TENTERA TIDAK MUDAH MELATAH DAN DIRATAH

Semenjak Menteri Pertahanan dan Panglima ATM mengulas tentang campurtangan pihak tentera di dalam menangani sebarang rusuhan jalanan yang boleh mengancam keselamatan negara, banyak artikel dan pendapat yang telah diluahkan oleh rakyat melalui media atau laman web di internet. Apa yang dapat diperhatikan kebanyakan dari pendapat-pendapat tersebut tidak ada satupun yang mengecam atau menaruh sebarang syak wasangka terhadap kesetiaan ATM dalam mempertahankan negara dari ancaman musuh. Syabas ATM!!

Saya bukanlah bertujuan untuk menyokong mana pendapat di dalam isu campurtangan tentera kita berkaitan masalah dalaman politik di negara ini. Saya juga percaya bahawa semua warga tentera negara kita yang majoritinya berbangsa Melayu dan berugama Islam sudah tentu sayangkan tanahairnya, bangsanya lebih-lebih lagi ugamanya. Maka, musuh sebenar bagi tentera bukan hanya terletak pada negara-negara asing, kumpulan pengganas,lanun dan seumpamanya tetapi sesiapa sahaja yang cuba merosakkan negara tercinta, bangsa Melayu dan ugama Islam yang maha suci ini, itulah musuh yang juga berkewajipan untuk warga tentera menghadapinya.

Justeru itu, bukan UMNO, PAS atau KeADILan yang menjadi musuh bagi ATM. Walaupun dasar ATM adalah berkecuali di dalam politik `kepartian', tetapi mereka juga adalah rakyat Malaysia, kebanyakannya berbangsa Melayu dan berugama Islam sudah pasti tidak dapat lari dari semangat cintakan negara, bangsa dan ugama. Mereka sudah tentu tidak mahu negara ini hancur akibat pemimpin-pemimpin yang zalim atau rasuah, bangsa Melayu dipinggirkan serta hidup melarat, hukum Islam diperlecehkan serta penghinaan ke atas Alim-Ulamak. Tidak kira mana golongan atau parti mana sekalipun yang memerintah, sudah pasti ATM tetap berpegang kepada mempertahankan yang hak dan menentang kebatilan.

Keputusan di Teluk Kemang yang mencatatkan undi pos tentera majoritinya memihak kepada parti pembangkang bukanlah hujah untuk menyatakan ATM kini berpihak kepada pembangkang. Mengapa keputusan-keputusan undi pos di tempat lain tidak diberi penilaian? Setelah beberapa kali pilihanraya, undi pos lazimnya berpihak parti kerajaan yang memerintah, mengapa tidak pula dikatakan ATM berpihak kepada parti tersebut? Mengapa sekali berlaku di Teluk Kemang menjadikan seolah-olah ATM kini terpengaruh dengan parti pembangkang?  Ini sudah tentu tidak adil bagi warga ATM keseluruhannya.

Hakikatnya, warga ATM kini bukan lagi anggota tentera seperti di zaman Jepun, British atau di zaman 60-an dahulu. Mereka kini terdiri dari golongan yang mempunyai sekurang-kurang akademik SRP dan tidak kurang juga mempunyai kelulusan SPM dan STPM. Mereka ini golongan yang boleh berfikir serta mempunyai minda yang terbuka. Jika di pusat-pusat latihan, mental mereka telah diuji dengan menghadapi maki-hamun sehinggakan menjadi kebiasaan bagi mereka, usahlah diharap mereka-mereka ini akan tunduk mudah dengan segala pujian atau pemberian. Ini berbeza dengan pasukan keselamatan yang satu lagi yang sering melatah dan diratah.

Kepada warga tentera keseluruhannya, kami rakyat Malaysia, berbangsa Melayu dan berugama Islam benar-benar berharap dan merayu agar kamu sebagai Perajurit Negara sanggup bermati-matian mempertahankan maruah  ugama, bangsa dan negara kita. Ada ketikanya nanti, rakyat akan menuntut pembelaan dan sumpah setiamu.

"JANGANLAH KAMU MATI MELAINKAN MATI SYAHID".

PRO - ATM MASSURIA NS