Juwara jelajah negara selamatkan wang rakyat

Oleh Ismail Hashim

ALOR SETAR, 16 Mac (Hrkh) - Jawatankuasa Selamatkan Wang Rakyat (Juwara) kini menggiatkan kempen menyedarkan masyarakat negara ini tentang perlunya mengambil tindakan tertentu terhadap pihak tertentu yang didakwa menyalahgunakan wang rakyat.

Juwara yang dipengerusikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar menjelajah negara dengan membawa mesej 'selamatkan wang rakyat' daripada dipergunakan sesuka hati oleh pemimpin berkenaan.

Kempen yang mendapat kerjasama terbaik dari semua pemimpin pemuda Barisan Alternatif itu telah dilancarkan di Pusat Tarbiyah PAS, Taman Melewar pada 2 Mac lalu.

Baru-baru ini pada 14 Mac lalu, mereka telah menyebarkan beribu-ribu risalah khas Juwara yang berkisar tentang beberapa penyelewengan di sekitar bandar Alor Setar.

Antara isi risalah itu adalah "Skandal saham MAS: 1,336 rakyat buat laporan polis', 'Naluri untung RM24.2 juta setahun setelah jual MAS' dan 'Kisah Pendekar Hutang Lapuk'.

Kedah menjadi negeri ketiga gerakan kempen Juwara itu selepas Johor dan Kelantan.

Haji Mahfuz dan Ketua Pemuda KeADILan, Ezam Mohd Noor sendiri mengetuai gerakan itu yang mendapat perhatian masyarakat tentang usaha yang Juawara lakukan.

Turut serta adalah Ketua Pemuda PAS Kedah, Aris Awang dan Ketua Pemuda KeADILan Kedah, Mochtar Mansor dan semua AJK mereka serta pemuda-pemuda.

Para muslimat dari Dewan Muslimat PAS Kedah yang diketuai oleh Setiausahanya, Ustazah Fatimah Wan Teh dan pimpinan Wanita KeADILan juga turut serta.

Sebanyak lima tempat tumpuan orang ramai telah menjadi pilihan Juwara pada kali ini iaitu di Pekan Rabu, Star Parade, City Point, Simpang Kuala dan Kompleks Terminal Bas Syahab Perdana.

Sebelum bergerak, Haji Mahfuz dan Ezam telah ditemui para wartawan dalam satu sidang akhbar terbuka berhampiran Jejambat Pekan Rabu bersebelahan tempat menunggu bas awam.

Mereka menjelaskan, kempen Juwara itu adalah untuk menyelamatkan wang rakyat dari digunakan untuk mengkayakan beberapa individu kroni pemimpin BN dengan menafikan hak rakyat terbanyak.