Hanya fikrah Islam satukan umat
Oleh Wan Abdul Aziz

KOTA BHARU, 15 Mac (Hrkh) - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, penyatuan umat hanya dapat dilaksanakan apabila umat Islam mempunyai fikrah yang satu iaitu patuh kepada semua perintah Allah.

Katanya, apabila umat Islam mempunyai fikrah yang sama sebagaimana dikehendaki Allah sebagai Pencipta, maka usaha ke arah penyatuan tidak menghadapi kesukaran.

"Perancangan penyatuan memang sejak awal lagi dalam pengetahuan Allah, sebab awal-awal penciptaan manusia, Allah sudah tahu sebab itu Dia cipta kita tak sama.

"Apabila manusia dibiar duduk dalam keadaan tidak serupa, maka akan timbul pelbagai masalah, sebab itulah Allah Taala membuat perancangan iaitu manusia semua perlu mentauhidkan-Nya.

"Jadi penyatuan akan berjaya apabila kita semua mempunyai fikrah yang satu iaitu bertuhankan Allah, tak kira apa bangsa sekali pun," katanya di sini.

Menteri Besar turut mengingatkan umat Islam supaya tidak melupakan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.

Katanya, pengorbanan kedua-dua Nabi Allah itu tidak dapat dibandingkan dengan pengorbanan yang dilaku umat Islam sekarang.

Tambahnya, umat Islam sekarang hanya sanggup berkorban wang ringgit mereka sedangkan Nabi Ibrahim mengirbankan nyawa.

"Orang sekarang sanggup korbankan harta duit mereka sebab dia tahu duit yang dikorban itu akan dapat balik, dia kerja dapat duit, tapi kita kena ingat Nabi Ibrahim hari itu, dia sanggup korban nyawa.

"Inilah pengorbanan sebenar yang kita kena ambil iktibar, sebab apabila korban nyawa kita tak fikir benda lain, selain daripada harapan dan pergantungan kita pada Allah, takkanlah apabila kita korban nyawa kita fikir boleh dapat balik nyawa kita seperti kita korban lembu," katanya.

Sementara itu, buat pertama kali satu majlis solat Tasbih berjemaah secara terbuka diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Kota Bharu.

Menteri Besar ketika menyampaikan tazkirah selepas solat itu berkata, menjadi hasrat kerajaan negeri untuk memperbanyakkan program yang mendekatkan rakyat kepada Allah Taala.

Katanya, sebelum ini orang ramai hanya berfikir ibadah-ibadah tertentu seperti solat hanya patut dibuat di masjid dan surau-surau sahaja.

Langkah itu juga tambah beliau bagi menonjolkan imej Kelantan sebagai pelopor kepada aktiviti yang mendidik dan mempertaut rakyat kepada ajaran Islam.

"Saya nak kikis pemikiran umat Islam yang masih beranggapan ibadah hanya kena buat di masjid, sebab itu banyak program kita adakan secara terbuka seperti di padang," katanya.

Sebelum ini, majlis solat hajat kerap diadakan termasuk di Stadium Sultan Mohammed ke-IV.

Terbaru satu majlis qiyamullail sempena Munajat Rakyat Kelantan diadakan di Padang Perdana, di sini yang dihadiri pelbagai lapisan rakyat.