Chiaroscuro  Kg.  Medan

Kg.  Medan:   Mencantas  Bisul Dengan Parang Panjang
(MGG: Kg.  Medan:  Lancing the  boil  with  a  machete)



16:13,  Rabu:  Berita  angin  mudah  menular    pantas  dalam  keadaan  yang lompong. Benar  ataupun  tidaknya  sesuatu  berita  itu  akan disambut  dengan mulut  yang melopong.   Sudah  lumrah  manusia  memikirkan  perkara  buruk  terhadap   sesuatu. Desas-desus  memang  membiak  apabila  perkara  sebenar  diselewengkan, dan mereka  yang sepatutnya membetulkan  berita songsang  itu menjadi   cuai  dan  lalai  dengan memberikan  gambaran   yang  lebih  teruk  lagi.  Inilah  yang  tidak  boleh  dihentikan oleh  kerajaan dengan  hukum undang-undang  sahaja.

Itu  sebabnya   Abdullah  Badawi  yang  melawat  kawasan  itu pada  Isnin  yang  lalu, telah  disambut  oleh  jeritan  dan  sindiran yang  mudah  merebak  lebih  pantas   lagi daripada  berita  angin. Seperti  kelazimannya  dia  telah  berucap  mengenai  perpaduan negara  dan  kepentingannya  seolah-olah  dia  berada  di atas  pentas  satu  majlis persidangan  antarabangsa.  Kehangatan  dan  keperihatinan  orang  yang  mendengarnya memang  jelas  tiada.

Media   massa  telah  memberikan  liputan  meluas  kepada lawatan  Abdullah itu. Tetapi, tidak  juga  ada   berita  yang  mampu  menumpulkan  berita  angin  ataupun  yang  membolehkan  seseorang   membuat  penilaian tersendiri. Pihak  akhbar  sengaja melaungkan  tema perpaduan  dan  nasionalisme  sambil menjulang  nama  pihak  yang berkuasa seolah-olah  mereka  adalah  juara  yang  mampu  menangani  keadaan  yang mencabar. Dalam  perkara  ini  mereka  sudah  menjadi  pihak  dicabar  yang sudah tersepit.  Paklah  tentu  telah  disambut  dengan  baik  kalau  dia  menghadapi masalah yang timbul  itu secara  berterus  terang.

Presiden  MIC, S. Samy  Vellu  tidak  muncul lebih  awal  lagi  kerana keselamatannya yang  tidak  terjamin   oleh sesiapa. Itulah  alasannya  sambil  memberi keyakinan betapa  kerajaan sudah  menguasai  keadaan  dan  tempat  itu selamat  untuk  orang ramai bergerak  secara  bebas semula.

Rakan  kabinet  Samy yang  juga  ahli  parlimen  Lembah  Pantai  mengadakan  lawatan rumah-ke- rumah  di  kawasan  parlimennya yang  terletak  satu  kilometer  jauhnya. kerana  di situ  keganasan  sudah  menular  pula. Sedangkan  kerajaan  sudah  berkata bahawa  keadaan sudah  terkawal  di tempat  asal  berlakunya  keganasan  itu. 

Jadi,  apakah  Abdullah  mengatakan  perkara  yang  sebenarnya?    Bagaimanakah dia mahu  menjelaskan  apa  perlunya  600 orang   (oh….naik sikit  lagi  jumlahnya? - penterjemah)  anggota  polis  bersenjata  lengkap mengepong  kawasan  itu?   Kenapakah dia  tidak  mengambil  tindakan  ke atas  ahli dewan  negeri   yang  menuduh  kaum  India  memulakan   serangan  ke atas  orang  Melayu, sedangkan  dia  bertegas  bahawa episod  itu bukannya  berunsur  perkauman?  Kenapakah  polis   mengeluarkan  kenyataan terperinci  akan  mereka  yang  ditangkap, tercedera  ataupun  mati?  Kenapa  pula  pihak  media  digalakkan  menyiarkannya?

Sebagai  seorang  setiausaha   Majlis  Gerakan  Negara  (MAGERAN)  yang ditubuhkan sebaik  sahaja   tercetusnya  rusuhan Mei  13, 1969,  Paklah  tentu  sedar  akan  tabiat manusia   membalas  dendam  di kalangan     masyarakat  yang terkepung?   Kini,  dia sudah  menjadi  menteri  dalam  negeri,  tetapi kenapakah dia  tidak  melaksanakan tindakan  untuk  membendungnya?   Kenapakah  kini  sudah  muncul  satu  perasaan   bahawa ada  sesuatu  yang diselindung  oleh kerajaan  daripada  apa  yang  diberitahu kepada rakyat  marhaen.

Saya  faham  keresahan  kerajaan. Lagi pun  pemimpin  pemuda  Keadilan  dan juga anak kepada  seorang  ketua  bahagian UMNO,  Ezam  Mohamad  Noor,  yang  baru-baru  ini  ditahan   kerana  hasutan, berasal  daripada  Kampung  Medan.

Apakah   tindakan  kerajaan itu disebabkan   perkara  ini?  Itukah  sebabnya  pihak polis  ditugaskan  di situ  dengan  segala  kelengkapannya?   Apakah  kerajaan beranggapan  bahawa  sambutan  kasar  rakyat  marhaen  kepada  ketibaan  menteri  besar Selangor   disebabkan   masalah  politik  sahaja dan  bukannya   kerana  kerajaan  telah mengabaikan   kawasan  itu  selama  ini?

Bisul  yang  Menanah

Akhbar ‘The  Star’  ada  mengatakan,  sudah  bertahun  lamanya  kawasan   yang di pinggir  Jalan  Kelang  Lama,   Taman  Dato’ Harun dan  Kampung  Lindungan,  di  mana wujudnya  sebanyak  47 penempatan  masyarakat  yang  melebihi  160,000 nyawa   terpaksa hidup  serba  kekurangan.  Jalan raya  sempit  yang  ditaburi  sampah-sarap,  longkang yang  tersumbat, bekalan letrik  yang  selalu  tergendala,  sikap  kerajaan meminggirkan    kawasan  itu,  kebajingan samseng-samseng,  dadah  yang  berleluasa, keganasan yang merupakan  cara  hidup seharian  dan suasana kehampaan   yang  nyata adalah lambang kehidupan  di  tempat  itu.


Semua   ini  tidak  dapat  diselesaikan  dengan  cara  Khir  Toyo  menjamu  selera  200  mulut  di majlis  makan  di  kediaman  rasminya  di  Shah  Alam.  Kenapa  tidak diadakan  jamuan  itu  di  kawasan  bencana?  Tentu sekali  ia  akan  membawa  kesan. Khir  Toyo  tidak  berani  melakukannya  di situ  kerana  dia  tahu  akan hilang  punca mendengar  pelbagai  soalan  yang  akan  menyerangnya.  Itulah  sebabnya dia bingkas  pulang  selepas  diejek  dan  disindir  bertubi  kali  ketika  pergi  melawat di kawasan  itu.

Kerajaan telah  mengambil  masa  yang  panjang  untuk  bertindak. Itu pun dilakukannya laksana  melepaskan  batuk  di tangga  sahaja. Keadaan  akan  berubah  seperti  sedia kala  semula.   Cara  menteri  kabinet  bertindak  adalah  laksana  mereka  dikejutkan daripada  aktiviti   yang  lebih  penting  lagi.  Apa  yang  tercetus  ditangani laksana mencantas  bisul bernanah  dengan  parang  panjang. Bukannya  dengan  gunting bedah. Itu  sebabnya  bisul  masyarakat  itu  terus  menanah  dan  kuman   barahnya berjangkitan  dengan mudah.

Berita  angin  memang  mudah  menular. Seorang  bayi  berusia  enam  bulan sedang memerangi  azabnya sebagai  mangsa  kepada  tindakan  manusia  yang  terlupa  akan  tata  susila  hidupnya.  Masih  belum ada  sesuatu  yang  meyakinkan  daripada tindakan kerajaan  walaupun  Samy  Vellu   menjanjikan  rumah  murah  untuk  mereka  yang teraniaya. Tentunya dia  maksudkan   tawaran  itu  kepada  kaum  India  yang menjadi mangsa  kerana   kawasan  itu yang paling teruk  pengalamannya.

Tindakan  Samy  Vellu itu  tentu  akan menyedarkan  seluruh  masyarakat  India betapa mereka  harus  bertindak  sedikit  ganas  untuk  mendapatkan apa  yang tidak mudah mereka  perolehi   mengikut  amalan kehidupan  yang  biasa. Kaum  India  di  kawasan  itu memang  telah   lama  dinafikan  rumah  kediaman  harga  murah  kerana  adanya pergeseran  dalaman  dalam  MIC  di  tempat  itu.

Isyarat  Songsang

Apabila  bencana  seperti  ini   meledak, usaha  berkhutbah mengenai  perpaduan  tanpa susulan peraturan  yang  positif  akan  berakhir  tanpa  kesan yang  positif juga. Sepatutnya  kerajaan  telah  mengajak  parti  pembangkang  untuk  berganding  bahu menangani   keadaan  dan  meredakan  ketegangan.  Inilah  yang  tidak  dilakukannya  kerana  inilah tindakan  yang tidak pernah  diamalkan.  Itu sebabnya  di Lunas, penduduk  di situ  beralih  daripada  menyokong  kerajaan.  Kini,  orang  Melayu pun sudah beralih  sama.

Bagaimana  tidaknya. Di tempat   itu seorang  wakil  rakyat  naik  ke atas dengan sokongan  padu  kaum India. Jika  tidak,  kerusi  kerajaan itu sudah lama  berpindah kepada   calon  parti  pembangkang.  Tetapi,  wakil  rakyat  yang  sama  telah  menuduh orang  India   kerana  menyebabkan  orang  Melayu  sengsara di  kawasan  itu, sedangkan kerajaan  Selangor  sengaja  terlupa  menunaikan  janji-janji untuk memancing undi, yang  dihamburkannya  di pemilu  dulu.

Keadaan  aman  tidak  boleh  dipulihkan  dengan  menyekat  berita  angin. Kerajaan mesti ada  pegawai  bertauliah  untuk  membetulkan segala  penyakit  yang  bernanah  di situ. Tetapi, inilah  masalahnya kerana  tidak ada orang seperti itu di situ.   Mungkin sudah  terlambat untuk memulakannya.   Malangnya,  pesanan  Abdullah   dalam lawatannya itu  telah  memberikan isyarat  yang  songsang. Berita  angin  dan desas-desus tidak ada kena  mengena  dengan  keadaan  yang  sudah  pun terjadi.

-MGG Pillai-
pillai@mgg.pc.my

>>>>>>>>>>>>>>>>>MT 15/3/2001<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<