali melalalui pemilu demi pemilu. 

Keadaan nampaknya sudah amat mendesak untuk kita melakukan perubahan secara total. Tanpa perubahan ini kita tetap akan terus diperkuda oleh diktator tua itu dan akan terus-terusan menjadi hamba untuk memperkayakan Mahathir dan kroni-kroninya.

 

AlKundangi,
13.3.2001