MGG 5901 


Pemburu Yang   Kini Diburu
(MGG:  The Hunter Is Now The  Hunted)


Barisan Nasional,  terutama  sekali  UMNO,  kini  sedang  sibuk  menggagau bayang-bayangnya.  Ia  sudah  tidak  lagi  mampu  menabur  pengaruhnya.  Apa  pun  yang dilakukannya,  rakyat  marhaen tidak mahu  mendengarnya  lagi. Ia  pernah  mengarahkan sebuah  persatuan   bekas  pelajar,  GPMS,  untuk   menganjurkan  satu  himpunan  rakyat di  seluruh negara   untuk   mencari  perpaduan  Melayu. Tetapi, asas kewujudan  GPMS ialah  untuk  mendapatkan kontrak  dan   peluang  niaga   untuk  ahlinya  dan  tidak pun arif  dalam  hal  ini sedangkan   orang  Melayu  sudah  tidak lagi mempercayai kepimpinan   UMNO.  Walaupun  sudah  berada di puncak persada keangkuhan  seperti  UMNO, ia  masih  tidak  tahu  memukul  rebana UMNO – kerana  pemukul  rebana  itu mungkin sibuk  menagih  kontrak  di  Ougadougou.


Laungan tersohor Perdana  Menteri  agar  dilancarkan  persidangan perpaduan Melayu sudah  menjadi  satu  alasan  untuk menyelamatkan UMNO    daripada bencana  yang menghantuninya.   Tetapi, laungan  itu  sudah  menjebak  UMNO  dalam satu perangkap lagi:  rencana perundingan  itu  masih  berserabut  keadaannya.  PAS  masih  bertegas mahukan  pra-syaratnya  dipenuhi  oleh  UMNO  dulu  sebelum boleh  mereka bertemu.  BN dan  UMNO sudah  tidak  mampu  bertindak  angkuh  sekarang ini kerana  sudah turun martabatnya  kepada bertindak  tuduh menuduh  pihak  pembangkang semata-mata.

Kerana  itu,  GPMS  bertindak  mengungkit  gelagat  menteri  besar  Terengganu (The  Sun  13 Mach 01) yang  menyebut betapa   kumpulan mahasiswa Malaysia lebih  berpihak kepada parti  pembangkang. Dalam  pemilihan  majlis   pelajar  universiti  bukannya  calon UMNO ataupun  kerajaan yang  menang, tetapi  mereka yang cenderung memihak PAS dan parti pembangkang.  Masyarakat Melayu  sudah  pun berpecah-pecah dalam ideologi politik dan budayanya dan itulah  yang terserlah dalam cara mereka  berpersatuan  di universiti. Tetapi, GPMS  tidak  mahu  mengakui  hakikat ini. GPMS  memang  tidak  berupaya membuat penilaian  mengenai  perkara  ini.  Ia  tidak  mampu  masuk  kampus  membuat kajiannya sendiri kerana sokongan  yang  digembar-gemburkannya adalah   satu khayalan
semata-mata.


Pendapat  Haji Hadi  memang lebih   benar daripada  anggapan GPMS. Kerajaan telah menegah  pelajar   universiti bergiat cergas dalam politik, sedangkan  pelajar  kita  di universiti luar  negara  digalakkan  menubuhkan Kelab UMNO.  Masyarakat pelajar terus dipinggirkan dengan adanya  rantai  yang membelenggu  pergerakan  mereka. Kerajaan  tidak  sedar betapa  rintihan  dan  kejelekan  rakyat  itu  terperam  laksana  pekasam yang meledak  kuat  sebaik  sahaja   timbalan perdana  menteri dipecat dan  diaibkan. Barulah kerajaan  sedar  betapa ia sudah kehilangan  kesetiaan masyarakat  pelajar
Malaysia di universiti.


Kini, tidak  ada  menteri  kabinet  Barisan  Nasional   ataupun  ahli politiknya  yang berani  melangkahkan  kaki ke gerbang  universiti untuk  berinteraksi  dengan  masyarakat  pelajar.  Menteri  Pendidikan  (yang  proksi  ataupun  yang  sebenarnya–penterjemah) boleh  menuturkan  pelbagai ugutan  untuk  mendera  masyarakat   pelajar  universiti itu,    tetapi  mereka  tidak  akan  mengindahkannya. Timbalan  perdana  menteri Abdullah Badawi    terpaksa  berucap  kepada  pelajar  universiti  selepas  menghadiri satu majlis di  Universiti   Malaya,  tetapi  tidak  ada  seorang  menteri kabinet   yang berani  secara sukarela  berbuat  begitu  di  kampus  universiti.   Barisan  Nasional telah  kehilangan  sokongan    para  pelajar  universiti  kerana  keangkuhannya  dan sokongan mereka   di   luar negara  kerana  mengabaikan  mereka.

Kalau  apa  yang ditegaskan  oleh  GPMS  itu ada  kebenarannya,  sudah  tentu banyak bukti  yang  boleh  ditonjolkannya.  Tentu  sekali   bukti-bukti itu   tidak  mudah diperlekehkan  oleh  media perdana.   Tentu  sekali  kerajaan  telah  merestukan  mereka (GPMS)  pergi  ke  Kg.  Medan  untuk  meredakan  ketegangan  isu  perkauman yang  meledak dan  menumpulkan  usaha  pembangkang. Tentu  sekali perkara itu telah dijalankan  kalau GPMS  ada  keupayaannya. Memadailah  dengan  lakonan  GPMS  menyatakan kesedihan  mereka  dengan  tindakan  pembangkang  membabitkan  masyarakat  pelajar universiti  pula. Sedangkan  tidak  ada  yang  berhak  menarik  minat  pelajar  berpolitik  tanpa kerelaan dan  minatnya.

Mahasiswa dan  mahasiswi  universiti  terpaksa  memilih  calon  yang  cenderung kepada UMNO  ataupun  PAS. Pelajar  universiti  memang sudah arif  siapakah  pilihan  mereka. Tentu bukan calon yang pekat pengaruh  UMNO. Dalam hal ini GPMS  berpendirian,   adalah salah kalau pemimpin  PAS  membuat laungan  bahawa  calon PAS  yang  menjadi pilihan pelajar  universiti   itu.  Inilah  sikap  anjing  yang tertambat  yang menjadi  amalan UMNO yang  ditonjolkan, bukannya disebabkan GPMS berminat sangat dengan masalah para mahasiswa itu ataupun  perkara  yang  lain  lagi. Itulah  sebabnya UMNO  sibuk  mengejar bayang-bayangnya  sahaja  sehingga  sudah  wujud  satu  suasana  di mana yang memburu itu kini  sudah   menjadi  pihak yang  sedang diburu  pula.


-MGG Pillai- pillai@mgg.pc.my
Rabu  Mac 14, 2001.

Catatan  Penterjemah:

Bidalan  “Dog  in  the manger” boleh  disamakan  dengan  ‘anjing yang tertambat.’Memang  dasar  anjing  apabila  ia  tertambat  di pondok  kecilnya  dia   akan menyalak kepada  anjing  lain  yang  lalu  di  kawasannya  seolah-olah iri hati kepada anjing yang berseronok menggunakan  apa  sahaja  yang tidak  dapat  di nikmati  kerana keadaannya  yang  tertambat  dan  tidak  bebas  lagi.   Diharapkan  penggunaan bidalan membabitkan anjing  oleh  MGG Pillai  itu tidak  disalah-ertikan seperti  ada  orang tertentu  yang  menyalahkan  Hishamuddin  Rais yang  menggunakan  pepatah “memikul biawak  hidup”  dan  mengaitkannya  kepada Mahathir. Oleh kerana  tidak  arif  dalam bidalan lama  itu ada  pembodek  UMNO yang marah  kerana  menyamakan  Mahathir  dengan biawak  pula. Takkan  boleh  sama  kaitan anjing dan  biawak kepada  seorang “Firaun Yang  Baik”.

-MT-
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>15/3/2001<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<