TAG  6301

Tangan Yang Membantu 
(Helping Hand) 

By Steve Levine Newsweek  October 13,1997.

Serban yang  melilit kepalanya  memang menonjolkan ketokohannya. Apa lagi  jubah putih yang menghiasi tubuhnya  dan janggut keputih-putihan  yang menghiasi dagunya. Sultan Amir  memang   menonjol sebagai seorang ketua suku kaum. Di Afghanistan,     dia sedang mengamalkan kerjayanya, pakaian  yang  dikenakannya  itu  adalah  semacam seseorang  yang memakai sut dan  tai.   Dia sudah  pun  menjadi  satu legenda kerana kepakaran yang memang  teristimewa; sebagai veteran pegawai perisik Pakistan, yang memang arif dengan segala latihan peperangan, penyusunan  organisasi,   penyelinapan,  dan indoktrinasi oleh kumpulan Beret  Hijau  di  Fort Bragg, North Carolina.   Para penyokongnya memberikan gelaran “Imam”  kepadanya.   Inilah  nama panggilan  yang diperolehinya 15 tahun yang lalu  di sebuah  kubu padang  pasir  di perbatasan. Di   sanalah  dia  melatih gurila Mujahiddin untuk melawan  penjajah Soviet  yang  sedang  menguasai Afghanistan. Inilah kisahnya   sebelum  wang   pemberian CIA (Central Intelligence Agency  - Jabatan Risikan Pusat   Amerika)  datang mencurah-curah.  Kumpulan anak-muridnya  memang menghormati beliau   mengikut  ajaran agama  dan budaya mereka dan inilah  yang  membuatkan beliau merasa bangga dengan mereka. Beberapa pejuang asuhannya  itu akhirnya menjadi pasukan pelopor  Taleban. Inilah  sayap  bersenjata    yang muncul  daripada  sikap menyepi  tiga tahun  dulu (ingat...! tulisan ini   bertarikh  1997-penterjemah)  dan  kini, inilah juga  pasukannya  yang  menguasai hampir keseluruhan  Afghanistan. “Setiap pemimpin Taleban, mengenal  Imam  secara peribadi,”   kata  Irfan  Siddiqi, seorang penulis Pakistan  yang memang kenal Amir secara mesra.    Anda  bolehlah  katakan bahawa beliau merupakan  penasihat mereka.

Para pelajar Amir  masih  lagi  mempelajari cara  mempraktikkan  ajarannya. Minggu  yang lalu angkatan Talkiban  telah diperteguhkan untuk mengepung Mazar-i-Sharif. Inilah  kubu kuat  terakhir  pihak penentang   yang  bersenjata.  Setiausaha  Agong  PBB Kofi  Annan telah merayu  agar dilaksanakan gencatan senjata untuk  membolehkan  kerja-kerja mengundurkan pekerja  sukarela  antarabangsa, bersama dengan ribuan  pelarian peperangan Tajik yang terperangkap   dengan  pertembungan   tembak-menembak.   Pemimpin Taleban enggan   menerima desakan  Kofi  Annan itu.  Setelah berusaha  dengan gigih yang menumpaskan banyak nyawa  dan  pejuang yang tercedera,  mereka tidak  ingin membahayakan hasrat meraih  kemenangan  yang  mereka  impikan.  Di  waktu  yang sama, di sebuah hospital wanita di  Kabul, pasukan   polis  Taleban yang amat digeruni telah menahan seorang wakil Suruhanjaya Eropah, bersama  18   pekerja  sukarela  dan  para wartawan. Di  antara  mereka termasuklah  William Shawcross, yang kemudiannya  menulis satu pengalaman  peribadinya  untuk  Newsweek.

Sejarah  kebangkitan Taleban memang  sudah  menjadi satu  bahan teka-teki  dan desas-desus pihak awam.  Kini, satu  penyiasatan terperinci oleh Newsweek  telah   menjejak asal usul kumpulan  itu  yang penuh misteri   dan segala sumber sokongannya  yang dibiarkan menjadi  bahan misteri  juga. Lapuran kami  mendedahkan kesahihan  di sebalik segala syak wasangka yang  tidak dapat diperakukan  mengenai  Taleban. Inilah  satu angkatan askar  bersenjata Afghan yang  belum  pernah  ada   saingannya dalam bentuk taktik, stamina,  kecanggihan  dan  keberkesanannya. Inilah juga  satu angkatan perang yang ditubuhkan dengan perancangan orang luar, wang  dan alat kelengkapan bersenjata. Ceritanya mempunyai kaitan  di antara  satu  pakatan   strategik di antara  seorang fanatik agama yang bermata cemeh dengan satu  kumpulan  yang  dituduh bersifat pengganas   dan   yang   diburu  oleh  dunia.  Di sini  juga  terselitnya  kisah perdombaan antara   dua  calon  yang bersaing   untuk  merebut  peluang   membina  satu  saluran paip  gas asli   dan  minyak  daripada  negara-negara Asia  Tengah  yang kaya  dengan hasil minyak  dan  gas  asli  dan  berminat untuk  menyalurkan  hasil  bumi  itu  ke arah pantai. Walaupun  tidak ada bukti sahih   yang   membayangkan  hubungan  erat di  antara   Taleban  dan  agensi perisikan  Amerika itu,  kumpulan  itu  menikmati sokongan padu dua  rakan   paling  akrab  Washington  di  rantau  itu – Islamabad  dan Riyadh. Taleban telah  membangun  menjadi  satu  angkatan   perang  yang  mengikut  perintah satu klik  kecil  Afghan  yang  sungguh  teokratik  yang  dipimpin  oleh  seorang mullah  yang cukup  berahsia  bernama  Mohammad  Omar.

Asal usul  Taleban bermula  pada awal 1980-an.  Ramai rekrut  yang  menjalani latihan adalah  manusia  yang  kuat  pegangan agama sehingga cenderung  digelar kumpulan fanatik.  Inilah kumpulan yang  dilatih  oleh Imam, seorang pegawai  khas (special-ops) Pakistan.  Sebelum itu  mereka  merupakan  pelajar  sekolah  agama tradisional di kampung-kampung.  Inilah  kumpulannya  yang disenangi  dengan  panggilan ‘taliban’ bererti pelajar.  Beberapa  pejuang elit  di  kalangan  pelajar  inilah  yang diserapkan dalam  pasukan bersenjata mujahidin.  Yang lainnya dibentuk  dalam satu  pasukan bersenjata   bersendirian  dengan  dipimpin  oleh  pemimpin  agama yang tidak mudah dipengaruhi  oleh  sistem  kabilah  (puak)  yang  lama. CIA  telah  mengirimkan ratusan juta dollar  untuk  membeli  senjata,  mengongkosi  latihan  dan  bekalan kelengkapan kumpulan  anti Soviet  untuk  mengnyahkan  mereka  dari  bumi Afghanistan. Ketika itu CIA tidak pernah  membezakan di antara  kumpulan  sekular  dengan  mereka  yang kuat pegangan agamanya.  Peperangan dengan penjajah  Soviet  terus  berjalan  dan  Saudi Arabia terus   membekalkan  wang  untuk  membina  sekolah Al Koran di kawasan penempatan pelarian  perang. Jumlah   angkatan  perang  di  kalangan  pelajar  agama itu terus bertambah  secara  berlipat  ganda. Pada1992,  regim   pemerintah  di  Kabul yang disokong  oleh  Moscow  pun  tumpas. Pelajar-pelajar  yang  dilatih  itu pun pulang ke kampung  halaman  mereka  untuk  bersekolah  semula  mengikut  cara  lama. Tetapi, mereka  terus  berhubungan  dan bersiap  sedia  kalau-kalau  khidmat  mereka diperlukan lagi.

Pada  1994  mereka  digerakkan  secara  mengejut.  Di waktu  itu  banjiran bantuan Amerika kepada  Islamabad  sudah  pun kering  setelah  pasukan  Soviets  mula keluar daripada Afghanistan  pada  1989.  Pakistan terlalu  terdesak  dan  memerlukan satu sumber pendapatan  yang  baru.  Benazir  Bhutto  yang   menjadi perdana  menteri ketika itu, menyusun satu   rancangan untuk  membuka  semula jalan  Sutera   daripada Karachi hingga  Asia  Tengah,  merintasi   Afghanistan.  Dia  tidak  hirau langsung betapa sebahagian   besar kawasan pendalaman  itu dikuasai  oleh  satu  kumpulan ‘pengganas’ yang  bersenjata. Pada  29 Oktober, satu  konvoi berjumlah  30 kenderaan semuanya, yang sarat  dengan  perubatan  dan  makanan telah memulakan perjalanannya  daripada sempadan Pakistan  menuju   Turkmenistan  melalui  bandar  Afghan di  bahagian  selatan yang bernama  Kandahar.  Amir  berada  di  bahagian  hadapan konvoi  itu.  Sama  ada dia memang  sudah  menelah  akan  tercetusnya   pergaduhan, adalah sesuatu  yang tidak dapat diamati.   Tetapi  itulah  yang  berlaku akhirnya.  Seorang  ketua perang tempatan bernama Niyaz  Wayand  telah  menyekat  konvoi itu  dan  merampasnya  setelah memukul Amir  dalam pertelingkahan  mereka. Berita  malangnya itu  tersebar  cepat hingga menggerakkan  satu  kumpulan  bekas anak muridnya  mengirimkan  satu  pasukan bersenjata untuk  menyelamatkannya.     Mereka  baham  ketua  perang  tempatan itu  dan membebaskan kumpulan  daripada  Pakistan itu. Oleh  kerana  mereka  terlalu  marah  dan bosan dengan   unsur  kebajingan  di  situ mereka   pun bertindak  untuk  merampas kuasa  di Kandahar.  Pemimpin mereka ialah  seorang  pendakwah  bermata  satu  yang bernama  Mullah Omar.

Kemenangan  yang  mengejutkan  itu  telah  mencetuskan  keghairahan  orang-orang Afghan. Kumpulan  mujahidin  yang  dilatih  di  sekolah membaca Koran memang telah  lama mengimpikan satu  usaha   menyelamatkan  Afghanistan daripada ancaman  anarki. Kini mereka  lebih ghairah   untuk mengembangkan  pengaruh  kepada  keseluruhan Afghanistan dengan  membuka jalan untuk  kemasukan  bekalan  bantuan kepada  pergerakan mereka. Bantuan bekalan yang  mereka terima termasuklah  dua  orang  pemandu kereta kebal  yang berpengalaman dan  juru terbang  serta  dua  orang  penasihat  risikan  tentera. Salah seorang   penasihat  risikan ini  ialah  Amir yang diberi  status  diplomatik untuk mudah  bertugas  di  bandar  Herat  yang terletak di  bahagian  barat  negara itu. Pengamatan  dari  negara luar,  kemunculan  Taleban itu  memang ternyata sungguh menakjubkan. Pakistan  berusaha  menyorokkan  segala kerja-kerja  pembekalan kepada mereka, sementara  tidak ada  langsung  sebarang bukti  pembabitan  CIA dalam ‘operasi’ bekalan  kemanusiaan itu.

Kejayaan  mereka  hampir  menjahanamkan  kumpulan  Taleban.   Kerana  semakin mabuk dengan  kemenangan  di  medan perang  mereka  semakin melupakan  arahan  yang dikirim daripada  Islamabad.  Pada Mach 1995,  Taleban telah  mengenepikan  amaran keras daripada  pasukan risikan  Pakistan dan  bergerak  untuk  menyerang  Kabul. “Pergerakan Taleban  ke arah  Kabul  adalah laksana  pergerakan orang gila,” kata  seorang diplomat. Kumpulan  Taleban  hanya  berjaya  mengusir keluar Gulbuddin  Hekmatyar, yang ketika itu  memang  sudah  lama  mengepung  Kabul  dengan segala  kelengkapan perang yang dibekalkan  oleh  pembekal perang Pakistan. Kemudian orang-orang Kabul telah memuntahkan meriam pertahanan mereka  hingga mengorbankan sekitar 400 orang pejuang Taleban, sebelum mereka sempat  lari lintang-pukang  untuk  menyelamatkan maruah juang.

Memang sukar  untuk Taleban  menang. Tetapi, ketika  itulah Arab Saudi dan  UAE (Persatuan  Emirat Arab)  mula mengirimkan bantuan dan  bekalan untuk melengkapkan kembali pasukan  pimpinan  Omar  itu.  Mereka  dibekalkan pula  dengan kenderaan tahan lasak dan  segala  kelengkapan  perang  yang  lain.  Riyadh  terus  menjadi pembekal dana  yang utama  kepada  kumpulan  Taleban dan  tukang bayar  gaji  ialah  Turki bin Faisal. Ketua  Risikan Saudi  ini  kerap  berunding dengan wakil perutusan Taleban di Riyadh. Sudah  wujud  suasana  ‘karot  dan rotan ’  kata  seorang  perisik barat. “Kerajaan  Saudi  mudah  memberi kalau Taleban didapati mengikut   arahan mereka.  Kalau Taleban  engkar,  bantuan itu ditangguhkan.”  Pada  pertengahan 1996, Saudi menangguhkan bekalan  mereka  menyebabkan   kumpulan Taleban menggelabah  pada  Ogos  tahun itu kerana  kekeringan  bekalan  yang  diperlukan.

Tidak berapa  lama kemudian mereka mulai  segar dan cergas kembali.  Pada  27 September, Pasukan  Taleban bergerak memasuki Kabul. Bekas  panglima  pemerintah mujahidin yang rapat  dengan Taleban menceritakan  betapa  bekalan terbaru muncul  dengan ihsan Osama bin  Laden, seorang  warga Saudi yang dikehendaki oleh  Jabatan  Kehakiman Amerika dengan tuduhan menaja  beberapa serangan  besar  pengganas  termasuklah  menggunakan sebuah trak  yang  sarat  dengan  bom letupan,   memusnahkan  berek tentera  Amerika di Khobar. Sumber-sumber Saudi,  Afghan  dan  negara-negara  barat   elah berkata Osama Laden telah menyediakan hadiah istimewa kepada  Omar berjumlah $3 juta  dollar.  Osama  yang ditaksirkan mempunyai simpanan  wang  berjumlah  $300  juta  dollar hasil warisan syarikat pembinaan   keluarganya, hidup  di  Khandahar bersama  ahli kumpulannya seramai 160 orang  sebagai salah seorang rakan karib Omar.   Bekas  panglima perang mujahidin berkata,  bekalan  wang yang  terbaru  itu  mampu  memperkuatkan Taleban setelah berjaya memancing ramai  para pejuang  Kabul  untuk  berpaling  tadah  dan menjadi ahli Taleban yang baru dan  melumpuhkan  kubu   kumpulan Kabul yang masih bertahan  itu.

Sebelum Kabul  jatuh ke  tangan Taleban, pentadbiran Amerika  Syarikat tidak ambil pusing sangat  akan kadar kekuatan Taleban. Ada  juga  beberapa  pegawai  pertengahan Jabatan Negara  yang  memuji  cara pergerakan  kempen Taleban  yang  mementingkan disiplin. Walaupun ketika  itu  Mullah Omar  sudah  mula  menyengat  dengan pelbagai fatwanya mengenai hak  kebebasan wanita. Beberapa  kumpulan  birokrasi  yang lain amat rungsing dengan  peranan  kumpulan  Taleban  dalam perdagangan  candu (opium) di rantau itu. Mengikut seorang pegawai kanan  pencegah  dadah  daripada  negara  barat dan beberapa orang Afghan yang  rapat  dengan Taleban, candu  sudah  lama  menjadi sumber kewangan kumpulan itu, yang mengutip ratusan  juta  dollar  “cukai”  dan  sumbangan daripada panglima dadah  tempatan.  Perdagangan  dadah dan ketuanan  kelakian  memang perkara lumrah  di rantau itu. Apakah  yang terdaya  dilaksanakan  oleh  Amerika Syarikat untuk menyekatnya?

Setakat  itu Washington  memang  belum  lagi  memperakukan dan  mengiktiraf kerajaan Taleban.  Walaupun  ada  hubungan rasmi  yang terjalin  yang membabitkan peranan Robin Rafei seorang timbalan menteri  negara dan beberapa  pegawai kerajaan  lagi, pegawai perniagaan  telah  memainkan peranan  sebagai  tukang  urus  dan orang tengah di  antara Washington  dan  Kabul. Sebuah  firma Amerika, Unocal memang  ghairah  mehukan projek membina  saluran paip  yang bernilai  US$4.5 bilion  untuk  menyalurkan minyak dan gas asli daripada  Turkmenistan  hingga  Pakistan  melalui  Afghanistan.  Malahan  firma ini pernah  mengumumkan satu  skim  latihan  untuk  melatih  anak-anak  muda  Afghan untuk kerja-kerja  itu. Sebuah  syarikat  Argentina, Bridas,   turut berminat dengan projek itu. Kedua-dua syarikat besar  itu  telah  mendapatkan khidmat syarikat-syarikat di Saudi untuk membantu berhubungan dengan  Afghans.  Mereka juga  turut menggaji bekas diplomat  Amerika untuk  bertugas  sebagai  perunding di  Kabul   dan Washington. Nampaknya, dasar Amerika di  Afghanistan akan  dikotak-katikkan  oleh  politik pemasangan paip  minyak dan gas asli  yang akan merentasi  negara itu.

Sementara  itu,  para  pegawai  risikan Amerika bolehlah  memerapkan  diri mereka untuk  beberapa  lama. “Memang, ada sesuatu  yang sedang  membuak,” kata seorang operatif CIA  yang  mempunyai pengalaman yang  lama di  rantau  itu  “Semua  itu dilaksanakan mengikut  cara lama kami berhubungan  dengan  orang Afghan, dengan orang Saudi dan Pakistan memberikan  sokongan  mereka. Tetapi,  kali  ini  kami tidak  membuat apa-apa pun!”  Dia  meninggikan  suara bukannya  kerana  dia  naik marah  kerana ada orang memikirkan  betapa  CIA  terlibat dalam  kegiatan  itu.  Sebaliknya  dia menyerlahkan kehampahan  kerana  diarahkan  berdiam  diri  di  atas bangku (laksana pemain bola simpanan- penterjemah).  Tidak  pula  ada  sesiapa berkata   dengan  penuh keyakinan apakah permainan  itu akan  memasuki  pusingan  kedua  pula.

-Steve  Levine- Newsweek  13 Oktober, 1997. 

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>MT 16/3/2001<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<