MGG 6101

12 Mach.

 Isyarat  Awal 
(Bloody Early  Warning  Signal)

Lima  hari  yang  dipenuhi   keganasan,  penganiayaan dan ketakutan  tidak  pula memberi  keutamaan  kepada  soalan  berapa   manusia  yang  terbunuh  ataupun tercedera di Petaling  Jaya. Tidak  juga   kepada  kehadiran  lebih  400  anggota  polis yang berkeliaran  di  kawasan   yang  dikatakan  sudah  terkawal  keadaannya. Kerajaan  memang mahukan  kita  menolak  sebarang  desas-desus  tanpa  memberitahu  kenapa sebabnya; sedangkan  cara  kerajaan  menjawab  keraguan itu  menyerlahkan  sesuatu untuk kita terus  meraguinya.

Keharmonian  kaum  dan politik  negara  telah  terjalin  begitu  lama  dengan unsur puji-memuji  untuk  mengekalkannya dan  dicampur-baur  dengan  unsur  ugutan setiap kali selera  rasmi  tercabar. Memang  tidak  sukar  untuk  menukarkan  rentak pergerakan itu. Namun itulah  yang  terjadi  apabila  rentak  politik,  sosial  dan  budaya sesuatu masyarakat  dan  kaum  yang  tertekan  itu    diputarkan  sehingga  mereput keadaannya.

Itulah  yang   berlaku  di  Malaysia.  Penyebab  tercetusnya  pergaduhan  minggu  yang lalu  dan  bagaimana  ia  merebak, bukannya  sesuatu  yang  lebih  penting daripada cara jenayah  itu  dibendung.  Namun,  pihak  yang  berwajib  masih  bertegas  bahawa ia bukannya  tercetus  disebabkan  perkauman sedangkan  di  waktu  yang  sama ia memberi  ruang kepada  media  massa untuk  menyebut perkara  itu  sebagai penyebabnya. Media  pun  melaporkan  betapa   beberapa  samseng  kaum  India  telah  berlawan dengan penduduk  Melayu sambil  menyiarkan  identiti   mereka  yang  terkorban. Malahan tercetus juga  beberapa  kenyataan  yang  berapi-api   sedangkan   kata-kata nasihat untuk  menenangkan  keadaan  tidak  pula  diberi  keutamaan.

Menteri  Besar   Selangor,   Mohamed  Khir  Toyo,  dan  seorang  ahli  dewan negeri telah  membuat  lawatan  di  kawasan  orang  Melayu, tetapi  tidak  pula  sampai ke kawasan  orang  India yang  merupakan  satu  kawasan  yang  sungguh  terpinggir keadaannya  di  Petaling  Jaya,  di  tempat  tercetusnya   kejadian  itu.  MIC menghadkan  lawatan  ke  kawasan  itu  sahaja.  MCA   dan  Gerakan  tidak  pula ke mana-mana,  entah kenapa  agaknya?.

Presiden  MIC  S. Samy Vellu  muncul  di akhir  minggu  setelah  membatalkan lawatannya yang  terdahulu  “disebabkan  keselamatan  yang tidak  menentu.”  Tetapi, presiden  PPP, M. Kayveas  boleh  pula  pergi  ke  tempat   itu  terdahulu  darinya  seolah-olah mempersendanya.  Timbalan  perdana  menteri  muncul  juga  di tempat  itu, walaupun  ia sepatutnya   ke  situ  terlebih  dulu.

Tuduh-menuduh

Cara  mereka  bertindak  memang  amat  berbeza.  MIC  pernah  mencadangkan  satu sidang akhbar,  tetapi  membatalkannya  apabila  muncul  rasa  takut  mengenainya. Kehadiran 400  anggota  polis  yang  lengkap  dengan   pemancut  air  dan  segala peralatan  yang lazim   dipaparkan  setiap  kali  pihak  pembangkang  berhimpun secara  aman  memberi gambaran  apa  yang tidak   mampu  dibayangkan  oleh  perkataan. Apa  yang sebenarnya berlaku  sememangnya   lebih  dahsyat  daripada  apa yang telah  dijelaskan oleh  pihak kerajaan,  yang  memang    panik  sedikit  menghadapi   keadaan.

Kini  sudah  muncul  unsur-unsur  tuduh-menuduh  di  pihak  atasan. Malaysiakini  telah melapurkan  betapa  wakil rakyat  Taman Muda, Norkhaila  Jamaludin berkata bahawa   orang Melayu  di  kawasan  itu  “telah  bersabar  selama  ini  walaupun  ada  kaum India yang   bersikap  durjana   berkali-kali.”  Dengan  lain  perkataan,  sebagai seorang ahli dewan  dalam   parti  kerajaan  beliau  sanggup  mencabar  kenyataan  rasmi bahawa apa  yang  telah  berlaku adalah  berunsur   perkauman.

Keganasan  berlaku  di  satu  kawasan  yang  memang  terpinggir  di   mana unsur-unsur bajingan  menguasai  setiap  aspek  kehidupan  sosial,  kesihatan dan  keadaan ekonomi. Seorang  insan  yang  menghuni  di  satu kawasan  berhampiran  ada  memberitahu betapa keadaan itu  mengingatkannya  keadaan satu  kawasan  teruk    di Mumbai.  Ini mungkin satu  bandingan  yang  berlebihan, namun  itulah  hakikatnya.  Keadaan  begitu memang wujud  di  setiap  pekan  besar  dan  bandar  di  Malaysia. Memang  tidak sukar mencetuskan  pergeseran  seperti  itu  terutama  sekali apabila  itulah  keadaan terbiar yang sengaja  disenangi.

Di  bahagian  nasional, terdapat  masalah  perkauman  yang  dicetuskan  di antara pemuda  UMNO  dan  Kumpulan  Suqui, begitu  juga  mengenai  perundingan  perpaduan Melayu  antara  PAS  dan  UMNO  yang  menjolok   masalah  perkauman  juga. Bagaimanapun di  analisis   perkara  itu,  unsur-unsur   perbezaan  di  antara  orang  Melayu dan bukan-Melayu menjadi  tajuknya  sambil   penentuan  dibuat untuk  menentukan sesebuah parti  itu tidak  dikira  parti  Melayu  apabila   ia  menerima  bukan-Melayu sebagai ahlinya. Begitu  juga  dengan   konfrontasi   di  antara  kerajaan  dengan masyarakat Cina  disebabkan  sebuah  sekolah  yang  sudah  pasti  menjentik  perasaan perkauman  di setiap  masyarakat  itu  tanpa  perlu  menafikannya.

Kalau   golongan  pemerintah   bertegas  bahawa  keharmonian  negara   dapat diwujudkan dengan  cara   mencengkam  ketuanan  sesuatu  kaum  ke atas  masyarakat lain, sudah tentu  ia  akan  mencemar   keteguhan  harmoni  negara .   Apabila   kuasa politik terus  mencemarkan  perkara  itu dengan  sikap   parti  lain  sanggup  membisu walaupun ada persidangan  tertutup  seperti   persidangan  MAPEN  II untuk  membincangkan cadangan  Suqui  dulu,  segala   perasaan  jelek  yang  diperam  begitu  lama  pasti akan  meledak  juga, tanpa  diduga akhirnya.

Kerajaan  harus   bertindak agar  apa  yang  tercetus  di  Taman  Desaria bukannya   satu isyarat  yang  serba  mungkin. Saya  mengharapkan  semua   menteri   kabinet dan kumpulan  pelbagai  kaum   berganding  bahu   memperteguhkan  keadaan. Sayangnya perkara  itu  belum  lagi  dijalankan.  Kenapa?  Kalau  apa  yang  terjadi  itu tidak serius,  kenapakah  polis  mempamerkan kekuatan  mereka?   Kenapakah  Perdana Menteri, Mahathir  Mohamed,  ataupun   timbalannya TIDAK membuat  lawatan  ke semua kawasan  itu?

Desas-desus  makin  tersebar  betapa  adanya  pergaduhan  di  tempat  lain pula. Tetapi,  apa  yang  terjadi  di Petaling  Jaya  bukannya  merupakan  insiden yang pertama. Apa  yang    tercetus  di  antara  orang  Melayu dan India  minggu yang  lalu itu  walaupun  tidak  berbau  perkauman, ia  sudah  mencetuskan kerisauan kepada orang lain.

Malaysia  telah  menghabiskan  tiga  dekad untuk  memperbetulkan kemelut perkauman sejak  tercetusnya  episod  May  1969  dulu.  Tetapi,  ia  hanya  memerlukan kurang daripada  dua  tahun  untuk  bibit-bibit  pergeseran  kaum itu datang  bertapak semula. Episod  Khamis  yang  lalu  adalah  satu  isyarat  awal.  Adakah  sesiapa  yang mendengarnya?

-MGG Pillai-
  pillai@mgg.pc.my >>>>>>>>>>>>>>>>>>MT 14.3.2001<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<