SIARAN MEDIA
14 Mac 2001

PERGADUHAN DI KG. MEDAN :
PELAKSANAAN DASAR EKONOMI DAN SOSIAL PERLU DINILAI SEMULA


Pergaduhan antara dua kumpulan penduduk di Kg. Medan harus menjadi iktibar kepada semua pihak dalam usaha kita membina bangsa Malaysia yang harmoni di masa depan. Pihak berkuasa perlu melihat isu ini melalui perspektif yang menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi memandangkan ia boleh membawa kepada ketegangan yang lebih parah sekiranya tidak ditangani dengan teliti dan jujur.

Laporan akhbar-akhbar utama berkenaan realiti sosio- budaya kawasan terbabit patut menjadi asas untuk semua pihak menginsafi dan menilai punca sebenar kemelut yang membawa kepada ketegangan antara penduduk. Dalam suasana kehidupan yang begitu minima dari aspek kemudahan dan inftrastruktur sosial, ia telah mempengaruhi emosi, sikap dan jiwa penduduk. Perasaan marah dan terganggu tidak mudah dikawal apabila berada dalam suasana hidup yang tertekan oleh faktor ekonomi dan sosial yang tidak seimbang. Akibatnya, tindakbalas yang keras dan ganas digunakan sebagai jalan penyelesaian.

Dalam menangani persoalan ini, pihak kerajaan patut segera menilai pelaksanaan dasar ekonomi dan sosial yang melibatkan penduduk setinggan yang miskin dan daif. Program Kesejahteraan Rakyat (PKR) yang diperkenal oleh Kementerian Luar Bandar perlu diperluaskan kepada masyarakat miskin di bandar. Program perumahan untuk golongan miskin perlu secara agresif digiatkan. Fenomena rumah setinggan perlu diatasi dengan segera seiring dengan projek perumahan murah dan sederhana yang menyeluruh. Elakkan sebarang halangan birokrasi dan biar segala urusan dipermudahkan.

Sehubungan dengan itu juga, program-program pembangunan rakyat termiskin yang melibatkan seluruh rakyat tanpa mengira kaum perlu diperluaskan. Program yang diperkenalkan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai contoh, patut menjadi model dan diperkembangkan kepada masyarakat keturunan Melayu, India dan Cina yang miskin di bandar-bandar. Ia dapat membantu golongan ini membina hidup dan mengubah nasib secara lebih terjamin.

Bagi tujuan ini, syarikat-syarikat korporat terutama dari kalangan masyarakat Cina yang sebahagian besar menguasai sumber ekonomi negara ini perlu memainkan peranan dengan lebih proaktif membantu kaum-kaum lain yang ketinggalan. Tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap usaha penyusunan semula masyarakat perlu mendapat bantuan dan dokongan dari seluruh pihak.

Konflik yang berlaku kini memberi cukup isyarat dan tanda yang jelas betapa persoalan kemiskinan masih menjadi punca kepada permasalahan sosial dan ketegangan kaum di negara ini. Kegiatan kongsi gelap dan gangster adalah berpunca dari masalah kemiskinan yang mendorong mereka untuk bertindak ganas bagi meneruskan kehidupan.

Masyarakat Malaysia nampaknya masih belum bebas dari ancaman ketegangan. Usaha dan penilaian yang lebih progresif perlu dilaksanakan segera di samping mengiatkan acara-acara kerjasama antara penduduk berbilang kaum dengan lebih terancang dan berterusan.





AHMAD AZAM ABDUL RAHMAN
Presiden