KENYATAN MEDIA
BERSAMA BARISAN ALTERNATIF

PEMIMPIN BA INGIN MENEMUI PEMIMPIN KERAJAAN BN UNTUK MENYELESAIKAN MASALAH DI TAMAN MEDAN

Dengan rasa penuh prihatin serta tanggungjawab kami ingin mencadangkan supaya satu pertemuan diadakan antara para pemimpin Barisan Alternatif (BA) dengan Barisan Nasional (BN) untuk membincangkan masalah perpaduan nasional. Kami anggap pertemuan ini penting, memandangkan suasana kaum yang agak tegang kini, terutama sekali berikutan peristiwa yang berlaku di Taman Medan sejak beberapa hari lalu.

Sebagai permulaan, kami berharap akan dapat menemui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Badawi, seberapa segera untuk membincangkan keadaan di Taman Medan ini. Kami lihat keadaan di sana masih serius dan belum reda lagi, dan segala usaha hendaklah dilakukan oleh semua pihak untuk mencari cara mengendurkan keadaan yang tegang itu, dan seterusnya mengambil langkah bagi menyelesaikan segala masalah supaya tidak berulang lagi.

Kami melihat seolah-olah ada percubaan dari sesetengah pihak hendak mengecil-ngecilkan peristiwa yang berlaku. Mungkin punca asalnya kecil, akan tetapi ia telah menjadi terlalu besar untuk diperlekehkan. Tidak ada gunanya kita menyembunyikan bilangan orang yang terbunuh. Dari sumber hospital dan keluarga yang boleh dipercayai, kami mendapat kesan bilangannya lebih besar dari angka rasmi yang disebut oleh polis.

Oleh kerana yang demikian berita angin meluas dan orang ramai lebih percaya kepada berita angin daripada berita yang dikeluarkan melalui media, terutama yang dikuasai oleh pihak pemerintah. Kami menyeru supaya pihak pemerintah berani memberikan maklumat yang benar. Ingatlah seperti kata pepatah bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru.

Pada mula-mulanya kami mendengar banyak rungutan bahawa pihak polis tidak cukup bertindak secara profesional. Walaupun kira-kira 500 orang pegawai polis telah diletakkan untuk berjaga-jaga, mereka gagal mengawal keadaan dan dianggap oleh sesetengah pihak sebagai tidak tegas dan kadang-kadang berat sebelah.

Akibatnya unsur-unsur yang tidak diingini telah berjaya bertindak liar sehingga menyebabkan kemusnahan harta benda, kecederaan tubuh badan, bahkan pembunuhan orang yang tidak bersalah. Kami diberitahu bahawa ramai di antara mereka datang dari luar dan bukan penduduk tempatan.

Namun begitu, akhir-akhir ini penduduk tempatan puas hati bahawa kehadiran polis semakin berkesan. Dalam suasana kaum yang agak buruk sekarang ini, kami menyeru supaya Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berhenti daripada membuat kenyataan- kenyataan bercorak perkauman yang boleh mengeruhkan lagi keadaan. Beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau akhir-akhir ini sangat tidak bertanggungjawab dan tidak patut terbit dari mulut seorang pemimpin negara.

Kami juga terperanjat dengan kenyataan yang dibuat oleh ahli Dewan Undangan Negeri dari Taman Medan, yang juga merupakan ahli exco Negeri Selangor, sebagaimana dilaporkan oleh media. Beliau mendakwa kononnya orang Melayu sudah lama bersabar, walaupun ramai yang sudah menjadi korban kepada golongan kaum yang lain.

Jikalau laporan media ini benar, bererti beliau seolah-olah sengaja hendak mengapi-apikan perasaan marah satu kaum terhadap kaum yang lain. Sungguhpun Taman Medan adalah dalam Petaling Jaya, namun ia merupakan kawasan yang sangat mundur. Penduduknya lebih daripada 100 000, sebahagian besar mereka berada pada taraf kedudukan ekonomi yang sangat rendah. Kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh atau peniaga kecil.

Majoriti penduduk ialah Melayu. Terdapat kira-kira 20 peratus orang India. Orang Tionghua tidak ramai di sini, walaupun dalam kawasan pilihanraya Dewan Undangan Taman Medan mereka berjumlah lebih 30 peratus. Akan tetapi orang Tionghua ini bertumpu dalam seksyen 1, 2, 4 dan 14 dalam Petaling Jaya, iaitu di luar kawasan Taman Medan sebenarnya. Selain itu ada juga pendatang asing dari Indonesia dan Bangladesh.

Kemudahan sosial sangat teruk. Masalah perumahan serius. Tidak ada pusat kesihatan yang baik, apatah lagi hospital, dalam komuniti. Sekolah serba kekurangan. Jalan-jalan sempit dan berlobang-lobang. Parit tidak terjaga, selalu tersumbat dan kotor. Bekalan air tidak bersih dan selalu terputus. Sampah sarap bertimbun-timbun dan jarang sekali dibersihkan oleh pihak majlis bandaran; perkara ini tidak mudah berlaku jika anggota-anggota majlis tempatan dipilih dan bertanggungjawab kepada rakyat untuk memberi khidmat yang baik. Masalah sosial sangat banyak.

Ramai orang muda yang menganggur. Di kalangan mereka terdapat ramai yang telah tersisih daripada ladang-ladang yang telah ditutup untuk dijadikan tapak-tapak pembangunan. Dalam masyarakat ini banyak pusat-pusat haram bagi pelacuran, perjudian, minuman keras dan permainan video. Pengedaran dan penggunaan dadah sangat meluas. Kumpulan-kumpulan gangster banyak dan ramai pula anggotanya. Oleh yang demikian, peristiwa buruk yang sedang berlaku sekarang ini hendaklah juga dilihat dari segi pembangunan ataupun ketiadaan pembangunan sosio-ekonomi di Taman Medan.

Inilah dia contoh akibat buruk daripada dasar dan rancangan pembangunan negara yang tidak seimbang yang dilaksanakan oleh pemerintahan BN. Masalah ini tidak kurang penting diselesaikan dalam jangka panjang, untuk memastikan asas yang kuat dapat dibina bagi mendirikan perpaduan kebangsaan yang kukuh. Akhir sekali kami meyeru kepada semua rakyat umumnya, dan penduduk Taman Medan serta kawasan sekitar khususnya, supaya bertenang.

Janganlah terpengaruh oleh provokasi daripada mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang cuba hendak menimbulkan kekacauan dengan tindakan liar mereka. Kita hendaklah mendukung perpaduan di kalangan rakyat semua kaum.

YB Dr Wan Azizah Ismail, Presiden keADILan
YB Nasaruddin Md Isa, Setiausaha Agung PAS
YB Kerk Kim Hock, Setiausaha Agung DAP
Dr Syed Husin Ali, Presiden PRM