ISU SEMASA: Kg Medan

Assalamualaikum,

Minggu ini, minggu kedua bulan March 2001, satu minggu yang akan dikenang sebagai minggu yang paling bersejarah selepas tragedi 13 Mei 1969 kira-kira 32 tahun yang lalu. Kadang-kadang tak terfikir di pemikiran kita bahawa kita akan menyaksikan sekali lagi drama 13 Mei di bumi Malaysia ini seperti mana kita tak pernah terfikir akan kejatuhan empayar Soviet atau pun runtuhnya tembok Berlin dalam masa hayat kita.

Begitulah juga dengan tragedi berdarah bulan March 2001 ini; tak siapa pun yang menduga ia akan meletus secara tiba-tiba. Bukannya ada angin dan bukannya ada pokok, tapi ia berlaku juga seperti apa yang berlaku. Lalu, ianya membuatkan saya terkenangkan satu "Quote of the Day" dari majalah Times Magazine yang pernah saya simpan suatu ketika dulu, tapi kini sudah hilang entah di mana. Quotation itu memetik kata-kata seorang Pemuda Islam Kosovo yang memetik kata-kata ayahandanya yg berumur hampir 80 tahun yang pernah berkata bahawa adalah mustahil orang-orang Serb jiran mereka akan menyerang keluarga beliau kerana mereka sudah pun hidup aman sekian lama. Tapi, akhirnya beliau terpaksa menelan kembali kata-katanya itu apabila jiran Serbnya sendiri yang menyerang dan membunuh beliau hidup-hidup. Kadang-kadang apabila berhadapan dengan isu perkauman yang serupa ini, ada benda yang kita tak mampu nak huraikan dengan kata-kata, noktah!

Berbalik dengan isu Kg Medan yang sedang melanda negara sekarang; izinkan saya mengulas isu ini di celah-celah patah perkataan yang amat terbatas  ini - untuk rujukan masa depan. Buat pengetahuan, segala catatan ini adalah catatan peribadi untuk journal persendirian saya yang saya abadikan di website peribadi saya. Seperti yang saya tulis di laman saya itu, segala catatan saya ini adalah pendapat peribadi dan tidak melambangkan pendapat mana-mana pihak atau pun mana-mana organisasi.

Oleh kerana isu ini melanda begitu cepat, tanpa angin dan tanpa ribut; lalu apabila kita bersembang dengan rakyat kebanyakan terutamanya di luar Kuala Lumpur, kita akan ditanya apakah sebenarnya yang berlaku dan apa punca asalnya?

Sebagai rakyat jelata yang perlu sesekali ke Kuala Lumpur untuk apa-apa urusan peribadi mahu pun rasmi, kita jadi curious, nak tahu dan betul-betul nak tahu apa yang sebenarnya telah dan sedang berlaku di sana.

Lalu, kita cuba buka TV atau pun dengar radio atau mula berbaik kembali dengan Utusan dan Berita Harian; malangnya jawapan yang dicari tak mampu kita temui . Yang kita dengar ialah berita-berita kecil dan besar yang memetik kenyataan pemimpin2 kerajaan meminta orang awam seperti kita jangan dengar khabar2 angin.

Masalahnya, orang-orang di luar Kuala Lumpur seperti saya ini, bukan sahaja khabar angin, tapi khabar yang tak berangin pun kita tak dengar. Lalu, bila kita mendengar kes ini sudah melalut-lalut hinggakan ada yang terbunuh, kita pun mula rancak bertanya khabar; semua khabar kita cari  baik yang berangin mahu pun yang tidak berangin. Kita cuba juga cari di celah-celah berita yg meminta kita jangan percaya kpd khabar angin itu, tapi malangnya cerita asal tak juga kita temui. Kita cuba masuk pula ke mana-mana website baik yang pro pembangkang mahu pun yang pro-kerajaan. Malangnya setiap website ini bagaikan mulut terkunci; entah kenapa masing-masing kelihatannya cuba mengelak daripada bercakap mengenai isu ini, seolah-olahnya mereka semua tidak bersedia berhadapan dengan isu yang meletus secara tiba-tiba ini. Adalah dirasakan isu ini bukan sahaja menjadi satu dilema kepada BN tapi juga menjadi satu permasalahn baru yang perlu dilihat dari dimensi yang berlainan kepada Barisan Alternatif.

Ada pun sebagai rakyat biasa, saya tidak peduli semua itu; saya masih cuba mencari, masih ingin tahu punca asalnya; malangnya cerita yang saya dapat melalui beberapa mailing list dalam internet ini bunyinya berbagai-bagai; tidak ada yang begitu tepat dan pasti.

Lantas saya cuba buka website luar negeri, dari Singapura; ini cerita yang saya dapat. Oleh kerana berita ini disiarkan dalam akhbar the Straits Times, saya rasa kredibiliti ceritanya boleh dipercayai.

Berikut adalah cerita yang digarapkan oleh pemberita akhbar berkenaaan:

"Bahangnya bermula dua Ahad yang lepas, hari di mana sebuah keluarga Melayu sedang mengadakan kenduri kahwin dan satu keluarga India berdekatan sedang bersiap untuk mengkebumikan salah seorang ahli keluarga mereka yang meninggal.

Salah seorang India tersebut naik marah apabila melihat khemah kenduri dinaikkan di atas jalan di luar kawasan rumah kenduri yang dilihatnya akan menghalang perjalanan perarakan mayat tersebut. Lalu, beliau menunggang motosikalnya masuk ke khemah tersebut sambil menendang kerusi dan meja habis bertaburan, kemudian cabut lari. Tak berapa lama kemudian, beliau kembali lagi, kali ini dengan 10 orang lelaki yang bersenjata; mereka menyerang bapa pengantin tersebut dan salah seorang keluarga pengantin berkenaan. Keesokan harinya satu kumpulan orang-orang yang tidak dikenali pula telah masuk ke kawasan India di situ dan merosakkan beberapa buah kenderaan.

Pada hari Rabu berikutnya, berlaku pula Insiden No 2; di mana dua kumpulan orang India terlibat dalam satu accident kenderaan, hampir nak bergaduh sesama mereka sebelum dua orang lelaki Melayu masuk dan cuba meleraikan pergaduhan tersebut. Entah macam mana, bertengkar punya bertengkar, last-last kedua-dua kumpulan tersebut menyerang pula kedua-dua lelaki Melayu berkenaan.

Berita serangan ini kemudiannya merebak bagaikan angin di kawasan berkenaan. Beberapa jam kemudian, cerita ini telah ditokok tambah dan dibubuh gulai seenak rasa. Maka bahangnya jadi bertambah panas, tunggu masa sahaja hendak meletup.

Nak dijadikan cerita pula; keesokan harinya pula seorang budak lelaki Melayu yang bermain dengan lastik telah menyebabkan sebuah lori India pecah cermin. Si tuanpunya lori ini meminta gantirugi dari ayah budak kecil ini; masalahnya ayah budak itu tak puas hati sebab tuanpunya lori tersebut menggunakan bahasa yang kasar ketika meminta gantirugi berkenaan. Walaubagaimana pun, kedua-dua pihak akhirnya mengalah tetapi tidak sebelum berlaku ugut mengugut antara kedua-dua belah pihak.

Di ketika inilah, perasaan marah yang membara antara kedua-dua belah pihak mula terbakar sepenuhnya; masing2 mula melengkapkan diri dengan berbagai senjata kerana mempercayai khabar-khabar angin bahawa pertempuran India Melayu akan berlaku tak beberapa lama lagi. Bukan sahaja orang lelaki yang melengkapkan diri dengan senjata, malahan surirumah juga terlibat; contohnya Puan B. Parameswary, 28 tahun juga tak mau ambil risiko; beliau membuat senjata sendiri dengan paku2 tajam yg dipaku pada sebatang kayu.

Maka, seperti yang berlaku, dengan adunan rasa marah dan dendam yang membuak-buak, di celah-celah rasa takut dan prasangka yang berbaur dalam dada; maka segala apa yang sudah tersimpan selama beberapa hari itu pun meletus pada tengah malam hari khamis berkenaan. Apa yang kita saksikan sekarang ini adalah rentetan dari peristiwa yang digariskan di atas. "

[Kisah di atas saya terjemahkan secara bebas dari http://straitstimes.asia1.com.sg/asia/story/0,1870,29384,00.html?]

Untuk seketika, saya rasa sedikit puas kerana punca cerita asal, walaupun tidak kesemuanya, sekurang2nya jalan ceritanya saya temui jua.

Persoalannya sekarang, menulis dari dalam diri, saya merasakan bagaikan ada semacam satu conflict dalam dada apabila berhadapan dengan isu yang meletus secara tiba-tiba ini. Saya bagaikan kaku, secara tiba-tiba jadi bisu apabila ditanya oleh kawan-kawan pendapat peribadi mengenai isu ini. Sebagai ahli PAS, saya perlu akur dan berwala' sepenuhnya kepada pucuk pimpinan yang masih merasakan bahawa p/raya masih lagi mampu dijadikan wadah untuk menegakkan cita-cita perjuangan. Sebagai orang Melayu pula, sentimen kemelayuan yang tersemat di dada terutama di hari-hari bersama UMNO dulu masih lagi karat bersemi walaupun sudah sekian lama cuba disemai dengan benih-benih bencikan assabiyah dan cintakan Islam; dan akhir sekali sebagai orang Islam yang punya syahadah dalam dada; saya cukup sensitif apabila mendengar ada orang-orang yang punya satu syahadah dengan saya diperlakukan dengan sewenang-wenangnya seperti apa yang berlaku di Maluku, di Kalimantan, di Chechya dan di mana sahaja.

Kerana itu, agak sukar bagi saya untuk membuang ketiga-tiga perasaan di atas apabila berhadapan dengan isu Kg Medan ini. Pun begitu, di celah-celah konflik dalam dada itu, izinkan saya membawa tuan-tuan melihat perspektif politik Melayu yang mungkin tidak atau pun kurang dipahami oleh bangsa lain di Malaysia ini.

Perpecahan Melayu di Malaysia ini pada hakikatnya hanyalah wujud pada istilah politik sahaja; iaitu bermakna Melayu cuma berpecah dari sudut ideologi politik; tetapi apabila berhadapan dengan sesuatu isu yang mencabar ketuanan mereka seperti isu 13 Mei dahulu, Melayu yang berpecah ini mudah bergabung semula melalui pertalian syahadah yang ada dalam setiap dada mereka. Inilah sebenarnya hakikat politik Melayu. Jika ini dapat difahami oleh semua pihak; tanpa bertujuan merujuk kepada isu Kg Medan ini, insyaallah tragedi berdarah seperti 13 Mei itu tidak akan berulang lagi di bumi Malaysia ini.

Merujuk kepada tulisan-tulisan di sesetengah website di Internet ini yang menyatakan bahawa isu Kg Medan ini adalah cetusan idea atau telah dirancang sedemikian rupa oleh Dr Mahathir untuk mendapatkan kembali undi Mahathir; saya terpaksa memilih untuk tidak bersetuju dengan jalan cerita tersebut.

Bagi saya, isu Kg Medan ini jika terus melarat, orang yang paling malang, yang paling pertama akan memikul kesan daripada kes ini ialah tidak lain tidak bukan Dr Mahathir sendiri. Jika tuan-tuan dan puan-puan perasan; Tunku Abdul Rahman jatuh selepas rakyat sudah tidak percayakannya lagi selepas kes 13 Mei. Suharto juga jatuh selepas peristiwa berdarah seakan 13 Mei berlaku di Indonesia pada bulan Mei 1998. Mereka berdua jatuh setelah dilihat rakyat sebagai sudah tidak punya power lagi sehinggakan rakyat berani bergaduh dan bersengketa sesama sendiri hingga berbunuh-bunuhan. Begitu juga dengan Gus Dur sekarang; rakyat sudah mula turun ke jalan-jalan menuntut beliau meletak jawatan selepas apa yang dilihat sebagai pembunuhan kaum yang tidak terkawal di Kalimantan sana.

Adalah dirasakan bahawa Mahathir sedang berada dalam dilema sekarang; kematian dan kecederaan orang-orang India akan memungkinkan Mahathir mulai kehilangan kepercayaan di kalangan masyarakat India di Malaysia. Jika ini berlaku, maka ada kemungkinan beliau akan berhadapan dengan satu situasi di mana bukan sahaja orang Melayu dan Cina sudah tidak mempercayainya, tetapi juga orang-orang India turut berperasaan yang serupa.

Mungkin kerana itu agaknya, kita melihat Sammy Vellu melalui MIC cuba sedaya upaya untuk menjaga hati orang-orang India seperti menguruskan penerbangan mayat Chandra balik ke India, menyediakan rumah murah untuk keluarga salah seorang mangsa yang mati; dan yang terbaru dan amat mengejutkan ialah pengumuman Sammy Vellu bahawa kabinet telah bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM20 juta untuk meningkatkan taraf hidup kaum India di Malaysia.

" THE Malaysian government, admitting that urban poverty had led to gangsterism among Indian youth, has approved a RM20-million  (S$9-million) allocation to aid the impoverished community. " [Singapore Straits Times 14/3/01]

Dari sudut politik, kesemua tindakan ini bolehlah dilihat sebagai satu damage control untuk memulihkan kembali kepercayaan orang-orang India terhadap BN khususnya terhadap kepimpinan YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Jika kepercayaan masyarakat India ini terus terhakis, dalam keadaan di mana majoriti masyarakat Melayu dan Cina sudah pun membelakangi beliau, maka ada kemungkinan Dr Mahathir hanya menunggu masa sahaja untuk mengikut jejak langkah Tunku Abdul Rahman, Suharto dan juga Gus Dur sekarang.

Berbalik kepada isu Kg Medan; apakah penyelesaian yang terbaik sekarang?

Sebagai rakyat biasa, saya tak punya pandangan yang begitu jauh seperti kebanyakan ahli-ahli politik kita di atas sana, tetapi jika diminta pendapat, saya akan katakan bahawa sejarah Kg Rawa mungkin boleh dijadikan iktibar.

Di kampung Rawa tempoh hari, cara yang digunakan oleh sdra Anwar nampak ada kesannya. Selepas keluar gambar wakil Masjid Kg Rawa dan wakil Kuil Raja Mathuraiveeran bersalaman dan bermaafan di kaca TV dan muka depan akhbar perdana, kes tersebut mula beransur padam. Secara psikologi, mereka2 yang bergaduh sudah tidak punya sebab lagi untuk bertempur kerana dua pihak yang jadi pencetus kejadian tersebut sudah pun berdamai, jadi apa perlu bergaduh lagi. Maka itu, dalam isu Kg Medan ini,apa salahnya jika pihak2 yg berkenaan guna cara yang sama, tunjukkan gambar bapa pengantin dan lelaki yang menendang kerusi dan meja itu bersalaman secara life di kaca TV; dan begitu juga dengan lelaki2 yang bergaduh angkara accident kereta tersebut dan juga lelaki India dan bapa budak Melayu dengan anaknya berserta lastik-lastik sekali; mungkin dengan cara ini, kes ini akan beransur reda.

Dari sudut yang lain pula, isu Kg Medan yang meletus secara tiba-tiba di celah-celah kemelut politik negara yang tidak berkesudahan ini, tidak dapat tidak menyebabkan ianya terbuka untuk dieksploitasikan oleh pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik atau pun perjuangan masing-masing.

Melihat berita-berita mutakhir di mana pemimpin2 kerajaan menyerang parti pembangkang kononnya membuat tuduhan yang bukan2 seperti jumlah kematian yang lebih daripada yg yg dilaporkan, dan yang paling sensasi ialah kenyataan politik daripada Dr Mahathir sendiri yang menyatakan bahawa memang pun pembangkang mahukan rusuhan ini berterusan supaya dengan cara ini kerajaan yang ada akan tumbang. Sebelum itu pula, seperti yang kita tahu, atas nama Kg Medan juga perhimpunan politik di selangor diharamkan - dan ini adalah blessing in disguise kpd pihak parti yang menjadi kerajaan kerana seperti cerita serampang dua mata, kemaraan pergerakan reformasi yang mula bernafas kembali selepas p/raya Lunas baru2 ini kini bagaikan terbantut di tengah jalan. Penangkapan Ezam yang dilihat orang sebagai memanaskan lagi api reformasi, tapi kes Kg Medan ini menyebabkan api itu secara tiba-tiba mula nak terpadam. Pendek katanya, parti BN sebagai kerajaan sedang meraut keuntungan daripada tragedi berdarah ini.

Pun begitu, jika Dr Mahathir rasa selesa dan senang dengan keadaan ini, beliau mungkin tersilap tafsir. BN mungkin untung kerana rakyat khususnya mereka yg berada di atas pagar, atas dasar takutkan pergaduhan yg serupa dari merebak ke seluruh negara, mereka mungkin akan berpihak kpd BN. UMNO pula mungkin dapat sedikit untung kerana orang2 Melayu khususnya mereka yg berada di atas pagar, atas dasar merasa cemas dengan keberanian orang2 bukan Melayu, dulunya Suqiu kini pula Hindu, mencabar orang2 Melayu secara terbuka; mungkin akan kembali kpd UMNO untuk perlindungan. Ringkasnya, jika jarum politik BN dan UMNO berjaya dipentaskan dengan penuh keyakinan; BN dan UMNO mungkin akan dapat meraih durian runtuh daripada tragedi malang Kes Kg Medan ini.

Bertambah untung lagi jika sekirangnya ada mana-mana pemimpin2 pembangkang yg dicekup ataupun dipenjarakan kerana membuat tuduhan dan kenyataan palsu mengenai kejadian ini. Mungkin itulah agaknya yang pemimpin BN dan UMNO, termasuk YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad rasakan.

Kalau itulah yg Dr Mahathir fikirkan, beliau mungkin tersilap; yang untung mungkin UMNO, tapi bukan Dr Mahathir. Kejadian Kg Medan yang boleh dilihat menjurus ke arah tragedi berdarah 13 Mei ini sebenarnya adalah satu keranda politik buat Dr Mahathir. Kes Kg Medan ini mendedahkan kelemahan Dr Mahathir sebagai pemimpin kerajaan; kes ini mendedahkan kepada kita bahawa rakyat baik Hindu baik Melayu sudah tidak hormat lagi pada pemimpin negara dan sudah tidak takut lagi pada undang2 hinggakan tergamak mengambil tindakan sendiri. Jika mereka ada sedikit rasa hormat kpd pemimpin dan rasa takut kpd undang2, tentu tidak akan berlaku rusuhan hingga berbunuh-bunuhan.

Rakyat mula merusuh dan membunuh secara sembrono di kala mana pucuk pimpinan yg ada sudah tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat jelata seperti apa yang kita lihat berlaku kpd Tunku sebelum kejadian 13 Mei, berlaku kpd Suharto sebelum rusuhan berdarah melibatkan kaum pribumi dan orang2 Indonesia berketurunan Cina dan sedang berlaku kpd Gus Dur selepas rusuhan kaum di Kalimantan.

Maka itu, sebagai seorang peminat setia politik negara, saya merasakan Kes Kg Medan ini sedikit sebanyak akan memberi kesan yang serupa kepada usia pemerintahan Dr Mahathir di Malaysia. Jika umur panjang, kita akan berkesempatan menyaksikan keruntuhan empayar Dr Mahathir sepertimana kita lihat runtuhnya tembok Berlin tempoh hari. Tidak ada benda yang mustahil di dunia ini.

Wassalam,
Ahmad Baharudin Kasbi